Khamis, September 24, 2015

Moto, Raya dan Talipon

Puas hati..

Moto

Dah hampir 10 tahun aku pakai moto ni. Kalaulah ditakdirkan aku tak ada moto, maka payahlah untuk aku bergerak kesana-sini. Nak ke tempat kerja payah, nak ke pasar Ampang payah, nak menghantar anak-anak ke sekolah dan menjemput mereka juga akan menjadi terlalu sukar bagi aku. Mula menunggang motosikal sejak aku bermula kerja di PJ Hilton sekitar tahun 1988 dulu.  Dari situ, motosikal dan aku dah tak boleh dipisahkan lagi. Dalam dok bekerja dan menunggang moto ke PJ Hilton, hati aku selalu risau. Parking dibawah jambatan depan hotel sangat bahaya. Lampu selalu rosak dan beberapa rakan aku kehilangan moto. Walaupun aku hanya menunggang moto Cub C70, tapi 2-3 ribu hasil simpanan aku bekerja sebagai waiter di Paya Serai amat bernilai. Lebih daripada bayar moto aku asingkan sikit lagi untuk membeli rumah di Sri Damansara yang waktu itu baru dibuka fasa pertama. Jadi, sewaktu aku berumur sekitar 22-23 tahun, aku sudahpun memiliki rumah sendiri walaupun hanya rumah teres setingkat. Aku kerja bersungguh-sungguh. Masa free aku cuma untuk bekerja dan bekerja. Mengumpul wang sebanyak mungkin untuk membayar rumah dan moto!

Setelah beberapa tahun aku diluar negara, aku pulang ke sini untuk mula bekerja. Sampai saja ke tanahair, aku terus mencari moto. Moto ke dua aku guna hampir 10 tahun. Begitu juga dengan moto yang aku pakai sekarang ni. Tahun depan genap 10 tahun dan aku akan mula menggagau cari moto baru. Tak berani aku pakai lebih dari 10 tahun. Cub pon cub lah..aku peduli apa....sebagai contohnya semalam. Tukar minyak hitam sebulan sekali RM17. Masa tu dia check sekali tayar aku, brek aku, letakkan minyak pelincir supaya pergerakan lancar. Yang tu Ah Chong dan Ken anaknya tak charge aku apa-apa....Dulu bakul moto aku nak tercabut sebab aku usung beras 10 kilo dan letak dalam bakul. Ah Chong ambik moto aku dan dibawaknya ke kedai besi. Di weldingnya bakul moto aku ke badan (leher) moto. Dia charge aku RM18 (kalau tak salah..). Ada sekali tu brek di tangan aku dah longgar. Bila ditarik, dia terasa kosong...loose...susah hati aku nak balik dari Bangsar ke Ampang sebab brek satu lagi pun agar longgar. Aku bawak moto berhati-hati dan terus cari Ah Chong dan Ken. Ah Chong sibuk main "dam aji" kat kedai nama 'Anak Mami' disebelahnya jadi, Ken lah saja yang melayan aku. Dia test moto aku. 2-3 round dia bawak. Last-last dia cakap, "Bang, minyak brek dah habis lah..." Lepas diisi, aku tanya, "Berapa Ken?" dia jawab, "RM2 je bang!" Hahahahahaha....Aku ni bab nak cuci moto agak malas sikit. Jadi sekali sekala bila aku pergi minum di gerai belakang kedai BONCAFE, aku selitkan sekali moto aku untuk budak-budak tu cucikan. Cuci moto RM5. Lepas cuci aku rasa macam naik moto baru walaupun moto aku dah berusia 9 tahun! Hahahahahaha.....

