Jumaat, Disember 28, 2007

Soft opening dan bahasa Perancis

Aku menjadi tersangat sibuk sejak kebelakangan ini kerana hotel akan dibuka, sehingga tidak mampu aku untuk membuka mata, menaip kisah-kisahku disini. Walaubagaimanapun, segala penat jerih aku terbayar juga setelah aku berjaya menyelesaikan tugas untuk menyiapkan sebanyak 432 bilik didalam tempoh seminggu. Ingin aku rakamkan jutaan terimakasih aku kepada rakan sekerja aku iaitu MK dan RS yang sama-sama bertungkus-lumus membantu aku untuk membereskan tugasan yang sangat penting itu. Tidak lupa juga kepada EA yang memberikan aku tanggungjawap yang besar untuk menyelenggarakannya walaupun tidak sesempurna mana...

Para tetamu mula sampai dari segala pelosok dunia. Kami mendapat kunjungan daripada jemaah-jemaah negara Eropah iaitu Turki, Germany, Belgium dan juga dari Rusia! Sungguh menarik melayani kehendak mereka. Kebanyakkannya ok kerana niat mereka kesini hanyalah untuk menunaikan ibadah dan bukannya beriadah! Pada ketika itu juga aku mampu mempertajamkan lagi kefasihan aku berbahasa Perancis kerana rata-rata yang datang dari Eropah mampu berbahasa romantis itu.

Aku mula berminat untuk berbahasa Perancis apabila bermulanya karier aku didunia perhotelan. Sewaktu itu aku hanya bertugas sebagai pelayan (bus boy) disalah sebuah hotel bertaraf antarabangsa di Petaling Jaya. Duit gaji yang aku kumpul aku laburkan di kelas malam di Alliance Francaise, PJ selama 2 tahun. Alhamdulillah aku lulus didalam peperiksaan lisan dan oral. Bermula dari situ aku mula menanam cita-cita untuk sekurang-kurangnya sekali menjejakkan kaki ke negara Perancis. Aku bekerja bersungguh-sungguh siang dan malam sehingga mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran ke Switzerland. Sebuah negara yang menggunakan bahasa Perancis didalam perbualan harian dibeberapa bahagian negaranya seperti Geneva, Montreaux, Lausanne dll. Peluang tersebut aku gunakan sebaik-baiknya untuk mempertajamkan lagi kemahiran bahasa aku maklumlah aku tinggal disebuah pekan kecil bernama Le Bouveret yang rata-rata penghuninya mampu mengingati nama penduduknya dan mereka akan bertegur sapa setiap kali bertemu. Suasana kampung begitu terasa...Keindahan kawasannya terserlah kerana dari balkoni kamarku dapat kulihat Lac Leman (tasik) manakala dibelakang pula ialah Alps yang akan memutih diwaktu musim sejuk. Indah sekali pemandangannya.

Kepada ketiga-tiga anakku, belajarlah seberapa banyak bahasa yang kamu mampu agar pada suatu hari nanti kamu dapat menggunakannya didalam kehidupan seharian kamu.....didalam blog Papa yang lain, akan Papa ceritakan pengalaman Papa di Paris, Champs Elysse!!!!!

Jumaat, Disember 21, 2007

Talipon bimbit dan Aidil Adha lagi......

Aku bukanlah seorang yang terlalu sukakan handphone. Cuma pada usia 37 tahun barulah aku mula menggunakannya. Kerana bagi aku, ianya hanya lah sesuatu yang menyusahkan.....ramai yang cuba menyakinkan aku tentang penggunaannya. Rakan sekerja, bos aku, ahli keluarga aku dan yang paling mendesak ialah Wakana. Walaubagaimanapun, aku masih belum "convince" dengan kata-kata mereka.....akhirnya, mengalah dengan tugas-tugas ditempat kerja, aku mendapatkan satu yang harganya lebih kurang RM400. Itu sudah mahal bagiku. Featuresnya tak lah banyak tetapi bagiku memadai dengan kemampuan untuk membuat dan menerima panggilan serta sms. Kini aku mengakui akan kepentingannya...thanks to all who has been trying very hard to covince me......and finally, voila....

