Rabu, Disember 25, 2013

www.quaysidehotel.com.my

HRC Melaka.

Dengan santai aku memandu ke Melaka pagi ini. Tujuan aku ke Melaka ialah untuk menghadiri majlis perkahwinan anak saudara aku di Taman Noorbar. Pernah aku ke sana dulu di tahun 1981 sewaktu abang aku bertunang dengan Kak Ngah aku yang berasal dari sana. Itu tahun 1981. Kini 2013 dan aku pun dah lupa macamana nak kesana! Hahahahaha.....Hasrat aku nak tinggal dimana-mana rumah tumpangan yang banyak terdapat di tebing sungai Melaka. Unik dan sangat menarik perhatian aku dengan konsep-konsep simple dan minimalist. Rumah-rumah tumpangan ini berharga sekitar RM50-RM65 semalam. Sangat basic dan aku senang menginap ditempat-tempat sebegini. Banyak mengingatkan aku sewaktu diluar negara dulu!
 
Pencarian aku untuk menginap di rumah tumpangan berkubur apabila tiba-tiba salah seorang rakan lama aku yang juga merupakan GM di hotel tersebut memberitahu bahawa beliau kini mengendalikan sebuah gudang lama ditebing sungai Melaka yang kini dijadikan sebuah 'boutique hotel'. Aku google nama Quayside Hotel dan membaca komen-komen tetamu yang pernah menginap disana dan ternyata kesemuanya sangat baik. Aku tertarik dengan konsep gudang yang diubahsuai dan dijadikan hotel. Unik dan sangat berkesan. Hiasan dalaman mencerminkan yang tuanpunya boutique hotel yang mempunyai 38 buah bilik ini mempunyai citarasa yang tinggi dan aku mengkagumi beliau. Quayside Hotel terletak betul-betul dihadapan Casa Del Rio dan juga bersebelahan dengan replika kapal Flore De La Mar. Amat sentral untuk para tetamu. 2 minit berjalan kekiri menuju ke Jonkers Street manakala 2 minit berjalan ke sebelah kanan pula, kita akan sampai ke fort A Famosa.

 
Lobi. Quayside Hotel, Melaka

Sesampainya aku dihotel, aku terus mendaftar masuk. Alhamdulillah arrangement telah dibuat oleh sahabat aku dan aku dibenarkan check in awal. Lobi yang luas dan berbumbung tinggi menyebabkan ruang sekitar kelihatan amat lapang. Warna lantai dan sofa sangat berpadanan. Perabut kayu yang digunakan menimbulkan suasana 'rustic' yang tidak mengingatkan kita kepada 'gudang' yang dahulunya dijadikan tempat penyimpanan rempah-ratus di zaman dahulu-kala! Dekorasi yang minima sekali lagi memberikan impak yang sungguh ekslusif. Transformasi yang bagi aku amat berjaya. Tatarias moden dengan sofa kolonial ditingkat atas berserta dengan anak-anak tangga 'spiral' sekali lagi menimbulkan suasana yang sungguh istimewa dan menyerlahkan lagi keperibadian pemiliknya!
Apabila aku masuk ke bilik sahaja aku terus merasa kagum dengan penggunaan ruang yang maksima. 2 bilik aku digabungkan dengan sebuah pintu yang membolehkan anak-anak aku masuk kebilik aku dan didalam bahasa hotel ianya dipanggil 'connecting room'. Penggunaan 'warm light' didalam bilik memberikan efek yang sangat menarik. Begitu juga apabila berlantaikan 'parquet', keadaan tiba-tiba berubah kepada suasana tenang dan nyaman. Apabila bidai tingkap dibuka, kelihatan bot-bot pelancong menyusuri sungai Melaka. Bilik airnya luas dan lapang. Bilik mandi diasingkan daripada tandas dengan pintu dan dinding kaca. Dwi tona cream yang polos dan cokelat pekat memberikan 2 dimensi warna berbeza apabila masuk saja ke ruang mandi. Siling tinggi dan pancuran air daripada 'cromed rain shower' memberikan aku kepuasan yang tidak terhingga!




Nice cafe along the river..

