Banyak kenangan aku dengan 'sardin/mackerel' ni. Ini selalunya akan menjadi makanan 'darurat' aku. Salah satu kenangan yang aku tak boleh lupa pasal sardin ni ialah sewaktu bulan Ramadhan sekitar 2008 atau 2009 dulu bilamana ada sekumpulan VIP termasuk beberapa Menteri menginap di Hotel Al Safwah tempat aku bekerja. Kebiasaanya aku akan meneliti guests list yang akan menginap di tempat kami. 2 minggu sebelum itu aku akan mula membelek-belek negara asal jemaah-jemaah ini. Ada yang datang dari Qatar, ada yang dari UAE, ada yang dari England dan ada juga yang dari Amerika. Daripada situ aku akan groupkan pula benua mereka. Ini aku lakukan dengan teliti. Aku mengambil masa yang agak lama untuk membuat perancangan makanan mereka. Maklumlah yang akan menjamu selera nanti mencecah 1500 orang setiap kali makan! Makanan dari segenap benua dipilih daripada beratus-ratus jenis makanan didalam menu kami yang telah disiapkan oleh Executive Chef aku yakni Chef Nashat dari Egypt (masih lagi disana). Setiap malam kami akan duduk berbincang selama 2 jam dan merencanakan menu-menu yang akan disediakan untuk jemaah dari setiap negara. Amat melelahkan fikiran..
Datang permintaan daripada sebuah agensi ternama memberitahu aku bahawa rombongan yang dibawa kali ini ialah rombongan VIP. Termasuklah beberapa orang Menteri. Aku jadi tak sabar nak bertemu jemaah daripada Malaysia. Menu mereka telahpun disiapkan. Jemaah Malaysia yang menginap di Hotel Al Safwah agak fleksibel. Mereka mahukan makanan international seperti yang aku dah rencanakan untuk jemaah lain dari seluruh dunia walaupun kadangkala aku selitkan juga kurma ayam, kari daging dll.
10 hari jemaah Malaysia tinggal di Hotel Al Safwah dan tiap-tiap hari makan kabsah dan mandhi kambing dan ayam. Tiap-tiap hari makan seafood dll hinggalah suatu hari sewaktu nak bersembahyang Zohor di Masjidil Haram, aku sempat bertanya kepada salah seorang daripada mereka. "rombongan Dato' malam ni nak makan malam di tempat biasa ka?". Kami menuruni escalator untuk ke masjid bersama-sama..."Macam ni lah Shahrir, kami dah tak tahu nak makan apa. Semuanya bagus kat sini tetapi agak 'heavy' dah untuk kami...rasanya malam ni kami pakat nak pergi makan kat luar pulak...ala....yang simple-simple saja....buffet you tu banyak sangat makanan. Bila makan tak boleh stop!". Perbualan terhenti disitu dan kami mengambil tempat masing-masing untuk bersolat jemaah.
Secara kebetulan sekali lagi kami bertemu sewaktu mahu pulang ke hotel selepas bersembahyang Asar. Kali ini pula tiba-tiba beliau bersuara bertanyakan apa yang aku siapkan untuk berbuka puasa. Macam biasa, aku pun bercerita mengenai menu international aku. Aku lihat beliau seperti tak berminat dengan apa yang aku cakapkan. Sewaktu menaiki escalator untuk ke lobby hotel, aku bagitahu, "Dato', malam ni saya masak sardin.....campur bawang dan cili padi". Dalam keadaan separa dengar, Dato' menoleh kearah aku dengan mata bersinar-sinar. "Shahrir, kalau macam tu, saya turun makan nanti. Saya kena bagitahu pada yang lain. Confirm semua turun cari you nanti!". Aku gelak kecil. Kami berjabat tangan.
