Selasa, Disember 30, 2014

Aku dan Honda Cub

Pertama sekali aku nak mengambil kesempatan ini mendoakan kesemua masyarakat Malaysia yang terjejas dengan peristiwa banjir besar agar tetap tabah menghadapi cabaran. Keduanya aku juga nak mendoakan keselamatan kesemua crew-crew dan penumpang pesawat AA agar terhindar daripada mala-petaka. Oh man....what a year!
 
Tengah cuci
 
Tajuk kat atas tu saja, dah menunjukkan betapa intimnya hubungan aku dengan motor. Mana tidaknya, dah berpuluh tahun aku menjalinkan hubungan dengan dia...ini merupakan motor ke 3 aku. Selalunya setiap motor, aku akan pakai sampai 10 tahun. Kali pertama aku pakai masa aku kerja kat Hilton dulu. Honda Cub C70. Amat banyak jasanya kat aku. Merata-rata di KL ni aku pergi dengan moto tu. BDH 3171 kalau tak salah aku itulah nombor pendaftaran motor pertama aku. Sekarang motor ni bermastautin di rumah abang aku di Penang! Sebenarnya pada masa tu aku nak pakai kereta second hand. Duit tak cukup. Kerja pulak hanya sebagai "bussing boy" di Hilton. Macamana aku nak buat loan! Hahahahaha, pikir punya pikir, aku ceritakan kat kawan aku si Rozek pasal keinginan aku nak menunggang motor untuk memudahkan aku pergi dan balik kerja serta mengurangkan belanja teksi aku setiap bulan. Lepas 2 minggu, motor dah ada depan mata aku. MasyAllah, punyalah senang aku nak pergi kerja, main bola di padang A&W lepas kerja, merayap lepas kerja dan lain-lain aktiviti bermoral. Bila aku mengikuti kursus intensif bahasa Jepun sebelum berlepas ke sana, motor ni jugaklah yang banyak berjasa mengusung aku pergi dan balik kelas. Pernah sekali-dua tergolek dengan motor ni. Aku ingatkan motor C70 ni merupakan enjen yang paling kecik, rupanya sewaktu aku di Jepun, dicelah-celah lorong dan food delivery, kebanyakkan mereka menggunakan Honda Cub C50! Mak aii...lagi kecik pon ada.....oleh kerana motor enjen kecik aku rupa-rupanya bukanlah merupakan motor berenjen paling kecik didalam saiznya, maka boleh lah aku katakan bahawa motor aku berenjen besar! Hahahahaha.....lebih 20cc! Hebatkan? Sekembalinya aku dari bertugas di Jepun, aku masih lagi menggunakan motor yang sama sehinggalah aku melanjutkan pelajaran ke Switzerland selama beberapa tahun. Sekembalinya aku dari Switzerland, motor cub tu jugaklah yang aku tunggang bila aku pergi interview untuk jawatan manager. Jumpa ramai kawan-kawan lama masa nak parking motor dan depa semua terkejut kerana depa sekurang-kurangnya dah pun memandu kereta proton. Aku peduli apa? Ramai jugak yang bertanya kenapa aku masih menunggang motor sedangkan kata depa aku dah pun mampu untuk memandu kereta. Aku sendiri tak reti nak cerita macamana? Bila aku menunggang motor, aku seronok sebab orang tak tahu aku kerja apa...bukannya nak kata aku ni kerja bagus, tidak sama sekali...tapi aku suka melihat "perception" orang setelah mengetahui yang aku hanya menunggang motor! Pernah sekali aku diajak oleh para pekerja untuk sama-sama minum dan makan selepas bekerja lewat. Salah sorangnya cadangkan agar aku tinggalkan motor dan depa bawak aku pergi minum ditempat yang ekslusif. Ada juga yang cadangkan agar aku tinggalkan motor tu jauh-jauh supaya tak kelihatan kerana depa pun naik segan dengan Manager yang menunggang Honda Cub cabuk sedangkan depa semua memandu kereta yang pada pandangan aku hebat! Hahahahahaha...aku gelak kat depa...aku kata tak pa, jangan risau. Malam nanti aku sampai dengan kereta. Depa tarik nafas lega! Malam tu aku sengaja park motor kat depan pintu masuk, tepi pasu bunga besar. Depa dok tunggu kat lobby. The moment depa nampak aku, semua tepuk dahi! Hahahahahahahha....aku ingat sampai la ni!

Macam biasalah...sunday morning!
 
Setelah genap 10 tahun, aku mula berangan nak pakai motor besar sikit. Aku cari Honda Wave 100cc pulak. Kan bertambah cc nya? Bagi aku itu perubahan positif. Mula dengan yang paling bawah....kemudian bila dah ada rezeki lebih, dan rasa macam dah mampu serta tak payah mintak duit mak-bapak ataupun pinjam kawan, barulah aku upgrade sikit. Tambah 30cc dari 70 kepada 100! Ini peningkatan bagi aku...Dalam hal sebegini, aku tak pernah terikut-ikut dengan kawan-kawan ataupun trend. Aku lebih kepada "ukur baju dibadan sendiri!". Biarlah apa depa nak kata...aku peduli apa! Sewaktu aku bertugas disalah sebuah hotel bertaraf 5 bintang sebagai Manager, motor Honda Wave ni jugaklah yang banyak berjasa. Bila ada kesesakan lalulintas, aku naik atas divider! Hahahahahaha.....Siang ka malam ka, hujan ka, aku tak peduli. Aku tetap redah. Tak ada masalah bagi aku. Bila ada Managers meeting, ramai yang bercerita mengenai kereta model terbaru. Bila sampai hujung tahun, ada yang dah berkira nak menggunakan duit bonus untuk membayar duit muka untuk keluarkan kereta baru. Ada yang belanja sampai melebihi RM100,000 hanya semata-mata untuk mendapatkan kereta idaman. Itu tak menjadi masalah jika mampu...tapi aku jadi kesian bila depa mula nampak monyok bila masuk tengah bulan! Hahahahahaha.....Kesian jugak aku tengok depa. Kereta besar tak penting bagi aku. Yang penting, aku tak berhutang....cukup bulan walaupun duit tak banyak, aku masih boleh tersenyum puas sebab pembayaran rumah dan lain-lain sudah aku langsaikan. Bukan aku kata aku tak ada kereta. Aku ada kereta tapi kereta kancil waktu itu. Again, aku "ukur baju dibadan sendiri". Kereta, aku bagi aunty pakai untuk kegunaan dia dan buat mengusung anak-anak. Aku tak perlukan kereta. Cukup dengan Honda Wave 100cc. RM4 minyak dah full tank dan boleh pakai 2 hari! Hahahahahaha....

Ken anak Ah Chong, mechanic aku yg terbaik!
 
Selepas genap 10 tahun aku pakai motor ke 2, aku pon mencongak duit yang balance. Ada lagi sikit dan cukup untuk aku membayar duit muka motor baru pulak. Kali ni aku "up" sikit lagi. Honda Wave 125cc. Naik 25cc kali ni. Sekali lagi, bagi aku ini merupakan peningkatan positif.. Masih lagi "ukur baju dibadan sendiri". Aku jual motor ke 2 dan ditambah dengan duit belen yang masih ada, aku letakkan deposit. Pergh, keluar moto baru kaler merah "ang-ang!" pulak. Waktu ni aku dah bertugas sebagai Food and Beverage Manager disalah sebuah hotel bertaraf 5 bintang di Kuala Lumpur. Gelak sakan staff-staff aku bila nampak muka aku lepas bukak helmet. Lama jugak depa dok bercerita pasal aku. Hahahahahaha....aku peduli apa!
 
Lepas aku meninggalkan hotel tersebut, aku dilamar oleh sebuah syarikat perhotelan yang baru bertapak. Kami dilantik sebagai consultant untuk sebuah bank yang merupakan penghulu segala bank di Malaysia. Oleh kerana aku merupakan salah seorang daripada 3 consultant disana, aku dikirakan sebagai salah seorang yang sangat penting! Hahahahahahaha....Pertemuan demi pertemuan dengan pegawai atasan kami lakukan di "penghulu segala bank". Ada sekali aku sampai dengan motor aku. Ditahan oleh pakcik security. Katanya aku tak boleh parking disitu. Ditanya apa urusan aku di "penghulu segala bank". Bila aku bagitahu aku nak meeting dengan orang sekian, pakcik tu pandang aku atas-bawah....dia terus talipon kepejabat berkenaan dan lepas tengok kad pengenalan aku beberapa kali, dia tersipu-sipu dan suruh aku parking motor aku di lobby "penghulu segala bank". Aku kata takpalah...tadi pakcik tak bagi.....instead of parking kat lobby ataupun staff parking di situ, aku pecut motor dan parking di belakang DBKL, kat atas divider. At least aku boleh jalan jauh sikit...exercise! Hahahahaha.....bila sampai kat security, pakcik tadi tunduk malu-malu. Takpa pakcik...aku tak salahkan pakcik tadi....cuma kadang-kadang kita sering terkeliru dengan hanya memandang penampilan seseorang apatah lagi dengan apa yang dipandunya atau ditunggangnya...c'est la vie!
 
Ada sekali tu aku  ada lunch meeting di Hard Rock Cafe KL. Aku tak tahu undang-undang parking motor kat situ. Aku sampai awal, sorong motor kat entrance HRC, ikat helmet di seat motor terjuntai, ambik kunci dan kunci tayar motor...parkingnya masih kosong. Baru aku nak pakai kasut (ada dalam beg sandang, aku pakai selipar saja), salah seorang pekerjanya datang jumpa aku. "Bang, motor ni tak boleh parking sini....sini cuma Harley Davidson saja atau motor besar saja yang boleh parking...". Aku tanya adik tu mana aku nak parking. Dia jawab belakang Concord Hotel! Hahahahahahaha......itu satu lagi yang aku tak boleh lupa sampai bila-bila!
 