Sungguh menghairankan bahawa staf yang bekerja dengan aku ramai yang sanggup mengikat perut semata-mata untuk membeli talipon bimbit yang tercangih. Berlumba-lumba diantara satu sama lain....walaubagaimanapun hampir setengah kegunaannya tidak pernah ataupun tidak akan digunakan oleh mereka...kadang-kadang hampir 2-3 bulan mereka menyimpan gaji untuk mendapatkan talipon terbaru dipasaran.....bayangkan kalau gaji mereka sebanyak RM1500 sebulan. RM500 akan digunakan untuk membayar sewa...mungkin RM300 untuk makan sebulan., Rm150 untuk diri sendiri (menonton, makan dan minum diluar dsbnya). Bayar kereta sebanyak RM400 dan selebihnya minyak......sungguh mengerikan.....tak tahu aku apa yang bermain dibenak fikiran mereka.....menongkah arus teknologi? Tidak mungkin bagi mereka!

Sekarang di KSA adalah musim cuti hujung tahun. Kebanyakkan pejabat-pejabat kerajaan ditutup selama 2 minggu. Madinah terutamanya hotel-hotel disekeliling masjid Nabawi dipenuhi oleh ramai pengunjung dari dalam dan luar..... suasananya tidak ubah seperti suatu pesta. Semalam sewaktu pulang bertugas, seperti biasa aku melewati perkarangan masjid Nabawi (aku masuk dari pintu sebelah sini dan keluar dari pintu sebelah sana, berhampiran "Baqi"). Aku lihat banyak keluarga membawa makanan (picnic), anak-anak bermain roller blade dan ada juga yang yang bermain badminton di perkarangan masjid! Selalunya perkara-perkara seperti ini tidak pernah diceritakan oleh mana-mana pengunjung ke Madinah...kenapa, tidak dapat aku menjawapnya.....bagi pasangan muda-mudi yang sudah berkahwin, mereka berjalan beriringan sambil berpegangan tangan (satu pemandangan yang jarang dapat dilihat disini!). Sungguh menarik ......

Kepada ahli keluarga dan rakan-rakanku di Malaysia, ingin aku mengucapkan selamat Hari Raya Aidil Adha sekali lagi kepada semua. Semoga kita dapat betemu didalam waktu terdekat. InsyAllah........kepada Wakana dan anak-anakku sekelian, Papa pun tak sabar nak berjumpa kamu semua.......gambar kamu bertiga tidur dibilik yang dikirimkan oleh Mama tempohari sungguh menarik....dah besar anak-anak Papa....

Rabu, Disember 19, 2007

Hari ray Haji..

Aku ingin meminta maaf kerana 2-3 hari ni aku agak sibuk sedikit dengan tugas.....balik ke rumah terus tertidur dan tak sempat nak buat apa-apa. Hari ni hari Raya Haji di sini (KSA) manakala di Malaysia ialah keesokan harinya. Diwaktu-waktu sebegini teringat aku semasa kecil dahulu. Aku akan bangun awal dan bersiap untuk ke masjid bersama-sama dengan abang-abangku yang lain seperti AE, AW dan AJ. Baju melayu kami memang telah siap dogosok oleh kakakku yang kedua iaitu KL (kontrak gosok tahunan - thanks KL!). Selepas bersiap sedia dengan sarapan yang ala kadar, mama akan menghantar kami ke masjid di Gelugor. Suasana begitu meriah dengan orang ramai yang datang berduyun-duyun untuk menunaikan solat sunat. Khutbah yng agak panjang membuatkan aku sentiasa resah menantikan penghujungnya. AE akan marah kepadaku kerana bertanyakan bila akan selesai khutbah tersebut. Rasanya seperti seharian aku disitu! Selepas selesai menunaikan tanggungjawap tersebut, mama sekali lagi setia menanti kami diluar dengan Volkswagen Biru rangginya yang bernombor pendaftaran BP 4538. Dirumah, juadah telah siap diatas meja. Mama akan memasak nasi tomato, ayam masak ros dll. KA iaitu kakakku yang sulung pun ada bersama manakala Bapak jarang bersama kami kerana bertugas di PJ (an island, actually!). Suasana sungguh meriah dengan kehadiran semua ahli keluarga menghadap juadah di Hari Raya.