Raya

Seronok Raya ni. Salah satu sebabnya ialah cuti walaupun kepala otak asyik teringatkan tempat kerja. Hiiissshhhh.....Makanan dah macam kenuri kawen. Nasi minyak atau tomato atau beriani mesti ada..then kurma, masak merah, acar dll. Tak macam kenuri kawen ka tu? Tak pa...hari ni "cheat day" aku. Esok boleh kontrol balik. Tapi itulah yang aku dok kata sejak Raya Aidil Fitri tempohari...sungguh mengerikan! Raya korban ni aku tak sampai hati nak tengok binatang yang nak kena korban. Jadi sebelum aku jatuh menggelongsor tepi pokok jambu, baik aku tak tengok langsung! Nanti malu kat orang! Kejap lagi aku nak pergi ke rumah kakak aku di SJ. Then abang aku yang satu lagi pon akan berombongan ke sana. So di hari Raya Korban ni, kami akan duduk berkorban apa saja sambil bersembang adik beradik...Petangnya Marina ada birthday bash yang harus dikunjungi. Then aku kena pergi ke kedai talipon sekejap. Malam pulak aku nak bawak siapa-siapa yang nak ikut aku untuk menonton cerita "Maze Runner". Wah...busy giler! Hahahahahahaha.....

Talipon

Aku merupakan orang yang agak lambat menggunakan talipon bimbit. GM aku waktu itu (sekarang ni pun dia masih lagi di RKL - Robert Frager) sering bertanya kepada aku bila aku nak pakai mobile phone kerana katanya susah orang nak cari aku. Aku senyum dan bagitahu pada dia yang aku pakai "pager"....dia geleng kepala! Aku sambung cakap, sepanjang hari aku ada kat hotel. Tak susah nak cari aku....kalau aku tak ada kat hotel, aku ada kat rumah. Nombor talipon rumah aku pun operator ada....so, tak payah mana pun! Then satu hari entah mungkin sebab terpaksa, aku beli jugak satu talipon NORKIAH. Lama aku pakai talipon tu sampailah aku ke Mekah...walaupun aku diberikan talipon lain oleh pihak hotel, aku tetap menggunakan NORKIAH lama aku sebab terlalu biasa. Tutup mata pun aku masih boleh menaip sebab punat-punatnya timbul! Hahahahaha....

Oleh kerana aku sering juga menghadiri mesyuarat dan seringkali juga yang berprofail tinggi, aku perasan yang semua mata akan tertumpu ke talipon aku setiap kali talipon diletakkan diatas meja. Mulanya aku tak perasan...then aku tanya rakan aku kenapa orang asyik pandang aku? Katanya sebab aku pakai talipon "punat!" Hahhahahahahaha....yang tu aku masih tak peduli. Tapi bila duit aku banyak habis ke sms, aku jadi letih! Kadang-kadang melebihi harga minyak motor yang aku isi 2 hari sekali tu! Talipon punat aku tak ada whatsapp...ahh...parah ni! Aku congak-congak, mak aii...sebulan RM300 aku guna untuk sms! Setahun RM3600! Kalau sepuluh tahun? Kalu dua puluh tahun? Kalau tiga puluh tahun? Tak boleh jadi ni....pelan-pelan aku congak duit belen-belen untuk dapatkan talipon bimbit baru. Abang dan Yuya ke KLCC dan guna duit yang aku kirimkan untuk beli talipon. Anak-anak yang pilih. Sebab kalau aku pilih, aku bukannya reti pon...hahahahahaha....Sekarang dah seminggu talipon aku buat hal. Setiap kali aku balas whatsapp, setiap kali aku habis bercakap, setiap kali aku dengar lagu Bruno Mars, talipon aku akan "jem" dan setiap kali itulah aku kena matikan, mulakan balik. Ini buat aku panas hati! Jadi di Hari Raya Korban ni, aku kena cari talipon baru.......Selamat Berkorban!

Ahad, September 13, 2015

Sedih

Foto dari bilik aku di tingkat 8

Hati aku sedih sangat bila mengetahui akan kejadian yang berlaku di Mekah. MasyAllah.....aku boleh bayangkan keadaan tersebut. Seperti aku juga berada disana walaupun hakikatnya aku telahpun meninggalkan Mekah hampir 6 tahun lalu setelah beberapa tahun bertugas disana. Tak dapat aku bayangkan keadaan runtuhan yang menimpa jemaah tatkala masyarakat seluruh dunia yang berada disana sedang menantikan masuknya waktu wukuf. Persekitaran pasti sesak dengan jutaan manusia. Keadaan pasti tak terkawal dengan jemaah bersesak-sesak ingin menyelamatkan diri. Paramedik sudah tentu bertungkus-lumus cuba menyelamatkan seberapa ramai jemaah yang ada. MasyAllah..Jika ditinjau daripada tingkap bilik aku dulu, pasti kelihatan kawasan sa'ie. Jarak aku ke masjidil haram sangatlah dekat. Hanya beberapa meter sudah pun sampai. Bila azan berkumandang, aku masih sempat mengambil wuduk di bilik, turun lift, jalan perlahan ke masjid, sembahyang sunat 2 rakaat, barulah sembahyang jemaah bermula. Itu aku nak cuba menceritakan betapa dekatnya Al Safwah Hotel dengan tempat tumpuan masyarakat Islam dunia!