Satu hari tu aku dijemput untuk memberi ceramah di Berjaya Time Square kepada pegawai-pegawai kerajaan yang akan berangkat ke luar negara bertugas untuk Matrade, Kedutaan, Tourism Malaysia dan lain-lain lagi dan kursus aku merupakan "compulsory course" sebelum mereka mendapat sijil dan berangkat ke destinasi masing-masing. Oleh kerana aku tak berapa biasa dengan hotel tersebut, aku menalipon hotel berkenaan dan kebetulan orang yang menjawab panggilan, kenal aku. Soalan pertama yang dia tanya, "Boss, untuk boss saya bagi special parking kat main entrance.....nak pakai jockey ke?" Kami gelak sakan sebab dia tahu aku dari dulu memang menunggang motor! Saya jawab, "Woit....nak masuk hotel, saya bawak kereta...hehehehehe!". Yang tu pon aku tak boleh lupa...
 
Hubungan aku dengan Honda Cub ni memang lama. Aku rasa senang menunggang. Santai. Tak pening kepala nak cari parking. Tak pening kepala memikirkan masalah kesesakan lalu lintas. Kalau hujan aku pakai baju hujan, seluar sinting, pakai selipar, kasut masuk dalam beg sandang. Selalunya kalau aku pergi berjumpa sesiapa pun aku akan naik moto. Ada sekali tu beberapa tahun yang lalu, aku mendapat panggilan daripada seorang Pak Menteri yang menyuruh aku ke Parlimen untuk bertemu beliau. Sebelum beliau mematikan panggilan, beliau pesan, "Shahrir, bawak kereta tau!" Aku jawab, "Baik Datuk Seri...". Aku tersenyum sambil memasukkan talipon bimbit kedalam poket kiri seluar dan terus pakai helmet! Tu pon aku tak boleh lupa...hahahahahaha...
 
Ok, Happy New Year people! Pray for East Coast, Pray for Malaysia and Pray for QZ8501....
 
 

Selasa, Disember 23, 2014

Futsal Sdara (keinginan tetap tinggi walaupun kemampuan dah kurang!)

Barisan pemain 81-85
 
Hujung minggu kali ini jadual aku menjadi tersangat padat. Ada perlawanan futsal diantara bekas-bekas pelajar sdar dilangsungkan di Puchong. Berpuluh pasukan mendaftarkan diri. Memang menarik. Batch aku tahun 85 dimasukkan kedalam kategori Super Senior melebihi 46 tahun ke atas. Paling senior berumur 49 tahun. Lebih daripada itu mungkin penganjur pun cuak nak ajak kerana harus menyediakan beberapa ambulance di tepi gelanggang futsal! Aku yang menumpang kereta IQ sampai pada pukul 8  pagi dan terus mendaftarkan pasukan. Lepas pendaftaran aku pun melepak di tepi gelanggang sambil minum teh dan sarapan. Ramai jugak senior yang datang untuk main futsal. Bersalaman dulu dan sambung minum lagi dengan seniors pulak. Seronok bila bertemu sekali-sekala macam ni. Ini semua seniors waktu aku form 1 depa form 4, aku form 1 depa form 3 dan aku form 1 depa form 2. Kecut perut aku dulu nak lalu depan kelas senior lepas balik dari prep malam! Masuk dewan makan ambil nasi dan harus diketuk dulu supaya tak berketul dan disendukkan pada senior. Kena sergah, kena denda dan pelbagai kena lagi semuanya membuatkan kami menjadi akrab. Makanya dikesempatan sebegini apabila bertemu semula, memang banyak cerita yang nak di ceritakan. Bergelak sakan kami. Tambah seronok apabila ramai juga adik-adik yang datang menegur. Salah satu batch yang datang menegur ialah junior aku sewaktu aku form 5 dan mereka form 1.dan beberapa lagi yang aku hampir tak kenal. Aku pesan, kalau jumpa aku dimana-mana tolong bagitahu batch bila dan nama apa. InsyAllah aku akan cuba ingatkan balik!
 

Lepas main kita minum dulu!

Awal pagi perlawanan, kami cuma bermula dengan hanya 5 orang pemain. Aku risau sebab aku tak boleh nak habiskan semua 4 perlawanan. Kerisauan aku sebenarnya merupakan kerisauan rakan-rakan yang lain jugak. Depa pon sama macam aku. Kalau 30 tahun dulu bolehlah main dari pagi sampai petang. La ni semua risau sebab nak hambat bola depan kaki setapak saja pun dah tak larat! Diperlukan di gelanggang untuk bermain juga 5. Jadi, tak boleh seorang pon injured. Kalau sorang injured maknanya terkangkang lah kami nak main! Jangan terpedaya dengan saiz gelanggang. Walaupun kecil tetapi letih berlari naik turun didalam gelanggang, masyAllah...mahu terjelir lidah aku sampai ke lantai! Kami serang, kami kena serang....kami serang, kami kena serang....last-last lebih banyak kena serang daripada menyerang! Hahahahaha....akibatnya kami kalah 2 perlawanan, seri 1 dan menang 1! Padan muka kami yang training hanya sekali (pada minggu sebelumnya) setelah hampir 30 tahun meninggalkan bangku sekolah! Tercungap-cungap semua. Itu baru main 5 minit separuh masa pertama dan 5 minit juga diseparuh masa ke dua! Buat disuruhnya kami main 10 minit setiap separuh masa, aku rasa ambulance dah kena standby kat tepi gelanggang dan belakang tiang gol....Tapi kelebihannya ialah, setelah kami terkeluar dengan cara terhormat, kami duduk dan berbincang. Ini tak boleh jadi...sesuatu tindakan harus diambil dengan segera. Masa tu jugak kami terus mengambil keputusan untuk bertemu dan beriadah bermain futsal sebulan sekali. Lepas main boleh minum-minum dengan kawan-kawan bercerita tentang kehidupan yang kami lalui bersama 5 tahun disekolah dulu, perihal keluarga, anak-anak dan seterusnya mengumpul dana untuk projek seterusnya. Hahahahahaha, banyak perancangannya. Bukan senang nak berkumpul ramai-ramai macam ni. Sementara masih sihat dan bertenaga, inilah masanya.....alhamdulillah buat masa ini semuanya setuju dan inilah yang kami idam-idamkan.


menentang batch 84.

Didalam kumpulan veteran ni pulak, kamilah merupakan batch yang paling muda sebab ada yang dari batch 84, 83 dan 82. Oleh kerana Harimau Malaya dah mengaum sakan, kami pulak digelar rakan-rakan sebaya batch 85 sebagai Harimau Siberia sebab ramai antara kami yang dah berambut putih terutamanya aku! Kusyairi salah sorang daripada group aku tolong organisekan baju. Managed to get a good rate. Thanks Kusya....semangat bila kami pakai baju tu...berkobar-kobar rasanya....Gambar kat atas tu merupakan gambar batch 85 (baju putih) menentang batch 84. Kami leading 2-0 tetapi akhirnya tewas tipis dengan jaringan 2-3. Tahniah aku ucapkan pada team 84! Nama-nama mereka seperti Boleng, Ajak Kandos, Uncle Dan, Aqai dan Man Jawer masih tetap aku ingat. Ada yang aku berkesempatan bermain bersama-sama mereka didalam pasukan sepaktakraw sekolah, bolasepak sekolah dan juga rugby sekolah dulu. Mereka hebat dan alhamdulillah hubungan kami bertambah akrab!

Pulang dari futsal, badan aku mula terasa sakit merata-rata. Bermula dengan peha, naik ke pinggang, lengan dan dada serta bahu tak terkecuali! Malamnya aku dah mula rasa tak senang duduk. Whole body aching dan suhu badan mula naik. Esoknya aku tak jadi nak ke gym sebab badan masih lemah. Ni pun masalah jugak. Selalunya bila badan aku lemah, selera aku akan meningkat. Tiba-tiba banyak pulak yang aku nak makan. Lepas satu, satu...Lepas Maghrib, aku bawak kereta terus ke klinik. Bila doktor check, katanya temperature aku normal. Dia syorkan aku ambil ujian darah. Semuanya ok. Tak ada masalah. Aku ceritakan semua pada doktor. Finally conclusionnya, dia kata "terlajak main futsal" sampai 4 kali. Muscles terkejut....so doktor cuma prescribe ubat demam dan ubat untuk kurangkan sakit badan/sendi. Itu saja. Lepas telan dan cukup rehat, alhamdulillah....sihat sikit rasanya...So, moral of the story is, berpada-padalah dengan apa yang kita buat...keinginan aku sangatlah tinggi walaupun dalam hati, aku sedar bahawa kemampuan aku kini agak terbatas! Hahahahahaha.....ok people, have a nice holiday this Thursday!

Sabtu, Disember 13, 2014

Tanjong Street Food!



This is strictly not Street Art...this is Street Act!
 
Gambar diatas, Yuya yang rakamkan sewaktu kami berlegar-legar disekitar kawasan Street Art mencari lukisan-lukisan didinding. Dari jauh aku ingatkan lelaki tu sebahagian daripada lukisan...tetapi apabila menghampiri perlahan-lahan dan terlihat pergerakan badan beliau, aku pasti ini manusia yang mencari jalan mudah! Dengan perlahan kami hampiri dan Yuya menurunkan screen kereta dan snapped! Yeah, dapat satu gambar yang sangat hebat ini dan Syahir terus memecut laju.
It's pasembur people, not rojak!