Kemeriahan sebegitu cuba aku terjemahkan kepada anak-anakku pula, Azumi, Yuya dan Marina. Pada hari Raya Haji yang lepas aku membawa Azumi dan Yuya bersembahyang sunat Hari Raya Aidil Adha di masjid berdekatan. Wakana menjadi sibuk pada hari hari itu dan juga sebelumnya kerana perlu meyediakan pakaian, makanan dsbnya. Kami bangun awal. Selepas mandi dan bersiap, Azumi dan Yuya yang tak sabar-sabar ingin sangat pergi mungkin mendengar cerita daripada rakan-rakan disekolah dan ingin merasai pengalaman itu sendiri. Mereka sentiasa bertanya padaku bila kami akan kemasjid. Aku kata nanti dulu. Awal lagi. Setelah selesai bersarapan aku terus membawa mereka ke masjid. Didalam perjalanan aku ternampak agak ramai orang sedang berjalan dari masjid. Aku terfikir bahawa masjid tadi penuh dan mereka mungkin kemasjid lain yang berdekatan. Sesampainya aku disana, anak-anakku sudah tak sabar-sabar hendak bersembahyang dan mendengar khutbah seperti yang telah aku terangkan pada hari sebelumnya.....Kami turun dari kereta dan berjalan kearah pintu masuk. Beberapa orang sedang memerhatikan kami. Awal sangatkah aku? Aku memegang tangan kedua-dua anakku dan membawa mereka ke satu sudut yang agak lengang. Selang beberapa minit imam bingkas bangun dan mengumumkan bahawa sembelihan akan dimulakan sekarang! Aku terpinga-pinga melihat orang ramai mula bangun dan berjalan keluar samada untuk pulang ke rumah masing-masing ataupun pergi melihat korban di belakang masjid. Aku tergamam seketika apabila kedua-dua anak ku bertanya bila sembahyang akan dimulakan. Terasa sebak untukku menjawap bahawa kami bertiga telah terlewat untuk bersembahyang Raya berjemaah. Azumi seperti biasa cuma diam membisu manakala Yuya sibuk bertanya kenapa semua orang meninggalkan masjid..........aku kelu........

p/s thanks for the letter that both of you wrote. Disini Papa ingin meminta maaf kerana terlewat membawa kamu berdua bersembahyang jemaah dimasjid tempohari......

Isnin, Disember 17, 2007

Surat dari anak..

Aku baru dapat sms dari Wakana pagi ni mengatakan bahawa kedua-dua anakku menghantar surat @ e-mail. Kelam-kabut aku bingkas bangun lantas mencapai laptop dan terus ke hotmail. Gembira tak terkira hati ini. Azumi sudah pandai menulis dan tulisannya kemas manakala Yuya yang akan kedarjah satu pada bulan depan masih bengkang-bengkok dan sedikit comot. Walaubagaimanapun itu bukanlah masalah bagiku. Yang penting, mereka tahu menulis dan bertanya khabar. It's the thought that counts. Ini juga penting bagi mereka apabila memasuki alam persekolahan.

Aku tahu ini mesti kerja Wakana! (Arigatou ne..). Selain daripada aku, mereka juga perlu menulis surat didalam bahasa Jepun setiap 2 minggu sekali kepada Ojiichan (atok lelaki) dan Obaachan (atok perempuan). Wakana takut kalau-kalau mereka tidak tahu berbahasa dan menulis di dalam bahasa Jepun yang indah itu. Takutnya bersebab, katanya nanti susah berkomunikasi dan lupa akan asal-usul sebelah sana. Aku sanjung dan sokong pendiriannya. Bagi aku pula, aku nampak lebih jauh daripada itu. Mungkin mereka boleh bermain bolasepak secara professional dengan kelab-kelab bolasepak disana seperti Gamba, Antlers dll. Mungkin mereka juga boleh menjejakkan kaki ke menara gading disana atau bekerja disana seperti aku dahulu? Siapa tahu? Aku tidak pernah berfikiran negatif apatah lagi tentang kehidupan kami sekeluarga dan demi masa depan anak-anak. Gambatte kudasai..............

