Ahad, Mac 23, 2008

KL here I come....




Aku sekarang didalam perjalanan ke KL melalui Dubai buat kali kedua. Di awal Januari laluanku juga melewati lapangan terbang ini dan kini sekali lagi. Penerbangan dari Jeddah telah terlewat selama 30 minit. Ini biasa kata penumpang di sebelah ku yang berasal dari Dubai tetapi menaiki pesawat dari Jeddah kerana melakukan umrah bersama-sama ibunya (sangkaku)

Lapangan terbang Jeddah telahpun diubahsuai. Agak lebih selesa daripada yang lepas-lepas yang tak ubah seperti airport Alor Setar di tahun 80-an ataupun Bayan Lepas di Pulau Pinang. Pesawat penuh sesak dengan orang yang pergi umrah di Mekah memandangkan 2 hari sebelum itu adalah perayaan Maulidur Rasul (tidak disambut di KSA kecuali masjid-masjidnya akan penuh) Aku bernasib baik kerana pada hari itu (Khamis) aku berkesempatan untuk pergi ke Mekah bersama-sama MBH, IN, Tan Sri dan Puan Sri yang sama-sama ingin melakukan umrah. Sempat juga aku melakukan tawaf Kaabah dan kemudian bersembahyang Magrib dan Isyak didepan Kaabah. MasyAllah beruntungnya aku berbanding dengan orang-orang lain. Aku bersyukur sangat. Aku menghantar mereka ke Mekah dan kemudiannya sempat melawat Le Meridien Hotel, Hilton Hotel dan juga Inter Continental Hotel. Memang besar dan ada satu lagi hotel yang sedang dalam pembinaan iaitu Zam-zam Hotel yang akan mempunyai lebih kurang 4000 bilik. Sungguh menakjubkan dan teringin aku untuk berada dikelompok orang yang pertama melakukan pembukaan itu

Okay berbalik kepada Dubai Airport yang sentiasa diuar-uarkan sebagai salah satu daripada yang terbaik didunia tetapi bagi aku KLIA lebih menakjubkan dari segi prasarana dan segala-galanya walaupun banyak lagi yang mampu dilakukan oleh MAB untuk menaiktarafkannya. Teringat aku yang birthday Wakana yang lepas aku tidak membeli apa-apa untuknya jadi aku melangkah laju masuk ke kedai make-up lalu terus ke Christian Dior untuk membelikannya 5 Couleurs 009 (cinq couleurs = five colors) eye shadow. Aku harap Wakana sukakannya. Kalau tanya aku, memang aku tak tahu satu habuk pun pasal benda-benda yang macam ni.....tak romantic langsung...hah3!

Gambar yang kat atas tu salah-satunya ialah Harley Davidson model terbaru (aku minat gila dengan HD nih yang bakal menggantikan kapchai aku!)kini dipertontonkan disini selain daripada gambar shopping areanya yang tak ubah seperti Mega Sale di KL!

Selasa, Mac 18, 2008

No Smoking Please!


Kepada perokok-perokok tegar sila ambil perhatian. Anda dilarang merokok atau berfikir untuk merokok di kawasan berhampiran dengan Masjid Nabawi ataupun mana-mana kawasan strategik kerana terdapat banyak papan-papan tanda yang melarang anda berbuat demikian. Seperti contoh diatas.

Kebanyakkan kedai disini juga tidak menjual rokok dan ada sekali aku ditegur kerana merokok di kawasan yang berhampiran dengan masjid. Bukan oleh polis tetapi oleh orang yang lalu-lalang. Walaupun aku bukanlah perokok yang mampu menghabiskan sekotak sehari tetapi ada kalanya aku juga kehabisan bekalan. Kelam-kabut dibuatnya. Terpaksa aku berjalan sejauh 20 minit semata-mata untuk mendapatkan sekotak rokok sebelum kawan aku datang dari Kl dengan sekatun bekalan yang dibeli di KLIA.

Kebanyakkan kedai makan disini juga melarang anda merokok didalam premis mereka. Jadi kalau keinginan meluap-luap, anda dikehendaki keluar dari restoran!

Ahad, Mac 16, 2008

Carpet Baru!


