Selasa, Mac 29, 2016

Kampung Berjaya, Alor Setar dan sepupu-sepupu!

Pokok pelam depan rumah
Assalamualaikum semua yang aku kasihi sekelian. Depan rumah aku ada 2 pokok pelam. Rendang dan akan berbuah lebat bila tiba musimnya. Apabila Wiwit balik kampung di Madiun, Indonesia selama 2 bulan, kawasan didepan rumah aku yakni sekeliling pokok-pokok buah agak tidak terjaga. Suatu pagi aku mengambil kesempatan untuk menyapu daun-daun kering yang bertaburan. Sedang aku menyapu, aku digigit kerengge. Walaupun pinggangnya ramping, sengatannya amat menyakitkan.

Oleh kerana aku geram, aku keluarkan mobile aku dan aku fotokan gambar kerengge-kerengge tadi. Jika kita amati gambar kerengge tersebut, kita akan terlihat jalinan kerjasama diantara mereka semua. Sangat akrab. Kita mungkin tidak tahu apa yang bermain didalam minda mereka tetapi sekilas pandang sifat dan sikap rajin mereka amat perlu untuk kita amati. 

Sewaktu aku kecil, aku suka memanjat pokok ceremai di Kampong Berjaya, Alor Setar, Kedah. Makcik aku yang aku panggil "Wa" menetap disitu selama beberapa tahun. Didepan rumahnya ada sebatang pokok ceremai yang agak besar dan tinggi. Sewaktu aku berkunjung ke rumah beliau, aku akan menghabiskan masa dengan memanjat dan bertenggek diatas pokok ceremai. Makan ceremai satu persatu dan membuang bijinya ke bawah. Puas hinggakan aku sering sakit perut. Buah ceremai muda juga habis aku ratah. Rasanya tajam dan berdesing bila makan. Aku tak tahu nak ceritakan bagaimana tajamnya taste ceremai muda!

Kalau aku nak makan ceremai jeruk, cuma 20 langkah didepan rumah Wa, ada sebuah kedai runcit Cina yang menjualnya didalam balang kaca bertutup warna merah. Masam-masam manis rasanya dan membuat aku kemaruk. Aku akan beli 10 sen dan duduk diatas lancha atau sesetengah orang memanggilnya beca sambil makan. Tak ingat dunia. Lancha merah tersebut sentiasa berada dihadapan rumah Wa. Kadang-kala aku membawa lancha tersebut pusing didepan rumah dan patah balik. Nikmat menaiki lancha tak dapat nak aku gambarkan. 2 orang dewasa boleh duduk dikerusinya manakala seorang kanak-kanak boleh duduk dibahagian kaki orang dewasa. Bunyi lancha menyusuri jalan berturap masih terngiang -ngiang ditelinga aku.

Selang 20 meter dari rumah Wa ialah rumah Njang aku. Disekitar pertengahan tahun 70-an, rumah Njang diperbuat daripada papan. Selang beberapa tahun kemudiannya, beliau membina rumah baru betul-betul didepan rumah papannya. Secara peribadinya, aku lebih suka rumah papan lama kerana bagi aku ia lebih sejuk. Angin mencelah diantara papan-papan dinding. Banyak juga papan yang dah berlubang. Itu aku jadikan sebagai teropong untuk melihat "musuh" yang datang! Bila malam dan kami sekeluarga tidur dirumah Njang, lubang didinding akan aku tutup dengan cebisan kain yang kami panggil "perecha". Bila tengah malam pula "kain perecha" tadi akan aku tanggalkan bagi membiarkan angin menerobos melalui lubang-lubang yang ada. Fungsinya lebih kurang seperti penghawa dingin!

Sewaktu rumah batu Njang didalam pembinaan, tingkat atasnya masih berselerak. Kami akan membersihkan sebelah atasnya daripada kayu-kayu serta batu-bata dan kami akan bermain "a, e, i, o, u". Itu sajalah permainan kami waktu itu selain daripada mengayuh basikal sekeliling kampung dan memanjat pokok. Nikmatnya tidak terkata! Sebelah malamnya kami akan berkumpul dan bersembang. Orang-orang dewasa sahaja. Aku akan terlelap diriba arwah mama yang masih lagi leka bersembang dengan kakak-kakak dan adik-adiknya. Sesekali aku akan mencuit lengan arwah mama mengajak masuk tidur. Arwah mama membalas dengan mencubit....habis lengan dan paha aku merah akibat dicubit.

