Ahad, November 30, 2014

Pak Su Ramli

 
3 hari 2 malam aku sibuk di Kampung Bujang, Merbuk, Kedah. Ini kali pertama aku ke sana walaupun aku sendiri pernah menetap dan bersekolah di Alor Setar sekitar tahun 1979 dulu. Arwah bapak dan arwah mama memang orang sana, makanya adik-beradik seperti makcik, pakcik dan sepupu aku memang ramai disebelah Alor Setar. Kesempatan yang diberikan kepada aku kali ini tidak aku lepaskan. Sewaktu kursus yang aku jalankan berlangsung, aku diberitahu bahawa disalah sebuah kampung berdekatan, ada seorang pakcik yang dipanggil Paksu Ramli dan isteri berumur 74 tahun mengusahakan sebuah pusat tuisyen secara percuma dikawasan rumah mereka yang terletak ditepi sebatang sungai disebelah depannya manakala bendang di sebelah tepinya. Paksu Ramli ialah seorang bekas Pendaftar di USM, Pulau Pinang. Kembali pulang ke kampung halaman dan melakukan kerja-kerja kebajikan membantu anak-anak kampung dari keluarga miskin. Bermula dengan kumpulan yang kecil, kesungguhan Paksu Ramli menjadi buah mulut masyarakat setempat. Aku bernasib baik kerana sewaktu sampai dihalaman rumah beliau, Paksu Ramli baru sahaja selesai melakukan aktiviti pagi. Berkain pelikat tetapi tidak berbaju. Selesa, katanya perlahan kepada aku. Paksu Ramli bertanya apakah tujuan aku dan rombongan bertemu beliau. Setelah aku diperkenalkan, Paksu Ramli memohon izin untuk masuk kedalam untuk memakai baju. Sementara menunggu Paksu Ramli, aku berjalan sekitar kawasan rumah beliau. Masyallah...dengan pokok besar yang rendang, persekitaran yang amat bersih, aku berasa sangat tenang. Duduk disebuah kerusi di bawah pokok manggis aku hampir terlena mendengar kicauan burung yang penuh hinggap di ranting-ranting pokok di sekeliling rumah. Ada beberapa pondok didirikan dan sebuah yang mengadap kesawah padi dijadikan sebagai surau lelaki dan wanita. Ada beberapa orang pelajar yang menginap di teratak Paksu Ramli sepanjang tempoh peperiksaan SPM berjalan. Tuition kepada anak-anak ini diberikan secara percuma pada waktu yang telah ditetapkan, siang mahupun malam. Ibubapa memberikan kepercayaan penuh kepada Paksu Ramli dan Maksu untuk menjaga anak-anak mereka seperti cucu-cucu Paksu Ramli dan Maksu sendiri. Aku kagum. Sewaktu aku sampai aku lihat anak-anak ini sedang membersihkan kawasan persekitaran. Menyapu sampah dan mengumpulkan daun-daun kering untuk dibakar. Tidak nampak stress diwajah mereka. Yang aku nampak hanyalah wajah keriangan anak-anak berusia 17 tahun berada diteratak Paksu Ramli. Cantik, manis segak dan bersopan. Paksu Ramli menerapkan kesemua nilai-nilai positif kedalam jiwa dan fikiran "pelajar-pelajar sementara" beliau.

 
Aku rasa aku boleh menetap lama jika diberikan kesempatan. Menurut kata Paksu Ramli, beliau melakukan semua kerja-kerja kebajikan ini kerana Allah. Ilmu yang kita ada tidak luak jika diperturunkan kepada anak-bangsa. Jiwa Melayunya sangat kental. Setiap tutur-katanya banyak menginsafkan aku. Beliau juga berpesan agar alam sekitar dipelihara sentiasa. Paksu Ramli merupakan seorang yang pakar didalam bidang Matematik dan Bahasa Inggeris maka oleh itu, 2 matapelajaran ini diberikan penekanan lebih oleh Paksu Ramli kepada anak-anak didiknya. Menurut kata Paksu Ramli, anak-anak kampung yang berasal daripada keluarga susah ini kebanyakannya merupakan pelajar-pelajar yang gagal didalam kedua-dua matapelajaran itu. Oleh kerana mereka sering mengunjungi teratak Paksu Ramli tak kira siang mahupun malam dan kadang-kadang bermalam disana, alhamdulillah, keputusan pelajaran mereka meningkat dengan mendadak. Telah ramai pelajar-pelajar Paksu Ramli yang telah menjejakkan kaki di menara gading. Anak-anak yang dahulunya tidak berminat untuk belajar kini telah mendapat keputusan cemerlang dan sewaktu cuti mereka akan kembali ke teratak usang ini dan membantu Paksu Ramli. Kepuasan jelas terbayang diwajah Paksu Ramli tatkala beliau bercerita mengenai anak-anak muridnya. Saya melihat raut wajahnya lebih kepada seorang datuk penyayang yang ingin melihat cucu-cucunya berjaya...

 
Usaha Paksu Ramli telah mendapat liputan yang meluas didalam media cetak dan elektronik tidak berapa lama dahulu walaupun beliau sendiri lebih bersikap "low profile". Banyak syarikat antarabangsa yang telah datang melawat Paksu Ramli dan mendengar serta belajar mengenai pengurusan tempat ini dan bagaimana Paksu Ramli telah berjaya mendidik anak-anak bangsa yang tidak berkemampuan secara percuma. Niat murni Paksu sangat dihargai oleh masyarakat setempat, ibubapa dan juga sekolah-sekolah yang ada dikawasan sekitar Merbok. Apa yang Paksu Ramli lakukan bagi saya amatlah hebat. Didalam diam beliau melaksanakan tugas. Didalam diam beliau memberikan kembali kepada masyarakat apa yang telah diterimanya selama berpuluh-puluh tahun dahulu. Didalam diam beliau kembali berkhidmat kepada penduduk tempatan tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

