Harap maaf betul kerana saya tak termampu nak ipdate cerita-cerita saya disini. Banyak sebenarnya nak dikisahkan.
2. Walaubagaimanapun saya ingin menjemput anda semua ke facebook saya untuk membaca kisah-kisah saya. Pergi ke fb dan taip saja nama saya. Mohd Shahrir Ali.
3. Disitu saya update hampir setiap hari cerita-cerita saya berkenaan daily routines, aktiviti ragbi saya setiap hujung minghu selepas program Masjid Jamik dan terbaru ialah masukan tentang pembikinan Boutique Hotel yang bakal beroperasi tak lama lagi.
4. Singgahlah di fb saya ya...jika suka dengan cerita-ceritanya, tekan saja butang like. Lebih indah jika anda meninggalkan sedikit komen diruang 'komen'.
Jumpa disana ya....
Uncle815.....satu perjalanan hidup
Merupakan satu kisah perjalanan dan kehidupan aku mengembara mencari rezeki untuk dijadikan tauladan oleh anak-anak aku dikemudian hari. Jika ada yang berminat untuk mendapatkan gambar ataupun cerita dari blog ini, silalah berhubung dengan aku terlebih dahulu! Terimakasih.
Khamis, Februari 20, 2020
Jumaat, Januari 24, 2020
Sibuk betul!
Ini merupakan route saya pergi dan balik kerja setiap hari. Dah lama saya nak berhenti dan ambil gambar tetapi oleh kerana jalan agak sesak dan selalu juga cuaca kurang memuaskan, saya terpaksalah batalkan hasrat saya. Tetapi pagi ini jalanraya lengang. Orang dah mula bercuti dan balik kampung. Cuaca yang panas pula menaikkan seri langit yang biru tanpa setompok pun awan. Cepat-cepat saya rapat ke bahu jalan, keluarkan talipon bimbit saya dan snap. Puas. Simpan talipon dan terus memecut menuju ke destinasi kerja. Haha, akhirnya dapat juga saya ambil gambar bangunan 2 ni..
Pagi tadi saya mencari dokumen penting yang saya amat-amat perlukan untuk satu tugasan maha penting pada minggu depan. 2 jam saya selongkar meja , shelves dan laci sekeliling saya. Tak berjumpa. Menarik nafas panjang dan sekali lagi memulakan pencarian. Masih tak berjumpa. Tak mengapa saya harus ke tempat satu lagi di Bukit Damansara dan cari disana. Saya konfiden yang dokumen yang saya cari ada disana. Juga sama. Selongkar sini dan sana tetapi masih tetap hampa. Total pencarian ialah selama 2 jam dipejabat sekarang dan satu jam dipejabat lama. Jumlahnya 3 jam! Saya sakit hati.
Balik semula ke office dan bersiap untuk ke masjid berdekatan untuk solat Jumaat. Dalam perjalanan ke masjid, saya berdoa agar saya temui dokumen penting itu. Berdoa dan terus berdoa. Usai solat saya berhenti digerai tepi jalan untuk membasahkan tekak. Saya terus sambung berdoa.
Naik ke pejabat, saya bersandar sambil memikirkan dimanakah dokumen tersebut saya letakkan...Dah habis semua tempat saya selongkar dan saya pasti. TIDAK ADA. Saya mula menulis sesuatu didalam buku nota saya untuk semua appointments saya minggu depan. OUT TRAY saya agak semak dengan beberapa fail. Saya keluarkan semua fail, ketuk-ketuk untuk ratakan hujung kesemua fail, Tiba-tiba saya ternampak dokumen yang saya cari seluruh pagi tadi rupanya ada diatas meja saya, di OUT TRAY dan difail yang paling atas......masyAllah......alhamdulillah...syukur saya jumpa....kalau tidak, sia-sia kerja saya hampir dua setengah tahun ni. Dan dibanyak-banyak tempat, ia berada betul-betul diatas meja saya.....Aduuhhhhhhhhhh (setelah merata saya pergi cari)
Jumaat, Januari 10, 2020
J - Sebuah Hotel Butik
Ramai yang tersalah anggap dengan istilah ini. Ramai juga pengusaha yang tersalah guna perkataan ini. Penggunaan perkataan 'boutique hotel' sewenang-wenangnya amat saya kesali. Deretan kedai 2-3 tingkat yang diconvert menjadi tempat penginapan, dijenamakan sebagai 'boutique hotel'. Ini amat 'tak kena'.