Hey, carpet baru dah sampai, finally! Aku gembira sangat kerana sudah menunggu lama untuk carpet baru ni. Sebenarnya pada musim haji yang lepas kami dah pun beroperasi tetapi tutup semula memandangkan low season dan langsung tak ada orang untuk mengerjakan umrah lagi, kebanyakkan hotel di Madinah ditutup selama hampir 2 bulan untuk proses pengubahsuaian untuk season baru begitu jugalah dengan kami

Selepas ini nampak gayanya masa kami akan terus jadi tak menentu memandangkan kami terpaksa bermati-matian mempercepatkan projek pengubahsuaian ini sebelum mula menyambut tetamu-tetamu Allah yang akan mula membuat ziarah....setelah semuanya selesai aku akan uploadkan gambar kamar baru kami dengan LCD TV (first in Medina!), curtain baru, carpet baru dan serba-serbinya baru.....tunggu ya!

Sabtu, Mac 15, 2008

SDAR Part 1

Pada tahun 1981 aku telah diterima memasuki sebuah sekolah berasrama penuh di Seremban. Pada waktu itu aku mengikut arwah Bapak yang bertugas di Alor Setar. Beberapa hari sebelum hari pendaftaran aku telah mula merasa berdebar-debar. Check list aku penuh kerana mengikuti garis panduan yang telah diberikan oleh Kementerian Pelajaran pada waktu itu. Kain cadar, sarung bantal, kain selimut, baldi baju, cebuk segala, penuh dibelakang kereta sewaktu mendaftar.Aku menghampiri umur 13 tahun pada waktu itu. Bersemangat sekali untuk berdikari. Terasa dewasa!

Sesampainya aku diperkarangan sekolah, aku terlihat ramai para ibubapa sedang sibuk mendaftarkan anak-anak mereka. Ada beberapa orang yang aku kenal seperti Rohimi Chelah (tinggal di quarters Henry Gurney Telok Mas Melaka sama dengan aku!)juga mendaftar seperti aku. Selain daripada itu ada lagi 4 pelajar tingkatan 2 yang aku pernah lihat sebelum ini di Bandar Hilir English School, Melaka juga berada ditempat yang sama walaupun bukan untuk mendaftar. Mereka ialah Fauzi (Mat Rock), Malakut (sorry nama dah lupa), Matt London (sorry nama dah lupa) dan Ajak Gonjeng (mesti nama dia Razak). Aku lega...oh ya Matt London ialah bekas Ketua Pengawas aku di BHES Melaka tahun 1979 dulu.

Selepas mendaftar kami dibawa ke hostel penginapan.Kalau tak salah, aku ditempatkan di Block A tingkat bawah bersama-sama Shidut, Mek dan Haq (kami satu cube). Waktu keluarga aku ingin melangkah pulang barulah aku terasa sedikit kesedihan memandangkan aku adalah anak bongsu didalam keluarga jadi hubungan aku dengan Mama agak rapat. Aku menangis sewaktu mereka melangkah pergi. Kesedihan tidak dapat aku bendung di 2 bulan pertama. Suasana bangun pagi untuk mengerjakan solat Subuh sungguh mengujakan. Bayangkan seorang budak lelaki yang berumur 13 tahun yang selama ini sentiasa bersama keluarga kini telah meningkat remaja dan tinggal bersendirian. Keadaan bertambah keruh apabila rakan ku Pop Yeh-Yeh (dari stesen keretapi Gemas)selalu mengajuk kami yang datang dari jauh dengan kata-kata "Mak jauh.....Bapak jauh....." aduh aku menjadi bertambah sayu dan kadang-kadang aku berlari ketandas di blok A bukannya untuk membuang air kecil ataupun besar tetapi untuk membuang air mata. Kadang-kadang aku dipujuk juga oleh rakan-rakan yang bersimpati seperti IQ dan Judd.

Pakaian kami pada waktu itu ialah baju putih lengan pendek, seluar pendek berwarna hijau, stokin panjang putih sampai ke lutut dan berkasut kulit hitam. Wah hebat sungguh kami......sampai sekarang aku tak dapat melupakan pakaian kami tadi kerana ia mengingatkan aku kepada "mandor estet!". Rakan sekelas aku pada waktu itu ialah (guys, correct me if i'm wrong here) Judd, Chelayer, Kudo, IQ, Singh (the one and only Singh who is now a dentist!),Jaws, Bong, Pop Yeh-Yeh dan ramai lagi yang aku dah lupa nama mereka. MasyAllah memori aku dah berkurangan rupanya.