Inilah masalahnya apabila aku balik Tanjong. Sampai saja ke destinasi, tempat pertama yang aku kunjungi untuk bersarapan mestilah di Taman Saadon. Tempat yang paling famous untuk bersarapan di seluruh negeri Tanjong! Banyak makanan dan minuman ada disitu. Oleh kerana keretapi sampai pukul 6 pagi, jadi aku bersarapan juga awal. Penuh dengan jemaah yang baru lepas solat Subuh di masjid yang berdekatan. Couple pemuzik berumur yang kurang penglihatan masih lagi belum sampai ataupun mereka bercuti pada hari minggu..Nasi lemak, roti canai, kuih-muih pelbagai saiz dan nama semuanya ada. Serabai pun ada! Tempat ni menjadi tumpuan di program Asian Food Channel suatu waktu dulu. Perniagaan berjalan dengan meriah. Boleh rambang mata dan rambang nafsu dibuatnya kalau lama-lama memerhati. Silap-silap boleh makan untuk tengahari dan malam sekali harung! Seperti biasa kemana-mana aku pergi, digital weighing scale sentiasa aku bawak bersama. Ini untuk memudahkan aku menimbang berat badan untuk mengetahui apakah "allowance" yang aku ada...hahahahaha! Aku pasti berat aku akan bertambah dengan cepat apabila balik Tanjong. Makanannya sentiasa menyelerakan. Diwaktu tengahari pulak kami sekeluarga keluar mencari nasi kandar. Tujuan kami nak ke Deen Nasi Kandar di Jelutong tetapi oleh kerana jadual Street Food kami padat, aku batalkan saja niat aku untuk ke Deen. Walaupun aku kurang berminat dengan Line Clear, tetapi sekali ni aku gagahkan jugak kerana aku dah berada di dalam kawasan berdekatan den bersebelahan aku pulak ada tertulis "Line Clear Nasi Kandar Parking". Untuk memudahkan, aku terus saja masuk ke parking. 4 beranak makan sekitar RM40 sebab aku cakap Tanjong siap goyang-goyang tangan dan kepala. Aku perasan bahawa kebanyakan yang datang merupakan orang luar dari Tanjong. Beratur panjang sampai ke jalan besar. Makcik sebelah aku "makan hidang". Loghatnya mengarah ke kl. Ada kepala ikan, sayur, papadom dan seekor udang besar. Anak perempuannya bertanya pada emaknya, "Boleh habis ke ni?" Yuya berbisik bertanyakan berapakah agaknya harga udang seekor tu. Aku jawab dalam bahasa Jepun, RM45 kot seekor....Yuya dan Azumi terkejut. Tiba-tiba datang pekerjanya dengan keadaan kelam-kabut dan mula mengira lauk-hidang tadi dan dibaginya resit pada makcik tu. Makcik tanya apa yang berharga RM60? Pekerja tadi menjawab, "udang!". Yuya dan Azumi tersentak. Mak aii....harga udang seekor RM60? Makcik tadi diam dan mintak dibungkus untuk dibawa balik. Aku tak tahu berapa harga kesemuanya makanan makcik ni tadi. 3 orang senang-senang RM250 aku rasa! Petangnya kami melepak di Gurney Plaza yang terletak hanya 5 minit perjalanan dari rumah abang. Aku nak cari baju. Marina nak cari gogle. Yuya dan Azumi nak simpan duit! Lepas shopping ala kadar kami ke Coffee Bean and Tea Leaf untuk menghilangkan dahaga...manusia punyalah ramai. melepak disitu sambil menikmati udara dan bau masin air laut memberikan aku tenaga baru. Rejuvenated!

Kapitan, best tandoori!

Malamnya abang aku mengajak kami ke Kapitan. The best Tandoori in Tanjong, katanya. Tingkat bawah penuh dengan tetamu luar negara. Kami naik ke atas dan duduk ditepi tingkap. Masyallah, ramainya orang! Semua makan tandoori. Yuya makan beriani kambing yang menurut kata abang aku, juga merupakan speciality disitu. Aku cuma makan angin sebab terlalu kenyang dari tengahari selain daripada mula merasa "ngeri" nak timbang berat badan! Kami pulang ke rumah agak lewat dengan perut yang bak kata orang Kedah, "merinin!". Pulang tapi tak terus tidur. Melepak didepan tv sambil bersembang. Marina dah masuk sendiri ke bilik dan tidur! Keesokan harinya yakni hari Isnin, banyak lagi program yang beratur. Paginya kami ke Bukit Bendera. Lajunya naik keatas dan bertambah laju apabila kami turun ke bawah...sewaktu nak turun ada sekumpulan makcik-pakcik korea yang menyanyi dan menari. Tiba-tiba mereka dikerumuni oleh anak-anak tempatan yang mengambil gambar. Aku teringatkan kumpulan Wonder Girls. Mungkin begini rupa mereka apabila berumur 70 tahun nanti! Lepas Bukit Bendera, kami ke Queen's Bay untuk membeli tiket bas AeroLine ke KL pada hari Rabu nanti sebelum Syahir (anak menakan aku) memecut kereta menuju Batu Maung. Kami melawat Muzium Perang pulak. Ini kali pertama aku kesana. Abang aku kata, dia sendiri tak pernah sampai ke situ! Tiket masuk berharga RM20. Agak hambar dari luar tetapi setelah aku masuk ke dalam, aku mula teruja dengan terowong bawah tanahnya dan barrack para askar British yang masih dalam keadaan baik. Barrack mereka mengingatkan aku kepada barrack pegawai penjara di Pulau Jerejak sekitar tahun 70-an dulu!

Only 2 of them!
 
Dah petang juga sewaktu kami menuruni bukit untuk pulang ke rumah. Tetapi dalam perjalanan, kami singgah di Gurney Drive untuk makan tengahari (dah petang pon...hahahaha). Kami makan mee goreng, mee rebus dan nasi ayam. Nasi ayam there is SUPER! Ada telur goreng, sekeping ayam yang besar dan portion nasi yang kalau makan, orang dewasa pon mengah. Harga RM7. Aku rasa ok harga tu...Lepas membayar, Azumi tiba-tiba bagitahu yang dia teringin nak makan pasembur pulak. Lalu kami ke Swatow Lane yang kini dijadikan medan selera moden dengan peniaga-peniaga gerai disitu semua berkumpul di New Park. Menarik konsepnya dan kami makan lagi walaupun baru 20 minit tadi kami dah makan! Azumi dan anak-anak puas. Kami balik. Satu aku nak peringatkan. Kalau nak makan pasembur di Tanjong, sila bagitahu mamak tu nak makan berapa ringgit. Kalau dia suruh kita pilih dan kita ambil sendiri, alamatnya memang kena sembelih! Kalau nak dalam RM10, cakap kat mamak, "Anney, lu bikin sendiri...RM10 satu pinggan!". Baru sekejap berehat, kami keluar ke Gurney Drive lagi. Kali ni ke depan Sunrise Tower. Yuya dan Marina nak makan laksa dan satay. Aku tak terkecuali. Makan jugak...habislah.....balik ke rumah malam tu dan timbang berat badan, masyAllah naik 2 kilo! Patutlah leher dan muka rasa mengembang manakala badan rasa berat! Memang mimpi ngeri dah bermula....Jadi sejak balik ke KL, program aku tak lain dan tak bukan, terpaksa berhempas pulas di gym semula dan kontrol pemakanan...dalam kesempatan ini aku nak mengucapkan terimakasih juga pada anak-anak menakan aku yang datang menziarahi bersama anak-anak mereka yang comel. Thanks Mior and Oya for visiting Paksu! InsyAllah lain kali kita jumpa lagi....ok people, have a nice weekend...stay healthy!

Rabu, Disember 10, 2014

Penang Street Art

 
Penang Street Art yang dihasilkan oleh Ernest Zacharevich sangat dekat dengan aku. Bukan kerana aku pandai melukis ataupun sering mengunjungi galeri-galeri lukisan (adalah sedikit) tetapi kerana aku mengenali secara agak dekat pelukis yang aku panggil Zach itu. Beberapa tahun yang lalu aku mendapat satu booking untuk menginap selama sebulan di JDR daripada seorang pengunjung yang berasal dari Lithuania..Proses kemasukannya kami lakukan seperti biasa. Beliau merupakan seorang lelaki bertubuh kecil, kurus, pendiam dan berpakaian selekeh. Datang dengan hanya sebuah beg kecil. Ada seorang lelaki tempatan yang mengiringi beliau sewaktu mendaftar masuk. Kami sempat bersalam sebelum beliau memohon izin untuk masuk ke bilik. Letih katanya..Keesokan harinya aku lihat beliau membawa banyak tong-tong cat masuk ke bilik. Aku risau kerana takut cat yang dibawanya akan memenuhi dinding bilik mahupun katil yang cadar kesemuanya berwarna putih! Sangkaan aku nyata tersasar kerana sewaktu aku masuk kebilik beliau bersama pengemas bilik, aku lihat semua tong-tong catnya tersusun rapi walaupun didalam keadaan yang telah digunakan!
 
 
Sewaktu beliau pulang ke bilik, aku sempat bertemu dan bertanyakan apakah pekerjaan yang dilakukan. Beliau menjawab yang beliau merupakan pelukis jalanan. Aku tak faham..beliau menjelaskan yang beliau sedang melakukan satu projek berhampiran dengan JDR iaitu melukis papan tanda sebuah galeri lukisan yang berada hanya 2-3 buah jaraknya dari tempat aku bertugas. Siang beliau tidur tetapi malamnya beliau bertugas sampai ke pagi. Aku berkesempatan melihat kerja beliau yang dilakukan sewaktu tengah malam. Tidak begitu menampakkan sebagai sebuah lukisan yang menarik kerana hanya sebahagian sahaja yang telah siap. Selang beberapa hari setelah semuanya habis dilakukan, aku terpegun. Nampak simple tetapi sangat memberikan erti. Aku tak tahu nak menceritakan dengan panjang lebar kerana aku bukanlah orang seni. Tetapi aku tertarik...Satu lagi lukisan dinding beliau yang ada di Jalan Maarof di Bangsar ialah di traffic light simpang ke masjid Bangsar. Dahulunya dinding ditepi itu dipenuhi dengan juraian rumput-rumput panjang yang tak terbela. Zach mengambil inisiatif dengan melukis gambar seorang budak lelaki sedang mengintai disebalik juraian rumput panjang. Aku sekali lagi terpesona..Aku perasan yang setiap kali kereta ataupun motorsikal berhenti, pandangan pemandu pasti akan tertumpu kearah lukisan didinding tersebut. Lukisannya mengurangkan stress para pengguna jalanraya dan sedikit-sebanyak menimbulkan rasa gelihati!