Didalam kelompok makcik-makcik aku, aku paling takut dengan Njang. Suara Njang garau dan rokok sentiasa berada dicelah bibirnya. Memetik habuk rokok dengan tangkas. Jika aku menangis, Njang akan menjegilkan matanya dan berkata yang beliau akan mengikat aku dan rendam dalam "ayaq achaq" depan rumah! Aku kecut. Dalam esakan kecil, aku tertidur! Setelah aku meningkat usia, aku sedar bahawa amaran-amaran keras Njang adalah untuk kebaikan aku...

Keluarga belah arwah mama hampir kesemuanya pandai memasak. Kari kami panggil gulai. Gulai ikan temenung menjadi kegemaran kami. Boleh makan tiap-tiap hari. Lain rasanya kalau dimasak menggunakan dapur tanah! Tak berapa banyak yang aku ingat mengenai Kampung Berjaya kecuali 2 makcik aku yang hebat ini. Dengan anak-anak makcik aku inilah kami bermain walaupun aku merupakan antara yang paling kecil waktu itu. Sepupu-sepupu aku kini kebanyakannya telah mencapai dan melebihi umur 50 tahun. Ramai yang masih berada di Alor Setar dan tak kurang juga di Kuala Lumpur. 

Ada sekali sewaktu aku masih aktif bermain rugby dengan Royal Selangor Club (RSC Dalmations) sekitar tahun 88-90 dan sewaktu kami rehat minum di "Long Bar", Abang Din datang menegur aku. Abang Din merupakan "scrumhalf" kami dan katanya dah beberapa kali perhatikan aku. Aku juga perasan tetapi kerana aku masih baru didalam pasukan, aku diamkan saja walaupun hasrat memang ingin bertanya...Abang Din sebenarnya ialah sepupu aku juga yang merupakan anak kepada Nyah aku. MasyAllah...what a small world. Kami bertemu di padang rugby yang pada waktu itu masih lagi didepan bangunan Sultan Abdul Samad!

Kini hampir kesemua makcik-makcik dan pakcik aku telah meninggal dunia. Yang tinggal hanyalah 2 orang adik kepada arwah mama. Seorang masih menetap di Taman Nilam di Alor Setar dan seorang lagi bersama anak-menantu-cucunya di Penang. Kepada yang telah meninggal dunia, aku titipkan al fatihah dan kepada  2 lagi makcik aku, aku berdoa agar mereka diberikan kesihatan yang baik....



Ahad, Mac 20, 2016

Hari minggu..


Cuti sekolah dah pun menghampiri ke penghujungnya. Aku tak kemana-mana memandangkan Abang bekerja. Kurang selesa bercuti aku rasa jika salah seorangnya tidak ikut bersama. Tapi oleh kerana tak kemana-mana, kesian pulak aku dengan Yuya dan Marina. Semalam aku mengambil kesempatan untuk membawa mereka ke IOI Mall di Putrajaya. Marina nak main ice skating, katanya. Merayu Yuya agak mengikut, Yuya akur. Aku suka pergi awal kerana tak mahu terperangkap didalam kesesakan lalu-lintas. Jam 9 kami dah keluar. Satu lagi sebab kenapa aku suka keluar awal ialah kerana aku amat tidak mahir mencari arah. Apalagi jika nak ke Putrajaya. Salah masuk jalan, mau terbabas aku ke Morib!

Elok sampai awal kerana parkingnya masih kosong. Membiarkan anak-anak masuk ke gelanggang luncur ais, aku terus berjalan mencari keperluan. Satu kedai ke satu kedai. Aku tahu apa yang aku nak, jadi aku tak membuang masa meninjau sana-sini dan sememangnya aku tak suka merayau tak tahu apa nak cari kerana bagi aku itu membuang masa. 

Dapat seluar sehelai dan baju sehelai, aku lega. Kembali menuju ke gelanggang luncur ais, dari jauh aku mencari Yuya dan Marina. Kedua-duanya aku nampak meluncur laju. Ok, aku tinggalkan mereka dan mencari restaurant yang aku boleh duduk minum kopi, breakfast dan membaca. Selepas 3 jam mereka bermain, Yuya menalipon memberitahu yang mereka dah tak larat. Kami mencari makan tengahari kerana Marina dah lapar sangat. Balik ke rumah, aku terlentang dan terus terlelap sekejap!