 
Saya amat bernasib baik. Paksu Ramli tidak termasuk didalam itinerari saya sepanjang berada di Merbok. Berlaku secara tiba-tiba tanpa disedari apabila saya mencadangkan agar dilaksanakan satu program pelancongan kampong melewati pelancong asing dimana para penduduk tempatan yang terdiri daripada pesara-pesara guru Bahasa Melayu diberikan kesempatan untuk mengajar Bahasa Melayu kepada pelancong asing daripada luar negara didalam tempoh inap desa mereka. Belajar Bahasa Melayu, belajar budaya Melayu, belajar tentang kehidupan masyarakat Melayu dsbnya didalam "program inap desa". Mendengar cadangan saya, salah seorang peserta memberitahu bahawa ada seorang pesara berumur 74 tahun melakukan perkara yang sama tetapi mengajar matapelajaran Matematik dan Bahasa Inggeris secara percuma. Bertitik-tolak daripada situlah pertemuan kami diatur. Semuanya berlaku secara spontan. Tidak dirancang terlebih dahulu dan Paksu Ramli juga tidak tahu akan kedatangan kami. Maka oleh itu sewaktu kami sampai, beliau hanya berkain pelikat dan tidak berbaju......Aku amat bersyukur diberikan kesempatan singkat untuk duduk bersembang dengan Paksu Ramli. Pengalaman luasnya merantau ke luar negara telah banyak membuka mata beliau untuk lebih bersyukur dilahirkan dinegara ini. Sangat down to earth...berpijak dibumi nyata, sanggup berkongsi pengalaman hidup beliau dengan aku walaupun kesempatan yang ada hanyalah selama 30 minit, bersemangat berbakti kepada anak bangsa di kampung walaupun aku tahu yang beliau mampu hidup lebih mewah dibandar-bandar besar tanpa perlu memikirkan apa-apa. Tetapi itu bukanlah Paksu Ramli....Aku doakan Paksu Ramli diberikan kesihatan yang baik, murah rezeki dan panjang umur......aku bersyukur dapat bertemu dengan beliau...alhamdulillah...

Sabtu, November 22, 2014

Melayu di perantauan

Shahril Shuib dan Robae
 
Aku mengenali Shahril Shuib sejak dari tahun 1996 lagi sewaktu kami sama-sama bekerja di Renaissance Hotel Kuala Lumpur. Aku, waktu itu di Vogue Cafe manakala Shahril pula di Malay Kitchen di Cafe yang sama. Beliau merupakan seorang chef yang senang untuk diajak berbual. Di waktu awalnya banyak kali juga pekerja aku salah mengambil pesanan ataupun tetamu memberitahu bahawa makanan tak seperti mana yang diharapkan, aku akan membawa balik makanan ke dapur, merasa makanan tersebut bersama chef dan kemudiannya berbincang dengan chef secepat mungkin apakah makanan itu harus digantikan dengan makanan yang sama ataupun harus menukar kepada menu yang lain. Kebanyakkan chef akan menjadi "hijau" bila perkara ini berlaku. Tetapi selama aku mengenali chef Shahril, perkara ini jarang ataupun tidak pernah berlaku. Jika alasan yang diberikan kukuh, beliau akan segera menggantikannya dengan yang baru. Senang bekerja jika Shahril Shuib yang berada di dapur! Ini bukan kerana aku yang cerita tetapi jika ditanya kepada budak-budak lain pun jawapan mereka akan sama dengan aku. Tak banyak hal, tak banyak kerenah. Dapur beliau sentiasa dijaga rapi. Bak kata orang kedah, "cuci-chalat!"


dari kiri, chot, nazri, shahril dan madi di Renaissance Hotel KL pada 1996!
 
Setelah beberapa tahun kerja bersama-sama, Shahril Shuib telah membuat satu keputusan yang bagi kami amat mengejutkan tetapi beliau nekad. Shahril Shuib telah menghantar notis berhenti kerja dan mula mengatur langkah ke Ireland. Sebuah negara asing di Eropah. Kali pertama beliau berjauhan dengan keluarga. Kali pertama berada jauh beribu-ribu kilometer dinegara orang. Kali pertama menghadapi cuaca 4 musim dan musim sejuk yang ekstrem. Beliau tetap nekad. Seketika kami terputus hubungan tetapi kembali berhubung sewaktu aku di Mekah dan beliau di Galway yang menjadi tempat mencari rezeki beliau sehingga kini. Bekerja siang dan malam tanpa henti bagi mencari rezeki halal dengan niat hanya satu yakni membanggakan keluarga di kampung di Kedah! Aku faham benar kesusahan yang beliau harungi kerana aku juga sering merantau ditempat orang sendirian. Tetapi mengenali chef muda berbakat dan sangat positif ini membuatkan aku merasa banyak kekurangan berbanding beliau. Misi dan visinya telah ditetapkan. Tidak akan pulang selagi belum menempah kejayaan..

 
Selang beberapa tahun bekerja diperantauan beliau berkenalan dengan seorang wanita tempatan yang bernama Margo O'Malley. Sering bertemu membuatkan timbul perasaan rindu dan sayang dihati mereka. Sedikit demi sedikit Shahril cuba mengajar Margo akan keindahan agama Islam dan Margo mula tertarik. Shahril mengambil masa selama 2 tahun untuk membimbing Margo dan akhirnya pada tahun 2004, dengan persetujuan keluarga kedua-dua belah pihak, kata sepakat dicapai dan mereka bernikah pada tahun 2004. Margo diberikan nama Mariam binti Abdullah. Mereka dikurniakan 3 orang zuriat. Adam berumur 9 tahun, Azri berumur 7 tahun dan terakhir Nurliyana berumur 4 tahun sebagai penyambung kasih. Rezeki Shahril bertambah baik. Dengan duit yang ada setelah mengumpul bersama-sama dengan isteri tersayang, Mariam, mereka telah berjaya membuka sebuah restoran. Masa terluang banyak dihabiskan bersama keluarga dan sering mereka mengunjungi keluarga Mariam. Selain daripada itu Shahril juga gemar memancing dan hasil tangkapannya akan dibawa pulang untuk dimasak dan dikongsi bersama rakan-rakannya dari Malaysia dan masyarakat tempatan. Penglibatan beliau didalam majlis-majlis tempatan mahupun keagamaan dimasjid berdekatan amatlah menyenangkan banyak pihak. Karektor beliau yang peramah tetapi sedikit "gila-gila" diibaratkan sebagai "icing" pelengkap. Begitu jugalah sikapnya sejak tahun 1996!

 
Sewaktu di RKL dulu, Shahril sering mengambil shift tengah malam. Apabila rakan sebelumnya tidak menghabiskan tugas yang sepatutnya dilaksanakan, Shahril dengan senang hati akan menyiapkan apa saja yang terbengkalai. Menyanyi-nyanyi sendirian didapur sambil menggoreng mee mamak, aku kadangkala ketawa kecil. Setiap kali aku masuk ke dapur akan ada saja makanan yang disuruh aku rasa. Shahril memang mahir dan kemahiran itulah salah satu aspek yang membuatkan beliau berjaya. Kecekalan hati, disiplin dan keinginan untuk merubah nasib diri sendiri juga banyak memainkan peranan didalam melahirkan Shahril Shuib yang aku kenali ini. Senyum tak pernah lekang dari bibirnya. Aku sangat berbangga kerana Shahril ini merupakan anak Melayu yang berjaya di perantauan walaupun bukan yang pertama, tetapi yang sangat aku kenali. Diam tak diam, telah hampir 15 tahun beliau bermastautin disana. Menjadikan Galway sebagai kampung baru beliau dan keluarga. Hubungan dengan ahli keluarga di Kedah tetap diteruskan. Kadang-kala ada saudara-mara yang pergi melawat dan bercuti disana.