 
Beliau ada memberitahu aku yang beliau akan berada di Pulau Pinang selama beberapa bulan. Kami bersalam dan beliau berlepas ke Pulau Pinang. Selang beberapa minggu, aku tersentak apabila membaca sebuah artikel didalam suratkhabar STAR yang menceritakan tentang kesungguhan beliau melukis gambar-gambar menarik yang sangat dekat dengan hati masyarakat kita didinding-dinding bangunan tinggal di sana. Bermula daripada situ, aku berazam untuk mencari lukisan-lukisan beliau jika aku berkesempatan untuk pulang ke Pulau Pinang. Bersempena dengan musim cuti sekolah yang panjang ini, aku membuat tempahan keretapi tempat tidur untuk ke Tanjong, menginap dirumah kakak ipar/abang aku dan mengatur langkah dengan program Street Art dan Street Food hasil nukilan Zach. Aku menyusuri beberapa jalan diwaktu siang yakni disekitar masjid Kapitan Keling tetapi oleh kerana cuaca yang sangat panas dan orang yang terlalu ramai hingga terpaksa beratur untuk berfoto dengan lukisan dinding bermotifkan dua kanak-kanak menunggang basikal, aku batalkan saja hasrat menjejak disiang hari dan digantikan dengan pencarian diwaktu malam. Selepas makan malam di Gurney Drive, aku, anak menakan aku yang bernama Syahir dan anak-anak mula menjejaki lukisan-lukisan beliau. Satu persatu aku temui..Lebih senang dan tenang. Senang kerana tidak ada orang pada waktu tengah malam dan tenang kerana cuaca tidak panas. Setiap lukisan dapat kami potretkan dengan mudah kerana ada lampu limpah yang dipasang berdekatan. Setelah kesemuanya dapat aku rakamkan, aku mula mengorak langkah pulang. Hati aku puas kerana aku berasa lebih memahami hasil yang dilakukan oleh Zach. Seorang lelaki muda daripada sebuah negara kecil yang dipanggil Lithuania!

Isnin, Disember 08, 2014

Merbuk

 
Aku masih lagi teringatkan Kampung Bujang di Merbuk, Kedah. Kali pertama aku kesana. Menaiki pesawat Firefly dari Subang yang tertangguh beberapa jam merimaskan aku. Walaubagaimanapun setelah menaiki, aku rasa lebih selesa daripada AA cuma saiz pesawatnya sahaja yang comel...aku mendarat di Lapangan Terbang Bayan Lepas, Pulau Pinang. Dari sana aku menaiki kereta menuju ke Sungai Petani. Tidak pernah memasuki SP apabila ke Alor Setar dan kini apabila diberitahu yang aku akan menginap di SP, wahh, tak sabar rasanya! Walaupun sampai hampir tengah malam, tetapi melihatkan pembangunan pesat yang sedang berlaku di SP, aku berasa sungguh kagum. Semua prasarana lengkap. Kedai-kedai baru tersusun. Projek perumahan pula galak diusahakan...designnya sangat cantik dan harga pula masih berpatutan jika dibandingkan dengan Kuala Lumpur...Hebat!
 
Esoknya dalam perjalanan aku ke Kampung Bujang, aku melintasi Sungai Merbok. Lebar dan cantik. Memberhentikan kereta disitu, aku terkejut apabila menyedari kebanyakkan kawasan disitu diletakkan tanda kuning sebagai kawasan larangan. Peniaga telah tiada. Kawasan tetap bersih walaupun jangkaan aku mungkin telah beberapa bulan ditutup! Kenapa ditutup? Mungkin ada pihak yang mampu menjawab nanti...
 
 
Satu lagi kawasan yang menarik perhatian aku ialah air terjun disini. Sangat bersih kawasan persekitarannya. Mungkin kerana ia berada didalam pagar kawasan Lembah Bujang. Aku tak berapa pasti tapi itulah...duduk diatas bangku dibawah rimbunan pokok tua membuatkan mata aku cepat jadi layu. Jika tidak kerana beberapa tugas yang harus aku selesaikan, aku rasa mahu aku lelapkan mata selama beberapa jam disitu. Batu-batunya licin. Maka orang yang berkelah harus berhati-hati. Banyak papan-papan tanda amaran diletakkan disitu. Pelajar-pelajar sekolah juga memenuhi kawasan air terjun. Makcik dan pakcik berposing sakan. Apabila tersenyum, gigi dah tak ada...hahahahaha....Ada satu muzium yang bagi pendapat aku sangat baik. Gambar-gambar dan artifak-artifak Lembah Bujang yang ditemui banyak dipemamerkan dan kesemuanya membawa cerita tersendiri. Perlahan aku membaca satu-persatu. Sangat informative. Aku sendiri tak pernah tahu yang Lembah Bujang sehebat ini..

 
Para pelancong tak berapa ramai yang ada walaupun didalam musim cuti sekolah. Sayang sekali. Aku rasa ini merupakan sejarah negara. Makanya sesuatu harus dilakukan segera sebelum ianya mati terbengkalai sebegitu sahaja. Promosi besar-besaran harus dilakukan. Papan-papan penerangan secara detail harus dinaikkkan. Tiba-tiba terlintas difikiran aku alangkah baiknya jika diadakan drama seperti light and sound penceritaan sejarah berkenaan Lembah Bujang disekitar kawasan tersebut sekurang-kurangnya sebulan sekali sebagai tanda tarikan pelancong ke kawasan tersebut? Kekerapannya boleh ditambah dari masa ke semasa bergantung kepada jumlah kedatangan pelancong. Selain daripada itu aku fikir nilai tambahnya ialah apabila pihak Lembah Bujang mengadakan "guided tour". Pastikan ada seseorang yang dapat memberikan penerangan dengan tepat kerana ramai para pelancong yang inginkan penerangan dan mereka sangat dahagakan penjelasan yang tepat! Aku tahu tulisan aku ini tak akan sampai kepada sesiapa di "atas" sana tetapi jika ada, aku berharap agar dapat dilakukan sesuatu.

 
Aku sangat berpuas hati dengan trip kali ini. Selain daripada semuanya berjalan lancar (kecuali flight delay sewaktu nak ke Penang) aku bersyukur kerana telah mendapat layanan dan kerjasama terbaik daripada pihak masyarakat disana. Di hari terakhir, aku dan beberapa rakan juga telah dijemput untuk sama-sama meraikan majlis perkahwinan anak kepada salah seorang penduduk Kampung Bujang yang tak kami kenali. Makanan dimasak oleh jiran-jiran di kampung tersebut. Tiada catering. Mencuci pinggan dilakukan juga oleh masyarakat setempat. Sungguh meriah suasana majlis perkahwinan itu. Jauh berbeza dengan apa yang berlaku dibandar-bandar. Setiap perjalanan yang aku lakukan, banyak membuka minda aku. Melihat tempat orang telah membuatkan aku berhenti untuk berfikir sejenak...banyak sebenarnya yang aku belum tahu! Have a great week ahead people!

Ahad, November 30, 2014

Pak Su Ramli

 
3 hari 2 malam aku sibuk di Kampung Bujang, Merbuk, Kedah. Ini kali pertama aku ke sana walaupun aku sendiri pernah menetap dan bersekolah di Alor Setar sekitar tahun 1979 dulu. Arwah bapak dan arwah mama memang orang sana, makanya adik-beradik seperti makcik, pakcik dan sepupu aku memang ramai disebelah Alor Setar. Kesempatan yang diberikan kepada aku kali ini tidak aku lepaskan. Sewaktu kursus yang aku jalankan berlangsung, aku diberitahu bahawa disalah sebuah kampung berdekatan, ada seorang pakcik yang dipanggil Paksu Ramli dan isteri berumur 74 tahun mengusahakan sebuah pusat tuisyen secara percuma dikawasan rumah mereka yang terletak ditepi sebatang sungai disebelah depannya manakala bendang di sebelah tepinya. Paksu Ramli ialah seorang bekas Pendaftar di USM, Pulau Pinang. Kembali pulang ke kampung halaman dan melakukan kerja-kerja kebajikan membantu anak-anak kampung dari keluarga miskin. Bermula dengan kumpulan yang kecil, kesungguhan Paksu Ramli menjadi buah mulut masyarakat setempat. Aku bernasib baik kerana sewaktu sampai dihalaman rumah beliau, Paksu Ramli baru sahaja selesai melakukan aktiviti pagi. Berkain pelikat tetapi tidak berbaju. Selesa, katanya perlahan kepada aku. Paksu Ramli bertanya apakah tujuan aku dan rombongan bertemu beliau. Setelah aku diperkenalkan, Paksu Ramli memohon izin untuk masuk kedalam untuk memakai baju. Sementara menunggu Paksu Ramli, aku berjalan sekitar kawasan rumah beliau. Masyallah...dengan pokok besar yang rendang, persekitaran yang amat bersih, aku berasa sangat tenang. Duduk disebuah kerusi di bawah pokok manggis aku hampir terlena mendengar kicauan burung yang penuh hinggap di ranting-ranting pokok di sekeliling rumah. Ada beberapa pondok didirikan dan sebuah yang mengadap kesawah padi dijadikan sebagai surau lelaki dan wanita. Ada beberapa orang pelajar yang menginap di teratak Paksu Ramli sepanjang tempoh peperiksaan SPM berjalan. Tuition kepada anak-anak ini diberikan secara percuma pada waktu yang telah ditetapkan, siang mahupun malam. Ibubapa memberikan kepercayaan penuh kepada Paksu Ramli dan Maksu untuk menjaga anak-anak mereka seperti cucu-cucu Paksu Ramli dan Maksu sendiri. Aku kagum. Sewaktu aku sampai aku lihat anak-anak ini sedang membersihkan kawasan persekitaran. Menyapu sampah dan mengumpulkan daun-daun kering untuk dibakar. Tidak nampak stress diwajah mereka. Yang aku nampak hanyalah wajah keriangan anak-anak berusia 17 tahun berada diteratak Paksu Ramli. Cantik, manis segak dan bersopan. Paksu Ramli menerapkan kesemua nilai-nilai positif kedalam jiwa dan fikiran "pelajar-pelajar sementara" beliau.

 
Aku rasa aku boleh menetap lama jika diberikan kesempatan. Menurut kata Paksu Ramli, beliau melakukan semua kerja-kerja kebajikan ini kerana Allah. Ilmu yang kita ada tidak luak jika diperturunkan kepada anak-bangsa. Jiwa Melayunya sangat kental. Setiap tutur-katanya banyak menginsafkan aku. Beliau juga berpesan agar alam sekitar dipelihara sentiasa. Paksu Ramli merupakan seorang yang pakar didalam bidang Matematik dan Bahasa Inggeris maka oleh itu, 2 matapelajaran ini diberikan penekanan lebih oleh Paksu Ramli kepada anak-anak didiknya. Menurut kata Paksu Ramli, anak-anak kampung yang berasal daripada keluarga susah ini kebanyakannya merupakan pelajar-pelajar yang gagal didalam kedua-dua matapelajaran itu. Oleh kerana mereka sering mengunjungi teratak Paksu Ramli tak kira siang mahupun malam dan kadang-kadang bermalam disana, alhamdulillah, keputusan pelajaran mereka meningkat dengan mendadak. Telah ramai pelajar-pelajar Paksu Ramli yang telah menjejakkan kaki di menara gading. Anak-anak yang dahulunya tidak berminat untuk belajar kini telah mendapat keputusan cemerlang dan sewaktu cuti mereka akan kembali ke teratak usang ini dan membantu Paksu Ramli. Kepuasan jelas terbayang diwajah Paksu Ramli tatkala beliau bercerita mengenai anak-anak muridnya. Saya melihat raut wajahnya lebih kepada seorang datuk penyayang yang ingin melihat cucu-cucunya berjaya...

