Sabtu, Ogos 30, 2014

3 Is Enough!


Hampir 2 minggu aku tak berkesempatan mencuri waktu untuk memuat naikkan entry yang baru. Tiba-tiba menjadi sibuk tak tentu hala. Minggu depan, anak-anak akan menduduki peperiksaan. Ada antaranya sibuk berlatih untuk perarakan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka dan ada yang sibuk menyanyi disekolah bagi pertandingan lagu-lagu patriotik yang telah berlangsung semalam. Untuk lagu-lagu patriotik, Marina dengan bangganya bagitahu aku yang kelas dia dapat nombor 8. Aku tanya, berapa kelas yang bertanding? Dia jawab 8!!!!! Homework kemana, revision kemana....Marina dah menguap sakan bila aku suruh dia baca buku pukul 8 malam disebelah aku....tapi bila waktu mengulangkaji pelajaran dah habis, cepat-cepat dia mintak permission nak guna i-pod Yuya nak tengok program kanak-kanak di youtube. Itu yang buat Yuya marah setiap kali dia balik di hujung minggu sebab banyak games kanak-kanak perempuan yang di download Marina! Yuya 'hangin' satu badan...Tapi angin Yuya tak lama sebab Marina akan datang 'mengendeng' lagi. Akhir sekali kedua-dua depa akan bergelak sakan...
 
 
 
 
Minggu lepas sewaktu Marina balik dari sekolah, tiba-tiba dia datang duduk sebelah aku. Aku hairan sebab selalunya bila balik sekolah, dia akan lari bermain kat depan dengan kawan-kawan sebaya. Tapi kali ini tidak. Aku suruh mandi dan tukar baju, dia mandi dan tukar baju. Aku ajak makan malam sama-sama (btw, waktu makan malam kami ialah pada pukul 7), dia duduk sebelah aku dan makan malam sama-sama. Aku angkat pinggan pergi ke dapur lepas makan, dia pun angkat pinggan pergi ke dapur lepas makan. Ehh, lain macam nih...aku buat-buat tak tahu sambil menonton berita di tv3. Marina datang duduk disebelah aku sambil bertanya, "Papa...malam ni tak baca buku boleh tak? Homework dah habis kat sekolah tadi...". Aku tanya kenapa tak nak baca buku? Dia kata dia nak ajak aku ke pasar malam nak cari doll ELSA dari cerita Frozen. Marina merengek....aku cair.....Aku bawak Marina naik moto ke pasar malam. 8 kali aku pergi-balik...pergi-balik di pasar malam mencari tapi tak jumpa jugak....sampaikan kakak "Bakso Goyang Lidah" pon heran tengok aku! Aku tahu Marina sedih. Aku ajak dia ke Spectrum. Dia senyum. Aku pecut ke Bandar Baru Ampang pulak. Naik sampai ke tingkat atas tapi masih tak jumpa. Ada...tapi itu bukan yang Marina mahu.
Muka Marina nampak kecewa. Aku jadi sayu....aku cakap, elok kita ke pasar malam yang satu lagi di kawasan tu jugak. Marina senyum. Aku ke pasar malam di BBA tapi malam tu tak ada pulak pasar malam! Marina kecewa lagi. Aku cuit pipi dia dan cakap, "let's go to ampang point'. Marina senyum panjang. Sampai saja di AP, kami terus ke tingkat atas yang ada banyak kiosk menjual barang-barang termasuklah mainan kanak-kanak. Ada....30 minit Marina tenggelam punca tak tahu mana nak pilih. Last sekali dengan agak sedih sebab Elsa tak ada, Marina ambil Anna. Salesgirl tu cakap RM48...makkk aiii...mahalnya! Lepas tawar-menawar harga turun menjadi RM40. Aku cakap yang RM40 tu masih mahal. Mata Marina berair. Aku sedih. Diseluknya tangan kanan kedalam poket seluar dan dikeluarkan segumpal duit-duit kertas. Duit balance raya dan juga duit sekolah yang disimpan berminggu-mingu lamanya. Ada RM45.70 dan Marina bayar sendiri. Dalam mengatur tapak kembali ke moto yang aku letakkan di depan Starbucks, aku sekali lagi menjadi sayu. Dalam perjalanan pulang ke rumah, aku ajak Marina minum dulu di kedai mamak yang baru dibuka ditepi kawasan rumah aku. Anna dibukanya dari kotak dan diletakkan di kerusi sebelah kerusinya. Marina happy dapat beli Anna dengan duitnya sendiri....sambil menyedut tey, timbul sedikit rasa bangga di hati aku....pandai dia simpan duit....semoga habit sebegitu akan terikut sampai ke dewasa nanti!
 