 
Shahril juga sama macam aku. Menunggang moto pergi dan balik kerja. Kadang-kadang kami sampai ke hotel pun pada waktu yang sama. Parking moto bersebelahan, sempat kami berborak sebentar sambil berjalan masuk ke hotel dan ke locker room yang sama untuk menukar pakaian. Pertengkaran diantara kami adalah lumrah. Semuanya berkisar kepada kerja sahaja. Tiada yang personal. Shahril akan marahkan aku jika makanan lambat di pick up. Aku akan marahkan Shahril apabila makanan lain dah siap manakala masakannya belum. Penting bagi aku untuk mengeluarkan makanan untuk satu meja pada waktu yang sama. Mungkin aku "old school" tetapi itulah yang aku belajar dan mengajar sewaktu di eropah dulu. Selepas bertegang leher selama beberapa saat, dan makanan dihidangkan kepada tetamu, aku akan masuk semula ke dapur untuk bertemu beliau. Kembali bersembang, bergelak dan kadang-kadang minum kopi bersama di belakang.


Alhamdulillah...alhamdulillah...alhamdulillah...aku bersyukur, rakan yang aku kenali beberapa tahun dulu kini sedang membina kehidupan yang sangat baik di perantauan. Restaurantnya dinamakan sempena nama isterinya. Margo's Restaurant. Nama siapa lagi yang harus diabadikan selain daripada nama isteri? Kata beliau, restaurant ini diusahakan oleh mereka anak-beranak. Makanan yang disediakan ialah Irish dan Asian. Oleh kerana dikawasan beliau tidak banyak restaurant makanan Asia, maka disinilah selalunya menjadi tumpuan dan tempat masyarakat setempat berkumpul. Ada juga disediakan ruang untuk bermain pool. Kalau tetamu belum datang, selalunya anak-anaklah yang akan bermain walaupun kayu "que" tu lebih panjang@tinggi daripada Adam, Azri mahupun Liyana!
 
Aku tumpang seronok melihat rakan aku, seorang anak muda dari Hutan Kampong, Alor Setar, Kedah berjiwa besar, membina kehidupan baru di perantauan dan mengatur langkah mengejar impian...jika ada sesiapa yang sampai ke Galway dan nak makan sambal belacan, aku syorkan carilah dia....alamatnya kini ialah seperti dibawah. To my dear old friend, Shahril Shuib. I am very-very proud of you!
 
Shahril Shuib,
Ratesh Kilconly,
Tuam co Galway,
Ireland.


Ahad, November 16, 2014

Bahasa itu indah!

 
Malam tadi aku menonton satu program disalah sebuah channel tv. "Spell It Right" peringkat kebangsaan. Berlonggok kami depan tv. Aku panggil abang, Yuya dan Marina sama-sama tengok. Aku suka program ni sebab banyak yang aku boleh belajar. Even soalan-soalan peringkat sekolah rendah pun aku dah juling otak nak fikir apalagi soalan untuk sekolah menengah! Tapi pelajar-pelajar ni semua yang mewakili negeri masing-masing memang hebat. Aku pun heran mana depa belajar ejaan ni semua. Nampak mudah tapi sebenarnya tidak. Salah satu soalan untuk sekolah rendah ialah untuk mengeja "abattoir" yakni rumah sembelihan. Ia berasal daripada bahasa Perancis dan aku masih ingat lagi. Dipanggilnya sorang pelajar sekolah rendah ni. Dengan satu nafas beliau berjaya menjawab dengan betul! Phew....itu satu soalan mudah, fikir aku. Kemudiannya dipanggil pulak seorang pelajar dari Sarawak untuk mengeja perkataan yang asalnya ialah perkataan Latin. Oh makk aii...budak ni pun senafas jugak! Anak-anak aku melopong...Masuk ke peringkat sekolah menengah pulak. Pergh...soalan-soalan lebih memeningkan kepala. Mereka dengan tenang menjawap. Ada satu soalan yang ditanya, pelajar sorang ni menjawab dengan muka selamba....soalannya, apakah perkataan yang membawa maksud fobia kepada nombor 13 yang berasal dari Greek? Perkataan itu sebenarnya disebut berulang kali dan peserta boleh meminta ia diulang jika masih ragu-ragu dengan sebutannya. Budak ni terus mengeja "T.R.I.S.K.A.I.D.E.K.A.P.H.O.B.I.A."....dan jawapannya betul! Fuyoo.....aku terkedu! Aku tak nafikan yang pelajar-pelajar ini semua pintar. Ibubapa mereka hebat. Guru-guru mereka juga hebat. Tapi aku teringin nak tahu macamana mereka belajar? Apakah sumber rujukan mereka? Apakah mereka telah diberikan set perkataan berjumlah 1000 atau 2000 untuk dihafal? Jika tidak, dari mana mereka belajar? Apakah dari kamus? Apakah dari sebuah buku yang berkisar mengenai soalan-soalan sebegini? So please kalau ada sesiapa yang tahu tolong bagitahu aku...benda yang macam ni aku minat. Bukan minat nak bertanding tapi minat nak tahu dari sumber mana mereka belajar?

