Selasa, September 24, 2013

Kaki wayang

Good try KRU!

Beberapa hari yang sudah aku berkesempatan membawa anak-anak aku menonton wayang sekali lagi. Aku suka aktiviti sebegini kerana selepas menonton masing-masing akan bercerita semula dan sekali-sekala aku akan menyampuk juga. Rancak bercerita sampai tak sedar yang kami telahpun sampai ke rumah! Hahahahahaha.....itulah yang seronoknya lepas menonton wayang ni. Yang jadi tak seronoknya bila kami 5 anak-beranak terpaksa membayar hampir RM100 semata-mata nak tengok cerita kartun si Minion tu yang ditayangkan secara 3D! Mak aiii.....boleh makan hampir seminggu kalau aku ke pasar! Cerita Vikingdom boleh dibanggakan jika kita tidak membandingkan dengan cerita-cerita dari Hollywood yang menelan belanja berpuluh kali ganda. Tahniah kepada KRU Studios yang telah membawa dunia perfileman kita ke alaf baru. Dari zaman 'zam-zam alakazam' kepada satu dimensi pembuka mata! Masa aku kecik dulu, aku selalu dibawa arwah bapak menonton cerita-cerita SINBAD. Pengembaraan seorang budak lelaki dari Baghdad (kalau tak salah aku) ke segenap pelosok dunia. Menaiki kapal layar (memang pakai layar!) dan bertemu dan berlawan dengan gergasi-gergasi yang sangat keras dan terbatas pergerakannya! Aku tak berganjak dan akan terus bersila diatas kerusi kayu ditahun 1970-an dulu. Arwah bapak akan mencanang tentang cerita tersebut seminggu sebelum kami menonton dan setiap hari dan malam aku akan bertanya kepada arwah mama (arwah bapak bertugas di Pulau Jerejak dan pulang hanya sekali--sekala) sampai arwah mama naik lemas! Perangai tersebut aku terbawa-bawa sampailah aku mempunyai 3 orang anak. Kini aku pula mencanangkan kepada anak-anak seminggu sebelum menonton hanya semata-mata untuk "create excitement" pada mereka....

Can't wait!

Banyak sudah cerita-cerita baru yang telah kami tonton. Kebiasaannya sebulan sekali kami akan pergi menonton. Cerita yang kami tonton berselang-seli. Kalau bulan lepas aku menonton cerita yang abang ataupun Yuya suka tengok, bulan berikutnya aku akan menonton cerita-cerita katun pulak. Ini untuk memberi laluan kepada Marina yang selalu mencebik bila aku sentiasa menonton cerita yang agak 'dewasa'. Jika tidak pun, aku akan membawa abang dan Yuya senyap-senyap selepas Marina tidur....hahahahahaha! Aku ingat lagi sewaktu aku kecil dulu didalam lingkungan umur 7 tahun, abang sulung aku berjanji akan membawa aku menonton cerita katun jika aku mendapat nombor 3 dan kebawah didalam peperiksaan akhir tahun. Oleh kerana teringin nak tengok wayang, aku belajar bersungguh-sungguh semata-mata untuk menonton wayang! Apabila keputusan peperiksaan dikeluarkan, aku mendapat tempat ke-2 keseluruhan darjah 1 pada tahun 1975 (sekolah francis light di pulau pinang) dan layak untuk mendapat tiket untuk menonton wayang daripada abang sulung aku. Abang sulung aku bersekolah di tingkatan 2 kalau tak salah aku pada waktu itu. Duit sekolahnya setiap hari dikumpulkan untuk membeli tiket wayang untuk aku! Sebelum menonton, abang membawa aku ke kedai ais kerim dan disitulah kali pertama aku makan "banana split sundae!". Ada 3 perisa yakni chocolate, strawberry dan vanilla. Ditepinya ada pisang dan diatasnya ada chocolate, strawberry dan pineapple topping dan diletakkan biskut dan buah cheri. Di 'sprinkle' kan pulak dengan chocolate rice. Wah...hebat! Bila aku bekerja di kedai ais kerim di Swensens Damansara, aku pulak yang buat "Banana Split" untuk tetamu dan setiap kali aku buat, aku akan teringatkan pengalaman indah bersama abang sulung aku! Lepas makan, kami naik bas menuju ke pekan dan menonton "ARISTOCATS". Hahahahahaha...hebat. Aku bercerita kepada arwah bapak (bila dia balik bercuti) dan arwah mama setiap malam selama sebulan!

Arnie is still going strong!

Arnie ni merupakan seorang pelakon yang hebat. Aku mengikuti cerita-cerita "TERMINATOR" lakonan beliau. Seronok menonton sebab aku tahu yang Arnie akan belasah orang! Sama dengan SLY! Dari mula sampai habis asyik belasah orang! Teringat aku pada cerita "Conan The Destroyer" dan "Conan The Barbarian". Aku sanggup naik bas dari seremban ke kl dan terus ke panggung rex pada waktu itu semata-mata nak menonton Arnie. Hahahahahahaha...Susuk tubuh badannya yang sasa membuatkan aku jugak teringin nak jadi macam tu. 2 hari aku angkat batu dan lepas tu aku dah tak larat sebab berat sangat! Harapan nak dapat badan Arnie terus musnah....Aku tak berapa nak ingat samada Arnie pernah melakonkan atau berlakon dalam cerita kekeluargaan dan baik-baik. Yang aku tahu semuanya cerita belasah orang!