Berbalik kepada pertanyaan Azumi dan Yuya didalam e-mail mereka, "Papa sihat sentiasa, cuma 2 minggu yang lepas Papa demam sikit tapi tak perlu dirisaukan. Papa dah makan ubat. Sekarang dah sihat. Tiap-tiap hari Papa kerja dan hari ni Papa kena masuk lagi sekali pada pukul 10 malam nanti sebab ada pekerja yang akan datang untuk membersihkan bilik-bilik hotel. Papa akan kerja sampailah esok pagi. Sekarang nilah Papa kena kerja kuat untuk Mama, Azumi, Yuya dan Marina. Papa datang sini pun disebabkan oleh kamu semua dan sudah tentu untuk mengejar cita-cita Papa. Kamu semua mesti ada cita-cita juga dan berusahalah sehingga tercapai apa yang kamu semua idam-idamkan. Walau apapun yang kamu buat, jangan sekali-kali menipu. Belajar.....jangan menipu. Bekerja pun jangan menipu. Buat latihan bolasepak jangan menipu, disekolah kebangsaan dan sekolah agama jangan menipu dengan rakan-rakan dan guru jangan menipu apatah lagi dengan Papa, Mama dan ahli keluarga kita yang lain...ingat pesanan Papa!!

Papa ada beberapa keping gambar yang diambil oleh RS (kawan Papa) tapi Papa tak tahu lagi macamana nak masukkan kedalam blog ni. Nanti Papa belajar dulu....see...sampai sekarang pun Papa tak habis belajar lagi.....Okay, Azumi dan Yuya, kalau ada masa, e-mail lah lagi ya?"

Sabtu, Disember 15, 2007

Masjid Nabawi, Madinah

Hari ini cuaca sungguh dingin dipagi hari. Kebanyakkan orang telah mula keluar dari Madinah dan menuju ke Mekah kerana wukuf akan bermula beberapa hari lagi. Sangkaku hotel-hotel disini akan kosong disebabkan oleh musim haji yang akan bermula pada minggu hadapan. Ternyata sangkaanku meleset sama sekali. Tadi aku pergi ke Dar Al Taqwa Hotel kerana ada appointment disana dengan salah seorang pengurusnya untuk berbincang mengenai barang-barang keperluan harian. Orangnya dari Egypt dan peramah sekali. Sanggup membantu memberikan penerangan berkenaan proses haji dan bagaimana mengendalikan kehadiran para tetamu nanti

Aku mengambil kesempatan bertanya samada hotel akan kosong didalam tempoh tersebut tetapi katanya tidak. Ini adalah kerana sewaktu musim Raya Haji, orang-orang tempatan akan mengambil kesempatan untuk datang ke Madinah dan kesemua hotelnya penuh 100%. Dan katanya lagi, disini mereka menjual katil dan bukannya bilik. Aku pelik dengan kata-katanya. Dia menyambung lagi dan mengatakan bahawa konsep itu bermaksud jika dibilik itu ada 3 katil, dan yang akan check-in hanyalah seorang, mereka akan menjual lagi 2 katil yang berlebihan itu kepada orang lain. Ini bermaksud jika anda dari Malaysia, 2 katil itu akan dipenuhi oleh 2 tetamu lain yang masing-masing berasal mungin dari 2 negara yang berbeza!!! Menarik konsep itu.......menarik kepada tuan punya hotel tetapi tidak kepada tetamu yang menginap. Definitely not to a Malaysian!!!!! Itu aku pasti...

Pagi ini sewaktu mahu ketempat kerja, memang ternyata bahawa Masjid Nabawi agak lengang. Berbeza sama sekali dengan sewaktu aku bersembahyang Jumaat semalam. Ramainya manusia memang tidak dapat digambarkan.....lautan manusia! Buat ketiga kalinya, aku terpaksa bersembahyang diluar berhampiran dengan pagar masuk ke masjid. PAGAR dan bukannya PINTU!

Buat anak-anakku Azumi dan Yuya yang selalu mengikutiku bersembahyang jemaah dimasjid di KL, apa yang kamu nampak tidaklah seramai disini.......itu hanyalah tidak sampai 1% daripada disini...bayangkan...dan setiap kali selepas bersolat jemaah disini, terus sahaja mereka melakukan sembahyang jenazah.

Pada kesempatan yang lalu, aku berpeluang ke Rawdah, makam Rasulullah SAW dan berpuasa 6 dibulan Syawal di Madinah dan berbuka puasa di masjid Nabawi. Suasananya biasa-biasa sahaja. Berbuka cuma dengan 7 biji tamar. Menakjubkan kerana aku terus kenyang seperti baru lepas minum sirap bandung 3 gelas, nasi briyani Ismail (Taman Tun) sebungkus, karipap RM2 (6 biji) dan secangkir kopi di Bella Vista.......... and oh yes, I lost a little bit more weight!

