Ahad, Mei 25, 2014

Fine Dining di Melia Hotel

Beberapa kali aku telah bercerita mengenai pengalaman aku belajar di Institut Hotelier Cesar Ritz
(Le Bouveret Campus, Le Bouveret, 1897 Switzerland, Phone: +41 24 482 8282, Fax: +41 24 482 8899) dulu dan aku tak pernahnya berasa jemu untuk bercerita dan terus bercerita mengenai sekolah perhotelan ini yang sehingga kini masih terunggul sebagai salah satu sekolah perhotelan terbaik di Switzerland mahupun di dunia. Nama Cesar Ritz diambil sempena nama seorang pakar perhotelan Eropah yang sama-sama bertungkus-lumus dengan Chef Escoffier membawa era baru "Fine Dining" ke mata dunia di kurun ke 19 dulu. Satu persatu hotel dibuka mereka. Titik peluh mereka ternyata berbaloi apabila banyak hotel-hotel Ritz dibuka diseluruh dunia!


Sewaktu belajar selama beberapa tahun disana, aku bernasib baik kerana mendapat tunjuk ajar yang sangat hebat daripada pensyarah-pensyarah terunggul Eropah seperti Harold Fracheboud, Luc Hegetsweiler, Michael Sweet, Chef Max Houser, Chef Alain dan ramai lagi yang sangat dedikasi dan tak pernah mengenal penat apalagi jemu menitipkan ilmu-ilmu perhotelan kepada aku. Aku terus menulis dan terus menulis apa juga ilmu yang aku dapat didalam kelas. Tidak cukup dengan itu, aku akan berjumpa mereka secara peribadi samada dipejabat mahupun di luar waktu pembelajaran hanya semata-mata untuk mencungkil rahsia-rahsia service dan Fine Dining yang bagi aku amat unik dan tak semua orang tahu! Keakraban aku dengan Harold Fracheboud banyak membantu. Aku sering ke rumah beliau. Bertemu isteri beliau dari Mexico dan belajar dari kedua-duanya peradaban serta cara makan yang betul. Semuanya aku tulis dan buat nota untuk kegunaan aku di kemudian hari. Aku pernah mengikat perut mengumpul wang untuk bersama-sama Harold untuk mengembara ke Peranchis, masuk ke kampung-kampung terutamanya wilayah Champagne, tinggal bersama masyarakat Peranchis dan belajar selok-belok Fine Dining dengan mereka. Fine Dining mempunyai "art" yang tersendiri. Ramai yang mengambil remeh dan apabila mereka dijemput menghadiri majlis-majlis "high profile" sebegini diluar negara, mereka akan berasa malu dan seterusnya melakukan beberapa kesalahan-kesalahan adab sewaktu makan. Mereka lupa bahawa kad jemputan sangat penting. Mereka tidak ambil peduli RSVP yang tertulis "respondez s'il vous plait" atau didalam bahasa mudah kita disebut, "sila jawab".


Masyarakat juga tidak ambil peduli dengan cara pemakaian yang betul. Ramai antara kita tidak tahu apakah acara "black tie" dan mereka juga tidak pernah tahu bahawa selain daripada acara black tie, ada satu lagi acara yang sangat berprestij yang dipanggil "white tie". Cara pemakaian bagi kedua-dua acara ini hampir sama cuma warna yang akan membezakannya. Aku selalu mencadangkan agar masyarakat yang sering menghadiri majlis-majlis rasmi mempunyai sekurang-kurangnya 2 'suit' dan sepasang black tie costume. Ini sangat penting. Beberapa perkara remeh juga selalu aku ceritakan. Mereka masih menggunakan talipon bimbit sewaktu dimeja makan. Membaca teks, membalas teks dan kadang-kala membuat panggilan. Ini sangatlah mengecewakan aku. Ini tidak sepatutnya berlaku dimajlis-majlis yang berprofil tinggi apatah lagi jika acara tersebut dihadiri oleh menteri-menteri mahupun pembesar-pembesar negara.
 