 
Usaha Paksu Ramli telah mendapat liputan yang meluas didalam media cetak dan elektronik tidak berapa lama dahulu walaupun beliau sendiri lebih bersikap "low profile". Banyak syarikat antarabangsa yang telah datang melawat Paksu Ramli dan mendengar serta belajar mengenai pengurusan tempat ini dan bagaimana Paksu Ramli telah berjaya mendidik anak-anak bangsa yang tidak berkemampuan secara percuma. Niat murni Paksu sangat dihargai oleh masyarakat setempat, ibubapa dan juga sekolah-sekolah yang ada dikawasan sekitar Merbok. Apa yang Paksu Ramli lakukan bagi saya amatlah hebat. Didalam diam beliau melaksanakan tugas. Didalam diam beliau memberikan kembali kepada masyarakat apa yang telah diterimanya selama berpuluh-puluh tahun dahulu. Didalam diam beliau kembali berkhidmat kepada penduduk tempatan tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

 
Saya amat bernasib baik. Paksu Ramli tidak termasuk didalam itinerari saya sepanjang berada di Merbok. Berlaku secara tiba-tiba tanpa disedari apabila saya mencadangkan agar dilaksanakan satu program pelancongan kampong melewati pelancong asing dimana para penduduk tempatan yang terdiri daripada pesara-pesara guru Bahasa Melayu diberikan kesempatan untuk mengajar Bahasa Melayu kepada pelancong asing daripada luar negara didalam tempoh inap desa mereka. Belajar Bahasa Melayu, belajar budaya Melayu, belajar tentang kehidupan masyarakat Melayu dsbnya didalam "program inap desa". Mendengar cadangan saya, salah seorang peserta memberitahu bahawa ada seorang pesara berumur 74 tahun melakukan perkara yang sama tetapi mengajar matapelajaran Matematik dan Bahasa Inggeris secara percuma. Bertitik-tolak daripada situlah pertemuan kami diatur. Semuanya berlaku secara spontan. Tidak dirancang terlebih dahulu dan Paksu Ramli juga tidak tahu akan kedatangan kami. Maka oleh itu sewaktu kami sampai, beliau hanya berkain pelikat dan tidak berbaju......Aku amat bersyukur diberikan kesempatan singkat untuk duduk bersembang dengan Paksu Ramli. Pengalaman luasnya merantau ke luar negara telah banyak membuka mata beliau untuk lebih bersyukur dilahirkan dinegara ini. Sangat down to earth...berpijak dibumi nyata, sanggup berkongsi pengalaman hidup beliau dengan aku walaupun kesempatan yang ada hanyalah selama 30 minit, bersemangat berbakti kepada anak bangsa di kampung walaupun aku tahu yang beliau mampu hidup lebih mewah dibandar-bandar besar tanpa perlu memikirkan apa-apa. Tetapi itu bukanlah Paksu Ramli....Aku doakan Paksu Ramli diberikan kesihatan yang baik, murah rezeki dan panjang umur......aku bersyukur dapat bertemu dengan beliau...alhamdulillah...

Sabtu, November 22, 2014

Melayu di perantauan

Shahril Shuib dan Robae
 
Aku mengenali Shahril Shuib sejak dari tahun 1996 lagi sewaktu kami sama-sama bekerja di Renaissance Hotel Kuala Lumpur. Aku, waktu itu di Vogue Cafe manakala Shahril pula di Malay Kitchen di Cafe yang sama. Beliau merupakan seorang chef yang senang untuk diajak berbual. Di waktu awalnya banyak kali juga pekerja aku salah mengambil pesanan ataupun tetamu memberitahu bahawa makanan tak seperti mana yang diharapkan, aku akan membawa balik makanan ke dapur, merasa makanan tersebut bersama chef dan kemudiannya berbincang dengan chef secepat mungkin apakah makanan itu harus digantikan dengan makanan yang sama ataupun harus menukar kepada menu yang lain. Kebanyakkan chef akan menjadi "hijau" bila perkara ini berlaku. Tetapi selama aku mengenali chef Shahril, perkara ini jarang ataupun tidak pernah berlaku. Jika alasan yang diberikan kukuh, beliau akan segera menggantikannya dengan yang baru. Senang bekerja jika Shahril Shuib yang berada di dapur! Ini bukan kerana aku yang cerita tetapi jika ditanya kepada budak-budak lain pun jawapan mereka akan sama dengan aku. Tak banyak hal, tak banyak kerenah. Dapur beliau sentiasa dijaga rapi. Bak kata orang kedah, "cuci-chalat!"


dari kiri, chot, nazri, shahril dan madi di Renaissance Hotel KL pada 1996!
 
Setelah beberapa tahun kerja bersama-sama, Shahril Shuib telah membuat satu keputusan yang bagi kami amat mengejutkan tetapi beliau nekad. Shahril Shuib telah menghantar notis berhenti kerja dan mula mengatur langkah ke Ireland. Sebuah negara asing di Eropah. Kali pertama beliau berjauhan dengan keluarga. Kali pertama berada jauh beribu-ribu kilometer dinegara orang. Kali pertama menghadapi cuaca 4 musim dan musim sejuk yang ekstrem. Beliau tetap nekad. Seketika kami terputus hubungan tetapi kembali berhubung sewaktu aku di Mekah dan beliau di Galway yang menjadi tempat mencari rezeki beliau sehingga kini. Bekerja siang dan malam tanpa henti bagi mencari rezeki halal dengan niat hanya satu yakni membanggakan keluarga di kampung di Kedah! Aku faham benar kesusahan yang beliau harungi kerana aku juga sering merantau ditempat orang sendirian. Tetapi mengenali chef muda berbakat dan sangat positif ini membuatkan aku merasa banyak kekurangan berbanding beliau. Misi dan visinya telah ditetapkan. Tidak akan pulang selagi belum menempah kejayaan..

 
Selang beberapa tahun bekerja diperantauan beliau berkenalan dengan seorang wanita tempatan yang bernama Margo O'Malley. Sering bertemu membuatkan timbul perasaan rindu dan sayang dihati mereka. Sedikit demi sedikit Shahril cuba mengajar Margo akan keindahan agama Islam dan Margo mula tertarik. Shahril mengambil masa selama 2 tahun untuk membimbing Margo dan akhirnya pada tahun 2004, dengan persetujuan keluarga kedua-dua belah pihak, kata sepakat dicapai dan mereka bernikah pada tahun 2004. Margo diberikan nama Mariam binti Abdullah. Mereka dikurniakan 3 orang zuriat. Adam berumur 9 tahun, Azri berumur 7 tahun dan terakhir Nurliyana berumur 4 tahun sebagai penyambung kasih. Rezeki Shahril bertambah baik. Dengan duit yang ada setelah mengumpul bersama-sama dengan isteri tersayang, Mariam, mereka telah berjaya membuka sebuah restoran. Masa terluang banyak dihabiskan bersama keluarga dan sering mereka mengunjungi keluarga Mariam. Selain daripada itu Shahril juga gemar memancing dan hasil tangkapannya akan dibawa pulang untuk dimasak dan dikongsi bersama rakan-rakannya dari Malaysia dan masyarakat tempatan. Penglibatan beliau didalam majlis-majlis tempatan mahupun keagamaan dimasjid berdekatan amatlah menyenangkan banyak pihak. Karektor beliau yang peramah tetapi sedikit "gila-gila" diibaratkan sebagai "icing" pelengkap. Begitu jugalah sikapnya sejak tahun 1996!

 
Sewaktu di RKL dulu, Shahril sering mengambil shift tengah malam. Apabila rakan sebelumnya tidak menghabiskan tugas yang sepatutnya dilaksanakan, Shahril dengan senang hati akan menyiapkan apa saja yang terbengkalai. Menyanyi-nyanyi sendirian didapur sambil menggoreng mee mamak, aku kadangkala ketawa kecil. Setiap kali aku masuk ke dapur akan ada saja makanan yang disuruh aku rasa. Shahril memang mahir dan kemahiran itulah salah satu aspek yang membuatkan beliau berjaya. Kecekalan hati, disiplin dan keinginan untuk merubah nasib diri sendiri juga banyak memainkan peranan didalam melahirkan Shahril Shuib yang aku kenali ini. Senyum tak pernah lekang dari bibirnya. Aku sangat berbangga kerana Shahril ini merupakan anak Melayu yang berjaya di perantauan walaupun bukan yang pertama, tetapi yang sangat aku kenali. Diam tak diam, telah hampir 15 tahun beliau bermastautin disana. Menjadikan Galway sebagai kampung baru beliau dan keluarga. Hubungan dengan ahli keluarga di Kedah tetap diteruskan. Kadang-kala ada saudara-mara yang pergi melawat dan bercuti disana.

 
Shahril juga sama macam aku. Menunggang moto pergi dan balik kerja. Kadang-kadang kami sampai ke hotel pun pada waktu yang sama. Parking moto bersebelahan, sempat kami berborak sebentar sambil berjalan masuk ke hotel dan ke locker room yang sama untuk menukar pakaian. Pertengkaran diantara kami adalah lumrah. Semuanya berkisar kepada kerja sahaja. Tiada yang personal. Shahril akan marahkan aku jika makanan lambat di pick up. Aku akan marahkan Shahril apabila makanan lain dah siap manakala masakannya belum. Penting bagi aku untuk mengeluarkan makanan untuk satu meja pada waktu yang sama. Mungkin aku "old school" tetapi itulah yang aku belajar dan mengajar sewaktu di eropah dulu. Selepas bertegang leher selama beberapa saat, dan makanan dihidangkan kepada tetamu, aku akan masuk semula ke dapur untuk bertemu beliau. Kembali bersembang, bergelak dan kadang-kadang minum kopi bersama di belakang.