Jumaat, Disember 14, 2007

Surprise...

Besok hari Jumaat. Ini bermakna yang aku tidak bekerja keesokan harinya. Selalunya hari tersebut adalah hari yang amat aku tunggu-tunggu. Selain daripada dapat berjemaah dengan umat Islam lain dari seluruh dunia, anak-anak aku akan menelefon aku pada hari itu. Kami akan bercerita tentang hal-hal seharian. Tentang sekolah yang akan dibuka, latihan bolasepak di kelab, PS2 dan akan diakhiri dengan satu dua pesanan kepada Wakana. Memang itulah jadualnya setiap minggu. Tidak pernah bosan aku mendengar celoteh mereka. Kalau terlalu rindu pun aku akan menatap gambar-gambar mereka yang diambil oleh anak saudara ku EK pada musim Raya yang lalu. EK berbakat besar! EK yang dahulunya hanya merangkak didepanku kini sudah dewasa dan berusia didalam lingkungan 20an. Sungguh cepat masa berlalu!

Baru tadi aku mendapat panggilan dari rakan ku NL yang kini bertugas di KPMG Riyadh. NL bertanya samada aku mahu kemana-mana pada cuti Hari Raya Haji nanti......sudah tentu tidak jawapku kerana terlalu banyak kerja yang harus diselesaikan menanti hari pembukaan nanti. Jadi katanya, kalau ok NL mahu bertandang ke Madinah. Selain daripada berjumpa dengan aku, dapat juga dia berziarah.

NL sebenarnya adalah rakan sekolah menengah aku semasa di Seremban dulu dari tahun 81 hinggalah ke tahun 85. Seorang pelajar yang rajin dan pintar berbanding aku yang lebih banyak main daripada belajar!!! NL mendapat keputusan yang sangat baik dan kalau tak silap aku, dia ditawarkan utk ke luar negara tapi tanpa kami sedari, dia menyahut cabaran ke UUM. Pernah sekali sewaktu UUM bercuti, NL ingin membuat surprise muncul dirumah aku di Penang masa itu dan akhirnya NL sendiri yang surprise apabila kami sekeluarga berada di Alor Setar!. NL bermalam di masjid Taman Saadon ....... dan kadang-kadang ada jugak mama aku bertanya, "....apa jadi ngan budak yang tidoq kat masjid tu...?" Itu kenangan 20 tahun dahulu dan mamaku masih ingat.....

So, to Nyamuk (his nickname in school), looking forward to seeing you next week!

Rabu, Disember 12, 2007

Old Boys....

Hari ni aku mendapat e-mail yang banyak sekali daripada old boys 815. Semuanya menceritakan berkenaan futsal tournament yang baru-baru ini telah diadakan. Aku tidak turut serta kerana masih disini sedangkan mereka mengadakannya di KL. Tidak ramai yang mampu menghadirkan diri memandangkan semuanya telah berkeluarga dan mempunyai komitmen-komitmen lain. Rakanku KU mengirimkan2 keping gambar yang dilampirkan bersama. Wah...hebat-hebat belaka. Bukannya skil yang dikagumi tetapi perut mereka! Usia sudah hampir menjangkau angka 40 dan kebanyakannya telah ada yang sampai ke tahap triple dari dulu sewaktu dibangku sekolah!!

Walaubagaimanapun aku berbangga dengan pencapaian mereka. Ramai yang telah berjaya didalam kehidupan mereka. Ada yang sedang bertugas di Indonesia, Singapura, Fiji, Amerika Syarikat, Saudi (sebenarnya ada seorang lagi di Riyadh), dan pelbagai negara lagi manakala ada beberapa orang lagi sedang mengatur langkah untuk bergelar diplomat didalam waktu terdekat! . Hebat sungguh....tapi entah macamana, kehebatan itu tidak dapat diselarikan dengan pencapaian digelanggang futsal. HH yang pernah bermain sepaktakraw untukNS pada tahun 85 di kejohanan MSSM telahpun 3 kali ganda dari saiz yang sebenar. Begitu juga dengan IF yang suatu ketika dulu hebat bermain hoki diposisi penyerang di NS juga kini agak perlahan mengatur langkah ......rambut-rambut putih telah mula kelihatan berjurai (begitu juga dengan aku!)