 
Alhamdulillah sekali lagi aku diberikan rezeki oleh Allah swt untuk memberi ceramah kepada para pegawai yang akan bertugas diluar negara. Senarai nama telah aku dapat seminggu sebelum ceramah untuk aku membuat sedikit 'homework' untuk mengetahui siapakah yang akan menghadiri ceramah aku nanti. Aku sedikit kaget apabila terlihat beberapa Brigedier General dari Mindef juga akan turut serta selain beberapa pegawai atasan kedutaan. Total keseluruhan berjumlah hampir 90 orang kesemuanya. Aku menarik nafas panjang di pejabat. Tahu yang aku mampu melakukannya cuma sedikit 'nervous' apabila melihat senarai nama! Menu juga aku dapat seminggu sebelum acara. Ini penting untuk aku membuat persediaan sewaktu di hotel nanti. Tepat pada waktu yang diberikan, aku sampai dua jam lebih awal untuk memastikan setting semuanya baik. Berjumpa dengan Liza, Sales Manager dan juga Headwaiter Azhar di Melia Hotel untuk mengetahui serba-sedikit set-up yang disediakan dan jika aku ada apa-apa perubahan yang harus dilakukan.disaat-saat akhir. Alhamdulillah...3 jam yang diberikan telah berjaya aku laksanakan dengan sebaik mungkin. Selesai tepat pada waktu 5.30 petang sama seperti yang tertera diluar ballroom. Setelah selesai, ada beberapa orang pegawai menghampiri aku dan memberitahu yang mereka akan ke Paris selama beberapa tahun. Aku mengucapkan tahniah dan ada aku beritahu beberapa nama penting yang juga merupakan rakan-rakan aku yang kini berada di Paris. Semoga ini sedikit-sebanyak dapat membantu mereka nanti disana!
 
Segala tunjuk ajar daripada tenaga pengajar aku di luar negara dulu serta pengalaman aku merantau ke pelbagai negara untuk mencari rezeki telah banyak mengajar aku selok-belok perhotelan. Alhamdulillah sedikit-sebanyak dapat aku curahkan kepada yang memerlukan. Aku berasa terhutang budi kepada semua yang telah aku temui dan segala tunjur ajar yang aku terima daripada mereka dulu. Jika tidak kerana mereka masakan aku berada disini. Pada waktu ini di Barcelona sedang berlangsung reunion rakan-rakan aku di Switzerland dulu. Teman aku Lilian dari Ipoh yang kini menetap di Germany juga sedang berada disana. Hasrat hati ini bersama-sama mereka tetapi memandangkan jarak yang sangat jauh serta tugasan yang tak pernah reda, aku terpaksa lupakan buat sementara waktu. Kemungkinan besar tahun depan akan diadakan di Bangkok jika tidak Jakarta seperti yang diberikan kepada aku minggu lalu! Have a pleasant week ahead people!
 
 
 

Ahad, Mei 18, 2014

Pasar Ampang

Setiap hari minggu aku akan ke Pasar Ampang. Tidak ada apa yang specialnya disini. Sama seperti pasar-pasar yang lain. Tetapi setelah berbelas-belas tahun, aku masih juga ke pasar ini. Pasar Ampang sangat unik bagi aku. Setiap lorong yang ada dipergunakan dengan sebaik-baiknya. Pasar Ampang bukanlah sebuah pasar yang bersih. Oleh kerana itulah ia mempunyai 'karektor' tersendiri. Hampir kesemua peniaga disini aku kenal. Dari aku rambut 'hitam' sampailah aku rambut 'putih'. Sampai kadangkala aku ditegur penjual ayam...Sam, penjual ayam yang aku kenal sejak dia masih lagi anak dara. Sekarang dah beranak-pinak dan masih disitu berniaga ayam bersama keluarga. Aku rasa ahli keluarga Sam semuanya perempuan sebab yang ada disitu semuanya perempuan. Pernah aku dah bayar, pergi ke gerai ikan dan terlupa nak ambil ayam. Sampai dirumah aku dapat panggilan dari Sam yang memberitahu, aku tertinggal ayam digerainya!

 
Ah Soh pula akan tersenyum bila aku sampai. Aku tak perlu bercakap atau meminta. Cukuplah dengan menudingkan 2 batang jari. Dalam sekelip mata, telur gred A sebanyak 20 biji siap dibungkusnya untuk aku.  Ah Soh melakukannya dengan sangat berhati-hati. Setiap 2 biji telur, Ah Soh akan lapikkan kertas surat khabar. Ini bermakna 10 kepingan suratkhabar kecil dilapiknya untuk telur sebanyak 20 biji yang aku pesan! Senyum sentiasa terukir dibibir. Umurnya kalau tak salah telahan aku mungkin didalam lingkungan 70-an. Mukanya yang lonjong dan tirus penuh dengan kedutan-kedutan didahi dan dagu. Tekun melaksanakan tugas dan tabah dengan kerenah pelbagai ragam manusia.
 
