Sabtu, Februari 27, 2016

Marina pulak!

Marina Ayumi

Tak habis nampak gayanya. Dulu dengan Azumi, merata-rata aku mengekor. Kemudian Yuya pun sama walaupun terpaksa membahagikan masa diantara Azumi dan Yuya. Letih memang letih namun end of the day, aku rasa puas. Arwah mama dulu pun akan mengikut aku kemana saja aku pergi bermain bolasepak. 

Sewaktu aku bermain untuk sekolah Iskandar Alor Setar bawah 12 tahun 1980, arwah mama akan sering berada dibelakang gol kerana aku bermain diposisi pertahanan. Aku selalu confuse suara mana yang harus aku dengar. Coach atau arwah mama...Arwah mama kata tendang, aku tendang. Arwah mama kata bentes, aku bentes...Arwah mama kata serang, aku yang main sebagai pertahanan akan overlap menyerang dari sebelah kanan. Arwah mama memang hebat. Lepas game, coach selalu marah aku sebab tak mendengar arahan....Aku jadi confuse sebab aku ingat, arwah Ustad Talib cakap, "jangan melawan cakap ibubapa!"

Marina dan Nadia

Aku menghantar Marina ke sekolah. Bila sampai disekolah, kereta cikgu yang sorang lagi pulak tiba-tiba rosak. Nak tak nak aku terpaksa menjadi "bidan terjun" membawa 6 orang pemain wanita cilik didalam kereta aku. Kami terus memecut ke padang hoki di Bangsar. Masyallah...punyalah panas. Duduk ditempat berbumbung pun panas kerana matahari berada didepan dan bukannya diatas. Takpa, demi anak-anak, aku sanggup berpanas walaupun aku tahu kulit muka aku akan terbakar. 

Sewaktu aku di Alor Setar dulu pun aku dah kuat bersukan. Apabila aku terpilih mewakili sekolah untuk acara 4x100 meter peringkat daerah kota setar, aku mendapat mandat untuk membaca ikrar kejohanan. Acara diadakan di stadium darulaman. Arwah mama tak bagi aku berlari. Aku tak tahu pasal apa sedangkan bola ok baginya. 

Aku kata aku nak ke sekolah sebab ada kelas tambahan. Arwah mama hantar aku ke sekolah dan apabila sampai, arwah mama terkejut melihat bas dah tunggu, semua dalam pakaian sukan dan kami bawak bendera. Aku berlari terus ke bas yang sedia ada dan kami berangkat ke stadium.

Aku baca ikrar. Bangga sekejap. Apabila acara 4x100 meter nak dimulakan, kami dipanggil dan diberikan taklimat. Sebagai pelari terakhir, aku mula bergerak dalam barisan menuju ke tempat aku. Terkejutnya aku bilamana aku terpandang muka pakcik aku yang sebenarnya merupakan penjaga larian terakhir! Arwah cikgu Ibrahim Ahmad merupakan adik kepada arwah bapak aku, Ali Ahmad. Dia terkejut tengok aku, aku terkejut tengok dia...Oleh kerana aku bertambah takut tengok misai melintang dia, aku berlari dengan sesungguh hati dan kami berjaya mendapat tempat pertama bagi acara tersebut dan seterusnya mewakili daerah untuk ke peringkat negeri! Aku teringat kata-kata arwah Ustad Talib, "berusahalah bersungguh-sungguh hingga berjaya!"

Marina dan rakan-rakan

Marina tak sabar nak ke perlawanan persahabatan yang pertama seumur hidupnya selama 10 tahun ini. Malamnya tidur awal. Aku apikan lagi dengan kata-kata semangat supaya dia bertambah tak sabar...hahahaha...Aku keluarkan tong air, belikan 100 + sebanyak 2 crates dan roti untuk dibawa kepadang keesokan paginya. Marina bertambah excited. Terus dia tidur awal. Aku suka tengok anak-anak excited dengan perlawanan sukan keesokan harinya. Ini banyak mengingatkan aku kepada zaman aku diumur mereka.

