Selasa, September 05, 2017

Merdeka!

Kali pertama disini.




Aku memang kurang selesa singgah ditempat-tempat yang mempunyai ramai pengunjung. Rasa rimas, sesak dada, sesak fikiran, menghidu pelbagai haruman dll membuatkan aku berfikir banyak kali untuk ke tempat tersebut. Apabila sesuatu upacara itu disiarkan secara langsung, aku menjadi bertambah malas untuk keluar menonton. Fikir aku, lebih baik menonton tv sahaja. Boleh bancuh kopi, makan kacang Ngan Yin, boleh baring depan tv, boleh mengelunjur dan macam-macam lagi. 

Hairannya kali ini, apabila Marina mengajak aku untuk sama meraikan hari merdeka di Dataran, aku tidak membantah. Aku rasa teruja! Abang tak balik bercuti kerana katanya exam semester dah hampir. Yuya nak menonton dengan kawan-kawannya. Ok, Yuya dah 16. Pasti tak mahu keluar lagi dengan aku. Yang tinggal hanyalah sikecil, Marina. Itu pun usianya kini 11 tahun. Tak lama lagi aku bakal ditinggalkan kerana Marina akan lebih menghabiskan masanya dengan rakan-rakan. 

Aku bangun awal seperti kebiasaannya. Mandi dan bersiap. Aku lihat Marina masih berselimut. Aku kejutkan Marina untuk bersiap. Marina bingkas bangun dan mencapai tuala. 20 minit kemudian, kami berdua mengelek topi keledar masing-masing berjalan menuju ke moto cabok aku. Kami bawak air sorang sebotol. Jalanraya memang sesak kerana kebanyakkannya sedang menuju ke Dataran Merdeka sedangkan mereka tahu yang parkir amat terhad. Aku hairan kenapa mereka masih memandu! Hmmmm......Kami membelok ke kanan selepas Puduraya menghala ke Masjed Jamek. Tetapi satu traffic light sebelum sampai di MJ, jalan telahpun ditutup dan polis serta trafik memenuhi persimpangan jalan. Aku meletakkan moto didepan KFC. Ada traffic light dan ramai polis berkumpul disitu. Aku senyum. Polis senyum. Aku sorong moto cabok aku dan berhenti betul-betul dihadapan polis yang bernama Nazim. Aku senyum, Nazim senyum. Aku kunci moto, pegang tangan Marina dan berjalan menuju dataran. Dalam hati, moto aku mesti selamat sebab aku parkir betul-betul depan Nazim. Dan Nazim pon dah senyum kat aku! Hahahahahahahaha...

Seronok aku jalan berduaan dengan Marina. Aku pegang tangan Marina dan Marina pegang botol air. Difikiran aku tak ada apa yang lebih menyeronokkan selain daripada jalan bergandingan tangan dengan 'princess' aku. Hati aku 'berbunga'. Sempat terdetik, 'sampai bilakah?' Aku jadi sayu sendiri!

Selepas saja kami melewati MJ, jalanraya bertambah sesak. Pelbagai kaum menuju ke destinasi yang sama. Semuanya riang membunyikan 'air horn' yang dibeli di pinggir jalan. Mat salleh dan Arab memakai pengikat kepala kuning bertulis "Malaysia". Aku bangga...ada sikap 'oneness/togetherness'. Jalanraya bertambah sesak hinggakan tak bergerak. Kesian Marina kerana terpaksa berhimpit-himpit dicelah-celah puluhan ribu pengunjung menantikan perarakan/perbarisan/lintas hormat bermula. Ketinggian aku membolehkan aku melihat ke Dataran Merdeka manakala Marina pula unfortunately hanya melihat belakang orang sahaja. Screen gergasi di depan pon Marina tak nampak. Hampir 2 jam kami berdiri begitu dan aku akhirnya mencuit bahu Marina dan bertanya samada dia nak pulang? Marina mengangguk lemas dan aku menarik tangannya keluar dari lautan manusia. Moto aku masih disitu tetapi Nazim tak kelihatan. Hahahahahahaha...