 
Hari ini aku tak berkesempatan nak ke pasar. Pagi tadi aku ada sekumpulan tetamu yang perlukan sarapan awal. Selepas itu ada group yang akan check in awal. Pukul 3 pula ada group lain yang ada hi-tea. Malam ni ada majlis tahlil di function room dan selepas itu ada bbq dinner. Memang padat hari ini. Alhamdulillah. Ini semua rezeki yang Allah bagi kepada kami. Minggu depan juga akan menjadi sibuk. Semua ini mengembalikan kenangan aku bersama-sama dengan hotel besar lain yang pernah aku kerja dulu. Sewaktu di Tokyo Bay Hilton, tetamu sarapan pagi kami pada hujung minggu ialah seramai 800-1200. Tak cukup di cafe dan pool, lounge juga dibuka. Hujung minggu menjadi ramai kerana semua tetamu ingin ke Tokyo Disneyland. Hotel kami terletak di belakang disney yang berhadapan dengan Tokyo Bay. Pemandangan depan mengadap Disneyland dan pemandangan belakang mengadap ke bay! Sangat cantik. Pekerja bekerja tanpa henti. Makanan sentiasa ditambah dan waktu sarapan terpaksa dilanjutkan kepada pukul 11 pagi. Tetamu berpusu-pusu dengan keluarga. Itu kali pertama yang aku terpaksa memberi makan kepada lebih 1000 orang tetamu didalam tempoh 5 jam dari 6 pagi sampai 11 pagi.  Balik ke bilik penginapan sebelah malamnya, aku hanya sempat tapau makanan, bawak balik ke bilik, tukar baju, mandi, makan dan terus tidur sebab terlalu letih! Begitulah setiap hujung minggu aku sewaktu di Tokyo dulu. Pada awalnya aku jadi ngeri memikirkan hujung minggu. Tetapi lama-kelamaan semuanya menjadi routine dan aku mula seronok kerana dapat bertemu ramai tetamu dan aku belajar bahasa Jepun dengan lebih cepat sehingga rakan-rakan aku terkejut sebab sebutan aku menjadi sangat cantik seolah-olah orang Jepun yang bercakap! Itu dulu...hahahahaha!
 
Aku berpesan kepada anak-anak agar menguasai seberapa banyak bahasa yang boleh. Ini sangat penting kerana banyak syarikat didunia yang memerlukan pekerja yang menguasai lebih daripada satu ataupun dua bahasa. Mereka juga boleh bertugas diluar negara, menjadi penterjemah dan lain-lain lagi. Ramai yang berpendapat bahawa bahasa merupakan penghalang untuk mereka ke luar negara ataupun bahasa merupakan penghalang untuk mereka berjaya. Aku menyanggah pendapat sebegitu. Bahasa itu indah. Harus ada minat. Harus ada keberanian. Harus ada muka tebal atau didalam bahasa utara dipanggil "hemoi". Disini aku sekali lagi bernasib baik kerana mengikut arwah bapak bertugas dimerata-rata tempat diseluruh negara. Walaupun masih didalam Malaysia, pergaulan aku telah membuatkan aku cepat menangkap bahasa-bahasa daerah dan seterusnya bercakap seperti orang tempatan. Sekali imbas mereka tidak akan tahu yang aku bukan berasal dari daerah mereka. Bayangkanlah...aku dilahirkan di Kelantan, bersekolah di pulau pinang, seremban dan alor setar. Dari satu tempat ke satu tempat, aku mula mempelajari loghat daerah dan lenggok mereka berbual. Memang seronok. Ada seorang rakan yang sama bertugas dengan aku di kl dulu kini bekerja di Dungun. Asal dari Kedah tetapi sekarang ni bercakap bahasa Trengganu dengan pekat sekali. Aku sendiri terkejut kerana langsung tak melambangkan yang beliau berasal dari Kedah. Aku rasa Nizam (nama beliau) ni kalau pergi kemana-mana sekalipun, beliau akan mampu menguasai pelbagai bahasa dengan baik. Ini merupakan satu kelebihan.
 
Aku teringat pula kepada rakan setugas aku di Geneva dulu yang bernama Patrick. Beliau menguasai bahasa peranchis, german, italy dan sepanyol dengan baik! Tapi itu merupakan kelebihan kepada mereka yang bersekolah di eropah. Harus menguasai bahasa negara jiran...walaubagaimanapun sistem pembelanjaran mereka disekolah adalah berbeza dengan kita! Malangnya kita tidak pandai untuk mengambil peluang sebegini. Jika nak dikira, kita amat mudah untuk menguasai bahasa mandarin mahupun tamil kerana kita membesar didalam kelompok masyarakat yang sama....jika berkesempatan teringin aku untuk kembali menghabiskan pelajaran aku didalam bahasa mandarin yang aku tinggalkan berbelas tahun yang lalu. Hmmm.....satu lagi bahasa selain peranchis yang menarik perhatian aku ialah bahasa sepanyol. Bunyinya sangat sedap bagi aku. Begitu juga dengan bahasa itali. Mungkin aku akan kembali ke kelas bahasa setelah pencen nanti apabila aku mempunyai banyak masa terluang....insyAllah...satu hari nanti!

Ahad, November 09, 2014

Hujung minggu yang padat!

Aku dan rugby tak dapat dipisahkan..!

Ramai orang kata ini permainan gila...aku pulak kata, aku gilakan permainan ni! Aku dah mula merancang bagaimana caranya untuk aku dapat menyaksikan perlawanan rugby Piala Dunia tahun depan dalam suasana yang meriah? Negara terdekat yang menyertai pertandingan peringkat akhir rugby ialah Jepun. Aku ingin merasakan suasana Piala Dunia. Duduk didalam kelompok masyarakat yang gilakan rugby, berkumpul beramai-ramai dengan peminat-peminat rugby seluruh dunia..merasakan suasana dan kehangatan sebenar! Nah...itulah yang aku mahukan...Tapi apakah aku terdaya untuk mengumpul wang sebegitu banyak hanya untuk menonton satu atau dua perlawanan di London nanti? Apakah aku sanggup membelanjakan berbelas-belas ribu ringgit semata-mata untuk membeli tiket KL-London-KL, penginapan serta makan-minum tetapi hanya menonton diluar stadium ataupun hanya mendengar sorakan penyokong-penyokong hebat all blacks, wallabies, springboks, puma, samurai dll? Oh tidak......aku boleh menjadi histeria hanya mendengar sorakan penyokong tegar sedangkan aku tak mempunyai tiket untuk menonton didalam stadium! Kepala otak mula berkira-kira macamana aku nak ke sana. Penginapan tidak menjadi masalah kerana aku boleh tidur dimana-mana sahaja. Cuaca? Aku rasa jugak tiada masalah kerana waktu itu autumn. Cuaca bagus dan pemandangan cantik..Makanan? Makanan tak pernah menjadi masalah untuk aku. Aku tak perlukan sambal tumis ikan bilis macam nak pergi rombongan...aku tak perlukan rempah alagappa untuk mengubat rindu aku pada kari...aku tak perlukan maggi ayam untuk melunaskan nafsu aku kepada makanan malaysia, itu semuanya tak perlu! Bagi aku yang tak pernah risau pasal makanan, kalau tahu tak boleh nak makan benda-benda tu semua, makan roti sajalah! Cicah kopi! Makan telur untuk protein...roti untuk carbohydrates, buah-buahan...sayur-sayuran...ready made salad selalu dah jual beserta dengan dressing sekali. Pilih saja...ngap, habis cerita! Nak makan sedap, balik aja lah ke Malaysia! Hahahahaha.....