Dibahagian luarnya disebelah hujung pula ada sebuah restoran yang diberi nama HALIA Inc. Banyak menggunakan perabot kayu dan terbahagi kepada 3 ruang. Ruang dalam merangkumi meja-meja makan dan buffet serta 2 meja pool dan sebuah bar yang rasanya mampu menampung seramai 60 orang tetamu manakala  ruang kedua pula ialah dibahagian luar yang mampu menampung seramai 100 orang dan boleh diadakan majlis-majlis private dan berkonsepkan gerai ataupun dipanggil 'stall concept' dan yang terakhir ialah ditebing sungai mengadap sebuah lagi hotel mewah. Disediakan juga payung-payung kecil untuk tetamu duduk menikmati suasana romantis matahari terbenam sambil menghirup kopi latte ataupun cappucino!
 

Aku menulis dari meja ini!


Confirmed aku di Melaka!

Tidak sah ke Melaka jika tidak melihat beca yang dihias indah berkumpul di hadapan bangunan merah serta persimpangan jalan ke Jonker's Street. Pelancung penuh mengerumuni beca-beca ini samada untuk mengambil gambar ataupun mengambil peluang bersiar-siar disekitar kawasan Banda Hilir. Harga yang dikenakan juga berpatutan. Bukan sahaja hiasan yang menyebabkan para pelancung teruja. Muzik yang dialunkan juga ibarat berada disebuah konsert di Stadium Melaka! Terletak tidak sampai satu minit berjalan kaki daripada Quayside Hotel.
 
Untuk pertanyaan lanjut, Quayside Hotel di Melaka boleh dihubungi melalui 06-2841001 ataupun e-mail sahaja ke hello@quaysidehotel.com.my dan anda semua pasti berpuas hati dengan lokasi, tawaran-tawaran menariknya serta harga bilik yang berpatutan. Bagi aku pula, penginapan kali ini adalah merupakan salah satu penginapan bercuti bersama keluarga yang terbaik buat penutup tahun 2013!

 


Sabtu, Disember 21, 2013

Panic!


Mak-pak

Pukul 10 pagi aku dah terpacak kat sekolah anak aku yakni VI. Mak dan pak yang lain masih ramai yang belum sampai. Semuanya sibuk sebab hari keputusan keluar jatuh pada hari bekerja. Perlahan-lahan aku parking motor cabuk aku kat tepi office jurulatih bolasepak kat tepi padang berdekatan dengan pavilion sekolah. Bawah pokok. Teduh sikit motor aku. Kereta mak bapak mula berderu-deru masuk. Macam-macam jenis aku tengok. Kejap audi merah...kejap audi putih...ada yang datang dengan driver....dalam hati aku berkata, amboih, hebat mak-bapak depa! Berapa ratus ribulah harga kereta tu semua....pasti banyak gaji depa sampai dapat beli kereta semewah itu. Motor aku yang harga RM7,000 (waktu tu) pun tercungap-cungap aku nak bayar. Instalment sampai 2 tahun! Hahahahahaha.....Kelebihan motor aku, senang nak pergi marrket...traffic jam free...dan parking pon free...hahahahaha (aku gelakkan depa) tapi aku tahu bila turun hujan, depa pulak ambik kesempatan untuk gelakkan aku! Takpa...adatlah tu...janji aku happy sebab aku "hutang free!".
 
Pemain-pemain bolasepak bawah 15 semuanya berkumpul diluar dewan ramai-ramai. Kami mak-bapak pemain bolasepak pun serupa. Bila semuanya dah masuk dewan, barulah aku langkah kaki masuk dewan sambil menggalas beg merah yang aku pinjam dari Yuya 6 bulan sudah! Perasaan bercampur-baur. Sama macam waktu aku pergi mengambil keputusan Yuya dulu. Mengambil keputusan peperiksaan anak-anak adalah sesuatu yang sangat penting bagi aku. Walau sesibuk mana sekalipun, aku akan cuba mencuri waktu untuk bersama-sama anak-anak berkongsi kegembiraan ataupun kesedihan sewaktu mengambil keputusan. Aku tawakkal dan berkata pada diri sendiri, apapun keputusan anak-anak, aku harus terima. Aku dah berpesan dulu pada anak-anak semua, keputusan yang akan diterima melambangkan apakah pengorbanan kita ikhlas ataupun tidak. Sewaktu didalam kelas apakah kita benar-benar faham ataupun tidak. Apakah kita telah menipu kepada ibubapa masing-masing dan juga guru-guru masing-masing ataupun tidak. Aku tidak pernah mengajar anak-anak aku menipu. Jadi apa juga keputusan yang bakal mereka terima adalah penghasilan daripada setiap keringat, usaha dan juga doa mereka. Jika keputusan tidak baik maksudnya itulah sahaja usaha yang telah mereka laksanakan. Jika keputusan mereka baik, itu jugalah merupakan keputusan yang menunjukkan bahawa mereka benar-benar belajar, mendengar nasihat dll! 'Results don't lie'....seperti juga kata-kata 'figures don't lie!'