Sebelum aku berpindah ke Alor Setar, aku masih bersekolah di Banda Hilir, Melaka. Aku bermain bolasepak didalam posisi pertahanan juga. Ada seorang kakak kantin ni yang selalu bagi aku minum air free dan tidur dibangku kantin disekolah. Dengan kakak ni aku selalu bercerita mengenai kegemaran aku bermain bolasepak. Aku dah lupa namanya tetapi berasal dari Durian Tunggal kalau tak salah aku. Aku buat-buat baik dengan kakak kantin ni dan selalu jugak dapat nasi goreng! Cukup untuk mengalas perut sementara menunggu perlawanan nanti. Aku tak berapa ingat nama rakan-rakan aku waktu itu kecuali 2 orang yakni Israq dan Malek. Kami sering menang perlawanan dan merupakan salah satu pasukan yang kuat pada waktu itu. Hahahahaha....

Marina dan rakan-rakan dan coach

Sebelum perlawanan hoki dimulakan, cikgu jadi pening sebab para pemain tak boleh duduk diam. Ada yang pakai shin pad terbalik, ada yang cari kayu hoki tak jumpa, ada yang tiba-tiba jersey hilang (tertinggal dalam tandas), ada yang pakai stokin sampai ke peha! Aku ketawa gelihati...Aku tengok parents lain semuanya excited. Marina tak ketinggalan dalam kekalutan tersebut. Marina pakai shin pad diatas seluar panjangnya. Nampak pelik. Keadaan bertambah pelik bilamana kawan-kawan Marina ingat itu cara pemakaian yang betul lalu mengikut cara Marina! Hahahahahahaha...

Pada zaman aku dulu, pemakaian shin pad tidak wujud. Mungkin telah ada tetapi aku tak ingat dan tak pernah memakainya hinggalah aku mula bermain bolasepak sewaktu disekolah menengah. Apabila aku bermain untuk pasukan bawah 15 tahun, rata-ratanya pemain tngkatan 3. Aku terpilih walaupun masih di tingkatan 2 mungkin kerana saiz badan aku yang besar waktu itu. Hahahahaha...Pakaian sukan aku lengkap sebelum perlawanan tetapi akan menjadi tak lengkap sebaik sahaja perlawanan akan dimulakan! Kenapa begitu? Oleh kerana aku junior, kelengkapan aku banyak dipinjam mereka....shin pad, boots dan lain-lain. Nak mintak aku takut! Nak tegur, aku tak berani! Akhir sekali aku main jugak tanpa shin pad dan kadang-kadang pakai boots lama. Waktu tu aku sekali lagi teringat kata-kata arwah Ustad Talib, "tunjuklah rasa hormat pada yang lebih tua dari kita...!" Hahahahahahaha....have a pleasant weekend people!

Jumaat, Februari 19, 2016

Rakan Jalanan..


Dah lama aku dengar mengenai pertubuhan ini. Dah lama aku diajak oleh pengasasnya untuk sama-sama mereka membantu Rakan Jalanan. Satu perkataan yang sangat indah bila didengar. "Rakan Jalanan". Ramai yang memanggil mereka "gelandangan ataupun homeless". Tapi bagi aku, "Rakan Jalanan" lebih lembut. Lebih sopan. Lebih mesra! Perkataan rakan itu sendiri memberi impak yang besar. Menunjukkan yang mereka tidak terasing. Memberi isyarat "kebersamaan".

Aku tak mahu membincangkan perihal perkara-perkara negatif di ruangan kecil aku ini. Semuanya terpulang kepada interpretasi masing-masing. Bagi aku, apa niat kita untuk sama-sama berganding bahu membantu? Jika niat kita tulus ikhlas untuk membantu, silakan....anyway, apa yang aku nak ceritakan ni hanyalah sebagai panduan dan juga bolehlah aku anggap sebagai "ajakan" kepada rakan-rakan pembaca lain untuk sama-sama membantu bukan sahaja di Masjid Jamik tetapi boleh juga dilaksanakan dikawasan dimana kita tinggal. 

Pengasasnya ialah Vimmy Yasmin Razak dan suami serta beberapa kenalan rapat mereka yang lain. Bermula daripada bawah. Niat mereka suci. Ingin membantu. Aku kenal VYR ni sejak aku di KSA lagi. Beliau membaca blog aku dan aku juga membaca blog beliau. Apabila aku balik bercuti ada aku berjumpa beliau sekeluarga di AMCORP Mall. 