Dimana ni?

Lama aku tak ke Masjid Wilayah. Ini adalah kerana jarak pejabat lebih dekat dengan Masjid Bangsar. Lagipun sering berlaku kesesakkan jalanraya yang teruk untuk ke Masjid Wilayah dari ibupejabat di Mont Kiara. Tetapi semalam aku sempat kesana dengan moto. Tiba-tiba terasa Masjid Bangsar terlalu jauh dari MK. Dengan moto, segala-galanya menjadi mudah dan cepat. 10 minit aku dah sampai. Meletakkan moto dibawah membolehkan aku berjalan lebih jauh dan Noom Walk mengira yang aku dah berjalan melebihi 1000 tapak! Sesampainya aku dijambatan untuk masuk ke kawasan masjid, aku berhenti sebentar dan melihat. Subhanallah...cantik pulak! Selalunya waktu sembahyang jumaat, cuaca menjadi sangat panas dan aku akan berjalan cepat untuk masuk sambil menundukkan kepala. Tetapi kali ini oleh kerana cuaca mendung, aku mengambil masa sebelum masuk dan berhenti diluar perkarangan untuk melihat keindahan masjid dan kolam air dibahagian depannya. Orang ramai berpusu-pusu. Baru masuk waktu. Aku bercadang untuk bersolat dibahagian bawah sahaja. Ruangannya besar. Ceilingnya yang tinggi membuatkan kawasan dibawah sedikit dingin. Sebahagian kawasan dipintu masuk telah digunakan untuk berniaga. Dari pakaian hinggalah ke minyak wangi semuanya ada. Yang tidak dijual hanyalah makanan. Ramai rakyat asing disitu. Sewaktu aku sampai, ada 2 orang wanita dengan berjubah dan berbangsa asing juga sampai. Mereka terus menuju ke pejabat pegawai khas. Dari jauh aku lihat mereka diberikan penerangan mengenai masjid dan dibawa naik mengikut seorang wanita tempatan yang rasanya bertugas sebagai pegawai pelancong. Bagus disediakan seseorang untuk membantu pelancong. Di Masjid Negara juga ada. Ada kaunter souvenir, kaunter pertanyaan, kaunter jubah dan lain-lain lagi. Ini penting untuk memberikan penerangan mengenai pembinaan masjid, sedikit sebanyak sejarah Islam dll. Mengingatkan aku kepada beberapa trip ke luar negara. Sewaktu di Switzerland dan Italy, aku juga sering ke chapel mahupun cathedral. Melihat dari dekat pembinaannya, sedikit mengenai sejarah dan latar belakang dan dari situ juga aku lebih memahami budaya masyarakat setempat. 

Guilin?

Apakah perancangan pada hujung minggu ini? Hari Sabtu disebelah malamnya ada perjumpaan Victoria Institution Parents Support Group untuk pasukan bolasepak atau singkatannya dipanggil VIPSG untuk meraikan kejayaan anak-anak yang menjuarai kejohanan bolasepak bawah 17 tahun Kuala Lumpur dan naib juara peringkat kebangsaan tempohari. Pertemuan ini juga penting untuk para ibubapa pemain sekali lagi berkumpul dan merancang program untuk anak-anak bagi kalendar tahun 2015. Selain makan-makan, kami juga merancang untuk mengumpulkan dana bagi projek bolasepak ke Kelantan 2015 nanti dan banyak lagi perkara yang sedang kami aturkan. Ini semua terhasil daripada kerjasama erat ibubapa para pemain sejak beberapa tahun yang lalu. Alhamdulillah para pemain ini telah menempah kejayaan demi kejayaan hasil bimbingan Coach Lan yang sangat berwibawa dan dihormati. Petang tadi pula melalui kerjasama ibubapa dan ahli keluarga pemain, satu perlawanan persahabatan telah disusun menentang pasukan dewasa dari Ulu Langat. Alhamdulillah mereka mendapat keputusan seri. Setelah selesai permainan, pasukan Ulu Langat memberitahu bahawa pasukan VI bawah 16 tahun ini memang sebuah pasukan yang hebat. Dan sebentar tadi juga diberitakan bahawa pasukan Ulu Langat FC sekali lagi akan memanggil pasukan bolasepak VI bawah 16 tahun untuk sekali lagi bermain didalam perlawanan persahabatan. Ini hanyalah pemain-pemain yang berusia 16 tahun dan beberapa pemain yang berumur 15 tahun. Bakat mereka sangat besar dan alhamdulillah Coach Lan yang membimbing mereka selama 4 tahun sejak mereka berusia 13 tahun telah berjaya membentuk pemain-pemain ini menjadi pemain yang berskil dan berdisiplin tinggi. Aku berbangga...aku tak sabar menanti tahun 2015. Banyak pertandingan peringkat negeri dan negara yang sedang dirancang. Aku pasti kejayaan akan menyebelahi mereka. InsyAllah!

Rabu, November 05, 2014

Cuti

Pasar Ampang

Cuti 2 minggu lalu agak panjang bagi aku kerana hujung minggu aku selalunya akan penuh dengan aktiviti-aktiviti menarik samada dirumah mahupun di hotel.. anak-anak cuti seminggu. Jadi Azumi dan Yuya pulang dari asrama dengan pelbagai kisah menarik. Marina tak sabar-sabar nak bertemu dengan abang-abangnya. Kak Wiwit komplen sebab abang dan Yuya bawak balik macam-macam yang perlu dicuci. Ini termasuklah stokin bola yang seminggu hanya dibilas, baju yang kolarnya telah hitam berkarat dan kasut yang dah tak ada rupa kasut! Namun walaubagaimanapun Kak Wiwit aku tahu, setakat ini amat sayangkan budak-budak ini. Alhamdulillah dah 6 tahun bersama kami. Hari tu ada ura-ura yang Wiwit nak pulang ke Madiun tetapi Marina merengek enggan membenarkan dan Kak Wiwit cair dengan Marina. Selalunya kalau Marina ada wang lebih, Marina akan belikan gula-gula untuk Kak Wiwitnya. Itu yang buat Kak Wiwit tangguhkan rancangan untuk pulang. Dari setahun ke setahun! Alhamdulillah...

Gerai No 29, Sebelah Roti Canai,Depan Maybank Pandan Jaya.