Kami ke Plaza Imbi dan singgah dikedai mamak. Kami minum berdua....Marina mengajak aku menyeberang jalan untuk ke Berjaya Times Square dan aku menurut sahaja. Moto ditinggalkan ditepi gerai mamak. Aku cuak..Alamak, banyaknya kedai baju.....letih aku mengikut dari satu kedai baju ke satu kedai baju yang lain dan akhir sekali, aku bagitahu Marina suruh go ahead dan aku hanya tunggu di bangku depan kedai! Berejam jugak aku melepek kat situ. Apa fashion pon aku tak paham. Lega bila Marina ajak aku balik.. Phew!!

Merdeka betul kali ni. Semua tempat penuh sesak. Kompom lepas ni aku hanya tengok di TV! Selamat menyambut Hari Merdeka my fellow readers!

Selasa, Ogos 29, 2017

Ulangtahun ke 60

budak-budak riang..



Jumaat lepas aku menumpang kereta si Jawer untuk balik semula ke sekolah dan bermalam disana. Sejak malam sebelumnya aku dah gelisah tak sabar. Ramai kawan-kawan aku yang mengambil cuti. Aku tidak kerana dihujung September nanti aku bakal bercuti selama seminggu. Makanya kali ini aku pergi selepas waktu pejabat. Tepat pukul 6 petang, aku terus memecut moto aku dengan selaju mungkin untuk sampai dirumah. Aku belum bersiap lagi sebenarnya lagipun trip kali ini hanyalah semalaman. Jadi persiapannya begitu ala kadar sahaja. Tapi yang penting kasut bola, stokin dan bola ragbi serta pamnya mesti dibawa bersama. Hahahahahahahahaha....Selesai Maghrib, Jawer menghantar text ke aku yang beliau akan sampai 15 minit lagi. Horey...aku dah nak gerak!
Chelayer mengenang masa silam..
Bertolak dihari Jumaat malam ditambah dengan jumlah kereta yang masuk/keluar KL menyebabkan perjalanan kami menjadi agak perlahan. Memasuki lebuhraya LEKAS, jalan kembali lengang dan kami meluncur laju menuju ke Seremban. Nombor bilik (dorm) telahpun kami ketahui dan sebaik sampai kami terus teruja untuk memanjat anak-anak tangga blok C untuk sampai ke tingkat atas yakni bilik kami untuk malam itu. Aku tahu yang ramai kawan-kawan aku dah pon sampai. Aku tak check pulak mobile kerana battery dah nak habis. Aku rasa kami sampai dalam pukul 9 malam kot. Wahhhh kecoh dan riuh jadinya apabila kami bertemu semula dibilik C11 malam tu. Katil tersusun rapi tapi hampir kesemua kami lebih enak duduk berlunjur dan bersila diatas lantai. Aku pula, terus berbaring kat bawah. Dulu kami tak boleh buat begitu kerana lantainya kasar dan lagipun bilik sentiasa kotor kerana kasut dipakai dibilik tidur. Kini rak kasut disediakan dikoridor setiap bilik dan aku pasti yang adik-adik penghuni kini adalah para pelajar yang berdisiplin, jadi kasut mereka memang tetap berada diluar!

Yang agak mengerikan aku sebelum kembali kesekolah ialah mengenai jamban kerana seingat aku sehingga habis aku bersekolah, jamban kami semuanya mencangkung. Kalau betullah mencangkung, maka parahlah aku sebab lutut ni dah masuk kategori 'wear and tear' dah.....aku jadi ngeri sendiri.......

pakcik-pakcik lepas 'gian'

Malam tu semua kami tarik tilam ke lantai. Berkumpullah adik-beradik macam tak pernah jumpa walaupun baru beberapa hari yang lalu kami dah bertemu...hahahahahahaha...Nyem Masrun, Judd, Apam, Ketat, Betok, Iq (sampai lagi lambat dari aku), Bo, Kudo, Wak DD, Aidi, Aze, Chelayer, Rudd Naha dan Ma'e seronok bercerita sambil melahap kerepek ubi spesyel dari jb yang dibawak khas oleh Wak DD. Habis.....Pukul 12 tengah malam, sorang dah terbongkang. Yang lain-lain dok ketawa sakan lagi. Pukul 1 pagi, sorang lagi terbongkang. Yang lain-lain dok ketawa sakan lagi. Pukul 2 pagi sorang lagi terbongkang. Yang lain-lain masih ketawa dengan cerita kami dulu-dulu....Pukul 3 pagi, aku pulak dah tak sedar diri! 