 
 
Malam tadi aku ajak Yuya dan Marina pergi minum. Kami cuma berjalan kaki sebab kononnya aku nak bakar calories...jaraknya cuma beberapa meter dari rumah. Sebelum sampai ke kedai, Yuya bagitahu yang seliparnya di asrama dah hilang...Kami melencong ke Speedmart. Marina pilihkan untuk Yuya. Aku senyum dan bayar, RM9.50! Marina pegang tangan aku sambil melintas jalan. Yuya dan Marina memesan minuman yang sama, sirap laichi. Duduk 20 minit selepas itu, aku mendapat panggilan daripada Azumi yang bertanya kami dimana? Aku bagitahu tetapi Azumi yang baru sampai dirumah terlalu letih untuk keluar sekali lagi ke kedai mamak. Dia cuma pesan, "sirap laichi!" Aikk....Azumi pun minum yang sama? Sekali lagi aku tersenyum....3-3 orang anak-anak aku minum minuman yang sama. Dan mungkin mereka tak mengetahui diantara satu sama lain. Cuma naluri kekeluargaan yang membuatkan mereka memesan air minuman yang sama....aku teringatkan uri mereka bertiga yang arwah mama tanam disebelah dinding rumah dihujung kepala aku....
 
Anak-anak semakin membesar. Perbelanjaan mereka juga tak pernah berkurang. Aku bercerita dengan seorang rakan yang pakar didalam pengurusan kewangan. Bercerita perihal anak-anak yang akan mula habis sekolah dan seterusnya ke peringkat Universiti dan seterusnya perbelanjaan untuk aku menghabiskan sisa-sisa tua sambil melayan cucu, insyAllah dan err....sedikit diperlukan untuk melancong! Aku bertanya berapakan jumlah wang yang aku perlukan untuk mereka bertiga dan setelah bersara nanti berapakah wang yang aku perlukan untuk menguruskan diri kami. Beliau menghitung dan mencongak. Kerut didahi beliau amat ketara. Terkumat-kamit mulutnya seperti membaca doa makan. Aku menunggu dengan penuh sabar....setelah lebih kurang 8-9 minit beliau mengira, beliau berpaling kearah aku...ditenungnya mata aku dengan tajam. Aku gelisah...beliau mula membuka mulut.....akhirnya terpacul, "Shahrir....dalam RM3 juta!!!!" Gaaaanngggggg........aku tampar dahi........

Rabu, Ogos 20, 2014

Bangkok Trip

 


Dari kiri, Elaine (Hong Kong), John (Korea), aku (M'sia) dan Yuya Egawa (Japan)
 
Dah lama aku tak naik kapalterbang. Kali ini aku nekad walaupun ada beberapa kejadian yang tak sepatutnya berlaku telah menghiasi dada-dada akhbar kebelakangan ini. Risau, cuak, bimbang, semuanya bersarang difikiran. 2 jam perjalanan insyAllah akan berjaya aku lalui. Kali pertama ke KLIA2 membuatkan aku teruja. Bangun awal dipaginya dan membuat panggilan talipon untuk mendapatkan teksi amatlah mengecewakan. Rancangan aku nak ke KL Sentral dan menaiki ERL ke KLIA2 tetapi semuanya tidak menjadi gara-gara tidak ada teksi yang mahu ke KL Sentral. Tetapi beberapa minit kemudian, apabila aku sekali lagi menalipon ke syarikat yang sama dan memberitahu kali ini aku mahu ke KLIA2, sungguh pantas mereka mengirimkan sms beserta nombor pendaftaran teksi! Hmm........
 
Aku sampai awal di KLIA2 dan selalunya begitulah kerana aku tak mahu terburu-buru mendaftar masuk, tergesa-gesa mencari Pintu dan juga boarding. Aku sampai 2 jam lebih awal. Relaks, mengunjungi salah satu cafe yang ada disitu, memesan secawan kopi dan membaca novel yang aku bawa. Bliss...nikmat dunia! Melangkah masuk ke pesawat, para petugas telah bersedia menyambut dengan senyuman yang amat manis dan genuine....kalau tak genuine selalunya kita akan dapat lihat dari senyuman, ekspresi muka dan mata yang mungkin akan melirik ke lain!
 