Kami tak dibenarkan keluar kecuali "outing" pada hari Sabtu dari jam 10 pagi hinggalah jam 6 petang. Outing tersebut aku gunakan selalunya untuk pergi makan di Seremban Lake Garden (A&W) ataupun keluarga aku akan datang dan membawa aku makan tengahari di Restoran Bilal berdekatan dengan tapak stesen bas lama Seremban. Jadi dalam seminggu tu dapatlah aku merasa makanan dari luar dan bukannya nasi kawah seperti selalu berlaukkan ikan Uji Rashid ataupun ikan Jacket serta nasi keras yang terpaksa diketuk dengan piring plastik dan kemudian disendukkan kepinggan.Errr....harus disendukkan ke pinggan Senior dulu ya....jangan lupa...aduh, muka senior-senior pada waktu itu......masyAllah.....bakal mengigau 3 hari 3 malam kalau mengingatkannya....nama-nama seperti Kendo, Rono dll sungguh mengecutkan perut aku. Kalau nak lalu didepan mereka, aku harus meminta izin dahulu kalau tidak....

Walaubagaimanapun itu dulu. Kini apabila bertemu mereka (pelajar-pelajar senior)kami lebih seperti ahli keluarga. Begitu akrab sekali. Kepada rakan-rakanku seperti Kudo, IQ dan Apam sumbangan anda dan komen-komen anda amatlah diharap-harapkan untuk mengembalikan nostalgia kita semasa sama-sama di SDAR dulu dari tahun 81 hinggalah ke tahun 85.

Khamis, Mac 13, 2008

Polis Trafik


Aku ada berjanji tempohari yang aku akan cuba untuk dapatkan gambar polis disini. Nampaknya berjaya juga aku curi-curi ambil gambar walaupun dari belakang. Polis disini menggunakan motor Yamaha Virago dan Mohammad ni sedang menggunting janggut!

Selasa, Mac 11, 2008

Sigh.....



Selalunya aku begitu energetic untuk melakukan sesuatu tetapi ada juga masa aku merasakan yang aku tak mahu langsung melakukan apa-apa. Perasaan tak mahu melakukan apa-apa itu menyerang aku kini. Tepat pada waktu ini! Nak makan tak ada mood. Nak exercise dan buat streching tak ada mood. Nak keluar berjalan-jalan tak ada mood. Nak membasuh baju apalagi menggosok langsunglah tak ada mood! Walaubagaimanapun selepas ini aku masih perlu menyiapkan satu report yang perlu dihantar secepat mungkin. Kemudian aku harus menghantar satu list kepada supplier untuk mendapatkan quotation yang aku janji akan dihantar pada hari ini

Besok pagi pukul 11 aku ada satu temu janji dengan seseorang kemudian harus melihat progress hotel ketahap mana sekarang ini. Ahhhh.....semoga mood aku kembali datang secepat mungkin.

Gambar yang aku attachkan diatas adalah merupakan kawan-kawan aku di Le Bouveret, Suisse dulu. Ocha atau nama sebenarnya Rosana Winarto sekarang bergelar Associate Director of Catering and Convention di Amerika manakala Ice ataupun Johann Runarrson kini ialah Assistant Director of Food and Beverage di London. Aku gembira dengan kejayaan mereka!

Ahad, Mac 09, 2008

Aku dan Sean Connery...

Pertama sekali aku ingin memohon maaf kerana gambar yang aku uploadkan di blog sebelum ini agak kabur dan tambah menyakitkan hati, ia berulang-ulang. Aku cuba edit, semuanya hilang....aku buat semula, sekali lagi berlaku perkara yang sama. Ahgh...geram sungguh. Maaf sekali lagi aku pinta!

Selama aku bekerja di hotel-hotel bertaraf antarabangsa banyak sudah pengalaman yang telah aku lalui. Daripada celebrities, anak-anak raja (bukan rajagopal) sehinggalah kepada pembesar-pembesar negara, semuanya telah aku jaga. Sungguh menarik dan mengujakan sekali. Pekerjaan "professional" ini hanyalah bagi sesiapa yang mempunyai minat yang mendalam,passionate dengan kerjayanya dan sentiasa positif serta bercita-cita tinggi (aku rasa semua pekerjaan begitu!)