Matt Damon and Jodie Foster!

Aku memang minat dengan 2 orang pelakon tersohor ni. Matt Damon dengan lakonan yang mantap didalam cerita "Good Will Hunting" bersama Ben Affleck manakala Jodie Foster pula aku minat sejak beliau sebagai pelakon kanak-kanak lagi. Kedua-dua mereka mempunyai 'chemistry' yang sangat baik sehingga aku selalu tak sedar yang cerita dah pun habis! Malangnya cerita terbaru Matt Damon yang berjudul 'Elysium' ini tak dapat aku tonton lagi sebab dikategorikan sebagai 18. Ini bermakna aku tak boleh nak bawa anak-anak. Pergh gila aku jadinya kalau menonton sorang-sorang tanpa anak-anak! Kalau anak-anak ada, boleh jugak depa tolong kejutkan aku bila aku tertidur...hahahahahaha...
 
Cerita melayu awal yang aku tonton di panggung wayang ialah "Ceritaku Ceritamu" di panggung Cathay, Alor Setar. Sekarang panggung tu pun dah tak ada. Aku kayuh basikal dari Jalan Day sekarang dipanggil Jalan Sultanah sorang-sorang. Ikat basikal di tiang lampu dan pesan kat orang yang jual kacang kat depan tu tolong tengokkan basikal aku. Ogy Ahmad Daud masih kanak-kanak. Pelakon lain ialah Sarimah. Aku balik rumah dan ceritakan pada arwah mama. Malam tu jugak kami menonton sekali lagi! Lagu yang Ogy nyanyi sampai sekarang aku ingat!
 
Sewaktu aku di Melaka aku selalu menonton di panggung wayang tepi sungai. Sekarang dah jadi warehouse kalau tak salah aku. Filem yang aku tonton kat situ ialah siri Panglima Badul. Masa tu Badul tengah top...ada lah geng-geng dia berlakon macam AR Jaafar dll. Manakala nak mengarah ke Little India di Melaka pulak, dulu ada satu panggung wayang kat situ dan sekarang mungkin dah kena roboh. Aku dapat tiket free di sekolah sempena "Hari Pahlawan" dan aku tengok cerita "Pendekar" arahan dan lakonan Deddy M Borhan keluaran Sabah Film! Hahahahahahaha.......
 
Seronok menonton wayang ni. Pelbagai perubahan telah berlaku. Dari wayang Filem Negara Malaysia yang pacak kat tengah padang dan berhenti bila reel pertama habis hinggalah kepada tiket yang aku kena bayar sampai RM20 sorang! Tapi anak menakan aku kata, itu tak mahal sebab katanya ada lagi tiket wayang yang lagi mahal! makkk aiii....pun ada! Awat, depa bagi bantai dengan selimut ka apa?

Ahad, September 08, 2013

Ke rumah urut!

See Kok Chuan

Memang aku dah lama nak ke 'rumah urut'. Ada satu rumah urut yang berhampiran dengan IPD Ampang. Besar signage dia, ada lampu lip-lap lagi. Banyak kali aku lalu kat situ pasal ada satu kedai mamak yang jual "Nasi Lemak Royale" bersebelahan dengan pusat urut tu. Setiap kali aku lalu aku akan terlihat beberapa orang warga asing duduk-duduk di kerusi depan pusat urut tu. Aku tak berani nak ke situ sebab takut yang 'business' didalamnya lain! Jadi bila aku berkesempatan untuk merehatkan badan dan minda hari ni, aku terus membuat perancangan nak ke 'Thai Odyssey' yang bersebelahan dengan CF Gym. Pukul 6.30 pagi aku dah mula gerak ke VI sebab nak hantar kasut pada abang, kasut sekolah abang dah berlubang dibahagian tapak! Tepat pukul 7 pagi aku dah terpacak di gym. Selepas menyalin pakaian aku terus melakukan stretching selama 15 minit sebelum aku mula dengan treadmill selama 30 minit. Bench press, bicep and tricep curl sikit, abs crunch sikit, thigh and back press sikit, aku tengok jam dah pukul 8.30 pagi. Aku bergegas ke locker, mandi dan keluar segar-bugar. Minum kopi sekejap di lounge sambil baca suratkhabar. Pukul 9.30 pagi aku melangkah keluar nak ke Thai Odyssey kononnya nak mengurut badan yang bila dah sejuk, mula terasa sakit satu badan. Sakit pada bahagian badan yang ditekan-tubi tadi! Rupa-rupanya TO masih lagi tutup dan dibuka hanya pada pukul 10 pagi. Aku malas nak tunggu. Terus menuju ke motor dan memecut ke KL Central. Pergi ke kaunter KTM bertanyakan perihal tambang KL-BKK-KL. Gadis dikaunter KTM explain pada aku dengan panjang lebar dan lembut sekali. Banyak yang aku tanya sebab dah lama aku tak naik keretapi kecuali ke Senawang dan Seremban tempohari! Tapi dia bagitahu yang keretapi dah pun 'ceased' operation ke Bangkok dari minggu lepas sebab katanya ada sedikit rusuhan dan keadaan di sempadan tidak stabil.....takpalah...aku ada masa selama beberapa bulan lagi....