Sedar-sedar dah azan subuh! Sempat berjemaah disurau indah umpama masjid yang tak pernah kami rasai dulu. Hebat! Lepas subuh mana boleh tido balik? Semua dah kecoh kat bilik....jadi kami pon berkemas, jalan pelan-pelan turun ke  kerana perlawanan ragbi akan bermula pada pukul 9 nanti.... 

Perlawanan rugby berlangsung didalam keadaan hujan lebat. Oleh kerana hujan lebat, aku kurang letih dan berjaya main dari mula sampai habis. Hahahahahahaha....Kalau cuaca sebaliknya, aku pasti yang tenaga dan kudrat aku hanya bertahan selama 10 minit maksimum. Jika aku ditackle keras, confirm aku cuma main 3 minit! Btw, pasukan aku yang berbaju merah menang! Hahahahahahahahahaha....aku main fullback.

remaja ni semua!

Selesai pertandingan, kami berkumpul di pavillion kerana  ada upacara penutup. Lagu Negaraku dan Ilmu Untuk Berjasa menjadi penutup acara kami berkampung di Sikamat. Sebelum bersurai, para pemain diberikan medal sebagai kenangan. Not bad..hahahahahahaha dah berpuluh tahun aku tak dapat medal sampai Marina pon ketawa kecil bila aku bagitahu yang aku pon dapat medal!

Kami pulang ke bilik masing-masing. Ke bilik air untuk mandi, kami terkejut. Wahhh setiap shower dah ada pintu rupanya....luxury ni.....apabila shower dibuka, kami sekali lagi terkejut....waahhhhh airnya besar dan laju! Hahahahahahahahaha....ini pun luxury ni.....Seingat aku bertahun lamanya kami kemarau air. Tak pernah aku dapat merasa shower selaju sekarang. Waktu tu kami selalu komplen kat warden, "air kencing lagi laju cikgu!" dan kebiasaannya kami kena penampar sebab kurang sopan!

Selesai berkemas kami mula merancang untuk makan tengahari sebelum masing-masing menuju destinasi berasingan...(in fact kebanyakkannya balik ke KL ikut LEKAS...sama je!). Singgah di satu gerai tepi jalan ke Jolobu, kami makan nasi ayam panggang dan apabila nak bayar, tokay kedai bagitahu bahawa salah sorang antara kami dah tolong bayarkan....horey, thank you brade...(u know who u are). 

Nikmat yang kami dapat daripada 'old boys weekend' tu ialah mengeratkan silaturrahim, bertemu adik-adik dan abang-abang yang kami kenal dan tak kami kenali, dapat main ragbi dipadang sekolah yang sama, makan di dewan makan yang sama seperti diawal remaja kami dulu dan yang pasti, kami masih lagi sakit badan hingga ke hari ini akibat daripada perlawanan ragbi yang dilangsungkan walaupun hujan teramat lebat.....hahahahahaha walaubagaimanapun, kami PUAS!

Selasa, Ogos 22, 2017

Rancanglah...

Buat-buat busy!    


Pada minggu ini aku sempat bertemu dengan seorang anak muda cekal yang dah aku ikuti perkembangannya selama beberapa tahun ini. AQ memulakan business dengan hanya sedikit pengetahuan mengenainya sehingga kini aku sendiri terkejut yang business tersebut telah menghampiri usia 3 tahun. Kami sempat bertemu disalah sebuah cafe yang bertempat di Jalan Bangsar. Cafe tempat pertemuan kami itu agak 'hip' dengan konsep santai dipunyai oleh couple tempatan yang memasak, menyiapkan mise-en-place di dapur dan beliau jugalah yang menghidangkan makanan kepada tetamu. 

Rakan yang aku temui ini ialah seorang yang berwawasan. Sanggup belajar segala selok-belok business dari bawah dan sanggup juga melakukan tugasan-tugasan remeh yang diserahkan kepada beliau. Tak semua orang yang aku temui secekal beliau. Aku doakan agar beliau berjaya suatu hari nanti dan mampu membimbing anak-anak muda yang lain.

Aku agak jarang berjumpa dengan seorang anak muda yang mempunyai aspirasi sebesar beliau. Dengan pelbagai kekangan yang dihadapi, beliau masih boleh menarik nafas lega walaupun satu persatu outlet ditepi-tepinya menutup kedai masing-masing!  