Boutique Hotel ialah sebuah hotel unik. Tidak banyak bilik-bilik inapnya. Ia juga menyediakan 'personalised service'. Personalised service yang merangkumi banyak perkara sedari guest arrival hinggalah ke guest departure. Mereka kenal tetamu-tetamu mereka. Mereka membuat 'homework' tentang kedatangan tetamu-tetamu mereka. Mereka merekod 'likes' dan 'dislikes'. Mereka juga diibaratkan sebagai 'one stop centre' kepada para tetamu. Para petugasnya berpengetahuan luas tentang tempat-tempat menarik. Mereka knowledgeable.
Mereka tidak ramai tetapi cukup untuk menjadikan operasi hotel itu 'nyaman'. Para petugasnya amat 'attentive' tetapi tidak sampai mengganggu 'privacy' para tetamu.
Boutique Hotel ini amat istimewa kerana mereka tiada duanya. Tidak terdapat boutique hotel yang 'duplicate' ditempat-tempat lain. Kebiasaannya ia dipunyai oleh orang persendirian yang ada 'sense' tentang hospitality. Memasuki hotel-hotel sebegini merupakan suatu pengalaman. Pengalaman yang payah nak diceritakan tetapi amat indah tatkala sedang dinikmati.
Rekaan dalamannya lebih kepada konsep yang ingin diketengahkan oleh pemilik-pemilik persendirian ini. Pemilik-pemilik ini biasanya akan mencetuskan garapan-garapan hiasan bertitik-tolak dari pengalaman mereka. Dimana mereka pernah menginap, apa yang mereka gemari, tona warna apa yang mereka sukai. Apakah mereka minimalis atau apakah mereka ingin ketengahkan idea-idea berat didalam hasil boutique hotel mereka. Ada yang mengenengahkan ruangan mini library kerana mereka gemar membaca. Ada yang menonjolkan lukisan-lukisan abstrak kerana mereka suka melukis. Ada yang menonjolkan senibina kayu kerana itu hobi mereka. Nah..itulah kelebihan 'boutique hotel'. Bukan sewenang-wenangnya menzahirkan sebuah hotel ala-kadar tetapi dijenamakan sedemikian....
- orang baru dunia perhotelan
Jumaat, Januari 03, 2020
Selamat datang 2020
Assalamualaikum semua. MasyAllah sudah hampir setahun saya mendiamkan diri tanpa berita.
Ini tiba-tiba saya terpanggil untuk cuba menulis dari mobile sahaja kerana rasanya lebih mudah untuk saya buat masukan baru. Itupun jika ada yang ingat kepada saya ataupun masih mahu membaca cerita-cerita saya. Haha.....ada ka?
Rabu, Februari 20, 2019
2019 yang indah (setakat ini)
Marina and I |
Alhamdulillah kini kita sudah menjejak kaki ke bulan Feb tahun 2019. Tanggal 9hb Feb yang lalu, umur saya meningkat lagi sebanyak setahun. Dengan bangganya saya kini berusia 51 tahun. Umur yang tak terlintas difikiran saya sewaktu dizaman kanak-kanak dulu. Dikala kecil, saya tak mampu nak membayangkan bagaimanakah keadaan saya tatkala umur menjengah ke usia 50. Terasa seperti orang tua-tua. Terasa seperti arwah bapak suatu masa dulu. Terasa seperti pakcik-pakcik dilorong kawasan perumahan saya yang hanya berkain pelikat dan berlenggeng memberikan makan ayam peliharaan ataupun menyapu dedaun mangga yang luruh kering. Hahahahahahaha......fast forward, saya kini sedang meniti usia tersebut!