Aku ada sorang kawan ni. Aku kenal beliau sejak aku di Mekah lagi apabila aku sering menulis dari sana menceritakan tentang kehidupan aku di bumi Mekah. Vimmy terbaca cerita aku dan dari situ kami mengenali satu sama lain. Vimmy juga merupakan penulis blog yang hebat. Dari beliau aku mula mengenali suami dan anak-anaknya. Vimmy bagi aku merupakan seorang wanita yang sangat kuat. Kuat dalam erti kata yang sebenarnya. Mempunyai 4 orang anak yang kesemuanya perempuan bukanlah satu tugas yang mudah. Tambahan pula anak-anak kini menjangkau usia remaja tetapi alhamdulillah kesemuanya sangat menjadi...Vimmy sibuk dengan kerja-kerja kebajikan membantu masyarakat gelandangan, anak-anak dirumah yatim dan pelbagai program lagi yang dijalankannya. Pada masa yang sama Vimmy dan suami juga membuka gerai makan yang terletak berhadapan Maybank di Pandan Jaya menjual makanan-makanan seperti wantan mee, mee kari nyonya dll. Sedap sudah pasti kerana suaminya merupakan bekas Executive Chef yang sanggup berhenti kerja semata-mata untuk membantu isteri tersayangnya melaksanakan kerja-kerja kebajikan. Aku hairan dimana datangnya tenaga dan semangat beliau. Aku pasti beliau tidak mempunyai banyak masa terluang seperti orang-orang lain. Sangat hebat. Itulah sahaja yang mampu aku katakan mengenai beliau dan suaminya. Even hingga kini aku masih lagi tidak mampu mengikuti satupun program kebajikan yang dilaksanakannya walaupun aku tahu mereka mula melaksanakan kerja-kerja amal mereka seawal pukul 4 pagi setiap hari minggu bertempat di Masjid Jamek di KL. InsyAllah jika aku terjaga awal, sudah pasti aku akan turut serta walaupun hanya sekali!

Celebrity Fitness Bangsar Village

Minggu yang lalu, hujan menjadi tidak menentu. Sekejap hujan, sekejap berhenti, sekejap hujan dan sekejap berhenti. Perjalanan aku ketempat kerja dan pulang juga menjadi sama. Sekejap jalan, sekejap berhenti bawah jembatan...sekejap jalan, sekejap berhenti bawah bus stop! Sekarang aku terpaksa mengusung beg besar untuk ke tempat  kerja. Apa yang diisi didalam beg? Ada kasut, ada selipar, ada stokin ke 2, ada baju ke 2, ada kain tuala kecil dll. Ini semua persediaan berlaku hujan ditengah jalan....ubat dalam peket kecil juga dah standby. Hahahahahaha....Paling teruk hari Sabtu lepas. Sesampainya aku dirumah, badan dah mula rasa lain macam. Mula seram-sejuk tak tentu hala! Pergi ke klinik ambil ubat sekejap. Risau jugak kalau-kalau ada penyakit lain. Maklumlah...denggi masih berleluasa. Menonton bolasepak perlawanan akhir pun rasa macam tak puas...keesokkan harinya aku tengok Marina pulak melepek ke rumah. Tidur dari pukul 11 pagi sampai pukul 3 petang. Bila aku pegang tangannya, terasa panas. Lehernya lebih lagi. Cepat-cepat Marina pulak diberi ubat. Alhamdulillah hari Isnin dia bertambah sihat. Marina cuti tak pergi sekolah tetapi sebelah petangnya menalipon aku bertanyakan samada aku benarkan dia keluar bermain diluar! Pagi tadi aku bertanya samada Marina sudah mendapat keputusan peperiksaan atau belum dan katanya sudah. Ditunjukkannya markah BM. Cuma 75%. Aku cari kesalahannya. MasyAllah...tersandar aku sebab terlalu senang untuk dijawap tetapi jawapan yang diberikan salah! Aku menyalahkan diri sendiri kerana tidak memberikan tumpuan yang lebih kepada matapelajaran tersebut. Waktu itu tumpuan aku hanyalah kepada Sains dan Matematik! Aku sedikit terkilan....

Pasembor Ampang

Beberapa hari yang lepas, kami teringin nak makan pasembor. Kak Anne pulak kebetulan akan berziarah ke rumah. Jadi aku pesan kepada abang sewaktu kami keluar membeli untuk membeli sebungkus lebih khas buat Kak Anne yang akan datang. Balik ke rumah, kami makan. Kak Anne sebentar kemudian sampai dirumah. Aku suruh Wiwit tolong siapkan untuk Kak Anne. Wiwit bingung kerana dicarinya pasembor sebungkus lagi tapi tak jumpa. Penat mencari akhirnya kami tersedar yang penjual tadi tidak memberikan sebungkus lagi pasembor walaupun telahpun dibayar! Sekali lagi aku terkilan. Tak ada rezeki untuk Kak Anne!

Jumaat, Oktober 24, 2014

Maal Hijrah (topik tak kena-mengena dengan cerita!)


Aku sentiasa menunggang moto kemana-mana saja aku pergi. Hampir kesemua lorong-lorong telah aku susuri. Beberapa hari yang lalu sedang aku asyik menikmati segelas teh, aku menoleh kesebelah kanan aku dan terpandangkan sebuah bangunan lama yang masih kukuh tersergam disebelah aku walaupun warnanya dah pudar tetapi aku lihat ada suatu aura dibangunan usang tersebut. Lalu aku capai talipon bimbit dan mula mengambil angle yang aku rasa baik. Banyak aplikasi boleh digunakan dan ini membuatkan aku terleka sebentar membelek semula talipon bimbit aku yang selalunya tak pernah aku peduli. Menekan apa yang boleh dan mencuba apa juga yang tak pernah aku cuba sebelum ini, aku terperanjat melihatkan kesan yang terhasil. Aku asyik.......
 
Ditenung lama-lama, aku mula dapat membayangkan berpuluh tahun yang lalu sudah pasti bangunan lama ini dihuni oleh sebuah keluarga berbangsa tionghua. Mungkin menjalankan perniagaan runcit disebelah bawahnya dan menginap ditingkat atas. Aku mula berkhayal...Datuk bertenggek dikerusi rotan berhampiran pintu kedai sambil dicelah jari terselit sebatang rokok Gold Leaf ataupun Lucky Strike. Muka berkedut, gara-gara kesusahan hidup dilalui, yang payah untuk diterjemahkan kepada anak cucu. Nenek pula sibuk menyuapkan "moi" ke mulut cucu-cucu kecil yang asyik berkejaran didalam kawasan rumah yang besarnya hanya sekangkang kera. Mulut nenek terkumat-kamit memanggil seorang demi seorang yang berjumlah 3 orang kesemuanya. Penat tidak terhingga...Dalam penat menyeka peluh, nenek masih mampu tersenyum melihatkan keletah cucu-cucunya. Masih terkumat-kamit mulut membebel, nenek bingkas bangun lalu mencapai sebilah rotan yang berada betul-betul berada ditepi meja. Ketiga-tiga cucunya berhenti berlari. Memandang satu sama lain. Merenung muka nenek dengan kening sedikit terangkat menagih simpati.....(cerita tak logik akan bersambung bila aku teringat...hahahahaha...)