Aku pasti, sewaktu kejadian, para pekerja hotel semua pasti tergamam dan terperanjat. Aku pasti yang mereka juga berpusu-pusu masuk ke dalam kawasan masjid dengan niat untuk membantu. Itu aku pasti. Aku kenal sangat bekas-bekas pekerja aku. Bila sesuatu dugaan melanda, mereka akan segera membantu. Setakat aku demam pun makan-minum aku dijaga rapi oleh mereka apatah lagi jika kejadian ini berlaku. Ini merupakan satu dugaan yang amat besar kepada para jemaah apalagi kepada kerajaan Arab Saudi. Aku bersimpati dan mendoakan agar mereka semua beroleh ganjaran yang besar. Harapan aku agar tidak ada yang mengambil kesempatan diatas kejadian ini dengan menceritakan perkara-perkara yang tidak benar malah khurafat! Janganlah menambahkan keperitan dan kesengsaraan serta kebimbangan kepada waris-waris mangsa....

Kepada yang akan menunaikan haji pada tahun ini, aku mendoakan agar mereka tabah dan kepada yang akan berangkat kesana tak lama lagi, janganlah jadikan peristiwa ini sebagai sesuatu yang bakal mengurangkan amal ibadat kita disana nanti. Dikesempatan ini juga aku ingin mengucapkan selamat menjalankan ibadah haji kepada rakan blog aku yakni Nek Rock (geng ampang) yang kini bermastautin di Amerika dan akan berlepas kesana bila-bila masa sahaja. Nek Rock, be strong, believe in Allah! Begitu juga dengan rakan-rakan batch aku, SDARA 85' yang telahpun berada di Mekah ketika ini. Semoga semuanya dapat menjalankan ibadah dengan selesa dan diberikan ganjaran pahala yang berlipat ganda, insyAllah!



Jumaat, September 04, 2015

Anak-anak

Di Tokyo


SPM bakal menjelang lagi. Azumi kini bakal menduduki peperiksaan yang terbesar sepanjang hidupnya selama 17 tahun. Sungguh cepat masa berlalu. Dari saat beliau dilahirkan hinggalah kini berusia 17 tahun. Yuya 14 tahun dan Marina 9. Difikiran mereka pastilah hanya berkisar kepada rakan-rakan, aktiviti disekolah ataupun asrama dan juga sessi persekolahan. Mungkin ada sedikit mengenai keluarga. Aku juga begitu suatu waktu dulu. Aku sering berpesan kepada anak-anak agar memilih rakan-rakan yang betul. Bukan niat aku untuk mengekang pergaulan mereka. Tidak sama sekali tetapi aku hanya menitipkan pesanan agar mereka berhati-hati. Belajarlah rajin-rajin. Aku tak ada apa yang boleh diberikan kepada mereka kecuali pelajaran. Belajarlah setinggi yang boleh. Aku dulu pernah kecundang dipertengahan jalan tetapi itu tidak mematahkan semangat aku untuk terus berusaha keras. Banyak sangat main menyebabkan tumpuan aku terhadap pelajaran berkurang. Seperti yang aku pernah ceritakan suatu waktu dulu, aku "tersedar" awal. Ramai sebenarnya yang terus hanyut. Sewaktu rakan-rakan mula pulang ke negara dan mencari kerja, aku sedang bertungkus-lumus bekerja siang dan malam sebagai seorang pelayan restaurant semata-mata untuk mencari wang dan juga untuk kembali bersaing dengan rakan-rakan yang lain. Alhamdulillah segala usaha dan penat-lelah aku berhasil. Aku mahu anak-anak aku lihat apa yang telah aku usahakan selama ini. Aku tidak mewah dengan wang serta harta-benda. Tetapi aku dengan bangga mengatakan bahawa aku mewah dengan pengalaman kerja selama lebih dari 25 tahun membuat perkara sama berhubung bidang perhotelan.  Aku mahu anak-anak tahu bukan mudah untuk mendapat sesuatu. Usaha yang berterusan dan juga disiplin amat penting. Selain itu, jangan menipu. Berlaku jujur didalam apa juga yang dilakukan. Jujurlah dengan rakan-rakan pelajar. Jujurlah dengan rakan-rakan sekerja. Jujurlah dengan pasangan masing-masing apabila telah berpasangan. Nescaya akan selamat. Jangan berlaku curang kerana jika tidak, apa saja yang kita lakukan tidak akan menjadi dan tidak mendapat keberkatan!