Saya bersyukur, diumur sebegini, saya masih boleh bekerja dengan baik, masih turun berlatih bermain bola lonjong saban minggu walaupun sekarang tidak lagi bermain full contact rugby tetapi sekurang-kurangnya saya masih mampu menjalani latihan intensif dari jam 9 pagi hingga ke jam 3 petang Sabtu lalu dan kembali menyarung boots keesokan harinya dan terus berlatih dari pukul 9 hingga ke pukul 12.30 tengahari. Saya bernasib baik kerana anak-anak dah besar sekarang ini dengan mereka berumur 21, 18 dan 13. Saya juga amat bersyukur kerana masih mampu meneuskan hobi saya iaitu menjejalajah secara solo dengan menaiki keretapi bagi melaksanakan misi "Trans Java Solo Train Ride" saya tempohari.
Ada juga yang bertanya, apakah saya membelanjakan wang yang banyak setiap kali saya mengembara. Bagaimanakah saya merancang? Jawapan saya, saya tidak menggunakan wang yang banyak. Tetapi saya merancang dan berbelanja dengan berhemah. Bagaimana saya boleh berbuat sedemikian?
Setiap perjalanan solo saya, saya rancang diantara 6 hingga 12 bulan. Segala detail saya catatkan. Saya melancong bukan untuk shopping dan bukan juga untuk berpesta makan. Niat saya melancong selai daripada hobi ialah juga untuk melihat budaya asing. Untuk trip yang baru lalu, saya berkelana selama seminggu. Menaiki Malindo untuk pergi dan AA untuk pulang. Saya menginap di 4 tempat berbeza. Hari pertama saya menginap di rumah tumpangan yang berharga RM60. Minum teh botol yang dibeli dari gerai berhampiran. Tujuan saya melancong bukanlah untuk berpesta makan. Sepanjang seminggu saya disana, hanya sekali saya makan nasi padang. Itupun kerana hujan terlalu lebat dan saya tak boleh keluar kerana terlalu 'macet'. Itupun saya pesan nasi padang saya melalui GRAB FOOD! Nasi padang tersebut dan Sup Buntut Goreng merupakan makanan mewah saya. Minus my heavenly breakfast at JW..
Keesokannya saya menaiki keretapi ke Jogja selama 8 jam dan menginap di "losmen" yang berharga rm60. Makan digerai celah-celah lorong di Malioboro dan minum kopi di warkop yang banyak dipinggir jalan. Selang beberapa hari di Jogja dan setelah melawat Borobudur dan Prambanan saya kembali menaiki keretapi selama 5 jam ke Surabaya. Oleh kerana saya telah ber backpack selama beberapa hari, saya manjakan diri selama satu hari dan menginap di JW Marriott Hotel di Surabaya. Enjoy facilitiesnya seperti gym, sauna dan steam bath, pulang ke bilik, makan cup noodle dan tidur ditilam yang paling empuk dalam dunia. Breakfast esoknya saya makan American Buffet Breakfast. Hahahahahahaha....Ok, penginapan ini mahal sikit tapi, ia berbaloi pada pendapat saya. Check out dari situ saya menginap pula dihotel murah yakni POP Hotel. Harganya juga sekitar rm60 semalam. Jadi, all in all, saya hanya berbelanja minimal. Duit ini saya kumpul selama 6 bulan sejak mula merancang.
Saya dan keluarga jarang makan diluar. Mungkin 2-3 bulan sekali baru kami makan diluar jika ada acara seperti birthday anak-anak dan sebagainya. Jika tidak, setiap hari kami makan dirumah dan kami sekeluarga membawa bekal ketempat kerja.
Apa yang ingin saya nyatakan disini ialah, berbelanjalah dengan berhemah. Oh ya, setiap kali sebelum saya kemana-mana, keperluan rumah telahpun dilengkapkan dan segala bayaran yang perlu dilakukan telah langsai. Jadi, jika kita berbelanja dengan berhemah, insyAllah kita akan mampu melakukan apa yang kita impikan walaupun dengan skala yang amat sederhana.
Cubalah....anda juga mampu melakukannya!