Tahun lalu aku berjumpa beliau sekali lagi disebuah kedai makan di Pandan dan Ampang. Kami bercerita panjang. VYR ada bercerita mengenai projeknya yang telah berjalan. Waktu itu aku tidak tergerak untuk membantu (jika waktu aku terluang). Penghujung tahun 2015 hati aku terbuka untuk melihat sendiri dan lantas mengambil peluang untuk sama-sama turun padang. Masyallah. Aku terkejut melihatkan bahawa para sukarelawan yang bersama-sama beliau adalah anak-anak muda sekitar awal 20-an! Aku fikirkan mereka pastilah sebaya dan semuda aku tetapi ternyata telahan aku meleset. 

Apa yang mereka lakukan? Setiap hari Ahad sewaktu orang lain sedang nyenyak tidur, mereka telah tercegat di MJ, KL. Apabila van datang untuk menghantar nasi lemak dan minuman, mereka akan bergerak secara automatik menyusun meja-meja untuk digunakan sebagai tempat kerja mereka. Pergerakan mereka amat synchronised....tidak perlu bercakap. Muka anak-anak muda ini penuh dengan semangat bantu membantu. Lincah bekerja dan tahu tugas masing-masing. Jam 4.45 pagi, sumbangan daripada dermawan mula sampai. Ada air kotak, ada biskut, ada kuih, pakaian dan bermacam-macam lagi. Masyallah...aku bersyukur..

Sewaktu kali pertama aku disitu, aku lihat berkotak-kotak ubat gigi dan berus gigi dipekkan dengan rapi. Sebuah meja lagi disorong keluar. Dimeja ini disediakan minuman panas dan sejuk. Ada kopi O, ada teh O dan juga sirap. Minuman yang telah siap berisi disusun cantik diatas meja. Tepat jam 5.30 pagi kesemuanya telah pun tersedia. Rakan Jalanan tadi telah mula masuk ke perkarangan MJ. Ada yang terus mengambil wuduk untuk sama-sama bersolat subuh secara berjemaah. Alhamdulillah.

Masuk waktu solat, kami berjalan masuk ke dalam ruang solat. Selesai solat aku lihat Rakan Jalanan tadi telah ramai beratur untuk mengambil makanan dan minuman yang telah disediakan. Berdisiplin dan tidak banyak bercakap. Seorang demi seorang mengambil pek makanan, mengambil minuman dan duduk disudut MJ sambil menjamu selera. Setelah selesai makan dan minum, mereka mengumpulkan kesemua bekas-bekas makanan dan minuman dan dimasukkan ke dalam tong sampah yang telah disediakan oleh pihak masjid. Semuanya berjalan lancar. 

Sebahagian lagi sukarelawan yang berkereta akan mula beredar meninggalkan perkarangan MJ sekitar jam 6.30 pagi untuk menuju ke destinasi Rakan Jalanan bagi mengagihkan makanan yang telah siap dipekkan tadi. Melihatkan mereka bertugas dengan amat berdisiplin, aku menjadi bangga sendiri. Bangga kerana mereka ini amat prihatin. Bangga kerena mereka ini adalah anak-anak muda yang kebiasaannya mempunyai aktiviti mereka sendiri. Bangga kerana anak-anak muda ini sangat bertanggungjawab.

Sejak dari kali pertama aku berada bersama-sama mereka, kini aku cuba untuk membantu setakat mana yang mampu. Awal pagi Ahad merupakan waktu yang aku tunggu-tunggu. Melaksanakan kewajipan sosial tersebut menginsafkan aku. Membuka mata aku dengan lebih luas. Satu perkara yang paling simple dan tak pernah aku terfikir ialah, itulah kali pertama aku menjejakkan kaki ke MJ dan solat berjemaah walaupun sudah banyak kali lalu-lalang dikawasan berhampiran. 