Pagi minggunya pula selepas pulang dari satu tugasan sosial, aku terus bersiap untuk membawa kedua-duanya ke Muzium Negara. Satu tempat yang tiap-tiap hari aku lalu tetapi tak singgah! Kali terakhir aku ke MN ialah lebih 5 tahun yang lalu. Sewaktu Marina masih bayi dan Yuya masih membuat muka kelakar ketika difoto!

Masih menarik perhatian aku terutamanya apabila membaca cerita dan melihat foto-foto sir henry gurney. Nama beliau mengingatkan aku kepada Sekolah Henry Gurney, Telok Mas di Melaka. Tempat arwah Bapak aku bertugas selepas ditukarkan dari Pulau Jerejak circa 1977-1980 dulu! Orang tak ramai kerana mungkin tiada pamiran toyol!

Ada satu pamiran yang amat menarik perhatian aku disalah sebuah galerinya yakni pamiran bertajuk "Czech Castles". Aku sangat berminat dengan negara ini kerana pemandangannya yang indah serta rekaan binaan zaman medievalnya, amat menarik perhatian aku. Jika aku berkesempatan kesana, pastinya aku akan menghabiskan waktu selama 2 minggu untuk melawat satu per satu bandar-bandar yang terdapat disana. Selain mengunjungi muzium, aku dah pasti akan mencari kedai-kedai kopi kecil untuk aku bersarapan sambil membaca novel!

Sewaktu kami mula mengatur langkah untuk pulang, aku terlihat satu susuk sederhana sedang berjualan kacang ditepi kaunter tiket. Raut wajahnya sama dan aku masih ingatkan beliau walaupun kali terakhir aku mengunjungi Muzium Negara ialah pada tahun 2009 kalau tak salah aku. Aku berhenti dihadapan beliau dan bertanya khabar. Beliau seronok bercerita. Ada 3 orang anak, dah berjualan dilokasi yang sama sejak 24 tahun yang lalu. Kesemua anak-anaknya telahpun berkahwin dan kini beliau dikurniakan beberapa orang cucu. Suaminya yang merupakan pesara KTM kini bertindak menjaga 2-3 orang cucu-cucu mereka apabila anak-menantu keluar bekerja. Leka mendengar cerita beliau, aku bingkas bangun dan membeli 4 bungkus kacang dan air mineral walaupun kami tak lapar dan dahaga. Terpancar cahaya keikhlasan sewaktu berbicara dengan beliau. Sampai bilakah beliau akan mempunyai tenaga untuk berjualan, hanya masa yang akan menentukan.....Balik ke rumah, aku terlentang dan terus terlelap sekejap!


Isnin, Mac 14, 2016

Full House!

Lapar..

1976

Masa aku kecik dulu, aku suka kucing. Aku jumpa kucing liar didalam longkang didepan rumah dan aku bawak balik. Ini terjadi sewaktu aku menetap di Brown Garden, Penang dulu. Kucing tu punyalah aku sayang....siang malam aku main dengan kucing tu. Dari halus sampailah ke besar. Anyway, dah menjadi resam kucing ni yang suka sangat tidur dibawah/belakang tayar kereta dan arwah mama pulak selalunya pergi kepasar diawal pagi, makanya dengan tidak sengaja, arwah mama dah menggelek kucing aku yang sedang nyenyak tidur. Aku bangun nak ke sekolah terus terkejut sebab darah dan otak bersepah-sepah di beranda rumah! Aku sedih, kutip, dan tanam di anak sungai berhampiran rumah aku. Dulu didepan rumah aku ada satu anak sungai mengalir lesu. Sekarang kalau aku balik, aku cari sungai tu dah tak jumpa. Dah naik kawasan perumahan disitu......

Lepas pada tu, sewaktu aku nak ke Melaka ikut arwah bapak transfer dari Pulau Jerejak ke Henry Gurney Telok Mas, kami dapat tiket free naik keretapi dari Butterworworth sampai Gemas sebelum trak dan van Penjara Malaysia datang pikap di stesyen keretapi. Seronoknya naik keretapi sebab kami dapat bilik kelas 1. Ada 2 katil bertingkat. Maksudnya ada 4 katil dalam bilik tu. Ada sinki. Sebelum naik keretapi yang sangat "luxury" bagi aku pada tahun 1976/1977, kami beli bekal nasi briyani dari Dawood Restaurant yang sangat famous di Penang. 