 
Penerbangan kali ini tepat pada waktunya. Alhamdulillah. Sampai di Don Mueng Airport juga tepat pada waktunya. DMK tidaklah sebesar mana dan tambah lengang kerana kini hanya menjadi lapangan terbang AA dan lain-lain penerbangan tambang murah sahaja. Mudah untuk aku selesaikan urusan imigrasi. Dalam masa 30 minit aku telahpun berada diluar lapangan terbang. Mencari teksi bukanlah payah. Menuju ke hotel pula hanya mengambil masa perjalanan 25 minit . Sesampainya aku dihotel aku mendapat message yang rakan-rakan aku telahpun berada di Bangkok tetapi menginap di hotel berlainan. Aku tidak berhajat bertemu mereka lagi. Petang dan malamnya aku "free" dan kesempatan ini aku gunakan sebaik mungkin untuk mencari lokasi baik untuk aku tuju. Terutamanya untuk membeli belah buat keluarga. Tidak banyak yang aku beli kerana akupun bukannya seorang yang pandai membeli cenderahati. Kalau tak dipesan, memang sah aku takkan beli! Cuma tee shirts untuk keluarga dirumah dan sabun mandi manggis yang dipesan aunty. Itu sahaja. Selepas pulang ke hotel, baru aku sedar yang aku tak beli tee shirt untuk diri sendiri. Hahahahaha.....
 
Hari Jumaat selepas sarapan, aku menjadi kelam-kabut kerana internet tidak ada di hotel. Bagaimana aku nak access email dan lain-lain? Aku meminta tolong kepada receptionist yang ada dan hanya dibenarkan menggunakan pc kepunyaan pejabat selama beberapa minit sahaja untuk menyemak dan membalas email yang aku terima berkenaan kerja. Fikiran aku pulak yang semak. 20 tahun dulu sewaktu kemudahan internet tidak ada, aku tak pernahnya risau memikirkan hal-hal berkenaan membalas email, membaca serta membalas whatsapp dan lain-lain lagi tapi kini bila internet tidak berfungsi, semuanya menjadi kelam-kabut! Punggahhh....(mengikut kata-kata arwah pelawak Maidin).
 
Sebelah malamnya sewaktu kami berkumpul disebuah restoran ditengah kota Bangkok, banyak perkara yang kami bincangkan. 20 tahun bukanlah satu jangka waktu yang singkat. Kebanyakkannya telahpun berkahwin dan mempunyai anak-anak yang kini sedang bersekolah. Jon datang dari California, Fon dari Germany, Janssen dari Singapura, Elaine dan Hazel dari Hong Kong, Yuya Egawa dari Jepun manakala John dan Carla dari Korea. Yang lain-lainnya adalah alumni dari Thailand sendiri. Banyak yang kami ceritakan. Seperti kebiasaannya banyak gambar yang kami ambil. Pertemuan selama 3 jam beserta makan malam makanan tradisional Thailand amat menyelerakan. Selesai majlis makan malam dan ucapan Yuya mengusulkan agar kami terus menuju ke salah sebuah bar yang hebat katanya di Bangkok. Aku memohon maaf kepada Yuya dan meminta diri untuk pulang dengan alasan baru sampai walaupun penerbangan hanyalah 2 jam sahaja! Aku letih dan perlukan rehat yang cukup. Sebenarnya aku kurang selesa dengan muzik yang bingit dan suasana bar yang penuh dengan minuman keras. Biarlah mereka berhibur. Hiburan untuk aku ialah membeli-belah untuk keluarga, melawat sahabat yang lama tak aku temui, berkunjung ke cafe dan membaca novel, berehat sebaik-baiknya dan juga sekali-sekala pergi berurut yang ternyata masih murah kalau nak dibandingkan dengan di KL. 2 jam oil massage hanyalah berharga tak sampai RM80. Jika di Thai Odyssey sejam sudah mencapai RM90! Makanya aku lebih senang ke Brickfields sahaja. Sekembalinya aku ke hotel, aku hairan kenapa mata aku terlalu berat rasanya walaupun jam baru menunjukkan pukul 12 malam. Aku terlupa waktu Thailand ialah sejam dibelakang kita. Maksudnya waktu itu sebenarnya pukul 1 pagi. Sama dengan waktu aku masuk tidur di KL. Patutlah ngantuk sangat!
 
Senang nak "cam" kat mana aku! Hahahahaha...
 