Banyak nikmat yang aku perolehi disitu. Nikmat bertemu rakan-rakan baru, nikmat melihat dan sama-sama membantu Rakan Jalanan, nikmat bekerjasama dengan adik-adik sukarelawan dan banyak lagi nikmat Allah yang tak pernah aku nikmati selama ini. Banyak yang aku telah dan masih sedang pelajari. Apakah kita tidak merasa syukur dengan apa yang kita ada? Lihatlah sekeliling kita. Tidak semua orang bernasib baik. Kita bernasib baik. Makanya marilah kita sama-sama membantu mereka...


Sabtu, Februari 13, 2016

3 beradik..

Hujung minggu lepas sewaktu anak-anak dah mula cuti sekolah selama seminggu, aku mengambil kesempatan untuk ke KLCC setelah agak lama aku tak kesana. Aku bagitahu Yuya dan Marina. Aku nampak kedua-duanya amat beriya-iya bila diberitahu. Marina cepat bersiap tak seperti kebiasaannya. Yuya juga begitu. Kali ni aku tak perlu menunggu lagi. Ini sudah bagus. Ada perubahan. 

Dalam kereta, Marina dan Yuya tertidur. Dari rumah aku ke KLCC menaiki AKLEH hanya mengambil masa 10 minit dan terus masuk ke kawasan parkir. Sangat mudah.Makanya aku lebih gemar untuk ke KLCC daripada tempat lain. Mencari kedai yang mahu Yuya dan Marina kunjungi tidak ada disitu. Kami harus ke Avenue K yang hanya dipisahkan oleh terowong bawah tanah. Tak perlu naik dan keluar ke jalanraya utama dan melintas. Sangat mudah. 

Dalam melangkah ke H&M, aku terpaku dengan kemerduan suara dan alunan muzik yang dimainkan oleh 3 orang anak muda yang ber"busking" disitu. Aku berikan sedikit wang kepada Marina untuk diletakkan ke dalam tabung topi anak-anak muda tersebut. Penyanyinya mengucapkan terimakasih kepada Marina. Marina senyum. 

Aku tak pernah sampai ke H&M disitu. Setiap kali aku menjejakkan kaki ke H&M aku pasti teringatkan "winter clothes" yang aku sering beli di toko yang sama di Geneva sekitar tahun 90-an dulu. Harganya sangat murah dan kualitinya juga boleh tahan. In fact disini pun harganya masih berbaloi. Manakala designnya juga mengikut 4 musim. Aku sukakan pakaian disitu. Tak perlu yang jenama mahal. Asalkan aku selesa dan puas hati dari segi kualiti dan harga, aku dah ok!

Aku tanya, Yuya nak beli apa, katanya dia mencari jacket kerana sering kesejukan setiap kali menonton wayang. Kami terus ke bahagian lelaki dan mencari jacket. Yuya mencuba beberapa helai tapi ternyata agak besar walaupun bersaiz S. Akhirnya Yuya dapat saiz XS yang dicarinya. Muat dan padan dengan badannya yang lampai. Warna juga sesuai. Kami ke counter untuk membayar. Yuya menyeluk tangan ke poket seluarnya dan mengeluarkan segumpal wang kertas. Jacket bernilai RM79.90 dan Yuya membawa RM80. Yuya tersenyum puas selepas membayar. Aku yang memerhati juga berasa puas.

RM69.90

Marina naik ke tingkat atas. Tingkat yang menjual pakaian kanak-kanak perempuan. Aku lihat dia sedang menggayakan sehelai pullover bertema kucing didepan cermin. Aku yang ada ditepi tersenyum melihat gelagat Marina. Diambilnya satu dan dicuba. Ternyata sesuai. Aku tanya samada Marina nakkan baju tu atau tidak. Marina angguk-anggukkan kepala. Dia kata, "Takpa...Marina bawak duit..". Berjalan ke cashier dan mengeluarkan segumpal wang kertas sama seperti Yuya. Wang Marina berjumlah RM70. Baju bernilai RM69.90 Baki untuk Yuya dan Marina selepas membeli baju masing-masing ialah 10 sen. Ini semua merupakan simpanan duit sekolah yang tidak dibelanjakan selama beberapa bulan. 