On a different note, insyAllah pada penghujung September nanti aku bakal melaksanakan satu pengembaraan solo selama seminggu merangkumi perjalanan dengan keretapi selama 40 jam dan merentasi 3 buah negara. Dah setahun aku merancang untuk perjalanan ini dan kini walaupun ianya belum terlaksana, aku dah mula merancang untuk mengembara secara solo lagi pada tahun hadapan. Cuma destinasinya aku masih ragu-ragu apakah hanya di asia tenggara, atau aku harus panjangkan/jauhkan lagi perjalanan solo aku. Aku jadi tak sabar bila fikirkan....jadi kepada pembaca ruangan aku ini yang ada cadangan, silalah beritahu kemanakah aku harus pergi mengembara secara solo. Syaratnya route tersebut harus ada jaringan keretapi! Mengembara secara solo dengan menaiki keretapi ialah 'passion' aku. Ia menebalkan pengalaman aku, bertemu dengan ramai orang dari pelbagai latar belakang, belajar mengenai budaya masyarakat tempatan, merasai makanan dan minuman mereka dan banyak lagi. Setiap orang mempunyai sesuatu yang ingin mereka laksanakan didalam hidup mereka dan ini merupakan salah satu "bucket list" aku sejak kecil. Hahahahahahahahaha....

"Enjoy Balanced Life To The Fullest!"

 

Selasa, Ogos 01, 2017

Reunion

Awal 20an

Tak putus-putus 'reunion' datang dan pergi. Seperti yang selalu berlaku, sewaktu aku lepas sekolah/universiti dulu, topik apabila bertemu ialah, "kau dah dapat kerja belum?". Dan kami akan mula bercerita mengenai tempat kerja masing-masing. Manakala yang masih belum bekerja pula akan mula bertanya apakah mereka boleh diserapkan ditempat kerja kawan yang dah mula bekerja tadi? Dan begitulah seterusnya. Dalam tempoh tersebut, banyak perkara berlaku. Sorang demi sorang mula balik ke tanahair ataupun selesai pengajian di universiti tempatan. Kepada pasangan masing-masing, jangan risau....pertemuan sebegini selalunya tidak membahayakan...

Awal 30an

Masih kerap bertemu secara individu mahupun secara berkumpulan. Selalunya pada hari Jumaat malam kerana kebiasaannya ialah sabtu/ahad ramai yang bercuti. Keadaan menjadi riuh-rendah bila ada 'joker' didalam sesebuah group itu. Kembali menceritakan kenakalan sewaktu zaman kanak-kanak. Pada waktu ini soalan banyak berkisar kepada, "Kau dah kahwin belum?" dan jika jawapannya ialah sudah, maka soalan ke duanya pula ialah, "berapa anak kau sekarang?". Pertemuan seperti ini bakal berlangsung hingga ke jam 1-2 pagi! Kepada pasangan masing-masing, sekali lagi aku nak pesan, janganlah risau.....pertemuan sebegini selalunya tidak membahayakan lagi!

Awal 40an

Kebanyakkannya telah stabil dan juga sedang mendaki tangga korporat didalam kareer masing-masing. Pada umur sebegini tatkala kami semua sedang sibuk dengan urusan yang tak pernah henti, kami masih lagi sempat meluangkan waktu untuk ber 'tt' (teh tarik) disetiap kesempatan yang ada apatah lagi dibulan Ramadhan manakala open house dibulan Syawal pasti menjadi alasan untuk kami bertemu. Pada waktu sebegini, soalan yang diajukan lebih cenderung kepada, "anak kau masuk universiti mana?". Seorang demi seorang akan bercerita mengenai anak masing-masing dan berapakah perbelanjaan anak masing-masing sambil menggaru kepala yang tak gatal dan menghirup teh tarik yang sebenarnya dah kosong sejak tadi! Aku masih nak menasihati pasangan masing-masing bahawa budak-budak ni masih lagi tak membahayakan persekitaran....mereka masih lagi waras dan apabila pertemuan berlangsung selalunya mereka tak 'melencong'. Hanya bercerita nakal sahaja....tetapi pertemuan masih sesama mereka.