Anda masih ingat dengan cerita "Entrapment" beberapa tahun lalu lakonan pelakon tersohor seperti Catherine Zeta Jones dan Sean Connery?. Ia berkenaan dengan kecurian salah sebuah potret yang termahal..kebanyakkan shootingnya dilakukan di KL dan juga hotel ditempat aku bertugas.

Kedua-dua pelakon tersebut juga tinggal dihotel yang sama tetapi difloor yang berlainan kerana mereka tidak "sekepala". Sean Connery menginap di non-smoking floor manakala Catherine Zeta Jones difloor merokok. Aku bernasib baik kerana ditugaskan untuk menjaga makan-minum mereka. Segala-galanya terpaksa aku lakukan dengan teliti kerana Sean Connery mempunyai diet makanan seimbang yang sangat tegas. Strict diet regime! Sean Connery dan isterinya (satu-satunya isteri beliau!)tidak suka makan diwaktu puncak kerana tidak mahu dikerumuni peminat dan juga paparazzi yang selalunya berjaya menghidu kedatangan celebrities. P.A. nya akan menelefon aku dan bertanyakan samada masih ramai lagi tetamu yang ada direstoran ataupun tidak sebelum memberitahu aku yang James Bond akan turun lebih kurang setengah jam lagi. Orangnya baik dan peramah. Aku sebenarnya tahu helah beliau. Setengah jam kemudian seorang pelakon ternama turun dengan tenangnya berjalan perlahan menuju kearah aku direstoran. Tinggi dan tegap. Aku yang telah menunggu dari pagi (aku selalunya masuk jam 6 pagi)tersenyum melihat beliau. Aku menyambutnya lalu berjabat tangan lantas membawanya ke meja 71 (aku masih ingat)iaitu kawasan tidak merokok. Setelah beliau duduk, aku bertanya dengan cara yang paling sopan samada beliau memerlukan apa-apa bantuan dari aku untuk mendapatkan makanan dan minuman. Beliau menjawap tidak perlu dan beliau akan mengambilnya sendiri. Aku mengemas sedikit mejanya kerana beliau hanya seorang sedangkan setting dimejanya adalah untuk 2. Beliau bingkas bangun dan mencapai pinggan didalam rak pinggan panas (plate warmer) lalu menuju ke "egg station". Aku sekali lagi bertanya samada dia memerlukan bantuan aku memandangkan beliau terpaksa menunggu giliran. Jawapnya ok. Aku gembira kerana dapat membantu

Aku lihat dikiri dan kanan tetamu-tetamu yang lain mula bercakap sesama sendiri sambil sesekali menoleh kearahnya. Tetamu wanita sangat terpesona dengan gaya dan karismanya. Aku dengan tenang mengambil dan menghantar ommelette yang dipesannya tadi dan membawa condiment kegemarannya. Beliau tidak minum kopi ataupun teh maka aku terbalikkan cawannya supaya tidak ada yang bertanya apa yang beliau nak minum. Cawan tetamu yang tidak mahu minum kopi ataupun teh selalunya akan ditinggalkan berkedudukan terbalik diatas meja kerana jika tidak, para pekerja lain akan kerap menghantar cawan yang baru kerana beranggapan meja tersebut tidak diset dengan sempurna (breakfast period only) dan ini akan mengganggu tetamu yang ingin menikmati sarapan pagi dengan tenang. Selain daripada menjaga Sean Connery aku juga perlu memastikan tetamu-tetamu lain juga mendapat layanan yang sama.

Tiba-tiba satu persatu tetamu yang sedang makan tadi bangun dan menuju kearah beliau. Beliau tenang dan senyuman sentiasa terukir diwajahnya. Semua ingin berjabat tangan dan mengambil gambar sebagai kenangan kerana bukan mudah untuk berjumpa dengan aktor ternama dari Hollywood. Aku cuba menyelit dan berbisik ditelinganya samada beliau selesa dengan keadaan tersebut dan jika katanya tidak, aku akan terus membawanya ketempat lain (private room) ataupun kebiliknya sahaja. Beliau masih mahu menjamu selera disitu. Aku ok sahaja. Selepas hampir kesemua tetamu dilayannya, beliau dengan senyuman yang sentiasa dibibir dengan sopannya meminta diri untuk beredar dan mengucapkan terimakasih kepada mereka yang datang berjabat tangan dengannya. Suara-suara nakal kedengaran dibelakang memuji beliau. Sebelum keluar dia berjabat tangan sekali lagi dengan aku dan tersenyum panjang. Aku faham senyumannya. Keadaan mula reda. Tetamu-tetamu business yang lain mula beredar manakala yang bercuti kembali menyambung sarapan.