Alhamdulillah. Mereka faham dengan konsep berjimat cermat yang aku cuba terapkan. Peratusan nikmat dan kepuasan akan lebih meningkat jika duit yang dibelanjakan itu adalah duit sendiri. Perkara seperti ini aku terapkan sejak mereka kecil lagi. Kepada Azumi juga begitu. Aku pesan yang beliau harus menyimpan sebanyak 20%-25% daripada gaji yang diterima. Aku terkejut apabila diberitahu bahawa bulan pertama termasuk insentif, beliau mendapat hampir RM2,000! Manakala bulan kedua pula berserta insentif, Azumi bakal menerima hampir RM3,000! Sebanyak itu untuk anak yang baru tamat SPM. Yang hanya beberapa hari lalu menyambut ulangtahun yang ke 18 tahun! Aku pasti beliau mampu mendapat lebih banyak lagi jika berdisiplin dan berusaha keras. 

Dome, Pavillion
Keesokan harinya selepas menghantar Azumi pergi kerja kami terus berlegar-legar di Pavillion. Aku jarang datang ke sini kerana pertamanya, tak ada sebab. Keduanya aku malas nak masuk ke kawasan Bukit Bintang yang sesak especially kalau hujan!

Lepas Azumi ke tempat kerjanya, kami pun meronda mencari buku. Lepas penat cari buku, kami gi minum jap di Dome sambil tengok persembahan hebat tarian singa! Lama aku tak tengok. Sekali-sekala seronok pulak melihat aksi akrobatik para pemainnya. Ternyata Malaysia mempunyai pasukan yang terbaik didunia! Kalau aku yang lompat, mahu rasanya dagu tersangkut kat besi depan! Hahahahahahaha.....

Cuti tahun baru ni jadi panjang sebab bersambung-sambung. Anak-anak pun cuti tapi aku tak boleh kemana sebab Azumi bekerja. Seronok tengok dia keletihan balik kerja dan pergi kerja bawak bekal dalam beg plastik. Aku tanya, kenapa tak makan di foodcourt Pavillion? Dia kata, "mahallah Pa!". Hahahahahahaha.....Bila balik kerja, aku tanya macamana kerja hari ni? Jawabnya, "letihlah Pa!". So bila aku berkesempatan berdua dengan Azumi bila aku pick up, aku selitkan sikit....."macam tulah susahnya nak cari duit......!". 

Have an excellent weekend people! To all those yang gilakan rugby, nanti pukul 1 pagi ada game ya...6 Nations!  

Isnin, Februari 08, 2016

Cerita Isnin.

Arwah Tambun and me..

Cerita 1
Assalamualaikum dan selamat Tahun Baru Cina kepada semua pembaca blog yang aku sayangi sekelian. Cepat masa berlalu. Pejam celik dan sekali lagi pejam celik dah masuk Kong Hee Fat Choy lagi. Rasanya baru beberapa hari berlalu perayaan ini. Maknanya, Ramadhan juga bakal menjelma tak lama lagi. Minggu lalu aku terkejut apabila terdengar iklan kain baju dari sebuah syarikat ternama mempromosikan "beli kain sekarang, tempah kemudian..", lebih kurang begitulah pemahaman aku. Pergh...hebat...

Gambar diatas tu sengaja aku masukkan kerana tetiba aku teringatkan arwah Tambun. Aku pernah bercerita mengenai beliau didalam entry aku hampir setahun lalu. Arwah Tambun merupakan senior aku setahun di sekolah dulu. Kami agak rapat kerana tinggal di blok yang sama pada waktu itu. Arwah Tambun banyak menasihati aku dan sedikit membantu apabila aku dipanggil senior ataupun dimarahi senior. Kepada arwah Tambun juga aku akan menceritakan apa juga yang bersarang di hati. Beliau seorang pendengar yang baik. 

Lama sungguh kami tak bertemu. Hanya sekadar bertanya khabar di FB sahaja dan membuat janji demi janji untuk bersama-sama minum kopi. Akhirnya sampai kesudah tak menjadi! Aku mendapat tahu yang arwah Tambun mengalami komplikasi buah pinggang dan harus membuat dialisis saban minggu. Dalam hati aku mendoakan agar beliau tabah dan agar keluarganya sentiasa berikhtiar.