Selalunya di bulan Ramadhan, hari aku bermula dari pukul 9 pagi. (Hari lain aku mula pukul 7 pagi). Meeting dengan pasukan aku, meeting dengan chef aku, meeting dengan sales department, meeting dengan accounts department, meeting dengan engineering department, meeting dengan tour leaders serta bertemu dengan para jemaah untuk mendapatkan feedback. Kesemuanya berlarutan hinggalah ke malam. Sekitar 11 malam barulah aku dapat duduk sebentar dan minum cappucino sambil menikmati keindahan dataran Masjidil Haram dari restaurant kami yang bertentangan dengan masjid. Pukul 1 pagi, sahur akan bermula sehinggalah ke waktu sebelum azan Subuh. Aku masih bertugas. Aku hanya melangkah kaki balik ke bilik selepas itu. Lepas Subuh aku akan tidur hingga pukul 8 dan kembali bersiap untuk masuk ke pejabat pada pukul 9. Tidak ada off day sewaktu bulan Ramadhan dan juga musim Haji.
Kembali kepada cerita jemaah VIP tadi, aku dapat panggilan daripada beliau yang mengatakan semua jemaah Malaysia didalam group beliau akan turun makan sahur dalam pukul 2 pagi. Aku kata ok tak ada masalah sebab semua dah disediakan. Tapi sebelum beliau mematikan panggilan, beliau berkata, "Shahrir, kami cuma nak makan sardin cicah roti. Ada......kan......". Hahahahahahahaha.......kali ni aku jadi kalut sebab sardin semalam untuk iftar dah habis mereka makan! Kelam-kabut aku berlari ke stor dan ambil satu kotak yang didalamnya ada berisi tin-tin sardin. Sampai didapur, aku bagitahu Chef Dollah...(Chef Abdullah dari Indonesia masih disitu lagi), ini kena masak ekspres.....mesti siap dalam masa 20 minit. Chef Dollah jadi kalut. Bila Chef Dollah jadi kalut, Chef Eka (dari Bali) akan juga jadi kalut! Mereka berdua ni merupakan diantara chef terbaik aku waktu itu. Tidak pernah mengeluh apabila bekerja dengan aku. Suruhlah masak apa pun. Pasti akan dibuat mereka. Beriani mereka, soto mereka, kurma ayam mahupun daging, kari kepala ikan salmon dll mereka ni lah yang masak. Sampai kepada ikan masin aku pun digorengnya mereka di rumah dan dibawa ke hotel untuk aku. Kalau goreng di hotel semua orang akan pengsan katanya....hmmm betul jugak! Penangan sardin ni memang hebat..
Berbalik kepada tetamu-tetamu VIP aku tadi, tepat pukul 2 pagi kumpulan mereka pun turun. Aku dah tunggu di depan restaurant untuk menyambut walaupun tadi iftar aku dah sambut! Hahahahahaha..... Mereka turun dengan pasangan masing-masing. Semuanya terus menuju ke meja buffet untuk mengambil shorba, salad dan juga roti. Sebelum mereka mula bertanya, aku keluarkan sardin yang baru chef Dollah dan Eka prepare dan letak diatas meja. Kelihatan masing-masing tersenyum. Makan berselera. Ada yang makan dengan nasi dan ada yang cicah dengan roti...aku yang melihat berasa puas!
Waktu kecil, tin-tin sardin akan sentiasa tersusun didalam gerobok buruk di dapur rumah. Waktu aku kecil dulu bila arwah mama pening tak tahu nak masak apa untuk kami ber enam, sardin lah yang akan dimasak. Tak ada orang yang komplen. Arwah mama hiris bawang bulat-bulat dan kemudian masukkan beberapa biji cili api. Ternganga kami adik-beradik makan. Sampai keluar hingus! Tak ada sesiapa yang merungut apa-apa pon......
Macam-macam kalau nak cerita pasal sardin ni. Sekali-sekala makan sardin ni sedap jugak. Tadi ada pulak kawan lama yang dah apikan aku suruh buat kari sardin. Disuruhnya aku masukkan ubi yang dipotong kiub! Wah...sedap ni...macamana nak diet! Huaarghhhhhhhhhh! Takpa...itu menu untuk esok aku berbuka....jadi kepada semua, selamat berbuka puasa pada waktu berbuka puasa! Hahahaha...