Aku ada lagi sekor kucing yang aku nangis terisak-isak waktu nak pindah ke Melaka. Dipendekkan cerita, aku masukkan kucing tadi dalam karung yang dah aku lubangkan untuk pengudaraan, aku bawak ke Melaka. Bila aku bukak karung kucing tu, aku tengok kucing tu terus melengkar letih tak bermaya. Aku letakkan dia di tempat yang selesa dan aku bagi makan. Lepas sehari, kucing tadi dah kembali berlari merata cerok. Aku letih!

2016

Marina jumpa kucing liar dibawah rumah dan dibawanya balik. Dibaginya makan. Marina memanggilnya Miko. Tiap-tiap malam kucing tu akan mengiau mintakkan makanan. Selang beberapa lama, Marina bagitahu yang kucing tu bunting. Aku pun tak perasan! Lepas beberapa bulan, Miko pun beranakkan 4 ekor anak kucing comel. (Sekor mati). Aku serabut! Aku bagitahu yang aku nak hantar anak-anak kucing tadi ke SPCA. 2 hari 2 malam Marina menangis....aku serabut..

Dulu waktu berumur beberapa hari, suara anak-anak kucing tak kedengaran. Kini setelah berusia 2 bulan, selain daripada suara Marina, aku dah mula dengar suara 3 ekor anak kucing dan seekor mak kucing. Kadang-kadang aku tak pasti yang aku dengar tu adakah suara kucing ataupun suara Marina!

Dulu acapkali aku sebut bahawa keluasan rumah aku hanyalah sekangkang kera. Kini tidak lagi. Ia telah berubah menjadi sekangkang kucing! Siapa yang menghuni rumah aku kini

  • aku
  • aunty
  • azumi
  • yuya
  • marina
  • wiwit
  • mak kucing
  • along kucing
  • angah kucing
  • achik kucing

Aku PASRAH!



Ahad, Mac 06, 2016

MJ/LRT

Masjid Jamek (MJ)Ahad lepas..

MJ

Gambar diatas tu gambar yang aku ambil pada pagi Ahad lepas di Masjid Jamik. Ramai sukarelawan bertugas ditempat lain. Yang ada hanyalah kami 9 orang kalau tak salah aku.  Tak seperti biasa, pada hari tu aku membantu seorang sukarelawan yang pada waktu itu keseorangan menyiapkan packing nasi lemak untuk lebih kurang 300-400 rakan jalanan.. Boleh kebas tangan kalau nak diikutkan...kami panggil beliau "mommy" kerana sifat-sifat ringan tulang serta keibuannya. Anak mommy merupakan ketua pasukan bolasepak sama dengan anak aku. Oleh itu aku kenal mommy lebih daripada seorang rakan sukarelawan. Apabila sukarelawan lain mula sampai, perlahan-lahan aku mengundurkan diri dan kembali ke "station" biasa aku yakni "kaunter air!"

Aku ada membawa satu beg pakaian anak-anak aku yang dah dicuci dan digosok aunty seminggu sebelumnya. Diletakkan disatu sudut belakang kaunter air. Pakaian hanya dibenarkan untuk diambil sebaik sahaja lepas solat/doa subuh. Rakan jalanan akur dan sabar menunggu. Selesai sahaja doa, mereka mula memunggah pakaian yang dibawakan tadi. Banyak sungguh pakaian minggu ini. Selesai..

Sedang aku menyelenggarakan kaunter air, sekilas pandang aku kaget bilamana aku terlihat seorang pakcik memakai baju kemeja kotak berwarna hijau. Lama aku perhatikan. Beliau memakai baju itu diatas sehelai baju yang lain. Melihat keadaan tersebut, aku yakin yang pakcik tadi baru sahaja mengambil pakaian yang diagihkan. Aku jadi sayu melihatkan pakcik tersebut. Tambah sayu kerana baju itu merupakan baju Azumi yang disedekahkan. Aku berjalan ke pakcik tu dan meminta kebenaran untuk mengambil gambar. Beliau obliged....kami bersalam dan aku beritahu yang baju tu ialah baju anak aku dan anak aku pasti berbangga bila tahu pakcik Gombak tu pakai baju dia...pakcik Gombak ucapkan terimakasih sambil mengesat airmata...