Rumah usang ditepi lorong..
 
Kesihatan yang baik menjadi keutamaan aku sejak 1-2 tahun ini. Pelbagai kisah sedih sudah aku baca dan bermacam-macam peristiwa telah aku lalui. Apa yang berlaku kepada kedua-dua arwah ibubapa aku menjadi pengajaran yang sangat berharga. Keinsafan timbul daripada diri sendiri. Bagi aku jika duit banyak bertimbun tetapi kesihatan tidak dijaga dengan baik, ia kurang membawa erti "nikmat kehidupan" yang sebenarnya. Maka dengan kesedaran itulah yang membuatkan aku mendaftarkan diri di Celebrity Fitness di Bangsar Village hampir dua setengah tahun lalu dan sejak dari itu aku tidak pernah menoleh kebelakang. Sesekali timbul juga rasa malas nak ke gym tetapi kemahuan aku untuk menjaga kesihatan telah berjaya mengatasi rasa malas yang kadang kala timbul. Pada suatu ketika berat badan aku pernah melambung ke 95 kilogram! Semua pergerakan terasa berat dan aku sentiasa mendapat sakit kepala. Didalam keadaan yang sakit begitu pun mulut aku sentiasa nak mengunyah sesuatu dan perut sering berasa lapar. Aku nekad tak mahu mengulangi kesilapan masa lalu. Kini alhamdulillah sekurang-kurangnya 3 kali seminggu aku pasti akan berada di gym untuk beriadah. Hasilnya menakjubkan, sakit kepala aku bertambah kurang dan sakit belakang juga telah mula surut. Alhamdulillah juga bilamana aunty, anak aku azumi dan anak menakan aku syafiq juga kini mendaftar di CFBV dan beberapa kali juga kami akan ke gym bersama-sama. Apabila melakukan workout secara berkumpulan, aku tak terasa bosan. Sama-sama berkongsi pengetahuan dan bantu-membantu. Ini tambah menyemarakkan lagi semangat aku untuk sentiasa beringat bahawa kesihatan tubuh badan itu sangat penting. Kini ditambah lagi dengan aplikasi NOOM WALK, aku dapat menghitung berapa steps aku dah buat dalam sehari. Nampak gaya bukan senang nak dapatkan 10,000 steps untuk sehari. Semalam aku hanya berjaya mendapat 3900 steps. Banyak kurang. Rasanya mungkin dalam lingkungan 5-7 kilometer baru dapat 10,000!!! Hahahahahaha.....
 
 
Semalam aku mendapat satu panggilan talipon dari Kuta di Bali. Rakan lama yang sama-sama bekerja dengan aku sewaktu di KL, Jakarta, Shanghai dan Madinah (bukan hotel yang sama). Rakan yang boleh aku percaya dan saling bantu membantu didalam apa jua keadaan sekalipun. Aku kenal rakan aku ni sejak tahun 96 lagi. Bekerja dibawah satu bumbung membuatkan kami yang pada mulanya kurang akrab, menjadi rapat. Falsafah kerjanya sama dengan aku maka dengan itu kami mampu berbual berejam-jam lamanya. Beliau kini berada di Kuta. 3 jam penerbangan dari KLIA ke Denpasar. Keluarga di KL. Kadang kala aku bersimpati dengan beliau yang terpaksa meninggalkan anak-anak dan isteri demi mencari rezeki. Keluhan beliau aku benar-benar faham kerana aku juga pernah berada didalam situasi sebegitu. Yang menghantui kami apabila berada bersendirian di luar negara ialah isteri dan keluarga yang ditinggalkan. Bagaimana dengan isteri dan anak-anak, pelajaran mereka, pencapaian mereka, pergaulan mereka dan selalunya kami akan bekerja lebih keras sehingga lewat malam semata-mata untuk menghilangkan perasaan rindu kepada anak-anak dan isteri. Tetapi apabila pulang ke bilik penginapan, sebelum terlelap, akan datang satu macam perasaan hiba menghantui fikiran dan jiwa, seorang bapa. Perasaan yang tak dapat aku gambarkan dengan perkataan. Masa aku telah berlalu. Kini rakan aku sedang melaluinya sekali lagi. Beliau juga seperti aku, berharap semua pengorbanan yang dilakukan akan disedari oleh keluarga disuatu hari nanti. Bukan kami tidak sayangkan keluarga, tetapi cara kami menyampaikan perasaan sayang itu berlainan. Aku bersyukur kerana rakan aku diberikan kesihatan dan rezeki yang bertambah baik. Memegang jawatan sebagai General Manager di hotel bertaraf antarabangsa di Bali bukanlah calang-calang. Selalunya jawatan tersebut akan disandang oleh manusia berkulit putih. Rakan aku mendapat kepercayaan besar daripada syarikatnya untuk menerajui beberapa lagi hotel yang sedang dalam pembinaan. Ini termasuklah di Ubud, Lombok dan Surabaya....Alhamdulillah...aku tahu kelebihannya dan aku tahu yang beliau mampu melaksanakan tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan kepadanya dengan amat baik...Thanks for the 30 minutes call yesterday and thanks for the lead....Untuk rakan aku, sempena Maal Hijrah, aku doakan kesejahteraan, kesihatan yang baik, umur yang panjang dan berusahalah dengan gigih demi agama, bangsa dan negara yang tercinta...."Malaysia, Tanah Tumpahnya Darahku!".
 
 
 
 
 


Rabu, Oktober 15, 2014

Changloon


Kali ni aku mengambil keputusan untuk menaiki bas ke Kedah. Lama dah tak kesana dan inilah masa yang aku tunggu-tunggu. Pertama kali ke Sintok membuatkan aku teruja. Walaupun aku pernah menetap di Kedah dan ramai adik-beradik disana tapi aku rasa inilah kali pertama aku sampai ke penghujung sempadan! Lepas kerja aku terus bergegas bersiap dan menuju ke stesyen bas Puduraya. Plusliner yang sepatutnya berlepas pada pukul 11 malam hanya berlepas pada pukul 11.30 malam kerana bas tersebut datang dari Putrajaya katanya. Hmm, aku tak boleh terima alasan tersebut. Dah tertera ditiket jam 11 malam jadi, ketepatan waktu amatlah penting bagi aku.