 
Makcik Esah pula akan duduk diatas sehelai tikar dan disebelahnya disusun beg-beg tangan buatan China. Bertahun aku perhatikan Makcik Esah ni berjual. Kebetulan pula gerai makan yang selalu aku singgah bersebelahan pula dengan tempat Makcik Esah ni berniaga. Aku perhatikan, setiap kali Makcik Esah nak mula berniaga, mula-mula sekali dia akan buka sebungkus nasi putih bergaulkan isi ikan dan diletakkan dibelakangnya. Banyak kucing-kucing tak ber'tuan' akan mengerumuni Makcik Esah dan makan makanan yang diletakkan dilantai itu. Setiap minggu tanpa jemu, itulah yang akan Makcik Esah lakukan. Seolah-olah itu sudah menjadi rutin setiap hari minggu bagi Makcik Esah. Alhamdulillah....banyak beg-beg Makcik Esah yang laku dijual. Mungkin keluhuran hati Makcik Esah menjamu kucing-kucing liar tadi makan telah membuka pintu rezekinya. Wallahuallam!
 
 
Sebelum aku keluar dari kawasan pasar, aku akan singgah di gerai Ah Khoon dan suaminya Ah Lai yang menjual suratkhabar. Setiap kali aku sampai, 2 suratkhabar melayu telahpun diikatnya untuk aku. Ah Khoon akan bertanya khabar aku dan kami akan berbual sebentar. Keakraban dan kerancakan kami berbual akan menyebabkan pengunjung-pengunjung lain kehairanan. Mereka tidak tahu yang kami telah berbelas tahun mengenali antara satu sama lain. Kekadang aku bergurau dengan Ah Khoon. Aku akan berkata, "Ah Khoon ahh, sudah banyak tahun saya beli suratkhabar sama you, tapi tak pernah sekalipun saya dapat diskaun!" Ah Khoon akan ketawa mengekek-ngekek sambil menutup mulut dengan sopan, menghindarkan aku daripada terlihat giginya yang rongak! Suratkhabar-suratkhabar ini akan aku baca sewaktu melepaskan lelah usai membeli-belah. Sambil menghirup teh tarik kurang manis, aku menyelak satu persatu helaian suratkhabar tadi mencari bahan berita yang  menarik. Karipap berinti ubi digerai makan itu juga aku suka. Rangup dan terasa margerine. Setiap kali aku sampai, karipapnya masih lagi panas dan itulah yang membuatkan tangan aku laju menyuap karipap ke mulut. Aku boleh duduk dikedai makan itu berjam-jam melihat kerenah penjual di gerai dan tingkah laku pengunjung pasar yang ligat tawar-menawar.
 
Barangan telah meningkat harga. Aku pernah membeli ikan kembong berharga RM8 sekilo dulu. Kini telah naik ke harga RM12-14 mengikut musim. Pekerja pasar masih lagi ligat berniaga. Pengunjung tak putus-putus tiba. Kerancakan perniagaan dan suasana santai dan harmoni masih dapat dilihat di pasar ini. Leka aku memerhatikan orang-ramai. Leka lagi aku menghirup teh tarik dan menyuapkan karipap ke mulut. Tiba-tiba Kak Kiah datang dengan bungkusan karipap yang aku pesan untuk anak-anak dirumah.....

 
 




Isnin, Mei 12, 2014

Pesanan untuk Yuya

 
Dengan huruf 'kanji' yang tepat, Yuya membawa maksud "Help from Heaven". Lama Papa dan Mama mencongak dan mencari nama yang sesuai. Nama Jepun sahaja bagi Papa dan Mama, agak 'sabishii'. Maka dengan itu dihadapan nama Yuya, Papa dan Mama tambahkan Kamal Ariffin. Maka terbentuklah satu nama panjang yang amat memberi makna besar kepada Papa dan Mama.
 