Awal 50an

Pertemuan menjadi lebih galak diwaktu ini. Galak kerana pada umur sebegini tak semuanya bernasib baik. Ada yang masih bekerja manakala ada juga jika tak bernasib baik telah pun berhenti kerja. Pertemuan masih lagi rancak seperti biasa. Perubahan fizikal mula ketara. Rambut yang dahulunya hitam kini mungkin berwarna putih. Yang ada rambut dulu, kini mungkin dah mula menipis ataupun botak. Yang tegak kini telahpun bengkok. Yang berjalan pantas kini mungkin bertongkat! Hahahahahahahaha....apakah agaknya yang menjadi topik tatkala bertemu disesi tt? Aku pasti soalannya lebih kepada, "Anak kau dah kahwin?" dan jika yang tanya itu mengangguk, soalan ke dua pula ialah, "berapa cucu kau sekarang?". Pada pasangan masing-masing, aku tetap nak pesan disini bahawa, jangan lah dirisaukan pada budak-budak pertengahan umur ni...soalan yang ditanya sesama sendiri ialah terhadap anak masing-masing.....kecualilah kalau soalan yang sama diajukan kepada kawan-kawan sendiri...sebagai contohnya, "Bila kau kahwin lagi?".

Awal 60an

Sungguh menghairankan.....sesi tt masih tetap berlangsung usai solat Isyak.  Masa ni dah ramai pakai songkok ataupun kepiah! Apabila bertemu, mereka masih lagi bersalam dan berpelukan. Maklumlah kenal sejak dari umur 13 tahun! Pada waktu ini ahli sesi tt telah sedikit berkurangan. Ada yang sakit. Kita paham....Minuman yang dipesan mula sedikit berubah....lebih yang mintak 'teh C' daripada teh tarik biasa! Hahahahahahahahaha...Soalan pada umur begini lebih kepada, "bila kita nak melawat si polan kat IJN?". Pesanan kepada pasangan masing-masing, anda semua masih tak perlu risau kerana pasangan anda semua hanya 'sembang deraihh'. Pum-panng...pum-panng......keinginan tinggi tapi kemampuan dah takdak!

Awal 70an

Jalan dah mula perlahan. Kaki dah mula menggeletar. Mata pulak dah mula rabun. Waktu ni anak akan hantar ke sesi tt. Minum secawan teh C dan lepas tu dah mintak air suam! Sering pulak ke toilet dan kadangkala terpaksa queue sesama sendiri! Kawan dah mula kena ulang-ulang cerita yang sama kerana telinga dah mula memberikan masalah. Hahahahahahaha.... Kawan pun naik menyampah! Soalan waktu ni ialah..."laa.....bila dia meninggal? Innalillahiwainnalillahirojiun.....aku baru jumpa dia 2 minggu sudah!". Pada pasangan masing-masing, aku nak pesan, anda semua jangan risau sebab pasangan anda semua dah tak larat nak berjaga sampai pukul 1 pagi...Bila dah pukul 10, suruhlah anak-anak pergi pick up.....tu pun hampir semua dah menguap sakan! Hahahahahahaha....

Awal 80an

Keinginan untuk ber tt masih lagi meluap-luap. Waktu ni, tugas menghantar dan mengambil ditugaskan kepada cucu-cucu pula......Jangka waktu pertemuan pada waktu ini tak lama sebab topik perbualan pon dah sering lupa! Soalan pada waktu ini mula jadi mengerikan....."Kau hidup lagi rupanya...aku ingatkan dah mati 4 tahun sudah?". Pasangan masing-masing dah mula patut risau pada umur-umur sebegini kerana takut tiba-tiba pasangan ada dihospital! 

Awal 90an

Kemungkinan besar pertemuan hanya berlangsung dibilik-bilik di hospital. Topik pon dah jadi tak banyak tapi yang aku pasti, pada usia sebegini dan apabila bertemu, masing-masing akan hairan dan mula bertanya, "Kau siapa?" Hahahahahahahahahaha........dan pada usia sebegini tak ada apa yang perlu risau kerana pasangan sendiri pon dah memang tak kenal! Hahahahahahahahaha....

Hanya hiasan...

Isnin, Julai 17, 2017

Aunty dan mangga







Pokok mangga ni ditanam oleh aunty kat atas rumah aku. Oleh kerana aku di ground floor dan ada tanah lapang didepan, aunty kat atas ni minta permission untuk tanam pokok tersebut. Kalau berbuah, ambil dan makan saja katanya.