Sampai di stesyen bas Shahab Perdana di Alor Setar tepat pada pukul 5 pagi. Aku menalipon Lan, bekas associate yang sama-sama dengan aku di Langkawi dulu. Lan mengesyorkan agar aku mengambil keretanya yang hanya disimpan di rumah mak mertuanya sahaja. Aku setuju memandangkan Alor Setar asyik hujan kebelakangan ini. Selepas sarapan aku menalipon seorang lagi rakan yakni junior aku semasa di sdar dulu yang merupakan bank manager di pekan Alor Setar. Beliau mengesyorkan aku supaya mengambil scooternya agar lebih mudah aku bergerak kemana-mana nanti. Aku ucapkan terimakasih kepada Yasir tetapi mengambil keputusan untuk menggunakan kereta sahaja sepanjang aku berada disana. Tepat jam 7 pagi aku memohon izin untuk ke Sintok. Lan memberikan aku panduan jalan mana yang harus aku ambil. Senang sangat kerana cuma perlu mengikut jalan ke Bukit Kayu Hitam all the way.

Aku sampai 5 minit sebelum perlawanan bermula. Para pemain nampak bersemangat. Bertemu dengan Labuan tidak membuatkan para pemain gentar. Mereka "meratah" Labuan dengan jaringan terbesar kejohanan yakni 10-2! Tahniah. Aku bergegas pula ke hotel memohon agar aku dibenarkan masuk awal untuk berehat. Hari aku masih panjang. Berehat sebentar dibilik dan tepat pukul 2 petang sekali lagi aku ke Sintok dari hotel penginapan aku di Changloon. Cuma 10 minit diperlukan untuk aku sampai di padang UUM. Para pemain sedang memanaskan badan untuk bertemu Melaka. Sekali lagi mereka meranapkan harapan Melaka untuk keperingkat seterusnya dengan kemenangan 8-0! Perlawanan ketiga kumpulan ialah menentang musuh tradisi, Selangor. Bermain didalam keadaan padang yang sangat baik, para pemain masih bersemangat untuk menamatkan perlawanan ke 3 dengan mengalahkan Selangor 1-0 untuk menjuarai kumpulan B. Petangnya mereka mendapat rehat cukup sebelum melangkah ke peringkat suku akhir menentang Perlis.
 

Sebelah malamnya aku menjadi agak sibuk kerana harus bertemu dengan beberapa orang kuat daripada Bank Islam Alor Setar dan lain-lain yang merupakan pensyarah di Universiti berdekatan. Bertemu dan berbincang dari jam 10 malam sehinggalah pukul 1 pagi. Aku betul-betul letih dan tiba-tiba aku rasa kurang sihat. Pulang ke bilik, aku telan 2 biji panadol berehat sebentar dan terus terlelap. Terjaga jam 5 pagi, menunggu waktu solat dan turun ke lobby hotel untuk bersarapan. Jam 7.30 pagi aku telah berada dipadang dan para pemain telahpun bersiap-sedia untuk perlawanan suku akhir. Mereka nampak sangat bersemangat untuk mengulangi kejayaan seperti hari-hari sebelumnya. Perlis bukanlah calang-calang pasukan dan kali ini KL hanya mampu menundukkan mereka dengan jaringan 2-0 sahaja. Mereka diarahkan untuk terus pulang ke asrama penginapan untuk berehat sebelum bermain perlawanan separuh akhir pada petang itu juga jam 4 petang. 


Kesempatan yang ada sempat juga aku bertemu dengan beberapa orang lagi di sekitar Kedah sambil mengadakan mesyuarat pendek sebelum aku pulang ke hotel untuk berehat sebentar sebelum sekali lagi aku ke padang untuk menonton perlawanan separuh akhir menentang Pulau-Pinang. Langit nampak gelap dan guruh kedengaran menandakan petang nanti hujan akan turun dengan lebatnya. Sebelum sampai ke padang, aku sempat singgah disebuah kedai di pinggir pintu masuk UUM. Kedai masyarakat tempatan tetapi pertuturan keseluruhannya didalam bahasa Thailand. Teh tarik yang dibuat terasa sangat sedap. Apa perbezaan dengan di KL tidak pula aku ketahui. Disediakan oleh anak gadis yang manis menawan yang aku pasti merupakan salah seorang daripada anak-anaknya yang sempat aku hitung berjumlah 5 orang. Kesemuanya perempuan! Para pemain telahpun tiba dipadang. Memulakan regangan untuk memanaskan badan, aku lihat mereka sudah cukup bersedia. Perlawanan amat sengit dengan kedua-dua pasukan melancarkan serangan demi serangan. Keputusan diakhir perlawanan, KL 1 - Pulau Pinang 0 dan KL berjaya melangkah ke perlawanan akhir yang dijadualkan berlangsung di stadium UUM pada pukul 8.30 malam keesokan harinya.


Hari Selasa, aku harus pulang ke Kuala Lumpur. Tak sempat aku menonton perlawanan akhir. Berat hati nak meninggalkan para pemain yang akan berjuang diperlawanan akhir peringkat kebangsaan B17 tahun menentang Selangor sekali lagi. Pagi ini aku ada satu lagi mesyuarat pendek sewaktu sarapan. Terimakasih kepada pegawai berkenaan yang sanggup datang dari Kulim untuk bertemu aku hanya untuk 25 minit dan beliau hanya sempat minum kopi secawan. Setelah beliau pulang aku kembali ke bilik untuk berehat sebelum mula mengemaskan barang untuk pulang ke Kuala Lumpur. Perjalanan dari Changloon ke Alor Setar sangat lancar. Sebelum aku ke stesyen bas Shahab Perdana aku sempat singgah sebentar di Tabung Haji Hotel untuk bertemu seorang lagi pegawai penting di TH untuk berbincang sesuatu. Pertemuan ini juga tidak mengambil masa lama. Hanya 30 minit. Menaiki bas pada pukul 12.30 tengahari, aku sampai di Puduraya tepat jam 7.30 malam. Dirumah aku menunggu dengan sabar keputusan perlawanan akhir diantara Kuala Lumpur menentang Selangor. Malang sungguh apabila keputusan berpihak kepada Selangor yang berjaya mengalahkan KL dengan jaringan 2-0.
 
Aku berharap agar keputusan kekalahan tersebut akan membuatkan pemain-pemain tambah bersemangat untuk meneruskan latihan dibawah kendalian coach Azlan, seorang jurulatih yang sangat hebat dan berwibawa. Never give up boys.....

Tewas

Harap maaf betul kerana saya tak termampu nak ipdate cerita-cerita saya disini. Banyak sebenarnya nak dikisahkan. 2. Walaubagaimanapun say...