Ahad, Februari 22, 2015

4 Musim panas...


Musim panas di Kuala Lumpur

Sejak kebelakangan ni cuaca sangat panas. Kita selalu mengeluh dan aku tidak terkecuali. Hujan aku mengeluh...panas aku mengeluh...tapi bila difikirkan balik, aku bersyukur. On a positive note, pakaian cepat kering dan berendam di kolam yang cuma sebesar sekangkang kera sedikit sebanyak membantu mengurangkan rasa panas selain daripada manfaat beriadah bersama keluarga. Tapi dengan cuaca yang sebegini, aku seringkali rasa tak sedap badan. Paksa diri untuk minum air sekurang-kurangnya 2 liter satu hari! Mak aii...seriously aku tak pernah minum air sebanyak itu sehari tapi kini routine harian aku apabila sampai ke pejabat ialah membeli air mineral 1.5 liter dari kedai mamak kat bawah sebelum naik ke atas. Aku akan pastikan yang aku harus menghabiskan sebotol tu sebelum aku pulang ke rumah dan selebihnya untuk menggenapkan 2 liter, aku minum saja dirumah. Pergh...kalau tidak engine aku memang "over heating".

Musim panas di Mekah

Memanglah KSA sentiasa panas tetapi panas yang paling ekstrem pernah aku rasa ialah pada tahun 2008 sewaktu aku berada di Mekah. Memang waktu itu musim panas. Azan berkumandang menandakan waktu Zohor telahpun masuk. Oleh kerana bulan Julai panas sedang memuncak, aku bercadang memakai kemeja lengan pendek untuk bertugas dan terus ke masjidil haram untuk menunaikan solat berjemaah. Lengan pendek lebih selesa. Turun dari hotel berjalan menuju ke masjid yang jaraknya hanya 20 meter dengan panas terik dan kering membuatkan kulit aku rasa seperti terbakar! Balik semula ke funduk Al Safwah, aku lihat lengan aku berbirat! Wahh...memang panas. Bila aku check temperature, rupanya pada waktu itu cuaca telahpun mencecah 58C! MasyAllah punyalah panas...itulah cuaca panas yang paling ekstrem pernah aku rasa. Macamanalah pulak cuaca ditengah padang pasir gamaknya!

Musim panas di Geneva

Aku bertugas disalah sebuah hotel ditengah-tengah bandaraya yang juga merupakan laluan trem. Aku suka kawasan ini kerana hotelnya terletak betul-betul ditengah shopping area. Jalan kaki sikit aku dah sampai ke H&M, masuk lorong yang jalannya diturap dengan cobble stone, aku dah sampai ke old town of Geneva. Jarak hotel aku cuma beberapa ratus meter dari tasik yang sangat terkenal yang dipanggil Lac Leman. Sewaktu musim panas, bot-bot akan penuh dengan pelancong dari dalam dan luar negara. Aku juga jika tidak bekerja akan melepak di tepi tasik ini sambil minum kopi take away, sandwich sambil membaca sebuah novel dan akan terus berada disitu berjam-jam. Ada pancutan air tinggi menjadi mercu tanda disitu yang dipanggil didalam bahasa Peranchis sebagai Jet d'eau. Yang menyeronokkan pada musim panas ini ialah sewaktu musim panas, matahari akan lambat terbenam. Kadang-kadang hingga pukul 10 malam barulah matahari mula turun. Kami yang tak bekerja sewaktu petangnya akan beramai-ramai bermain bolasepak. Ada dari Greece, ada dari Brazil, ada dari Turki, ada dari Perancis dan aku lah sorang dari Malaysia yang akan bermain bolasepak tak ingat dunia hinggalah matahari terbenam pada pukul 10 malam!