Pokok mangga tu ada 2 sebenarnya. Ada panjang dan ada bulat. Suara aunty ni sangat kuat dan kadangkala satu blok (16 unit) boleh dengar. Dulu setiap kali aku balik bercuti kami akan bersembang. Aku letakkan kerusi di atas rumput didepan dan mendongak manakala aunty duduk dibalkoni sambil kami bercerita. Habis bermacam-macam cerita dibualkannya dan kadangkala aku jadi malu dan meminta aunty untuk tapiskan sikit kerana suaranya itu boleh sampai ke tingkat 4.

Pokok mangga mula berbunga dengan banyak dan sebahagiannya telah menunjukkan tanda-tanda nak berbuah...aku bagitahu aunty keadaan tersebut dan dia pon excited tapi katanya mungkin dia tak sempat nak makan. Aku fikirkan dia nak pindah ke tempat lain....

Selain daripada peramah dan baik hati, aunty juga secara tiba-tiba berhenti merokok. Aku sangat hairan kerana seharian di balkoni aunty boleh menghabiskan hingga 2-3 kotak rokok sehari! Memang tegar. Kadangkala dimalam yang sunyi, aku pasti terdengar batuknya yang panjang dan seperti berkahak. Apabila tiba musim perayaan Tahun Baru Cina, aunty akan membekalkan kami dengan banyak buah limau dan anak-anak aku tak lepas dari mendapat angpau. 

Selang beberapa minggu apabila buah mula ranum, Patrick anaknya memberitahu aku bahawa ibunya baru meninggal dunia kerana kanser.

Kini setiap kali pokok-pokok mangga itu berbuah, aku pasti teringatkan aunty tersebut......

Isnin, Julai 10, 2017

Surfing

Yuya  

Aku tak sangka yang anak-anak aku amat selesa bermain surfing. Hanya beberapa minit berlatih, mereka telah dibawa ke laut dan mula melakukan aktiviti yang diajar sebentar tadi. Dengan jarak beberapa meter, 2 orang jurulatih yang menjaga mereka amat serious memerhatikan pergerakan serta memberikan arahan-arahan keras agar bangun, balance, bend their knees dan banyak lagi. Sungguh professional jurulatih mereka. Mata mereka liar memerhatikan pergerakan anak-anak aku. Apabila jatuh, mereka suruh bangun dan kembali menunggu ombak seterusnya.
Abang  
Kali ini aku hanya duduk ditepi pantai memerhatikan gelagat mereka. Aku tahu jika aku yang masuk dan belajar surf, mungkin 2-3 hari aku tak akan bangun. Sakit seluruh badan. Aku nampak yang mereka ni amat natural. Mungkin kerana mereka telah biasa dan boleh berenang sejak kecil membuatkan mereka amat santai aku lihat. The difficult part aku rasa ialah nak balancekan badan diatas papan surfing tersebut. Walaubagaimanapun, untuk bangun dan balance diatasnya, jurulatih-jurulatih professional dari Odysseys Surf School telah pun ajar. Kaki mana harus berada didepan, kaki mana harus berada di belakang, bagaimana nak bengkokkan kaki. Mana posisi tangan nak didepangkan, semuanya diajar satu persatu. Jika tak faham, akan diulang semula sekali lagi.
Yuya lagi
Aku masih lagi bercadang untuk ke Bali. Jika tak tahun ini mungkin tahun depan. Aku takkan surfing. Aku cuma nak sewa scooter dan kali ini mungkin buat round island tour selama beberapa hari...hahahahahaha. Ada yang nak ikut? Hahahahahahaha......

Selasa, Julai 04, 2017

Liburan sekeluarga



Spot yang menjadi kebiasaan bagi aku sekeluarga ialah didepan rumah, diantara 2 pokok mangga yang ada. Kenapa disitu? Ini ialah kerana disitu saja yang ada shades untuk berteduh daripada cahaya matahari! Hahahahahahahaha...at least aku ada reason yang valid! Kebiasaannya matahari akan memancar terik sekitar jam 10 pagi begitu.