Alhamdulillah...alhamdulillah...alhamdulillah...aku bersyukur, rakan yang aku kenali beberapa tahun dulu kini sedang membina kehidupan yang sangat baik di perantauan. Restaurantnya dinamakan sempena nama isterinya. Margo's Restaurant. Nama siapa lagi yang harus diabadikan selain daripada nama isteri? Kata beliau, restaurant ini diusahakan oleh mereka anak-beranak. Makanan yang disediakan ialah Irish dan Asian. Oleh kerana dikawasan beliau tidak banyak restaurant makanan Asia, maka disinilah selalunya menjadi tumpuan dan tempat masyarakat setempat berkumpul. Ada juga disediakan ruang untuk bermain pool. Kalau tetamu belum datang, selalunya anak-anaklah yang akan bermain walaupun kayu "que" tu lebih panjang@tinggi daripada Adam, Azri mahupun Liyana!
 
Aku tumpang seronok melihat rakan aku, seorang anak muda dari Hutan Kampong, Alor Setar, Kedah berjiwa besar, membina kehidupan baru di perantauan dan mengatur langkah mengejar impian...jika ada sesiapa yang sampai ke Galway dan nak makan sambal belacan, aku syorkan carilah dia....alamatnya kini ialah seperti dibawah. To my dear old friend, Shahril Shuib. I am very-very proud of you!
 
Shahril Shuib,
Ratesh Kilconly,
Tuam co Galway,
Ireland.


Ahad, November 16, 2014

Bahasa itu indah!

 
Malam tadi aku menonton satu program disalah sebuah channel tv. "Spell It Right" peringkat kebangsaan. Berlonggok kami depan tv. Aku panggil abang, Yuya dan Marina sama-sama tengok. Aku suka program ni sebab banyak yang aku boleh belajar. Even soalan-soalan peringkat sekolah rendah pun aku dah juling otak nak fikir apalagi soalan untuk sekolah menengah! Tapi pelajar-pelajar ni semua yang mewakili negeri masing-masing memang hebat. Aku pun heran mana depa belajar ejaan ni semua. Nampak mudah tapi sebenarnya tidak. Salah satu soalan untuk sekolah rendah ialah untuk mengeja "abattoir" yakni rumah sembelihan. Ia berasal daripada bahasa Perancis dan aku masih ingat lagi. Dipanggilnya sorang pelajar sekolah rendah ni. Dengan satu nafas beliau berjaya menjawab dengan betul! Phew....itu satu soalan mudah, fikir aku. Kemudiannya dipanggil pulak seorang pelajar dari Sarawak untuk mengeja perkataan yang asalnya ialah perkataan Latin. Oh makk aii...budak ni pun senafas jugak! Anak-anak aku melopong...Masuk ke peringkat sekolah menengah pulak. Pergh...soalan-soalan lebih memeningkan kepala. Mereka dengan tenang menjawap. Ada satu soalan yang ditanya, pelajar sorang ni menjawab dengan muka selamba....soalannya, apakah perkataan yang membawa maksud fobia kepada nombor 13 yang berasal dari Greek? Perkataan itu sebenarnya disebut berulang kali dan peserta boleh meminta ia diulang jika masih ragu-ragu dengan sebutannya. Budak ni terus mengeja "T.R.I.S.K.A.I.D.E.K.A.P.H.O.B.I.A."....dan jawapannya betul! Fuyoo.....aku terkedu! Aku tak nafikan yang pelajar-pelajar ini semua pintar. Ibubapa mereka hebat. Guru-guru mereka juga hebat. Tapi aku teringin nak tahu macamana mereka belajar? Apakah sumber rujukan mereka? Apakah mereka telah diberikan set perkataan berjumlah 1000 atau 2000 untuk dihafal? Jika tidak, dari mana mereka belajar? Apakah dari kamus? Apakah dari sebuah buku yang berkisar mengenai soalan-soalan sebegini? So please kalau ada sesiapa yang tahu tolong bagitahu aku...benda yang macam ni aku minat. Bukan minat nak bertanding tapi minat nak tahu dari sumber mana mereka belajar?

 
Hari ini aku tak berkesempatan nak ke pasar. Pagi tadi aku ada sekumpulan tetamu yang perlukan sarapan awal. Selepas itu ada group yang akan check in awal. Pukul 3 pula ada group lain yang ada hi-tea. Malam ni ada majlis tahlil di function room dan selepas itu ada bbq dinner. Memang padat hari ini. Alhamdulillah. Ini semua rezeki yang Allah bagi kepada kami. Minggu depan juga akan menjadi sibuk. Semua ini mengembalikan kenangan aku bersama-sama dengan hotel besar lain yang pernah aku kerja dulu. Sewaktu di Tokyo Bay Hilton, tetamu sarapan pagi kami pada hujung minggu ialah seramai 800-1200. Tak cukup di cafe dan pool, lounge juga dibuka. Hujung minggu menjadi ramai kerana semua tetamu ingin ke Tokyo Disneyland. Hotel kami terletak di belakang disney yang berhadapan dengan Tokyo Bay. Pemandangan depan mengadap Disneyland dan pemandangan belakang mengadap ke bay! Sangat cantik. Pekerja bekerja tanpa henti. Makanan sentiasa ditambah dan waktu sarapan terpaksa dilanjutkan kepada pukul 11 pagi. Tetamu berpusu-pusu dengan keluarga. Itu kali pertama yang aku terpaksa memberi makan kepada lebih 1000 orang tetamu didalam tempoh 5 jam dari 6 pagi sampai 11 pagi.  Balik ke bilik penginapan sebelah malamnya, aku hanya sempat tapau makanan, bawak balik ke bilik, tukar baju, mandi, makan dan terus tidur sebab terlalu letih! Begitulah setiap hujung minggu aku sewaktu di Tokyo dulu. Pada awalnya aku jadi ngeri memikirkan hujung minggu. Tetapi lama-kelamaan semuanya menjadi routine dan aku mula seronok kerana dapat bertemu ramai tetamu dan aku belajar bahasa Jepun dengan lebih cepat sehingga rakan-rakan aku terkejut sebab sebutan aku menjadi sangat cantik seolah-olah orang Jepun yang bercakap! Itu dulu...hahahahaha!
 
Aku berpesan kepada anak-anak agar menguasai seberapa banyak bahasa yang boleh. Ini sangat penting kerana banyak syarikat didunia yang memerlukan pekerja yang menguasai lebih daripada satu ataupun dua bahasa. Mereka juga boleh bertugas diluar negara, menjadi penterjemah dan lain-lain lagi. Ramai yang berpendapat bahawa bahasa merupakan penghalang untuk mereka ke luar negara ataupun bahasa merupakan penghalang untuk mereka berjaya. Aku menyanggah pendapat sebegitu. Bahasa itu indah. Harus ada minat. Harus ada keberanian. Harus ada muka tebal atau didalam bahasa utara dipanggil "hemoi". Disini aku sekali lagi bernasib baik kerana mengikut arwah bapak bertugas dimerata-rata tempat diseluruh negara. Walaupun masih didalam Malaysia, pergaulan aku telah membuatkan aku cepat menangkap bahasa-bahasa daerah dan seterusnya bercakap seperti orang tempatan. Sekali imbas mereka tidak akan tahu yang aku bukan berasal dari daerah mereka. Bayangkanlah...aku dilahirkan di Kelantan, bersekolah di pulau pinang, seremban dan alor setar. Dari satu tempat ke satu tempat, aku mula mempelajari loghat daerah dan lenggok mereka berbual. Memang seronok. Ada seorang rakan yang sama bertugas dengan aku di kl dulu kini bekerja di Dungun. Asal dari Kedah tetapi sekarang ni bercakap bahasa Trengganu dengan pekat sekali. Aku sendiri terkejut kerana langsung tak melambangkan yang beliau berasal dari Kedah. Aku rasa Nizam (nama beliau) ni kalau pergi kemana-mana sekalipun, beliau akan mampu menguasai pelbagai bahasa dengan baik. Ini merupakan satu kelebihan.
 
Aku teringat pula kepada rakan setugas aku di Geneva dulu yang bernama Patrick. Beliau menguasai bahasa peranchis, german, italy dan sepanyol dengan baik! Tapi itu merupakan kelebihan kepada mereka yang bersekolah di eropah. Harus menguasai bahasa negara jiran...walaubagaimanapun sistem pembelanjaran mereka disekolah adalah berbeza dengan kita! Malangnya kita tidak pandai untuk mengambil peluang sebegini. Jika nak dikira, kita amat mudah untuk menguasai bahasa mandarin mahupun tamil kerana kita membesar didalam kelompok masyarakat yang sama....jika berkesempatan teringin aku untuk kembali menghabiskan pelajaran aku didalam bahasa mandarin yang aku tinggalkan berbelas tahun yang lalu. Hmmm.....satu lagi bahasa selain peranchis yang menarik perhatian aku ialah bahasa sepanyol. Bunyinya sangat sedap bagi aku. Begitu juga dengan bahasa itali. Mungkin aku akan kembali ke kelas bahasa setelah pencen nanti apabila aku mempunyai banyak masa terluang....insyAllah...satu hari nanti!

Ahad, November 09, 2014

Hujung minggu yang padat!

Aku dan rugby tak dapat dipisahkan..!

