Sabtu, Mac 15, 2014

Sebatang pokok di tepi kelas...



Aku ke sekolah anak aku pagi tadi untuk menyaksikan perlawanan bolasepak peringkat akhir zon Bangsar. Akibat daripada minum banyak air sejak cuaca berjerebu ni, aku agak kerap pergi ke tandas. It's ok,  aku tahu kenapa lately aku kerap ke tandas....masalahnya jika aku tak tahu sebab! Nah, itu masalah! Aku naik moto untuk ke tandas kerana jarak antara padang dan tandas agak jauh juga. Selepas selesai dan baru start engine moto, aku terpandang sebatang pokok di tepi kelas. Batangnya besar dan tegap manakala daunnya pula rimbun. Aku rasa yang pokok ini mungkin telah agak berusia. Aku terpegun melihat pokok tersebut. Pelbagai kisah menarik kembali menerjah dikotak fikiran. Kisah yang terpalit 39 tahun dulu begitu segar didalam ingatan aku. Melihat pokok sebegini, aku terbayang wajah arwah mama menunggu aku dibawah pokok yang seperti itu pada tahun 1975 sewaktu aku di darjah 1 di Sekolah Rendah Francis Light, Pulau Pinang dulu. Sebatang pokok ditepi kelas...
 
Pokok tersebut berada betul-betul ditepi kelas aku. Akar-akar yang tebal dan gemuk menyelirat diatas rumput. Sewaktu didalam kelas, pokok itulah menjadi tumpuan aku setiap hari, menantikan kelibat arwah mama membawa bekal nasi goreng dan air sirap. Pandangan aku hanya tertumpu disitu sehinggakan cikgu kelas marahkan aku dan menutup cermin. Aku sayu, satu perasaan bimbang tiba-tiba menular. Apa akan jadi kalau mama datang dan aku tak nampak? Apa akan jadi kalau mama datang dan mama tak nampak aku? Apakah mama dah sampai ataupun belum? Apakah mama datang bersama nasi goreng dengan air sirap ataupun tidak? Bagaimana kalau mama tak sampai lagi? Pelbagai persoalan bermain di benak sehingga membuatkan aku hilang tumpuan pada kelas. Mata aku merah dan perlahan-lahan aku keluarkan sapu tangan kecil berwarna merah berbunga ros pemberian mama dari poket kiri seluar biru pendek aku. Aku mengesat air mata yang mula membasahi pipi. Menundukkan kepala ke lantai. Jantung berdegup kencang. Fikiran berkecamuk. Perasaan ingin tahu meronta-ronta meminta penjelasan atau sekurang-kurangnya dibenarkan membuka cermin barang sesaat untuk aku menjeling ke pokok tersebut.
 
Jarum jam bergerak sangat lambat. Peluh membasahi dahi dan belakang baju aku. Duduk menjadi tidak selesa. Tenaga seperti telah dikerah berkawat diawal paginya. Jantung berdegup bertambah kencang. Mata mula berpinar. Dunia terasa kecil. Rakan-rakan sekeliling tidak aku hiraukan. Guru didepan tidak aku endah. Tumpuan aku hanya terarah kepada mama..Masyallah, lambatnya putaran jam. Satu minit aku rasa bagaikan satu jam! Kaki sudah terasa ingin berlari keluar kelas. Mata liar memandang jam ditangan rakan sebelah dan sekali-sekala cuba menerobos tingkap yang tertutup rapat! Aku gundah. Aku gulana!
 
Angin bertiup lembut. Sehelai dua daun-daun kering dari pokok yang sama berterbangan memasuki kelas. Bunyi daun berlaga daun terus membuatkan jiwa aku mula meronta-ronta ingin keluar. Mata aku kembali berkaca...Aku jeling lagi sekali ke lengan kiri teman. Ada 5 minit lagi untuk loceng berbunyi menandakan waktu rehat telah bermula. Tetapi itu masih ada 5 minit berbaki.....aku rasa seperti waktu tidak bergerak langsung. Suara cikgu tidak aku hiraukan. Suara rakan-rakan kelas tidak aku pedulikan. Tumpuan aku hanyalah pada pokok diluar kelas.
 
Ada lagi 2 minit untuk aku menerjah keluar. Aku pejamkan mata. Menyika airmata yang bertambah laju. Berpaling kearah berlawanan dengan harapan agar rakan-rakan tidak melihat. Menundukkan kepala kelantai. Membuka tali kasut. Mengikatnya semula. Membuang batu-batu kecil yang melekat ditapak kasut. Semuanya aku lakukan untuk menyentap waktu agar bergerak lebih laju.
 
2 minit berlalu dan loceng menandakan waktu rehat telahpun dibunyikan. Aku tidak hiraukan guru. Aku tidak hiraukan rakan-rakan. Sepantas kilat aku bangun dan sepantas kilat juga aku berlari menuju pintu untuk keluar daripada kelas. Setelah 10 langkah aku berlari, aku berhenti. Aku nampak kelibat mama duduk bertenggek diatas akar pokok yang menonjol diatas tanah. Baju kurung hijau yang selalu mama pakai. Ditangan kanannya ada nasi goreng manakala tangan kirinya memegang botol air yang berisi air sirap! Aku puas.....
 
Al fatihah!

6 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Salam Pakcik

Al-fatihah buat mama...
Moga arwah ditempatkan bersama org-org beriman.

tq
Awang

Uncle berkata...

Waalaikumsalam Awang.

terimakasih. Di waktu itu saya masih di Langkawi!

Al-Manar berkata...

Pokok yang berumur panjang memanglah satu tanda yang membawa ingatan kita kemasa lampau. Munkin sekarang ini tidak lagi benar dibandar bandar yang tidak ada teempat untuk pokok pokok besar selain pokok bunga/hiasan.

Sepohon pokok menjadi kenangan lama ialah sebatang pokok saga (yang menjadi ilham Proton Saga)yang amat tinggi 70 tahun lepas. Semuanya tinggal kenangan!

Mak Wardah berkata...

Al-Fatehah buat mama, moga bersemadi aman damai bersama mereka kekasih2 Allah

Uncle berkata...

Salam Pakcik Al Manar.

Saya masih ingat sewaktu menetap di Henry Gurney Telok Mas Melaka (arwah ayah kerja disitu) saya akan mengutip biji saga dan kumpulkan dalam sapu tangan dan bawa balik rumah. Bijinya keras dan warnyanya 'menyala'. Saya juga tahu dan membaca cerita yang seorang pakcik telah memenangi hadiah utama menamakan kereta pertama Malaysia...Dan ya, saya dah tak jumpa pokok saga itu!

Uncle berkata...

Salam Mak Wardah.
Terimakasih saya sekeluarga ucapkan. Harapan dan doa kami juga begitu bukan hanya untuk arwah mama tetapi seluruh umat Islam juga!

Tewas

Harap maaf betul kerana saya tak termampu nak ipdate cerita-cerita saya disini. Banyak sebenarnya nak dikisahkan. 2. Walaubagaimanapun say...