Anak-anak

Para pelajar mula masuk ke dalam dewan dan berkumpul dibahagian belakang. Wah...dah besar panjang semuanya. Ada juga yang tak tinggi ke atas tetapi melebar ke tepi....sama lah seperti masa depan mereka. Tak akan ada yang sama! Diwajah para pelajar ini aku nampak harapan yang sangat besar. Merekalah bakal memegang tampuk teraju negara suatu hari nanti.Tiba-tiba timbul perasaan bangga didalam hati aku. Abang berdiri depan mengikut kelas masing-masing. Cikgu Farah sudah mula mengambil tempat diatas pentas dan mula memberikan kata-kata aluan kepada kesemua muka-muka cemas...Keputusan peringkat negeri diumumkan diikuti oleh keputusan setiap matapelajaran. Ada peningkatan dan penurunan didalam setiap matapelajaran yang diumumkan berbanding dengan tahun yang lalu! Pelajar-pelajar bertambah cemas. Kalau tak salah pendengaran aku ada lebih daripada 40 orang pelajar yang mendapat keputusan A didalam kesemua matapelajaran. Nama-nama yang mencapai keputusan 8A diumumkan satu persatu. Berpeluk sakan mereka anak-beranak kegembiraan. Alhamdulillah. Pelajar-pelajar lain pula diarahkan untuk mengambil keputusan masing-masing mengikut kelas. Abang dihadapan sekali. Mungkin kerana namanya bermula dari huruf A. Aku turut serta kedepan menanti dalam debaran. Cikgu kelas tersenyum sewaktu memberikan abang kertas keputusan PMR. Cikgu mengucapkan tahniah. Mata aku terbeliak melihat tulisan-tulisan halus yang payah aku nak baca. Abang mendapat 6A didalam kesemua matapelajaran teras manakala B didalam 2 matapelajaran yang tertera dikertas. Aku mengucap panjang. Bersyukur. Aku tahu abang telah belajar bersungguh-sungguh walaupun sibuk dengan latihan dan perlawanan bolasepak yang hanya berakhir 2 bulan sebelum peperiksaan....Alhamdulillah. Kami berpelukan dan aku mengucapkan tahniah kepada abang. Abang tersenyum panjang. Puas! Lega! Bercampur-baur..

Anak dan pak

Ada yang meraikan kejayaan tetapi ada juga yang nampak kecewa dengan keputusan yang mereka dapat. Itu lumrah. Setiap tahun dan setiap zaman perkara sama akan berulang-ulang. Aku juga tak terkecuali. Sewaktu disekolah rendah keputusan peperiksaan aku sangatlah baik. Didalam kelas sentiasa berada didalam lingkungan 3 teratas. Melangkah ke sekolah menengah, aku mula lalai dengan lebih banyak bermain daripada mengulangkaji pelajaran. SRP, aku hanya mendapat 15 aggregat. Aggregate yang sangat lemah bagi standard SBP walhal rakan-rakan aku yang lain hampir kesemuanya mendapat aggregate dibawah 10! 2 tahun berselang aku menduduki peperiksaan SPM. Masih lagi ligat bermain bolasepak dan ragbi dan aku mendapat 35 aggregate dan jatuh ke pangkat 3. Berselang lagi 2 tahun aku menduduki peperiksaan STPM pula dan hanya mendapat 2 Prinsipal. Aku kecewa. Tetapi kekecewaan aku telah menzahirkan 'semangat juang' yang tinggi. Malu untuk bersemuka dengan rakan-rakan seusia yang bakal pulang ke tanahair selepas melanjutkan pelajaran ke luar negara! Aku berusaha keras. Siang kerja dan malamnya aku mengambil kelas tambahan. Aku berjaya lulus Bahasa Perancis setelah 2 tahun berhempas pulas di Alliance Francaise. Setiap usaha keras dengan niat yang baik sentiasa dijanjikan dengan ganjaran yang setimpal. Alhamdulillah aku diterima masuk ke ITM dan seterusnya melanjutkan pelajaran di luar negara....