Aku menerima panggilan sekali lagi dari P.A nya. Aku menjawap dengan tenang. 15 minit kemudian turunlah Sean Connery dengan isterinya dan aku terus membawa mereka ke meja 63 di non-smoking area. Orang ramai kelihatan bingung dan bercakap-cakap sesama sendiri. Aku terus menuju kedapur dan memberitahu Executive Chef yang SC telahpun sampai. EC yang menunggu dari tadi didapur mula menjadi sibuk. Setelah makanan siap, aku dipanggil kedapur. Semuanya telah terhidang. Aku merasa sedikit makanan dan minuman yang telah disiapkan (kebiasaan aku untuk merasa dahulu sebelum dihidangkan kepada tetamu VIP, errr...sudah tentu dari pinggan dan gelas yang berlainan!)dan apabila aku berkata ok, barulah kesemuanya dibawa keluar. Sekali lagi aku mengikut kedepan dan menghidangkan kepada SC. Aku selalunya akan melakukan sendiri kerana tidak mahu konsentrasi menjaga tetamu VIP terganggu dan jika ada sesuatu masalah, aku tahu apa yang sebenarnya berlaku! SC dan isteri makan dengan tenang. Kali ini tetamu-tetamu lain sudah mula menuju ke meja beliau. Aku sekali lagi dengan sopan menyapa tetamu-tetamu tadi dan memberitahu bahawa SC dan isteri tidak suka diganggu sewaktu sedang menikmati makanan. Mereka faham tetapi bertanya yang mana satu yang sebenarnya SC? Yang turun awal atau yang sekarang? Sambil tersenyum aku membisikkan kepada mereka "yang sekarang...". Kesemua mereka terpinga-pinga kehairanan.

Setelah selesai makan, aku mengucapkan terimakasih kepada SC dan isteri kerana sanggup turun kebawah walaupun tahu yang mereka akan diserbu peminat. Beliau tersenyum dan memberitahu yang besok beliau masih mahu aku berada disitu sewaktu dia turun makan. Ada shooting awal pagi katanya. Aku menjawap yang aku telahpun ada shooting schedulenya! SC hairan...

Jadi, yang datang awal tadi siapa? Itu ialah "double" nya. Susuk tubuh, ketinggian, paras rupa, cara percakapan, cara tanda tangan semuanya serupa. Malah rambut ubannya juga sama. Sebab itu aku tak mahu mengecat rambut aku yang dah beruban!!! Doublenya lah yang akan melakukan semua pergerakan pantas SC daripada berlari, bertumbuk, melompat dan segala-galanya yang lasak tetapi pergerakan perlahan seperti ketika makan, ketika bercakap ataupun ketika bercium dengan CZJ akan dilakukannya sendiri (walaupun mereka tidak sebulu!).

Jadi kepada anda yang masih memegang kad ataupun apa juga yang telah ditandatangani oleh SC, lihatlah betul-betul kerana tandatangan itu mungkin dilakukan oleh "doublenya" iaitu SEAN CRONNELY!!!!!