Teringat aku kepada seorang rakan yang bernama SB dari Pendang. Pernah bermain bolasepak sepasukan denganku hingga ke peringkat negeri Kedah. Sudah berbelas tahun tidak bertemu dan tiba-tiba aku terkejut dengan kemunculannya apabila aku menghadiri majlis Hari Raya di Konsulat Malaysia di Jeddah. Rupa-rupanya SB ialah Konsular Malaysia di Jeddah. Kami berborak panjang sambil aku diperkenalkan kepada rakyat Malaysia yang lain. Pada malam itu SB terlambat untuk membuat ucapan alu-aluan. Ini semua adalah gara-gara bertemu rakan lama. Sewaktu berucap, sempat SB mengumumkan kedatangan aku dari Malaysia sebagai "long lost friendnya". Aku berbangga kerana masih diingati. Terharu seketika........baru-baru ini aku cuba menelefonnya sekembalinya aku kesini buat kali kedua. SB sibuk mengemas barang untuk berangkat pulang ke Malaysia sebelum mengambil tugas sebagai .............. di Kedutaan Malaysia di Bangkok. Aku ucapkan tahniah dan kami berjanji untuk bertemu samada di KL ataupun di Bangkok nanti.

Selasa, Disember 11, 2007

Jabal Uhud, Jabal Rahmah dan Saas Fe

Tempohari aku ke Jabal Uhud dan Jabal Rahmah bersama-sama denan MK dan RS membuat ziarah dan melihat kesan-kesan sejarah dari zaman Rasulullah SAW. Sekali lagi aku memanjatkan doa kepada para sahabat dan pejuang-pejuang Islam yang gugur di medan peperangan. Jabal Rahmah tidaklah setinggi yang kusangkakan . Kalau dulu sewaktu dibangku sekolah, aku hanya mampu membaca dan mendengar daripada ustad yang pada waktu itu berkemungkinan masih belum menjejakkan kaki disini. Kini segala-galanya ada didepan mata. Selepas itu aku ke masjid 2 Kiblat dan tempat-tempat sejarah yang lain. Sungguh menarik sekali. Daripada situ dapat aku melihat yang bangunan-bangunan moden juga sedang dibina ditambah dengan shopping complexnya yang canggih untuk para pelancong berbelanja selepas habis melaksanakan tuntutan

Teringat juga aku sewaktu di KL tempohari Azumi sedang mengulangkaji pelajarannya untuk peperiksaan lalu bertanya padaku soalan-soalan yang berkaitan dengan agama. Alhamdulillah aku mampu menjawapnya walaupun timbul keraguan diawalnya. Buat pengetahuan Azumi, semalam Papa baru membeli sebuah buku lagi yang bertajuk "When the Moon Split" a biography of Prophet Mohammad SAW. Compiled by Safiur-Rahman Mubarakpuri and published by Darussallam. If I get the chance, I'll bring it back for you to read……

Bercerita tentang Jabal, teringat pulak aku semasa berada di Switzerland pada tahun 1994 dulu. Sewaktu musim salji aku berkesempatan melawat rakan baik aku Sammy, yang berasal dari Tunisia. Sammy bertugas di Saas Fe iaitu sebuah pusat peranginan antarabangsa yang sangat terkenal dengan permainan ski. Aku ke sana dengan seorang teman dari Indonesia bernama Rio menaiki keretapi dari Bandar Montreaux sampai ke kaki gunung. Dari situ kami menaiki bas sehingga pertengahan puncak. Berehat sebentar di stesen tersebut lantas kami mengambil kenderaan lain untuk kesana. Pemandangan sungguh menarik. Perjalanan untuk kepuncak mengambil masa selama 1 jam lagi dari stesen terakhir tadi. Yang seronoknya, kenderaan berenjin tidak dibenarkan naik. Semuanya menggunakan kuasa bateri ataupun solar sahaja. Ini untuk memelihara alam sekitar. Bayangkan kalau di Malaysia pun begitu……tentu Cameron Highland ataupun Genting udaranya akan bertambah nyaman…