Dunia pekerjaan pula tidak menjanjikan bulan dan bintang jika kita tidak berusaha bersungguh-sungguh. Ada yang mempunyai kelulusan yang hebat tetapi tidak berpuas hati dengan apa yang mereka lakukan. Alhamdulillah, bidang perhotelan mengalir pekat didalam darah aku. Dulu, kini dan selamanya....Apa yang aku cuba sampaikan disini ialah, keputusan peperiksaan disekolah tidak menjanjikan masa depan yang gemilang. Keputusan yang baik hanya menjadi landasan untuk mempercepatkan proses mengejar apa yang kita mahu. Samada kita akan berjaya ataupun tidak, itu perkara yang kita sendiri tak dapat tentukan. Nah, kepada anak-anak yang tidak mendapat keputusan yang cemerlang didalam peperiksaan UPSR dan PMR, jangan berterusan kecewa. Perasaan kecewa itu harus ditukarkan dengan semangat juang untuk bersaing kembali dengan rakan-rakan yang lain. Percayalah....jika ada  dua calon yang aku temubual untuk mendapatkan hanya satu jawatan di hotel aku akan memilih seseorang yang mempunyai semangat juang tinggi daripada seseorang yang hanya mempunyai kelulusan yang tinggi! (pendapat ini hanyalah pendapat persendirian dan tidak mewakili syarikat-syarikat yang pernah aku bertugas!)

Pak dan anak

Aku akan sentiasa memberikan pelajaran yang terbaik untuk anak-anak aku walaupun aku sendiri tidak mempunyai sebarang simpanan dan walaupun aku hanya bermotor cabuk. Aku tidak mampu memberikan kemewahan wang ringgit sewenang-wenangnya kerana bagi aku ini akan melalaikan mereka. Cukuplah dengan pendidikan dunia serta akhirat yang maksima. Aku mahu anak-anak aku sedar bahawa rewards dari segi wang ringgit akan datang secara semulajadi dengan kerja keras dan usaha yang berterusan tanpa mengenal jemu. Have a nice weekend people!

Sabtu, Disember 14, 2013

Homestay

'Tanpa tujuan'

Aku bersyukur kehadrat Ilahi kerana diberikan kesihatan yang baik buat masa ini. Dalam tempoh seminggu setengah ini telah 4 projek homestay yang berjaya aku lawati. Kesemuanya mempunyai kelebihan tersendiri. Unik dalam erti kata sebenar. Walaubagaimanapun, ada beberapa perkara yang harus di baik pulih secepat mungkin selaras dengan kedatangan Tahun Melawat Malaysia yang akan menjengah kita beberapa hari sahaja lagi! Sempatkah mereka? Sempat atau tidak, kerja aku harus dibereskan sebaik mungkin. Aku bukan bercuti. Aku bukan berlibur bersama keluarga tetapi menjalankan satu tanggungjawab serta amanah yang diberikan kepada aku oleh sebuah agensi. Syukur dan terimakasih juga harus aku ucapkan kepada majikan aku yang memberi kebenaran kepada aku selama 2 minggu untuk turun ke padang, merasai dan mengalami sendiri pengalaman kehidupan homestay di Malaysia.

'Dipersimpangan jalan'

Homestay pertama yang aku lawati ialah Kampung Pachitan di PD. Tak jauh. Cuma dalam 30 minit memandu dari Litar Sepang! Aku tak pernah tahu pun ada homestay kat situ..Kebudayaan Jawa sangat tebal disana. Keramahan dan besar hatinya tuan rumah memang tak dapat digambarkan. Tak cukup syarat jika aku tak makan dirumah mereka walaupun aku tahu mereka sangat sibuk. Dalam masa 30 minit makcik dah siapkan makan tengahari berupa telur dadar, asam pedas ikan selar kuning dan ulam-ulam. Aku tak mampu mengelak. Dimakan dengan nasi panas dan cuaca kebetulan pulak dingin membuatkan aku tak malu untuk menambah nasi walaupun hati, perasaan dan fikiran aku berkata tidak, tangan aku begitu panjang mencapai nasi tambah...akhirnya, bila aku balik ke rumah dan timbang berat, masyallah.....memang kampung Pachitan punya salah! Hahahahaha


Damai..