Sabtu, Mac 08, 2008

Umrah Part 2








Setelah aku selesai melakukan tawaf, aku bersolat sunat 2 rakaat lagi sambil kembali berdoa agar umrah aku diterimaNya. Kemudian kami berpusing-pusing mencari tempat sa'e kerana kebanyakkan signagenya ditutup sebab penyelenggaraan besar-besaran sedang dilakukan. Hinggakan para pekerja Al Haram pun salah memberi arah! Kami lantas menuju ketempat sa'e apabila diberitahu petugas lain. Sebelum sa'e sekali lagi kami meneguk air zam-zam. Kami berjalan terus ketempat sa'e dan kelihatan sungguh ramai orang disitu. Sewaktu melakukan sa'e aku teringat yang didalam buku ada dikatakan tempat yang sepatutnya kami mula berlari-lari anak. Ada isyarat lampu hijau. Difikiran, aku teringatkan "traffic light" tetapi ternyata jangkaan aku meleset sama sekali. Ia sebenarnya hanyalah merupakan lampu kalimantang yang dibalut dengan kertas hijau dan tidak berkelip-kelip pun. Tidak seperti yang aku fikir...sudah lama aku tidak berpeluh. Melakukan sa'e dari safa ke marwah aku agak sedikit letih mungkin kerana tidak cukup tidur ataupun tidak makan pada malam tadi. walaubagaimanapun aku sempat menghabiskannya. Teringat aku bagaimana arwah Bapak melakukannya walaupun kesihatan agak tidak memuaskan pada waktu itu. Begitu juga dengan Mama...tapi mereka berjaya..

Selepas melakukan sa'e aku terus bercukur sedikit. Aku masih tidak sanggup bercukur licin. Mungkin diwaktu lain. Kemudian azan berkumandang menunjukkan masuknya waktu maghrib. Pada waktu itu aku mula terasa mengantuk. Aku bangun dan melakukan solat sunat lagi sebanyak mungkin. Orang ramai mula masuk ke perkarangan Kaabah dan yang melakaukan tawaf telah bertambah kurang. Hampir sejam selepas itu barulah kami bersembahyang subuh dan diikuti dengan sembahyang jenazah seperti kebiasaannya Sekali ini aku nampak jenazah diusung diatas pengandar yang berupa stretcher dibawa keluar...

Kami terus mengatur tapak ke coin locker tadi untk mengambil beg kami dan keluar dari perkarangan Al Haram dan mencari tandas untuk menukar baju. Tandas terletak dibahagian luar Al Haram. Setelah selesai aku berjalan terus ke stesen bas untuk pulang semula ke Madinah. Bas bertolak pada pukul 7 pagi. Aku keletihan tetapi puas kerana berjaya melakukannya diwaktu aku berumur 40 tahun. Bagitu juga dengan Wakana yang menyambut hari lahirnya pada hari ini, sama dengan hari aku melakukan umrah....Happy 40th Birthday Wakana!

Jumaat, Mac 07, 2008

Umrah Part 1



Aku bertolak dari Madinah dengan menaiki bas Saptco bersama-sama Rozaimi Sani, Chief Engineer aku selepas kami menunaikan solat Isyak dirumah. Tambang bas hanyalah SR76 pergi-balik. Murah bukan? Selepas setengah jam bertolak, kami berhenti di Miqat Zul Hulaifah (bagi mereka yang datang dari Madinah dan buat pengetahuan semua, Jeddah bukanlah Miqat seperti yang diberitakan dahulu!)Kami diberi masa 20 minit untuk bersalin ke pakaian ihram. Aku dan Rozaimi begegas mencari tempat bersalin pakaian dan lantas melakukan solat sunat 2 rakaat. Masjidnya besar dan sangat cantik. Ini untuk menampung ribuan jemaah apabila tiba musim haji nanti. Suasana disekeliling tak ubah seperti pasar malam kerana ramai yang berjualan pakaian ihram dan segala.

Selepas bertukar dan bersembahyang sunat, kami terus menaiki bas untuk menyambung perjalanan. Rupa-rupanya hampir keseluruhan penumpang menyimpan niat yang sama! Mulut terkumat-kamit membaca doa selepas Miqat. "Hamba Mu datang menyahut panggilan Mu ya Allah. Hamba Mu datang menyahut panggilan Mu yang tidak ada sekutu bagi Mu. Sesungguhnya segala ujian dan nikmat adalah kepunyaan Mu yang tidak ada sekutu bagi Mu"