Secara tak sengaja kami ada bertemu di Fraser's Hill tahun lalu. Dia terkejut. Aku lagi terkejut. Bertemu pulak dengan hampir keseluruhan rakan batch aku. Berpeluk sakan kami di depan orang ramai tanpa malu..."old boys" kalau bertemu selalunya begitulah. Arwah Tambun nampak sedikit sihat dan ceria saat itu. 

Beberapa bulan yang lalu aku dikejutkan dengan berita yang beliau tenat dan dimasukkan ke hospital. Selang tak berapa lama kemudian aku mendapat satu lagi berita yang beliau telahpun meninggal dunia. Tergamam dan terduduk aku mendengarnya. Persahabatan kami terbina sejak tahun 1981. Aku di Tingkatan 1 dan beliau di Tingkatan 2. Berpuluh tahun kami kenal. Aku bermain bola diposisi pertahanan manakala beliau sebagai penjaga gol. Persahabatan kami tak pernah putus...aku berharap dan berdoa agar keluarga beliau tabah mengharungi hari-hari yang mendatang. Alfatihah....

Cerita 2
Sejak kebelakangan ini aku sering mendapat berita daripada bekas pekerja aku semasa di KSA dulu. Alhamdulillah, rata-rata sihat walafiat dan mengirimkan aku foto-foto mereka bersama keluarga tersayang. Seorangnya daripada Pakistan. Namanya Khurshid. Khurshid ni baik orangnya. Sangat sopan dan sentiasa menghormati orang. Tak pernah aku dengar dia meninggikan suara walaupun pekerja beliau melakukan kesalahan. Khurshid merupakan Room Service Manager aku. Since aku pernah bertugas sebagai Room Service Manager sewaktu pembukaan Renaissance KL Hotel dulu, banyak yang aku perturunkan kepada beliau. Ternyata walaupun posisinya sama tetapi cara kerja mereka amat berlainan. Secara luaran adalah sama tetapi "detailnya" tidak ada! 

Aku suka meronda. Aku akan naik lif ke tingkat paling atas dan berjalan turun menggunakan tangga kecemasan setelah memastikan setiap floor tiada makanan ditinggalkan di koridor. Selalunya ini akan memakan masa lebih kurang 1 hingga 1.5 jam dan semua yang aku temui akan aku catatkan didalam buku nota aku. Setelah selesai, aku akan memanggil Khurshid ke ofis aku dan bercerita mengenai penemuan-penemuan aku di setiap koridor. Permulaannya beliau menafikan yang koridor masih berselerak dengan tray dan trolley yang tidak dibawa turun. Tetapi kecanggihan teknologi membuatkan beliau sering kalah.

Dari situ aku tahu bahawa kebanyakkan mereka hanya bekerja seperti "remote control". Tidak melihat sendiri apa yang berlaku. Hanya mengarahkan dan mendengar serta mempercayai apa yang telah dilakukan. Ini amat merbahaya. Banyak syarikat yang bungkus kerana mengamalkan "tradisi kerja" seperti ini. 

Apabila aku berkesempatan membantu seseorang untuk membuka restoran dulu, aku berpesan kepada beliau bahawa cara kerja aku amat "old school". Sebagai pemilik restoran beliau harus tahu apa yang berlaku didalam restorannya. Bukan hanya duduk dirumah dan percaya 100% kepada manager ataupun chef bertugas. Beliau harus sama-sama melakukan tugas sama seperti pekerja lain pada permulaannya. Selang beberapa hari kemudian aku mengunjungi beliau direstorannya. Aku lihat beliau berada didapur dan memasak. Aku tanya kenapa beliau memasak? Beliau jawab, kerana salah seorang pekerjanya tidak datang kerja! Selang beberapa hari kemudian, aku lihat beliau sedang membancuh minuman di belakang bar. Aku tanya kenapa beliau berbuat demikian? Beliau jawab yang beliau harus tahu cara-cara membuat minuman agar beliau dapat menjual dengan lebih banyak lagi! Aku tersenyum...selang beberapa bulan, beliau mengirimkan berita kepada aku bahawa restorannya sering penuh dengan tetamu dan telah mula mendapat perhatian daripada media cetak. Pernah keluar disalah sebuah akhbar terkemuka kita. Aku bersyukur. Alhamdulillah. Aku sentiasa mendoakan agar beliau berjaya...