Ramai orang kata ini permainan gila...aku pulak kata, aku gilakan permainan ni! Aku dah mula merancang bagaimana caranya untuk aku dapat menyaksikan perlawanan rugby Piala Dunia tahun depan dalam suasana yang meriah? Negara terdekat yang menyertai pertandingan peringkat akhir rugby ialah Jepun. Aku ingin merasakan suasana Piala Dunia. Duduk didalam kelompok masyarakat yang gilakan rugby, berkumpul beramai-ramai dengan peminat-peminat rugby seluruh dunia..merasakan suasana dan kehangatan sebenar! Nah...itulah yang aku mahukan...Tapi apakah aku terdaya untuk mengumpul wang sebegitu banyak hanya untuk menonton satu atau dua perlawanan di London nanti? Apakah aku sanggup membelanjakan berbelas-belas ribu ringgit semata-mata untuk membeli tiket KL-London-KL, penginapan serta makan-minum tetapi hanya menonton diluar stadium ataupun hanya mendengar sorakan penyokong-penyokong hebat all blacks, wallabies, springboks, puma, samurai dll? Oh tidak......aku boleh menjadi histeria hanya mendengar sorakan penyokong tegar sedangkan aku tak mempunyai tiket untuk menonton didalam stadium! Kepala otak mula berkira-kira macamana aku nak ke sana. Penginapan tidak menjadi masalah kerana aku boleh tidur dimana-mana sahaja. Cuaca? Aku rasa jugak tiada masalah kerana waktu itu autumn. Cuaca bagus dan pemandangan cantik..Makanan? Makanan tak pernah menjadi masalah untuk aku. Aku tak perlukan sambal tumis ikan bilis macam nak pergi rombongan...aku tak perlukan rempah alagappa untuk mengubat rindu aku pada kari...aku tak perlukan maggi ayam untuk melunaskan nafsu aku kepada makanan malaysia, itu semuanya tak perlu! Bagi aku yang tak pernah risau pasal makanan, kalau tahu tak boleh nak makan benda-benda tu semua, makan roti sajalah! Cicah kopi! Makan telur untuk protein...roti untuk carbohydrates, buah-buahan...sayur-sayuran...ready made salad selalu dah jual beserta dengan dressing sekali. Pilih saja...ngap, habis cerita! Nak makan sedap, balik aja lah ke Malaysia! Hahahahaha.....

Dimana ni?

Lama aku tak ke Masjid Wilayah. Ini adalah kerana jarak pejabat lebih dekat dengan Masjid Bangsar. Lagipun sering berlaku kesesakkan jalanraya yang teruk untuk ke Masjid Wilayah dari ibupejabat di Mont Kiara. Tetapi semalam aku sempat kesana dengan moto. Tiba-tiba terasa Masjid Bangsar terlalu jauh dari MK. Dengan moto, segala-galanya menjadi mudah dan cepat. 10 minit aku dah sampai. Meletakkan moto dibawah membolehkan aku berjalan lebih jauh dan Noom Walk mengira yang aku dah berjalan melebihi 1000 tapak! Sesampainya aku dijambatan untuk masuk ke kawasan masjid, aku berhenti sebentar dan melihat. Subhanallah...cantik pulak! Selalunya waktu sembahyang jumaat, cuaca menjadi sangat panas dan aku akan berjalan cepat untuk masuk sambil menundukkan kepala. Tetapi kali ini oleh kerana cuaca mendung, aku mengambil masa sebelum masuk dan berhenti diluar perkarangan untuk melihat keindahan masjid dan kolam air dibahagian depannya. Orang ramai berpusu-pusu. Baru masuk waktu. Aku bercadang untuk bersolat dibahagian bawah sahaja. Ruangannya besar. Ceilingnya yang tinggi membuatkan kawasan dibawah sedikit dingin. Sebahagian kawasan dipintu masuk telah digunakan untuk berniaga. Dari pakaian hinggalah ke minyak wangi semuanya ada. Yang tidak dijual hanyalah makanan. Ramai rakyat asing disitu. Sewaktu aku sampai, ada 2 orang wanita dengan berjubah dan berbangsa asing juga sampai. Mereka terus menuju ke pejabat pegawai khas. Dari jauh aku lihat mereka diberikan penerangan mengenai masjid dan dibawa naik mengikut seorang wanita tempatan yang rasanya bertugas sebagai pegawai pelancong. Bagus disediakan seseorang untuk membantu pelancong. Di Masjid Negara juga ada. Ada kaunter souvenir, kaunter pertanyaan, kaunter jubah dan lain-lain lagi. Ini penting untuk memberikan penerangan mengenai pembinaan masjid, sedikit sebanyak sejarah Islam dll. Mengingatkan aku kepada beberapa trip ke luar negara. Sewaktu di Switzerland dan Italy, aku juga sering ke chapel mahupun cathedral. Melihat dari dekat pembinaannya, sedikit mengenai sejarah dan latar belakang dan dari situ juga aku lebih memahami budaya masyarakat setempat. 

Guilin?

Apakah perancangan pada hujung minggu ini? Hari Sabtu disebelah malamnya ada perjumpaan Victoria Institution Parents Support Group untuk pasukan bolasepak atau singkatannya dipanggil VIPSG untuk meraikan kejayaan anak-anak yang menjuarai kejohanan bolasepak bawah 17 tahun Kuala Lumpur dan naib juara peringkat kebangsaan tempohari. Pertemuan ini juga penting untuk para ibubapa pemain sekali lagi berkumpul dan merancang program untuk anak-anak bagi kalendar tahun 2015. Selain makan-makan, kami juga merancang untuk mengumpulkan dana bagi projek bolasepak ke Kelantan 2015 nanti dan banyak lagi perkara yang sedang kami aturkan. Ini semua terhasil daripada kerjasama erat ibubapa para pemain sejak beberapa tahun yang lalu. Alhamdulillah para pemain ini telah menempah kejayaan demi kejayaan hasil bimbingan Coach Lan yang sangat berwibawa dan dihormati. Petang tadi pula melalui kerjasama ibubapa dan ahli keluarga pemain, satu perlawanan persahabatan telah disusun menentang pasukan dewasa dari Ulu Langat. Alhamdulillah mereka mendapat keputusan seri. Setelah selesai permainan, pasukan Ulu Langat memberitahu bahawa pasukan VI bawah 16 tahun ini memang sebuah pasukan yang hebat. Dan sebentar tadi juga diberitakan bahawa pasukan Ulu Langat FC sekali lagi akan memanggil pasukan bolasepak VI bawah 16 tahun untuk sekali lagi bermain didalam perlawanan persahabatan. Ini hanyalah pemain-pemain yang berusia 16 tahun dan beberapa pemain yang berumur 15 tahun. Bakat mereka sangat besar dan alhamdulillah Coach Lan yang membimbing mereka selama 4 tahun sejak mereka berusia 13 tahun telah berjaya membentuk pemain-pemain ini menjadi pemain yang berskil dan berdisiplin tinggi. Aku berbangga...aku tak sabar menanti tahun 2015. Banyak pertandingan peringkat negeri dan negara yang sedang dirancang. Aku pasti kejayaan akan menyebelahi mereka. InsyAllah!

Rabu, November 05, 2014

Cuti

Pasar Ampang

Cuti 2 minggu lalu agak panjang bagi aku kerana hujung minggu aku selalunya akan penuh dengan aktiviti-aktiviti menarik samada dirumah mahupun di hotel.. anak-anak cuti seminggu. Jadi Azumi dan Yuya pulang dari asrama dengan pelbagai kisah menarik. Marina tak sabar-sabar nak bertemu dengan abang-abangnya. Kak Wiwit komplen sebab abang dan Yuya bawak balik macam-macam yang perlu dicuci. Ini termasuklah stokin bola yang seminggu hanya dibilas, baju yang kolarnya telah hitam berkarat dan kasut yang dah tak ada rupa kasut! Namun walaubagaimanapun Kak Wiwit aku tahu, setakat ini amat sayangkan budak-budak ini. Alhamdulillah dah 6 tahun bersama kami. Hari tu ada ura-ura yang Wiwit nak pulang ke Madiun tetapi Marina merengek enggan membenarkan dan Kak Wiwit cair dengan Marina. Selalunya kalau Marina ada wang lebih, Marina akan belikan gula-gula untuk Kak Wiwitnya. Itu yang buat Kak Wiwit tangguhkan rancangan untuk pulang. Dari setahun ke setahun! Alhamdulillah...

Gerai No 29, Sebelah Roti Canai,Depan Maybank Pandan Jaya.

Aku ada sorang kawan ni. Aku kenal beliau sejak aku di Mekah lagi apabila aku sering menulis dari sana menceritakan tentang kehidupan aku di bumi Mekah. Vimmy terbaca cerita aku dan dari situ kami mengenali satu sama lain. Vimmy juga merupakan penulis blog yang hebat. Dari beliau aku mula mengenali suami dan anak-anaknya. Vimmy bagi aku merupakan seorang wanita yang sangat kuat. Kuat dalam erti kata yang sebenarnya. Mempunyai 4 orang anak yang kesemuanya perempuan bukanlah satu tugas yang mudah. Tambahan pula anak-anak kini menjangkau usia remaja tetapi alhamdulillah kesemuanya sangat menjadi...Vimmy sibuk dengan kerja-kerja kebajikan membantu masyarakat gelandangan, anak-anak dirumah yatim dan pelbagai program lagi yang dijalankannya. Pada masa yang sama Vimmy dan suami juga membuka gerai makan yang terletak berhadapan Maybank di Pandan Jaya menjual makanan-makanan seperti wantan mee, mee kari nyonya dll. Sedap sudah pasti kerana suaminya merupakan bekas Executive Chef yang sanggup berhenti kerja semata-mata untuk membantu isteri tersayangnya melaksanakan kerja-kerja kebajikan. Aku hairan dimana datangnya tenaga dan semangat beliau. Aku pasti beliau tidak mempunyai banyak masa terluang seperti orang-orang lain. Sangat hebat. Itulah sahaja yang mampu aku katakan mengenai beliau dan suaminya. Even hingga kini aku masih lagi tidak mampu mengikuti satupun program kebajikan yang dilaksanakannya walaupun aku tahu mereka mula melaksanakan kerja-kerja amal mereka seawal pukul 4 pagi setiap hari minggu bertempat di Masjid Jamek di KL. InsyAllah jika aku terjaga awal, sudah pasti aku akan turut serta walaupun hanya sekali!