Selepas melafazkan ayat tersebut berulang-ulang kali, aku terus terlelap. Aku tersedar apabila kami sampai disatu lagi R&R. Perjalanan diteruskan sehinggalah kami masuk ke kota Mekah. Terang-benderang suasana walaupun jam sudah melewati jam 3 pagi. Tiba-tiba timbul keinsafan didalam diriku. Ramai sungguh manusia walaupun ini bukanlah waktu puncaknya tetapi memandangkan hari ini ialah hari cuti (hari Jumaat) maka inilah pemandangannya. Kami lantas memasuki perkarangan masjid dan mengambil wudhu untuk bersolat sunat 2 rakaat. Setelah selesai, kaki begitu cepat mengatur langkah untuk melihat dengan lebih dekat Kaabah. Hajar Aswad hingga tidak kelihatan kerana terlalu ramai orang yang ingin mengucupnya. Pelbagai kerenah dapat dilihat. Ada yang memegang Kaabah, ada yang meruntun-runtun kainnya ada yang seperti menyembah sambil kedua-dua tangan diangkat keatas. Polis sibuk cuba meleraikan mereka yang agak terpesong. Aku cuma memandang dan tidak mahu terikut-ikut dengan cara mereka. Jika tidak rugi saja umrah aku nanti. Aku dan RS meneruskan niat kami membuat 7 kali pusingan dan melakukan sebanyak doa yang boleh. Mendoakan akan kesejahteraan kedua ibubapa ku adalah tanggungjawap seorang anak, mendoakan kesejahteraan kakak-kakak dan abang-abang ku adalah tanggungjawap aku sebagai seorang adik dan dalam pada itu aku panjatkan juga doa kepada kami sekeluarga semoga beroleh rahmat dan keinsafan serta mendapat keredhaan dan petunjuk daripada Allah SWT

Khamis, Mac 06, 2008

My Baby You...




This is the latest photo of my beloved daughter, Marina Ayumi. Kata Wakana, Marina dah mula mengatur kata-kata seperti "...ohayou..." dsbnya. Gambar ini dirakamkan sewaktu Marina menyaksikan abang-abangnya bermain bolasepak sewaktu "MPPJ Football Carnival" tempohari. Cute and a bit chubby. Marina kalau sakit, langsung tak lalu nak makan tetapi selepas baik, makannya tak berhenti...

Yang lagi 2 tu adalah gambar Azumi dan Yuya sewaktu perlawanan bolasepak disana. Lihat sahaja pada pakaian mereka yang serba lengkap. Aku dulu tak seperti ini. Back in the 70's aku masih lagi berkaki ayam dan hanya memakai "ankle guard" dan sudah tentu kaki mesti disapu minyak "janggut aka sloan" supaya tendangan menjadi kuat! Bila balik, kaki melecet-lecet sebab padang banyak batu dari rumput.....

Kasut bola pulak cuma paka sewaktu aku berada di tingkatan 1 manakala yang lain-lainnya masih lagi dengan Fung Keong. Tapi kawan aku yang sorang tu sampai form 5 pun kaki ayam lagi......hah3. Sorry KUDO if you are reading this.....

Rabu, Mac 05, 2008

Sign Board



Aku suka tengok sign board sepanjang jalan untuk ke hotel ataupun sewaktu berjalan pulang ke apartment. Kadang-kadang kalau direnungkan selalunya akan berlaku perkara-perkara yang bertentangan. Sebagai contohnya kalau signnya tertulis dilarang meletak kenderaan dan akan ditunda, lihatlah disekelilingnya. Penuh dengan kenderaan....kalau kita di Malaysia selalu kita suarakan pendapat-pendapat ataupun rasa tak puas hati didada-dada akhbar, disini tiada tempat untuk melakukan sedemikian. Aku rasa keadaan ini sudah menjadi lumrah disini. Jadi semua menjadi kebiasaan yang tak perlu diambil pusing. Ada polis di sebelah pun cuma sebagai syarat. Polis disini lebih sibuk dengan telefon bimbit, merokok sewaktu bertugas ataupun berbual-bual dengan rakan setugas. Jika ada kesempatan, akan aku ambil gambar mereka untuk tatapan kita sebagai pengajaran!

Kemudian ada pulak sebuah pondok berpayung dan dibawahnya ada se tong air zam-zam untuk sesiapa sahaja terutamanya pejalan kaki. Jangan risau untuk menggunakan cawan plastiknya kerana mereka menggunakan disposable cup. Ada satu poket ditepi tong air untuk mengambil cawan baru dan satu lagi poket untuk membuang cawan yang telah digunakan. Kita juga boleh membawa botol mineral kosong untuk diisi air zam-zam tersebut untuk "take away". Walaubagaimanapun aku masih belum mencuba lagi.....

