Adik-adik yang sangat Uncle sayangi. Berbalik kepada topik restoran dan hotel pada minggu ini, pada suatu ketika diwaktu permulaan kerjaya, seperti yang pernah Uncle ceritakan, Uncle bertugas sebagai "cleaner" di Shangri La Hotel Georgetown di Pulau Pinang. Kini dipanggil Jen Hotel kalau tak salah Uncle. Berhadapan dengan St Giles Wembley di Jalan Magazine. Masuk pagi, kami ada briefing. Mendengar dengan teliti kesemua arahan, menerima assignment, mendapat pesanan mengenai vip guests, diulangi standard operating procedures untuk masuk ke bilik dan sentiasa diingatkan agar berdisiplin, jangan panjang tangan dan sebagainya. Hampir setiap pagi Uncle akan mendengar perkara yang sama. Kebanyakkan orang akan memandang remeh kepada briefing yang diberikan setiap pagi. Mereka berbual dan tidak memberikan perhatian. Tidak bagi Uncle. Uncle memandang ini secara serious. Apa yang diberitahu akan Uncle catatkan. Makanya buku nota kecil dan pen amatlah penting sekali. Oleh kerana kerja ini merupakan "routine harian" sebahagian besar daripada mereka mula cepat berasa bosan. Apabila mereka bosan, mereka akan melakukan kerja dengan sambil lewa. Beberapa minit sebelum tamat waktu kerja mereka akan mula berkumpul, menolak trolley masuk ke pantry masing-masing dan mula menukar baju sambil menunggu waktu untuk balik.
Adik-adik yang amat Uncle sayangi. Uncle mengambil kesempatan diatas kelekaan rakan-rakan setugas tadi dengan bekerja bersungguh-sungguh. Uncle cari kesalahan mereka. Jika mereka sering masuk lambat, Uncle pastikan yang Uncle masuk awal. Jika mereka selalu mencuri waktu, Uncle pastikan yang Uncle selalu melebihkan waktu walau 10 minit sekalipun. Jika Uncle melihat mereka bersembang tak tentu hala tanpa topik yang bernas, Uncle akan buka buku nota dan rujuk kembali pesanan-pesanan supervisor. Bagi Uncle, these are all simple things that you can do untuk memastikan yang adik-adik sentiasa berada sedikit kehadapan berbanding dengan mereka. Ini bukanlah memencilkan diri ataupun anti sosial tetapi adik-adik harus ingat bahawa adik-adik dibayar untuk bekerja.
Apabila Uncle masuk ke bilik untuk mengemas, Uncle akan pastikan yang barang-barang berharga tidak disentuh. Kadang-kadang terlihat wang yang berselerakan. Barang-barang kemas ditinggalkan begitu sahaja. Kebiasaannya jika ini berlaku, Uncle akan memanggil supervisor untuk menjadi saksi sewaktu Uncle mengemaskan biliknya. Supervisor yang berpengalaman akan mencatatkan barang-barang yang dilihat dan lokasinya sebagai catatan peribadi. Begitu juga Uncle. Ini untuk memastikan yang tidak ada apa-apa barang diubah tempatnya ataupun dibawa keluar daripada bilik. Jika supervisor sibuk, Uncle akan menutup pintu dan kembali lagi apabila supervisor mengiringi Uncle untuk masuk. Harus diingat bahawa setiap kali pintu bilik hotel dibuka, "bacaan"nya akan bermula. Door log boleh diambil untuk memastikan tidak ada pencerobohan bilik berlaku sewaktu ketiadaan tetamu. Didalam log tersesebut akan tercatat pukul berapa pintu dibuka, berapa lama terbuka dan pukul berapa ditutup. Jenis-jenis kunci juga boleh diketahui. Setiap kunci bilik yang diberikan kepada tetamu akan disetkan waktu masuk dan daftar keluarnya. Oleh itu apabila tetamu keluar kuncinya tidak boleh digunakan lagi. Tetamu lain yang masuk ke bilik yang sama selepas dibersihkan akan disetkan dengan kunci yang baru.
Uncle paling suka jika ada tetamu dibilik sewaktu Uncle membersihkannya. Uncle akan mula berbual dengan mereka. Ini menambahkan ilmu pengetahuan Uncle mengenai negara asal mereka, apa yang mereka suka dan kemana yang mereka ingin lawati. Daripada situ Uncle akan bercerita mengenai tempat-tempat menarik yang ada di Pulau Pinang, makanan-makanan yang lazat serta budaya masyarakat setempat. Disitu Uncle membina keyakinan diri untuk bercakap dengan tetamu baru. Bijak mengatur topik yang sesuai untuk berbicara. Belajar mengenai body language setiap tetamu. Perkara-perkara tersebut menimbulkkan keinginan Uncle untuk membaca, mempelajari lebih dari satu bahasa dan seterusnya timbul keinginan untuk melancong seperti mereka. Adik-adik, bukankah ini semua perkara positif?
Pengajaran untuk adik-adik
- Tepati waktu - apabila adik-adik menjawat jawatan yang besar nanti, kelewatan adik-adik akan membuatkan adik-adik dipandang sinis. Bagaimana adik-adik mahu menjadi ketua sedangkan adik-adik sendiri tidak menunjukkan disiplin yang baik?
- Dengar arahan - apabila adik-adik menjadi ketua jabatan, adik-adik akan mula memberikan arahan. Apa akan berlaku jika para pekerja adik-adik tidak mendengar setiap arahan yang diberikan? Dimanakah "nilai" adik-adik pada waktu itu?
- Integrity - jujur dan amanahlah terhadap apa saja yang adik-adik lakukan. Jangan sekali-kali mengambil hak orang lain kerana suatu hari nanti hak adik-adik pula akan diambil! Laksanakan amanah yang diberikan itu dengan rasa tanggungjawab dan takut kepada Allah. Uncle sering melihat wang yang berkepuk ditinggalkan dibilik. Barangan kemas yang nilainya ratusan ribu ringgit diatas meja solek dan pelbagai lagi. Tetapi alhamdulillah, Uncle selalu teringatkan pesanan arwah Bapak untuk tidak sekali-kali mengambil kesempatan seperti itu.
Kepada adik-adik, Uncle ingin berpesan....lakukan setiap pekerjaan itu dengan bersungguh-sungguh dan jangan mengambil kesempatan diatas kepercayaan yang diberikan terhadap adik-adik untuk kepentingan diri sendiri. InsyAllah adik-adik akan berjaya....Have a pleasant weekend people.....