Celebrity Fitness Bangsar Village

Minggu yang lalu, hujan menjadi tidak menentu. Sekejap hujan, sekejap berhenti, sekejap hujan dan sekejap berhenti. Perjalanan aku ketempat kerja dan pulang juga menjadi sama. Sekejap jalan, sekejap berhenti bawah jembatan...sekejap jalan, sekejap berhenti bawah bus stop! Sekarang aku terpaksa mengusung beg besar untuk ke tempat  kerja. Apa yang diisi didalam beg? Ada kasut, ada selipar, ada stokin ke 2, ada baju ke 2, ada kain tuala kecil dll. Ini semua persediaan berlaku hujan ditengah jalan....ubat dalam peket kecil juga dah standby. Hahahahahaha....Paling teruk hari Sabtu lepas. Sesampainya aku dirumah, badan dah mula rasa lain macam. Mula seram-sejuk tak tentu hala! Pergi ke klinik ambil ubat sekejap. Risau jugak kalau-kalau ada penyakit lain. Maklumlah...denggi masih berleluasa. Menonton bolasepak perlawanan akhir pun rasa macam tak puas...keesokkan harinya aku tengok Marina pulak melepek ke rumah. Tidur dari pukul 11 pagi sampai pukul 3 petang. Bila aku pegang tangannya, terasa panas. Lehernya lebih lagi. Cepat-cepat Marina pulak diberi ubat. Alhamdulillah hari Isnin dia bertambah sihat. Marina cuti tak pergi sekolah tetapi sebelah petangnya menalipon aku bertanyakan samada aku benarkan dia keluar bermain diluar! Pagi tadi aku bertanya samada Marina sudah mendapat keputusan peperiksaan atau belum dan katanya sudah. Ditunjukkannya markah BM. Cuma 75%. Aku cari kesalahannya. MasyAllah...tersandar aku sebab terlalu senang untuk dijawap tetapi jawapan yang diberikan salah! Aku menyalahkan diri sendiri kerana tidak memberikan tumpuan yang lebih kepada matapelajaran tersebut. Waktu itu tumpuan aku hanyalah kepada Sains dan Matematik! Aku sedikit terkilan....

Pasembor Ampang

Beberapa hari yang lepas, kami teringin nak makan pasembor. Kak Anne pulak kebetulan akan berziarah ke rumah. Jadi aku pesan kepada abang sewaktu kami keluar membeli untuk membeli sebungkus lebih khas buat Kak Anne yang akan datang. Balik ke rumah, kami makan. Kak Anne sebentar kemudian sampai dirumah. Aku suruh Wiwit tolong siapkan untuk Kak Anne. Wiwit bingung kerana dicarinya pasembor sebungkus lagi tapi tak jumpa. Penat mencari akhirnya kami tersedar yang penjual tadi tidak memberikan sebungkus lagi pasembor walaupun telahpun dibayar! Sekali lagi aku terkilan. Tak ada rezeki untuk Kak Anne!

Jumaat, Oktober 24, 2014

Maal Hijrah (topik tak kena-mengena dengan cerita!)


Aku sentiasa menunggang moto kemana-mana saja aku pergi. Hampir kesemua lorong-lorong telah aku susuri. Beberapa hari yang lalu sedang aku asyik menikmati segelas teh, aku menoleh kesebelah kanan aku dan terpandangkan sebuah bangunan lama yang masih kukuh tersergam disebelah aku walaupun warnanya dah pudar tetapi aku lihat ada suatu aura dibangunan usang tersebut. Lalu aku capai talipon bimbit dan mula mengambil angle yang aku rasa baik. Banyak aplikasi boleh digunakan dan ini membuatkan aku terleka sebentar membelek semula talipon bimbit aku yang selalunya tak pernah aku peduli. Menekan apa yang boleh dan mencuba apa juga yang tak pernah aku cuba sebelum ini, aku terperanjat melihatkan kesan yang terhasil. Aku asyik.......
 
Ditenung lama-lama, aku mula dapat membayangkan berpuluh tahun yang lalu sudah pasti bangunan lama ini dihuni oleh sebuah keluarga berbangsa tionghua. Mungkin menjalankan perniagaan runcit disebelah bawahnya dan menginap ditingkat atas. Aku mula berkhayal...Datuk bertenggek dikerusi rotan berhampiran pintu kedai sambil dicelah jari terselit sebatang rokok Gold Leaf ataupun Lucky Strike. Muka berkedut, gara-gara kesusahan hidup dilalui, yang payah untuk diterjemahkan kepada anak cucu. Nenek pula sibuk menyuapkan "moi" ke mulut cucu-cucu kecil yang asyik berkejaran didalam kawasan rumah yang besarnya hanya sekangkang kera. Mulut nenek terkumat-kamit memanggil seorang demi seorang yang berjumlah 3 orang kesemuanya. Penat tidak terhingga...Dalam penat menyeka peluh, nenek masih mampu tersenyum melihatkan keletah cucu-cucunya. Masih terkumat-kamit mulut membebel, nenek bingkas bangun lalu mencapai sebilah rotan yang berada betul-betul berada ditepi meja. Ketiga-tiga cucunya berhenti berlari. Memandang satu sama lain. Merenung muka nenek dengan kening sedikit terangkat menagih simpati.....(cerita tak logik akan bersambung bila aku teringat...hahahahaha...)

Rumah usang ditepi lorong..
 
Kesihatan yang baik menjadi keutamaan aku sejak 1-2 tahun ini. Pelbagai kisah sedih sudah aku baca dan bermacam-macam peristiwa telah aku lalui. Apa yang berlaku kepada kedua-dua arwah ibubapa aku menjadi pengajaran yang sangat berharga. Keinsafan timbul daripada diri sendiri. Bagi aku jika duit banyak bertimbun tetapi kesihatan tidak dijaga dengan baik, ia kurang membawa erti "nikmat kehidupan" yang sebenarnya. Maka dengan kesedaran itulah yang membuatkan aku mendaftarkan diri di Celebrity Fitness di Bangsar Village hampir dua setengah tahun lalu dan sejak dari itu aku tidak pernah menoleh kebelakang. Sesekali timbul juga rasa malas nak ke gym tetapi kemahuan aku untuk menjaga kesihatan telah berjaya mengatasi rasa malas yang kadang kala timbul. Pada suatu ketika berat badan aku pernah melambung ke 95 kilogram! Semua pergerakan terasa berat dan aku sentiasa mendapat sakit kepala. Didalam keadaan yang sakit begitu pun mulut aku sentiasa nak mengunyah sesuatu dan perut sering berasa lapar. Aku nekad tak mahu mengulangi kesilapan masa lalu. Kini alhamdulillah sekurang-kurangnya 3 kali seminggu aku pasti akan berada di gym untuk beriadah. Hasilnya menakjubkan, sakit kepala aku bertambah kurang dan sakit belakang juga telah mula surut. Alhamdulillah juga bilamana aunty, anak aku azumi dan anak menakan aku syafiq juga kini mendaftar di CFBV dan beberapa kali juga kami akan ke gym bersama-sama. Apabila melakukan workout secara berkumpulan, aku tak terasa bosan. Sama-sama berkongsi pengetahuan dan bantu-membantu. Ini tambah menyemarakkan lagi semangat aku untuk sentiasa beringat bahawa kesihatan tubuh badan itu sangat penting. Kini ditambah lagi dengan aplikasi NOOM WALK, aku dapat menghitung berapa steps aku dah buat dalam sehari. Nampak gaya bukan senang nak dapatkan 10,000 steps untuk sehari. Semalam aku hanya berjaya mendapat 3900 steps. Banyak kurang. Rasanya mungkin dalam lingkungan 5-7 kilometer baru dapat 10,000!!! Hahahahahaha.....
 
 
Semalam aku mendapat satu panggilan talipon dari Kuta di Bali. Rakan lama yang sama-sama bekerja dengan aku sewaktu di KL, Jakarta, Shanghai dan Madinah (bukan hotel yang sama). Rakan yang boleh aku percaya dan saling bantu membantu didalam apa jua keadaan sekalipun. Aku kenal rakan aku ni sejak tahun 96 lagi. Bekerja dibawah satu bumbung membuatkan kami yang pada mulanya kurang akrab, menjadi rapat. Falsafah kerjanya sama dengan aku maka dengan itu kami mampu berbual berejam-jam lamanya. Beliau kini berada di Kuta. 3 jam penerbangan dari KLIA ke Denpasar. Keluarga di KL. Kadang kala aku bersimpati dengan beliau yang terpaksa meninggalkan anak-anak dan isteri demi mencari rezeki. Keluhan beliau aku benar-benar faham kerana aku juga pernah berada didalam situasi sebegitu. Yang menghantui kami apabila berada bersendirian di luar negara ialah isteri dan keluarga yang ditinggalkan. Bagaimana dengan isteri dan anak-anak, pelajaran mereka, pencapaian mereka, pergaulan mereka dan selalunya kami akan bekerja lebih keras sehingga lewat malam semata-mata untuk menghilangkan perasaan rindu kepada anak-anak dan isteri. Tetapi apabila pulang ke bilik penginapan, sebelum terlelap, akan datang satu macam perasaan hiba menghantui fikiran dan jiwa, seorang bapa. Perasaan yang tak dapat aku gambarkan dengan perkataan. Masa aku telah berlalu. Kini rakan aku sedang melaluinya sekali lagi. Beliau juga seperti aku, berharap semua pengorbanan yang dilakukan akan disedari oleh keluarga disuatu hari nanti. Bukan kami tidak sayangkan keluarga, tetapi cara kami menyampaikan perasaan sayang itu berlainan. Aku bersyukur kerana rakan aku diberikan kesihatan dan rezeki yang bertambah baik. Memegang jawatan sebagai General Manager di hotel bertaraf antarabangsa di Bali bukanlah calang-calang. Selalunya jawatan tersebut akan disandang oleh manusia berkulit putih. Rakan aku mendapat kepercayaan besar daripada syarikatnya untuk menerajui beberapa lagi hotel yang sedang dalam pembinaan. Ini termasuklah di Ubud, Lombok dan Surabaya....Alhamdulillah...aku tahu kelebihannya dan aku tahu yang beliau mampu melaksanakan tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan kepadanya dengan amat baik...Thanks for the 30 minutes call yesterday and thanks for the lead....Untuk rakan aku, sempena Maal Hijrah, aku doakan kesejahteraan, kesihatan yang baik, umur yang panjang dan berusahalah dengan gigih demi agama, bangsa dan negara yang tercinta...."Malaysia, Tanah Tumpahnya Darahku!".
 
 
 
 
 


Tewas

Harap maaf betul kerana saya tak termampu nak ipdate cerita-cerita saya disini. Banyak sebenarnya nak dikisahkan. 2. Walaubagaimanapun say...