Seterusnya kami menaiki kereta kabel untuk ke "ski station". Pemandangan dari atas sungguh menarik sekali. Kami cuba untuk bermain ski tetapi seperti biasa, belum sempatpun kami melangkah, kami terus menggelongsor…..ketawa sendirian aku mengingatkan peristiwa itu. Apabila pulang ke apartment Sammy, kami sama-sama bergotong-royong untuk masak buat santapan malam. Aku menyiang dan menyediakan peralatan termasuklah membasuh. Rio (chef dari Jakarta Hilton) yang mahir memasak, membuat ayam panggang bersama rosemary (Poulet Roti au Romarin) yang disumbat manakala Sammy menghidangkan kami dengan masakan Tunisia. Sammy memasak cous-cous dan menyediakan salad. Selepas kenyang makan, kami mengambil keputusan untuk bersiar-siar diluar. Gunung yang diselimuti salji dapat kami lihat berbalam dengan cahaya rembulan. That was one of the best moments of my life. We took loads of pictures. Persahabatan luhur yang terjalin memberikan aku suatu petanda yang dunia tanpa sempadan ini mampu dikongsi bersama tanpa mengira negara, bangsa dan agama.

Diblog-blog yang akan datang akan ku ceritakan lagi susur-galur perjalanan hidupku untuk dibaca dan dikongsi bersama oleh anak-anakku sekelian Azumi, Yuya dan Marina Ayumi supaya dapat dijadikan panduan. Papa sayangkan kamu semua…..to Wakana, I love you too!

Gadis Jepun

Aku kembali menaiki bas. Sembab perjalanan……sesembab mood aku pada saat itu. Terbayang kata-kata Wakana yang anak-anak aku sedikit sendu apabila mendapat berita bahawa aku tidak jadi pulang disebabkan oleh tuntutan tugas. Meraung lagi hati ini. Air mata seorang Papa kutahankan juga. Keesokan hari sepatutnya aku berada di KL. Melayani keletah anak-anak, menyaksikan kedua-dua anak lelaki aku, Azumi dan Yuya menjalani latihan bolasepak dikelab mereka. Mengagah sikecil yang kunamakan Marina Ayumi yang belum mengerti apa-apa diusia menghampiri 2 tahun dan berbual-bual mesra dengan Wakana yang telah aku tinggalkan buat seketika.

Bas ekspres membelah malam yang pekat. Sesekali di panahi cahaya rembulan dapat juga aku melihat padang pasir yang saujana mata memandang. Tidak dapat aku bayangkan bagaimana Rasulullah SAW berjalan kaki dari Mekah ke Madinah dengan membawa sedikit bekalan……timbul keinsafan didalam diri ini. Perjalanan dari Jeddah ke Madinah mengambil masa selama 5 jam menaiki bas dan berhenti selama setengah jam untuk berehat. Waktu kini sudahpun melewati jam 12 tengah malam. Masih ada lebih kurang 2 jam lagi perjalanan . Kurang lebih 150 kilometer untuk sampai ke destinasi.

Sedang aku mengelamun, aku teringatkan Wakana yang aku kenali lebih kurang 15 tahun yang lalu. Pertemuan yang tidak dirancang……aku bertemu Wakana Kamimura semasa aku sedang menyaksikan konset Zainal Abidin di Bunkamura,Tokyo pada tahun 1992. Aku berada ditingkat atas concert hall itu sambil menyanyi mengikuti irama ZA. Tidak kusangka-sangka aku terpanding seorang gadis Jepun yang turut sama menyanyikan lagu Hijau. Raut wajahnya yang ayu membuatkan aku teruja untuk menegurnya. Entah kenapa tiba-tiba sikap gentleman aku begitu menguasai diri. Aku bergegas ketingkat bawah sewaktu ZA berhenti rehat. Berlari sepantas mungkin agar dapat aku bertemu dengannya walaupun hanya bertentang mata.

Gadis ayu yang aku cari tidak kelihatan. Aku gugup seketika. Liar anak mata memerhatikan sekeliling. Fikiranku berkecamuk. Entah dia telah pergi ataupun telah hilang ditelan ribuan orang yang pada masa yang sama sedang berehat sebelum masuk semula ke concert hall. Didalam kesibukan mencari, tiba-tiba aku terpandangkan kelibat sigadis manis tadi. Jantung berdegup kencang kerana sepanjang umurku yang menjangkau usia 24 tahun pada waktu itu, tidak pernah sekalipun aku terpanggil untuk menegur seorang gadis. Apatah lagi untuk memikirkan perkara-perkara yang lain.