Yuya kini berada di Perlis. Barmain "paintball" mewakili KL ke peringkat kebangsaan. Yuya terkejut. Aku lagilah terkejut! Aku tak pernah tahu yang paintball juga boleh mewakili negeri untuk ke peringkat lebih tinggi. Aku fikir ia hanya sebagai satu aktiviti lasak team building! Ternyata aku salah! Sorry Yuya! Aku amat berbangga apabila Yuya terpilih. Aku tak menghalang. As long as dia enjoy buat apa yang dia buat, tak menyalahi undang-undang, dan tak mengabaikan tugas-tugas wajib, aku okay saja! Yuya bertolak semalam dengan bas ke Perlis. Lewat petang baru sampai. Malam tadi pastilah horey-horey sakan di sana. Tadi aku contact, katanya ada taklimat. Malam ni baru cabut undi untuk tahu lawan siapa esok! Dengan siapa pun Yuya akan bertemu esok, aku doakan Yuya dan pasukannya beroleh kejayaan. Jika tak berjaya pun, jadikanlah ia sebagai satu pengalaman dan panduan yang berharga. 20 tahun lagi, Yuya pasti akan bercerita mengenai pengalaman bermain paintball di Perlis! Trust me! Papa pun sampai sekarang macam tu!

Minggu lepas Marina balik ke rumah dan menangis. Tersedu-sedu dia menangis. Aku tanya kenapa Marina menangis. Katanya seorang kawan disekolah kebangsaan tak mahu berkawan dengan Marina. Aku panggil dia dan letakkan Marina diatas riba kanan aku. Aku peluk Marina dari belakang. Tangisannya tambah kuat menceritakan apa yang berlaku disekolah. Aku dengar sampai habis. Dia kata ini berlaku secara tiba-tiba didalam kelas. Aku tanya apa yang dia dah lakukan sampai kawannya berbuat sedemikian. Marina sambil teresak-esak menggelengkan kepala sambil memberitahu yang dia sendiri tak tahu kenapa....Aku pegang tangannya dan mula menasihati. Aku tanya kenapa mesti nangis? Marina kata sebab dia sedih. Aku tanya ada tak berlaku pada rakan-rakan lain perkara yang sama? Marina mengangguk dan memberitahu aku bahawa semalam perkara sama berlaku tetapi kepada rakan yang lain. Aku tanya lagi, apakah budak ini mempunyai ramai kawan? Marina menggeleng-gelengkan kepala. Aku tanya apa yang Marina akan buat bila kawan tak mahu berkawan dengannya? Marina memandang aku dan berkata yang dia akan belanja kawannya makan ataupun minum dengan hasrat untuk memenangi hati kawannya semula. Aku senyum dan memberitahu Marina bahawa perbuatannya itu tidak berapa kena. Nilai persahabatan tidak boleh dinilai dengan cara kita belanja untuk memenangi hati kawan. Jika berlaku perkara sama dengan rakan-rakan yang lain, itu bermakna beliaulah masalahnya. Marina hairan kenapa aku berkata begitu. Aku ambil masa yang lama untuk explain dan menyusun ayat paling mudah agar Marina faham. Lepas airmata Marina kering, aku suruh Marina mandi. 20 minit selepas Marina mandi, Marina keluar dengan muka yang seakan-akan tidak ada apa yang berlaku! Dia senyum tengok aku. Sambil datang ke meja makan, Marina berkata, "...dah okay!". Aku tersenyum lebar!