Selasa, Mac 04, 2008

Tuesday Morning


Dah lama aku ingin mengambil gambar bersama-sama dengan towkay teh aku. Sudah melewati 9 bulan aku disini, inilah pertama kali aku bergambar bersama dengan Mohammad (sebenarnya aku tak tahu namanya, tetapi disini semua orang di panggil Mohammad!)Mohammad seorang yang sungguh kuat bekerja dan kalau sangat kuat bekerja sudah tentulah dia buka rakyat Saudi!. Satu-satunya gerai yang dibuka 24 jam di Madinah. Menjual minuman seperti kopi, teh, jus dan disini juga aku dapat merasa shawarma ataupun sandwich untuk sarapan.

Dia dengan bangganya mengambil gambar bersama-sama dengan aku. Mohammad akan menutup gerainya setiap waktu solat dan boleh dilihat di masjid berada di saf-saf yang terkehadapan. Dibantu oleh anak-anaknya iaitu Mohammad dan Mohammad!

Piazza ala Medina





Ini adalah merupakan satu "spot" kegemaran aku apabila berjalan ketempat kerja ataupun pulang ke apartment. Ia seperti sebuah "Piazza di Firenze" yang pernah aku lewati berpimpin tangan bersama-sama Wakana dahulu pada tahun 1994. Tetapi kelainannya ialah kini aku berada di Madinah. Sebuah tempat bersejarah yang ingin dilawati setiap umat Islam seluruh dunia jika berkesempatan. Menara jam tersebut mengadap betul-betul dihadapan pintu masuk Masjid Nabawi dan oleh kerana cuacanya masih dingin diwaktu pagi, maka bunga-bunga kelihatan begitu cantik sekali.
Teksi penuh menunggu penumpang yang ingin berziarah manakala dikiri dan kanan pula berderet-deret hotel besar yang kini sedang sibuk membuat "spring cleaning"
Sana-sini kelihatan ramai orang sedang mundar-mandir melakukan kerja-kerja pengubahsuaian masjid Nabawi. Ramai sekali mungkin beratus-ratus orang. Semuanya bekerja dengan "Ben Ladin Engineering Company" Sound familiar? Ia merupakan sebuah syarikat kontraktor terbesar di KSA. Aku sempat merakamkan gambar para pekerja menampal marble slab dilantai di bahagian luar masjid Manakala gambar satu lagi ialah gambar salah sebuah bas pekerja yang masih terdapat disini yang selalunya dapat kita lihat di rancangan-rancangan tv Amerika yang berlatar-belakangkan tahun 1950an.

Ahad, Mac 02, 2008

Aku


Ini gambar yang aku diambil oleh RS berhadapan dengan basikal yang diikat dipagar. Kebanyakkan kedai disini masih lagi ditutup. Jadi kami adalah satu-satunya pengunjung yang ada disitu. Kalau musim haji beribu-ribu orang akan kelihatan membeli-belah.

Kami cuma berlegar-legar disitu untuk mencari buku-buku rujukan untuk menjalankan ibadat Umrah dan Ziarah malangnya tidak bertemu dengan satupun yang berkenan dihati. Kesemua yang ada terlalu brief dan tidak sama dengan yang dikeluarkan oleh LUTH.

Tengah Fikir Ni....


Jenuh aku memikirkan samada mahu membeli basikal ataupun tidak untuk berulang-alik ke tempat kerja yang jaraknya lebih kurang 30 minit berjalan. Kalau aku membeli basikal beginilah gamaknya basikal aku nanti dan beginilah mungkin akan diikat ditiang lampu didepan hotel nanti....

Aku boleh berkongsi dengan RS siapa yang akan mengayuh atau siapa yang akan membonceng! Gambar diatas aku ambil sewaktu menunggu masuk waktu Zohor dan sebelum masuk ke perkarangan masjid Nabawi. Baru lepas makan kek kecil yang rasanya seperti baulu dan RS makan shawarma.

Kami dapat menunaikan sembahyang zohor diperkarangan Rowdah iaitu jaraknya lebih kurang 20 barisan dari saf pertama...alhamdulillah sebab sekarang ni masih belum peak season lagi..mungkin penghujung bulan March nanti akan ramai lah pengunjung yang berziarah.

Tewas

Harap maaf betul kerana saya tak termampu nak ipdate cerita-cerita saya disini. Banyak sebenarnya nak dikisahkan. 2. Walaubagaimanapun say...