#livebalancedlifetothefullest
Rabu, Disember 19, 2018
IQ (dari 13 ke 50)
jr, iq dan boyo |
Iq ni budak 03. Sama macam saya. Tapi 03nya terus bermastautin disitu sedangkan saya tidak! Saya hanya mengenali beliau setelah kami masuk kedalam kelas yang sama, yakni 1 Putih (of all the names - hahahha) pada tahun 1981 dan guru kelas kami ialah Cikgu Azizi Sihab. Saya tak ingat apakah kami pernah duduk bersebelahan, tetapi kami sering bersama jika ada kesempatan. Ke kantin diwaktu rehat dan usai prep malam, ke surau, ke padang disebelah petangnya, melepak dibilik mahupun mencuci baju! Kami jadi akrab.
Saya tak menyangka walaupun beliau budak pantai timur dengan pelat yang pekat, sebahagian dari dirinya juga sebenarnya berdarah Negori. Lebih spesifik sekali, Kuala Pilah! Kadang-kadang Iq ada juga mengajak saya pulang ke kampungnya di KP. Saya masih ingat lagi yang kami menaiki bas dari stesyen bas lama menuju ke Pilahdelphia (panggilan kami dulu). Kalau tak salah, rumahnya separuh papan dan separuh batu. Ada tanah luas dengan rumput menghijau dan pokok buah-buahan. Saya suka kesitu kerana suasananya amat kampung. Anak-anak ayam masih berlari kesana-sini. Amat mendamaikan. Iq juga sering mengajak saya pulang ke kampungnya di Kuala Krai dan sering menceritakan cerita-cerita indah berkenaan air terjun di Lata Rek dan saya sungguh kesal kerana sehingga kini saya masih belum pernah melawat kampungnya disana!
Gambar atas menunjukkan kami pada tahun 1985. Dah pun tingkatan 5 waktu itu. Iq duduk disebelah kiri sekali manakala saya disebelahnya. Sebelah saya ialah Chico, Mat Jeng (prefek), Ketard. Depan Iq yang tengah menyuap itu ialah Izamin manakala disebelahnya pula ialah Anje. Iq ni memang kena dengan panggilan namanya. Iqnya memang tinggi. Merupakan salah seorang pelajar batch 85 yang bakal menyinar didalam peperiksaan SPM. Saya rasa semua guru-guru dan pihak sekolah dah dapat mengagak keputusan positif yang bakal beliau dapat. Samalah juga macamana pihak sekolah amat susah hati dan dah boleh mengagak keputusan negatif yang bakal saya dapat. Hahahahahahaha! What a contrast.....
Salah satu yang saya puji tentang Iq ni ialah daya konsentrasinya yang amat tinggi. Didalam kelas, jika pelajaran itu berdurasi selama 2 period 40 minit, maka selama 80 minit itulah pandangan dan juga tumpuannya tak terganggu. Berlainan dengan saya yang konsentrasi saya hanya berdurasi selama 3 minit dan seterusnya saya akan mengganggu orang lain! Beliau amat serius dengan setiap apa yang dilakukannya. Prep petang dan prep malam dia samada membuat homework ataupun sibuk mengulangkaji pelajaran. Saya, samada saya bersembang atau buat-buat sibuk.
Selain dari satu kelas sejak dari tingkatan 1, kami juga terus berada dikelas yang sama sehingga ke tingkatan 5. 5 Al Tabari. Kelas budak-budak hebat! Hahahahahahahaha....selain dari itu, kami juga didalam kumpulan pengakap yang sama.
Setiap masa santai yang terluang, kami sering bercerita mengenai pengembaraan. Iq merupakan rakan yang mengikuti saya mengembara ke Langkawi dari Seremban sewaktu kami di tingkatan 2. Saya ada menceritakan perkara ini didalam masukan blog saya yang terdahulu. Seorang yang amat adventurous dan pada umur-umur sebegitu, semuanya jadi mencabar tanpa memikirkan risiko!