Selang 2 hari, aku berkereta ke Kampung Lonek di Jempol pulak. Juga pengalaman yang tak dapat dilupakan kerana musim buah-buahan memang tengah menjadi. Pokok rambutan yang beratus-ratus jumlahnya sedang sarat dengan rambutan masak ranum. Buah durian boleh dicapai dengan tangan. Manakala manggis bertaburan diatas tanah kerana tuanpunya tak menang tangan nak mengutip dan menjual di pasar ataupun ditepi jalan menuju ke Bahau. Kawasan rumah dijaga rapi dan kata salah seorang tuan rumah disitu, kampung mereka juga sering dijadikan tempat penggambaran filem dan terbaru, rumah seperti yang tertera diatas dijadikan prop untuk salah sebuah cerita seram! Aku pun tiba-tiba jadi seram! Hahahahahaha....

Sekali lagi keramahan tuan rumah menjadikan aku terlupa dunia sebentar. Aku lupa yang aku tak boleh tengok makanan. Aku lupa yang aku tidak ke gym pada hari itu. Tiba-tiba aku menjadi ghairah dan sangat berselera apabila dihidangkan dengan daging salai masak lemak. Disudahi makan tengahari itu dengan rambutan yang baru dipetik sebagai pencuci mulut! Alhamdulillah...

Cantik..

Daging salai

Kampung ke 3 yang aku lawati ialah Kampung Kuala Medang di Kuala lipis, Pahang. Sangat kampung bilamana sesampainya aku kesana, aku dijemput menghadiri jamuan kenduri tahlil dan khatam Quran yang kebetulan berlangsung sewaktu aku tiba disana. Perjalanan dari Kuala Lumpur selama 2 jam membuatkan aku tak menoleh ke kiri dan kanan apabila menjamah hidangan ubi kayu cicah tempoyak! Masyarakat setempat yang berjumlah hampir 200 orang adalah hanya merupakan sebahagian daripada ahli keluarga tuan rumah. Itu katanya belum dijemput orang kampung lagi. Semuanya berjalan secara gotong-royong. Dari memasak, menghidang sampailah membasuh. Semuanya dilakukan oleh adik-beradik yang hadir. Suasana sangat harmoni dengan hilai tawa para tetamu. Aku perlu cepat bangun...jika tidak aku tak akan dapat berhenti makan!

Pusat ICT kampung

Kampung Lonek juga menyediakan pusat ICT kepada anak-anak kampung dan sewaktu aku melawat, memang ramai anak-anak disitu. Penuh semua komputer....main GAME! hahhahahaha...I don't blame them!


 Menggairahkan...

Beratus-ratus pokok rambutan dengan buah yang masak ranum melambai-lambai tetamu. Aku cadangkan agar dibina pondok-pondok kecil diatas pokok rambutan sebagai tarikan para pelancung. Aku juga cadangkan agar pelancung dikenakan bayaran minima sebagai contohnya RM5 seorang, diberikan bakul, petik dan makanlah sebanyak mungkin tapi tak boleh dibawa balik. Kalau di luar negara, begitulah cara mereka....

Seksi..

Aku geram sangat-sangat bilamana durian boleh dicapai dengan tangan. Aku tak tahu species apa durian ni semua tapi nampaknya sangat jinak dan bergayut-gayut panggil aku....cepat-cepat aku berjalan keluar sebab aku tahu dan dapat rasa yang seluar aku bertambah ketat sejak 2 minggu aku melawat homestay-homestay ni semua! Parah!
 
Semalam barulah aku selesai menjelajah 4 homestay di seluruh negara. Yang terakhir ialah Kampung Ulu Legong di daerah Baling di Kedah. Aku berharap agar cadangan-cadangan untuk penambahbaikan homestay di negara kita yang aku usulkan diterima pakai oleh pihak Kementerian dan pengusaha-pengusaha di negara ini. InsyAllah. Aku cuma mencadangkan hasil daripada pengamatan aku dan pengalaman aku melihat dan merasai homestay-homestay di negara ini dan negara-negara lain. Terimakasih tidak terhingga aku ucapkan kepada kesemua makcik-makcik dan pakcik-pakcik yang melayan aku selama 2 minggu ni. Have a great weekend people!