LRT

Aku tak sihat kerana cuaca. Itu aku pasti. Kepala rasa berat. Tekak rasa perit. Badan rasa lemah. Moto pulak buat hal...lagilah aku sakit..sakit jiwa dan poket! Enjin moto berbunyi kuat macam motobot. Masa kat traffic light, aku dah dengar bunyi bising tu. Aku jeling ke moto sebelah dan dalam hati berkata, "hantarlah pergi repair kalau rosak...". Lampu bertukar warna menjadi hijau. Aku memecut. Bunyi tu ada lagi...lagi aku laju, lagi bunyi tu kuat. Hati panas bila ternampak moto buruk tadi di cermin sisi. "Hiiishhh...". Sampai ditraffic light ke dua, bunyi tu ada lagi. Rupanya moto aku...hahahahaha....

Ah Chong suruh masuk workshop selama satu setengah hari...aku pasrah..paginya aku keluar awal sikit berjalan menuju ke stesyen lrt cahaya. Morning walk sangat bagus untuk kesihatan. berpeluh jugak berjalan selama 10 minit. Terkial-kial aku nak membeli tiket di ticket machine. Nasib baik ditulis rumi. Orang lain laju sebab menggunakan pas bulanan. 

Ramai yang menunggu untuk ke destinasi masing-masing. Aku teringat pesanan abang malam tadi. "Papa turun kat Masjid Jamik!". Yelah...papa turun kat MJ. Sampai di MJ aku resah mencari line nak ke Bangsar! 5 minit aku berputar kat dalam stesyen mencari pintu nak ke Bangsar. Akhir sekali aku tanya kaunter. Gadis kaunter suruh aku keluar stesyen dan seberang jalan...la....kena seberang jalan ka? Aku malu sendiri...

Aku teringat sewaktu aku mula menjejakkan kaki di Tokyo. Perkara pertama yang aku paling takut ialah membeli tiket JR Yamanote line. Ada berpuluh ticket machines. Ada beribu orang nak beli. Ada beratus destinasi yang ditulis didalam tulisan jepun. Pengsan aku nak mencari...Tulisan biasa ada juga tertulis tetapi 'panic'  mengatasi kewarasan. Aku tersangkut! Nasib baik ada orang membantu...

Menuju ke MJ tadi, kebanyakan stesyennya sesak. Ada yang tak dapat naik dan terpaksa menunggu keretapi lain beberapa minit lagi. Aku nampak muka mereka masam. Bahu aku lenguh menggalas beg. Tangan aku lenguh mengelek laptop buruk yang seberat 10 kilo ni...peluh mula membasahi dahi walaupun penghawa dingin agak kuat.

Lintas jalan dan mencari ticket machine lagi. Destinasi kali ni, LRT Bangsar. Jumpa dan dapat  beli. Semuanya lancar hinggalah aku sampai ke stesyen. Aku lihat ada barisan panjang menunggu untuk menaiki feeder bus. Sampai giliran aku, aku naik dan tanya pemandu bas dimana aku nak masukkan duit syiling? Pemandu dengan sopan memberitahu aku bahawa feeder bus disitu dah tak pakai duit...semuanya pakai touch and go...aku turun bas...

Sedang berfikir, datang sorang pekerja bas tersebut bernama Zainal yang bersimpati. Beliau menerangkan kepada aku serba ringkas dan mencadangkan agar aku masukkan RM10 ke dalam kad pengenalan aku. Yak tak ya jugak...antara ciri-ciri "smart" yang ada di kad pengenalan ialah fungsinya sebagai kad touch and go..lupa aku....

All in all, ia satu pengalaman yang sangat menarik. Berpuluh tahun aku tak naik bas macam ni..last sekali ialah dizaman mini bus. Sebenarnya, perjalanan aku ke tempat kerja amatlah smooth. Kalau ada yang kata sesak bila di dalam keretapi, mereka masih belum menaiki keretapi di Tokyo lagi...hahhahahahaha.....

Aku tak sihat ni..Azumi demam. Marina demam dan kini aku pulak demam! Aku nak makan ubat dan kemudian lelapkan mata. Have a pleasant and productive week ahead...good night people!

Rugby dan pengajarannya.

Pasukan Alumni Sdar Lions Cerita 1. Aku memang sejak dari dulu lagi amat berminat dengan permainan rugby. Tatkala aku menjejakkan k...