Iq merupakan bukan orang pertama yang akan saya cari jika terputus bekalan "asap" malah beliau merupakan bantuan terakhir yang akan saya dapatkan kerana jenamanya ialah Benson sedangkan kami semua Marlboro. Tetapi seperti kata pepatah, "tiada rotan, akar pon jadi", BH pon BH lah...........hahahahahahahaha.......
Gambar diatas menunjukkan kami sedang menunggu pasukan ragbi dari Thailand untuk sampai ke sekolah nasi kawah kami. Berdiri dari kiri ialah Judd, Apam, Dino, Kuyat, Chico, Iq, BuG, Uncle dan yang berdiri segak dengan memakai blazer ditengah panas, Demang. Dari dulu sampai sekarang Demang masih pakai blazer!
Setelah tamat peperiksaan, Hampir kesemua mereka telah mendapat sponsorship untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. Sebahagian kecil di universiti tempatan dan seperti yang dijangkakan, saya tak mendapat apa-apa. Hahahahahahaha...............Dan Iya, Iq, seperti yang dijangkakan, melanjutkan pelajaran ke New Zealand. Sepanjang beliau disana, kami terputus hubungan.
Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, teknologi canggih telah memudahkan kami untuk bersatu semula. Seorang demi seorang mula kembali ke tanahair dan bekerja dengan sponsor masing-masing. Berita pertunangan rakan-rakan mula sampai ke telinga saya. Selang setahun dua, kad jemputan ke majlis perkahwinan pula menyusul. Saya tak tahu saya berada dimana tetapi saya tidak menghadiri majlis perkahwinan Iq. Seorang demi seorang mendapat anak. Anak-anak pula kemudiannya mula masuk ke sekolah dan begitulah seterusnya.
Apabila masa mengizinkan, Iq akan datang membantu saya dan ahli Unggas KL yang lain di MJ. Membungkus makanan, mengagihkan makanan serta memberi pakaian pada yang memerlukan. Tahun lalu saya mendapat jemputan untuk menghadiri majlis perkahwinan anak sulung beliau yang dilaksanakan di Ampang. Berhampiran dengan rumah saya. Saya hadir. Kami berpeluk sakan, menggenggam erat tangan masing-masing sambil mengucapkan tahniah.
Kini, saya mendapat berita gembira dari Iq. Beliau bakal menimang cucu tak lama lagi. Saya tumpang seronok. Pada masa yang sama, sambil minum neskapeyy, saya tersenyum sendirian mengenangkan perjalanan hidup kami. Bertemu sewaktu berumur 13 tahun ditahun 1981. Berada didalam kelas yang sama, pasukan pengakap yang sama, minat mengembara yang sama, dilahirkan dinegeri yang sama, menetap dikawasan yang hampir sama kini....dan kini beliau bakal mendapat cucu! Hahahahahahahaha........Iq dimata saya masih merupakan seorang budak 13 tahun yang saya kenal 37 tahun dulu. Berbadan kecil tetapi bercita-cita besar. Wow.........Iq bakal menimang cucu.......tak tercapai akal saya dan inilah yang sering membuatkan saya tersenyum sendirian tatkala menghirup neskapeyy panas.....
#livebalancedlifetothefullest
#43daystogo
Selasa, Disember 11, 2018
Tan Sri Sanusi Junid yang saya kenali bah 18 (akhir)
Assalamualaikum semua. Mohon maaf kerana dah lama saya tak menulis. Yang sebenarnya, secara tiba-tiba saya kehilangan mood untuk menyambung blog ini tetapi entah kenapa sewaktu menunggang kapchai untuk ke tempat kerja, kenangan saya bersama Tan Sri terus-menerus menerjah ke fikiran saya. Tambahan pula tatkala melalui jalan dihadapan IJN.