Aku merancang untuk membawa keluarga aku ke Bali pada hari raya ke 3. Ini ialah kerana aku kesiankan anak-anak aku yang dah tak punya kampung untuk dikunjungi lagi setelah kedua orang tua aku tidak ada. Cuma hari raya pertama sahaja kami adik-beradik akan berkumpul di rumah Kak Anne sehingga petang. Seterusnya abang-abang aku dan kakak aku akan terus pulang ke kampung pasangan masing-masing. Aku? Huishhh jauh nak mampus kalau nak balik! Oleh itu kali ini aku rancang betul-betul selama 4-5 bulan, buat booking tiket kapalterbang awal dan voila! Kami berkampung di Bali..




Gambar diatas ialah merupakan gambar pemilik Warsi Bungalow di Ubud dimana aku sering inap. Ibu Warsi kini menghampiri ke umur 90 tahun tetapi masih cergas cuma pergerakan agak terbatas dan sedikit lambat. Selain daripada itu beliau seorang yang amat luarbiasa selain fasih berbahasa inggeris kerana beliau merupakan mantan guru bahasa inggeris didalah sebuah sekolah tersohor di Ubud. Scooter dibelakang tu merupakan scooter yang sering aku pakai meronda sekeliling Ubud tanpa membayar apa-apa. Hubungan kami sudah bagaikan saudara sendiri.  

 


Mencari souvenir bukanlah suatu yang menyenangkan apabila Marina turut serta. Habis semua kedai dimasukinya. Manakala aku pula hanya duduk di kaki kedai menantikan kesemua mereka selesai..tak kuasa aku nak belek satu persatu dan aku juga bukanlah seorang yang pandai beli souvenir dan bagi surprise. Jika tak dipesan, memang sah aku tak beli walaupun adik-beradik aku sendiri. Jadi, janganlah berkecil hati dengan aku. Thinking that I might be able to read your mind and buy you ole-ole? Hmmm..... 




Sunset di Kuta beach memang tak akan aku lepaskan. Sangat indah. Matahari perlahan-lahan turun dan tenggelam dihujung horizon seolah-olah ditelan laut lepas! Gambar menunjukkan aku dan Marina sedang menikmati keindahan alam semula jadi ciptaan Allah SWT .
 


Gambar menunjukkan Marina masih lagi kuat dan masih lagi mencai souvenir untuk kawan-kawan ekolah agama, kawan-kawan sekolah kebangsaan, cikgu sekolah agama dan juga cikhu sekolah kebangsaan. Aku, Tak sanagt tak larat nak mengikut dia! 

 


Gambar menunjukkan kami berada disalah sebuah cafe yang amat aku sukai di Ubud. Kini namanya telah bertukar ke 'Coffee and Co' dan interior serta layoutnya juga telah dinaik taraf. Lebih cool dan enak untuk sekeluarga lepak dan 'chill'. Sedar tak sedar, jam dah pun menunjukkan pukul 11 malam dan cafe bakal ditutup.




Aku juga telah menguruskan dengan agent disana untuk membuat whitewater rafting. Ia merupakan aktiviti separa lasak  kami sekeluarga setelah sekian lama.  Hahahahahahahaha....amat menarik. Dalam mendengar nasihat dari juruatih dengan teliti, aku merupakan sorang-sorangnya yang terpelanting keluar dari 'raft' apabila kami terlanggar batu sungai yang amat besar. Aku hilang kawalan dan jatuh ke sebelah kiri. Lengan aku bercalar-balar. Calar kenangan whitewater rafting!




Gambar diambil dihadapan 'Odyssey Surfing School'.  Beberapa tahun yang lalu, sewaktu mereka masih kecil dan Yuya patah tangan, ketika melewati pantai Kuta sambil melihat orang ramai mengusung surfing board ke merata-rata tempat, aku teringat bahawa Yuya mencuit aku lalu memberitahu jika kami berpeluang sekali lagi ke Bali, beliau meminta aku untuk enrolkannya ke dalam sekolah surfing. Aku diam tetapi permintaan itu sentiasa aku ingati.

Di trip kali ini, alhamdulillah. Permintaan anak-anak, aku tunaikan. Apalagi tugas aku sebagai ketua keluarga dan bapa kepada mereka selain daripada memastikan  segala persediaan asas mereka tersedia serta cuba memenuhi permintaan mereka perlahan-lahan selagi termampu?

Tewas

Harap maaf betul kerana saya tak termampu nak ipdate cerita-cerita saya disini. Banyak sebenarnya nak dikisahkan. 2. Walaubagaimanapun say...