Kini gadis yang ku cari sedang berada betul-betul didepan ku. Sambil menghela nafas panjang, aku terus meluru kearahnya. Berhenti betul-betul didepannya membuatkan aku tiba-tiba buntu untuk berkata-kata. Aahh…..manisnya, getus hatiku….jantung berdegup bertambah kencang…..dengan perasaan yang bercampur-baur ku gagahi juga mulut untuk berkata-kata. Aku bertanya adakah dia sedang menunggu seseorang didalam bahasa Jepun. Aduh…ayat yang tidak kujangka terpacul keluar dari mulutku dengan tidak semena-mena. Begitu klise. Dia menoleh kearah lain. Kucuba sekali lagi menghamburkan ayat yang serupa, kali ini mungkin kerana aku nampak bersungguh-sungguh, dia menganggukkan kepalanya. Aku beranikan diri untuk bertanya adakah dia ingin meminati penyanyi itu. Dia mengangguk kepalanya lagi. Dalam tempoh 15 minit yang aku ada, aku membuat pengenalan diri seringkas mungkin dan dari riak wajahnya dapat kulihat ada respon. Ku hulurkan tangan bersama-sama meishi (kad nama) yang tertera nama, jawatan dan tempat aku bertugas. Dia tersenyum dan berkata terimakasih. Tidak dapat aku gambarkan betapa gembiranya hati ini. Sebelum bergegas pergi sempat kami bertukar-tukar nombor telefon dan aku cuba berjanji dan mengatakan yang aku akan telefon lagi keesokan harinya.

Seperti yang dijanjikan, keesokan harinya, aku menelefon nombor semalam. Panjangnya deringan telefon membuatkan aku bertambah gusar. Pelbagai persoalan bermain dibenak fikiran. Kalaulah orang tuanya yang menjawap? Kalaulah adik lelakinya yang menjawap dll. Wakana mengangkat telefon dan kami berbual pendek, berjanji yang kami akan bertemu lewat tengahari sambil bercerita tentang world music yang kami sama-sama minati.

Tepat pada waktu yang dijanjikan, Wakana terpacul dilobi hotel penginapan aku di Gotanda. Kami berbual dan aku dengan berani mengajaknya ke kedai burger didepan hotel. Sesampai disana, aku memberinya album ZA.

Satu pertemuan yang tak disangka-sangka……………….

Tepat jam 2.30 pagi aku menerima panggilan daripada AH yang berjanji akan mengambil kami di stesen bas Madinah. Sesampainya aku distesen, terus aku membuat panggilan. 5 kali panggilan dibuat masih tidak berjawap. Tertidur kali…fikirku. Kami mengambil keputusan untuk berjalan kaki sahaja ke apartmen yang lebih kurang 1km jaraknya. Berjalan didalam cuaca yang dingin tidak mendatangkan masalah. Nampak dari kejauhan tiang-tiang tinggi Al-Haram dihiasi dengan lampu yang indah. Aku cuba bandingkan perjalanan aku dengan Rasulullah SAW. Nyata tidak terbanding sekali! Terdetik dihati kecil ini, "Ya Allah Ya Tuhanku, begitu besar sekali kekuasaanMu"

Sesampainya di apartmen, semuanya telah tidur. Sebelum terlupa, aku tunaikan dulu tanggungjawap ku yang terakhir. Mengadap Allah yang satu…….

Tandas awam di Tokyo

Teringat aku semasa di Tokyo dulu. Saat menjejakkan kaki ke tandas adalah sentiasa satu pengalaman yang tak dapat dilupakan,tidak kiralah di eki (stesen) manapun, Gotanda, Akihabara, Shibuya mahupun eki terakhir aku sebelum ketempat kerja, iaitu di Maihama. Lantainya kering, tidak berbau malah udaranya juga segar walaupun tidak sesegar salju dipagi hari. Selepas menggunakan tandas, semua akan beratur untuk mencuci tangan. Jika tidak, anda akan dipandang sinis. Itulah kebenaran dinegara maju. Negara matahari terbit.

Rugby dan pengajarannya.

Pasukan Alumni Sdar Lions Cerita 1. Aku memang sejak dari dulu lagi amat berminat dengan permainan rugby. Tatkala aku menjejakkan k...