Affordable rate!

Hampir 20 tahun dulu aku pernah ke Brickfields berurut dengan tukang urut buta. Aku ke tempat yang sama kali ni. Tapi di massage center yang nampak dari luar lebih ceria dengan bangunan dicat warna hijau terang! Aku disambut baik oleh bossnya yang bernama See Kok Chuan. Orang Selangor katanya dan fasih berbahasa Melayu. Kami bersembang sebentar sebelum aku diajak ke dapur untuk sama-sama minum kopi dengan Ah Chuan. Tukang urut aku dalam perjalanan katanya! 20 minit kemudian, tukang urut aku sampai. Ah Chuan kata, kalau tukang urut tu tak buta, dalam masa 2 minit dah sampai! Kami masuk ke bilik nombor 2. Dia perkenalkan dirinya sebagai Uncle Sam berusia 62 tahun dan buta sejak lahir. Isterinya juga buta tapi bernasib baik kerana anak-anaknya tidak! Sambil berurut sambil bersembang. Banyak yang kami bualkan tentang falsafah hidup kami yang ternyata sedikit sebanyak ada titik persamaannya.

Uncle Sam (Saya Anak Malaysia katanya) berasal dari Simpang Kangkung di Alor Setar. Seorang yang ceria dan sangat positif. Katanya kenapa harus susah hati dengan keadaan diri yang buta? Itu tidak membantu dan akan memendekkan umurnya! Uncle Sam pernah bekerja di HSBC di Jalan Burmah, Penang semasa mudanya sebagai operator. Sebelah malamnya mengambil upah mengurut. Uncle Sam happy dengan kehidupannya. Tidak mengejar harta dan segala kebendaan yang selalunya membuatkan manusia bertambah tamak. Aku teruja dengan cerita-ceritanya. Bahasa Inggerisnya sangat baik. Begitu juga dengan Bahasa Melayunya. Aku yang sakit-sakit badan tiba-tiba hilang sakit. Kami berbual rancak. Aku dengar dengan teliti setiap butir dan patah perkataannya yang sungguh berfalsafah....
 
Titik persamaan yang ada pada kami aku rasa ialah, 'live life to the fullest!'. Uncle Sam bercerita yang dia ada didatangi seorang towkay besar yang mahu mengurut. Ada bodyguard yang akan check tempat urut tu sebelum Uncle Sam dibenarkan mengurut. Tapi apabila towkay tu masuk dan berbaring diatas katil urut, Uncle Sam lah akan menjadi 'taiko tai'. Seperti kebiasaannya, Uncle Sam akan mula bersembang. Katanya dia peduli apa dengan siapa yang dia urut sebab dia bukannya nampak orang tu! Aku mengekek geli hati! Dalam dok berurut, towkay tadi mula membuka cerita. Katanya lebih baik jadi Uncle Sam daripada menjadi towkay sepertinya. Uncle Sam tidak ada musuh. Towkay besar ramai musuh yang menunggu. Uncle Sam boleh hidup dengan tenang dan pergi kemana-mana saja yang Uncle Sam mahukan sedangkan Towkay besar tidak! Towkay besar sentiasa hidup dalam berjaga-jaga.....Itu lah yang diceritakan Uncle Sam pada aku. Aku mendengar sampai melopong mulut aku. Nasib baik Uncle Sam tak nampak!
 
Tapi ada sesuatu yang diceritakan oleh Uncle Sam dan membuatkan bergenang air mata aku......Uncle Sam berkata yang selama perkahwinannya yang sudah mencapai berpuluh tahun itu, tidak pernah sekali pun dia membawa isterinya pergi melancung. Akhirnya setelah 16 tahun terakhir ini Uncle Sam bekerja mengurut siang dan malam, barulah hatinya puas kerana telah berjaya mengumpulkan wang untuk menaiki bas ekspres membawa isteri tercintanya ke Hatyai, Thailand pada hujung bulan September nanti.......hati, jiwa dan perasaan aku rabak............dalam diam aku mengesat air mata......dan sekali lagi, nasib baik Uncle Sam tak nampak!!!!

 

Tewas

Harap maaf betul kerana saya tak termampu nak ipdate cerita-cerita saya disini. Banyak sebenarnya nak dikisahkan. 2. Walaubagaimanapun say...