Yuya dah berumur 13 tahun pada tahun ini. Sungguh cepat masa berlalu. Papa masih ingat sewaktu Yuya kecil dulu, Yuya sangat comel. Berkulit putih melepak dan seringkali disalah anggap bahawa Yuya ialah seorang budak perempuan. Begitu juga apabila Papa membawa Yuya pulang ke kampung halaman di Tokyo. Apabila Papa dan Mama membawa Yuya berjalan-jalan, ramai makcik-makcik yang akan menegur dan mencubit pipi Yuya. Mata Yuya yang besar membuatkan Yuya sangat comel dan sentiasa menjadi perhatian. Ada sekali kita sekeluarga berkhemah di National Park di Jepun dan tinggal didalam karavan. Abang menjaga Yuya dengan sangat baik. Dipimpinnya tangan Yuya kesana-kemari. Papa yang memandang dari jauh berasa sangat tenang! Walaupun selalu bertegang leher dengan Yuya, Marina juga amat sayangkan Yuya. Ditulisnya mesage-message yang menyentuh perasaan apabila Marina berenggang dengan Yuya walaupun hanya beberapa hari!




Yuya mempunyai karektor yang sangat berbeza berbanding dengan adik-beradik yang lain. Yuya lebih santai menyuarakan pendapat. Ketidakpuasan hati akan tenang dizahirkan. Walaubagaimanapun sikap bertanggungjawab Yuya terserlah bilamana Yuya diberikan tugasan yang memerlukan Yuya memberikan perhatian yang lebih. Yuya akan cemas jika tidak mampu melaksanakan apa-apa saja didalam tempoh waktu yang ditetapkan. Sebaik mungkin Yuya akan menyelesaikan satu persatu. Yuya juga mempunyai sikap yang sangat prihatin terhadap ahli keluarga. Yuya sangat concern jika ada yang tidak kena dirumah. Selalu memuji masakan mama...tidak mengabaikan solat juga membuatkan Papa sangat berbangga!
 

 
Papa tahu Yuya sentiasa mahu melakukan yang terbaik didalam apa jua yang Yuya lakukan. Berusahalah Yuya dengan bersungguh-sungguh dan jangan mengaku kalah dipertengahan jalan. Papa pernah jatuh...Papa kembali bangkit perlahan-lahan, tidak menoleh kebelakang dan kembali mengorak langkah. Papa mahu Yuya juga begitu. Apabila Yuya berada di 'comfort zone', itu merupakan satu jerat yang akan memerangkap Yuya dikemudian hari apabila Yuya terleka. Sentiasalah berhati-hati didalam apa juga bidang yang Yuya ceburi. Berusahalah...

 
Tanggungjawab Papa terhadap Yuya akan berakhir setelah Yuya berjaya didalam pelajaran. Papa tak kisah apa saja bidang yang ingin Yuya ceburi. Laksanakanlah dengan penuh dedikasi. Laksanakan kerja Yuya dengan penuh disiplin. Jangan sesekali menipu. Papa tak pernah mengajar anak-anak Papa menipu didalam apa juga bidang. Jika Yuya berjaya didalam pelajaran, berjaya didalam bidang pekerjaan, segala kejayaan itu haruslah bermaruah..Papa dan Mama tidak mengharapkan apa-apa kecuali ingin melihat kejayaan Yuya. Happy 13th birthday Yuya! We love you so much...

Sabtu, Mei 03, 2014

Hujan rintik-rintik..

 
Hujan rintik-rintik
pagi hingga ke petang
masuk dalam semak
aku malas....tak mahu pulang!
 
 
 
Hujan rintik-rintik
pelangi tampak berbelang
aku tangkap belalang
simpan dalam balang!
 
 
 
Hujan rintik-rintik
jalan basah lecah
mama mula membebel
aku buat tak kesah!
 
 
 
 
Hujan rintik-rintik
kelkatu mula terbang
seluk tangan dalam kocek
duit mama dah hilang!
 


 
Hujan rintik-rintik
longlai langkah pulang
rotan ditangan kiri
tangan kanan mama dah dipinggang!
 


Tewas

Harap maaf betul kerana saya tak termampu nak ipdate cerita-cerita saya disini. Banyak sebenarnya nak dikisahkan. 2. Walaubagaimanapun say...