Berbalik kepada Khurshid tadi, beberapa minggu yang lalu, aku mendapat perkhabaran bahawa kini beliau telah membuka sebuah restoran yang besar dinegaranya. Foto yang dihantar menunjukkan yang restorannya penuh dengan tetamu dan pemandangannya amat menakjubkan. Lokasinya ialah dikawasan pergunungan yakni pusat pelancongan hebat di Pakistan. Sekali lagi aku mendoakan agar Khurshid berjaya didalam apa juga yang dilakukan. Aku berbangga apabila diberitahu tentang kejayaan mereka. Cuma yang sering aku pesan ialah, mereka harus berada ditempat tersebut. Jangan ditinggalkan kepada orang lain untuk kendalikan. Itu bahaya dan kebanyakkannya akan "bungkus". It's just a matter of samada cepat ataupun lambat!

Cerita 3
Menunggang moto melewati Muzium Negara, aku tak pernah lepas daripada menjeling kesisi kerana disitu ada sebuah bangunan agam dan mewah sedang didirikan. Bakal menjadi salah sebuah hotel yang terbaik dinegara ini. Aku pasti ramai yang akan berpindah ke hotel tersebut tak lama lagi. Aku juga pasti yang aku akan menemui ramai rakan serta bekas pekerja aku disitu. Walau apapun, aku harap mereka mendapat promotion dan gaji yang lebih baik disana..

Setiap kali aku melihatkan hotel baru, aku sering terbayang waktu-waktu pembukaan hotel antarabangsa yang pernah aku terlibat sama. Sesungguhnya ia memerlukan mental dan fizikal yang sangat kuat untuk mengharungi pembukaannya. Waktu kerja tak menentu. Dari pagi sampai ke pagi sudah lumrah. Tidak mendapat rehat secukupnya juga biasa. Deadline demi deadline harus dipenuhi setiap hari. Itu baru dengan hotel. Belum dengan pemiliknya lagi. Kadang-kadang aku tertanya kenapa sehari cuma ada 24 jam dan bukannya 26 jam?

Tidur tak lena. Fikiran sentiasa berkerja keras. Jantung sentiasa berdebar. Kalau hujan aku jadi risau. Kalau barangan tak sampai tepat pada waktunya, aku jadi risau. Wah...betul-betul adrenalin rush. Tapi apabila semuanya telah selesai, nikmat kepuasan tu tak dapat nak digambarkan dengan kata-kata. Tambahan pula apabila mendapat pujian daripada pihak atasan. Pernah sekali tu walaupun kami buka hotel dipertengahan tahun, bonus pada tahun itu menghampiri 3 bulan gaji. Looking back, aku boleh senyum panjang. I've been there. I've done that.

Kepada adik-adik yang akan dan sedang berada dihotel-hotel antarabangsa, kerjalah dengan bersungguh-sungguh. Banyak prospek terbentang didepan mata menunggu adik-adik. Berdisiplinlah. Bertanyalah. Jujurlah. Bermatlamatlah. Beranilah. Keluarlah dari kepompong dan kebiasaan. Merantaulah dan carilah pengalaman diluar negara. Janganlah bagi alasan payah nak cari makanlah. Jauh dari keluargalah. Sedih nak rayalah. Jika itulah yang bermain dijiwa adik-adik, hmmm tak kemanalah adik-adik aku semua...

So people, have a nice long break. Jangan nakal-nakal...kepada yang ada kesempatan tu, marilah sama-sama dengan aku ke Masjid Jamek KL setiap pagi Ahad dari 5-8 pagi untuk bersama-sama membantu rakan jalanan. See you there!








Rugby dan pengajarannya.

Pasukan Alumni Sdar Lions Cerita 1. Aku memang sejak dari dulu lagi amat berminat dengan permainan rugby. Tatkala aku menjejakkan k...