Hari Sabtu selepas bersarapan, sekali lagi aku menyusuri Jalan Petchaburi menuju ke tengah kota. Singgah sebentar dibeberapa buah lorong untuk meninjau gerai-gerai kecil serta kereta sorong yang menjual makanan. Sangat menarik...aku teringin mencuba tetapi membatalkan hasrat kerana baru sahaja selesai bersarapan. Malam nanti ada satu lagi majlis makan malam. Kali ini akan dihadiri oleh beberapa orang lagi teman yang baru sampai dari Hong Kong. Memasuki sebuah bangunan disebelah kanan, aku terus naik ke tingkat 5. Menyatakan hasrat aku untuk berurut kepada receptionist yang sedia menunggu, aku dibawa ke sebuah bilik diantara berbelas-belas bilik yang ada. Kali ini aku meminta "oil massage" selama 2 jam. Berbaring dikatil tinggi, menukar kepada pakaian yang disediakan, aku mula dikerjakan. Hasrat untuk melelapkan mata terpaksa aku batalkan kerana setiap kali nak terpejam, setiap kali itulah aku "disesah" oleh tukang urut tadi! Selesai berurut, aku keluar dan rupa-rupanya hujan di kota Bangkok. Susah pulak nak dapat teksi manakala tuk-tuk berharga 2 kali ganda. Hanya berpandukan kepada nama jalan, aku memberanikan diri mengatur tapak berjalan terus hingga aku terlihat beberapa bangunan yang aku rasa familiar setiap kali lalu disitu. Setelah setengah jam dan aku pun berpeluh sakan, aku sampai di hotel penginapan dan bersiap untuk makan malam di Chesa Suisse Restaurant di Sukhumvit Soi 20 malam nanti.
 
Aku keluar awal dari hotel. Jam 5.30 aku dah menaiki teksi menuju ke Sukhumvit yang kalau tidak sesak, cuma mengambil masa 10-15 minit untuk sampai. Tapi masyAllah, orang punyalah ramai...kenderaan punyalah banyak dan jalan pulak punyalah sempit! Tepat pukul 7 malam baru aku sampai di Chesa! Pergh...memang SEKSA! Makan malam berlangsung dengan meriah. Makanan utama sudah pastilah raclette dan fondue yang berasaskan cheese. Itulah makanan kami disekolah dulu apabila ada acara "compulsory lunch/dinner" sebulan sekali dulu. Sangat nostalgia. Bergenang kelopak mata kawan-kawan aku bila mengenangkan 20 tahun dahulu kami pernah belajar disekolah yang sama serta makan makanan yang sama! Berfoto, bergelak ketawa dan ada rakan aku dari China yang membawa anak dan isteri sekali ke majlis berkenaan. Kami menjadi seperti sebuah keluarga besar yang terputus hubungan sebentar. Sedar tak sedar jam dah menunjukkan hampir pukul 12 tengah malam dan restaurant telahpun lengang. Yang tinggal hanyalah kami didalam 'private room'. Yuya mengusulkan agar malam itu disambung disebuah bar Jepun yang sering dikunjunginya hampir saban malam. Sekali lagi aku memberi alasan bahawa keesokkannya aku ada early flight dan harus keluar dari hotel pada pukul 5 pagi! Mereka akur dengan alasan aku. Setelah bersalam dan berfoto untuk entah kali ke berapa, aku menahan teksi untuk pulang ke hotel. Kali ini hanyalah mengambil masa selama 15 minit!
 
 
Hmmm, aku tak ambil pesawat ini..."berdiri bulu roma ku"
 
Aku memanggil teksi pada pukul 5.45 pagi. Berat nak pulang ke KL meninggalkan rakan-rakan yang aku kenal, makan serta belajar bersama selama beberapa tahun dulu....tetapi sebelum pulang dari makan malam malam sebelumnya, kami sudahpun berjanji yang ini akan menjadi acara tahunan kami dan 2015 bakal berlangsung sekali lagi di Bangkok sebelum ianya berubah kebeberapa negara Asia yang lain. Aku cadangkan 2016 nanti diadakan di Bali. Jika di Bali aku pasti ramai yang akan kesana dan ini juga boleh dijadikan acara keluarga. Waktunya masih tetap di bulan Ogos setiap tahun....kepada rakan-rakan aku yang sempat aku temui di Bangkok dan kepada rakan-rakan lain yang bercadang untuk sama-sama berada di Bangkok pada tahun 2015 nanti, aku nak mengucapkan agar semuanya berjaya didalam kerjaya masing-masing, "Till We Meet Again......." dan sama-samalah kita hayati kata-kata hikmat Cesar Ritz yakni, "Spirits of Excellence". Ok people...jumpa lagi nanti....enjoy the last few days of Syawal...jangan makan banyak sangat...jaga kesihatan dan ceria selalu!
 
 
 
 

Nak pesan sikit...

it's a long road... Assalamualaikum aku ucapkan kepada adik-adik yang membaca tulisan-tulisan aku dan juga kepada kakak-kakak dan a...