Saya masih ingat pada suatu pagi tanggal 8hb Mac 2018, Tan Sri mengirimkan pesanan ringkas kepada saya bahawa pada sebelah petangnya bakal diadakan satu mesyuarat bersama dengan rakan-rakan serta ahli persatuannya. Seperti biasa, saya membalas, "Baik, Tan Sri". Sejam sebelum mesyuarat bermula, saya menghidupkan enjin moto saya dan memecut laju menghala ke arah Bangsar. Ada satu gerai kuih yang saya selalu singgah dan beli untuk Tan Sri. Ia terletak di Lucky Garden, sedikit ke tepi diantara Mahbob dan Giant Hypermarket kalau tak salah saya. Saya beli goreng pisang, cucoq kodok, cucoq ubi. Ada lah 3 peket besar.
Tan Sri sampai dan memulakan mesyuaratnya. Saya ada disitu. Sesuatu yang saya amat hormat kepada Tan Sri ialah, walaupun kami banyak perbezaan pendapat didalam beberapa isu, tetapi Tan Sri tak pernah menyuruh saya tunggu diluar ataupun jangan berada didalam tempat mesyuaratnya. Walaubagaimanapun, saya faham. Jika ada sesuatu yang Tan Sri agak kurang selesa dengan adanya saya, dari mimik muka dan pandangan sepintas lalu, saya faham bahawa itulah cara sopan Tan Sri memberi isyarat berhemah untuk saya tidak berada bersama. Pernah sekali saya dibawa untuk menghadiri satu mesyuarat. Oleh kerana disana terdapat beberapa tokoh besar, saya memohon izin daripada Tan Sri untuk hanya menunggu diluar. Selang 10 minit kemudian, pengiring kepada salah seorang tokoh besar itu keluar dan memanggil saya untuk sama-sama berada didalam. Tan Sri menyuruh saya duduk disebelahnya dengan memperkenalkan saya sebagai seorang penulis blog! Saya terkebil-kebil. Tangan saya berpeluh! Dalam hati, saya berdoa agar mereka tidak bertanya jenis apakah cerita-cerita yang saya tulis didalam blog? Yang pasti, kebanyakannya, tak berjenis...satu jam tiga puluh minit yang amat menyiksakan bagi saya! Ditangkap cikgu Azizi dan cikgu Sabarudin kerana tak pergi kelas pon taklah se ngeri ini...
Berbalik kepada mesyuarat Tan Sri tadi, ia berjalan dengan amat rancak. Sesekali diselangi dengan gelak tawa kecil dari semua. Saya turun dan menuju ke arah dapur/pantry. Bancuh kopi untuk diri sendiri dan menjamah sedikit kuih yang berbaki. Tiba-tiba Tan Sri datang dan menegur saya. Katanya, "Shahrir, sedap sunggoh kuih hari ni....ada lagi ka, pi tambah sikit lagi...". Saya hairan lantas berkata, "Tan Sri, kuih ni lah yang saya selalu dok pi beli kat Tan Sri selama 7-8 tahun ni. Baru hari ni Tan Sri habaq sedap kat saya..." Kami bergelak sakan.....Tan Sri naik keatas dan menyambung mesyuaratnya. Saya masih dibawah mengelamun. Seketika kemudian sekali lagi Tan Sri turun dan kali ini kami makan goreng pisang dan cucoq ubi bersama dari satu piring sambil minum kopi....
Keesokannya, diawal pagi, saya mendapat panggilan daripada salah seorang anak-anak Tan Sri yang memberitahu saya bahawa AYAH dah tiada sewaktu sedang menunggu masuknya waktu subuh. Saya segera bersiap dan terus menuju ke rumah Tan Sri.
Al fatihah
Langgan:
Catatan (Atom)
Tewas
Harap maaf betul kerana saya tak termampu nak ipdate cerita-cerita saya disini. Banyak sebenarnya nak dikisahkan. 2. Walaubagaimanapun say...
-
Harap maaf betul kerana saya tak termampu nak ipdate cerita-cerita saya disini. Banyak sebenarnya nak dikisahkan. 2. Walaubagaimanapun say...
-
(langit tak selalu cerah!) (cantik..) (supv aku si Bakar, tengah check sebelum makanan masuk bilik) (intensive training berlangsung) (barang...
-
Dulu aku ada bagitahu yang aku sekarang ni teringin sangat nak membantu adik-adik yang tak pass periksa untuk berada didalam industri yang b...