Musim panas di Le Bouveret

Aku pernah bercerita dulu perihal karenah pelajar-pelajar Institut Hotelier Cesar Ritz sewaktu musim panas. Ramai pelajar-pelajar akan menunggu musim ini. Musim panas ialah musim pesta, musim hiburan, musim berparty dan sebagainya. Yang paling mengejutkan aku ialah para pelajar wanita sudah berpakat siap memakai bikini dibawah baju mereka. Bayangkan bila selesai saja kelas pada hari itu, kesemua pelajar wanita sekeliling aku seorang demi seorang akan menanggalkan pakaian didalam kelas, berjalan beramai-ramai melintas jalan seperti anak itik pulang petang dan terus terjun ke dalam tasik didepan sekolah. (adik-adik tolong jangan tiru aksi ini). Lac Leman yang aku cerita tadi merupakan sebuah tasik yang sangat besar merentasi beberapa kawasan termasuklah Geneva sehinggalah ke sekolah aku di daerah Valais di Switzerland. Weekend pada musim panas banyak kami habiskan dengan berbbq diantara blok penginapan kami. Ramai yang akan turun meraikan musim panas bersama-sama termasuklah pensyarah-pensyarah yang sangat sporting. Yang single akan datang dengan teman manakala yang dah berkeluarga akan datang dengan pasangan serta anak-anak mereka. Ada juga pensyarah yang mengusung atuk dan nenek mereka sekali datang bbq dengan kami. Waktu panas disini juga merupakan musim yang aku tunggu-tunggu. Tak larat musim sejuknya yang sangat panjang, musim panas selama 3 bulan pula disajikan dengan Montreaux Jazz Festival yang merupakan acara tahunan muzik jazz musim panas terhebat didunia. Banyak kumpulan-kumpulan jazz terbaik seluruh dunia seperti Johnny Cash, Marcus Miller dll akan berkumpul disini. Perjalanan dari penginapan aku di Le Bouveret untuk ke Montreaux hanyalah mengambil masa 20 minit sahaja berkereta...meriah memang meriah...

Aku tak dapat nak bayangkan jika aku bekerja menurap jalan ataupun sebagai nelayan ditengah-tengah laut. Jika panas yang sebegini pun aku dah tak tahan...bagaimanakah mereka ini yang terpaksa bertugas dibawah terik matahari di bulan Ramadhan? Respect aku pada mereka....Walaubagaimanapun aku bersyukur kerana pada musim panas aku masih lagi dapat duduk bawah kipas ataupun penghawa dingin dan bekerja pula didalam suasana hotel yang tenang dan bukannya ditengah jalan! Sangat bersyukur...alhamdulillah!





cari ilham untuk entry..

Ahad, Februari 15, 2015

Masa depan


Aku pernah melalui apa yang sedang anak-anak aku lalui sekarang ini. Tahun ini merupakan tahun peperiksaan besar untuk Abang. Cepat sungguh masa berlalu. Abang lahir, aku ingat lagi yang kami kelam-kabut mencari taman asuhan kanak-kanak untuk kami tinggalkan sebentar apabila bekerja. Jauh kami mencari rupanya sewaktu kami makan char kway teow ditepi jalan berhampiran rumah, kami ternampak Taman Asuhan tu cuma didepan gerai char kway teow! Lepas makan, kami bergegas ke rumah tersebut dan bertemu Cikgu Aishah. Baik orangnya. Nah, disitulah Abang, Yuya dan Marina menetap sewaktu kami bekerja. Abang masuk sekolah darjah satu. Kemudian Yuya pulak menyusul. Aku rasa masih baru. Abang kemudiannya masuk darjah 6 dan Yuya pula darjah 3. Marina pulak menyusul. 

Abang mengambil PMR dan Yuya UPSR. Alhamdulillah kedua-dua keputusan peperiksaan memuaskan hati aku. Kini Marina di darjah 3, Yuya di tingkatan 2 dan Abang di tingkatan 5. Tiba-tiba pagi ini terasa seperti tersentap perasaan aku. MasyAllah...Abang dah tingkatan 5? Hujung tahun akan menduduki peperiksaan dan seterusnya meneruskan pelajaran kemana-mana pusat pengajian tinggi jika keputusan memuaskan!

Tekanan pasti ada pada diri Abang, Yuya dan Marina. Tekanan sebagai pelajar disekolah yang rata-rata mempunyai jumlah para pelajar yang sangat baik dengan keputusan yang membanggakan setiap tahun. Tekanan sebagai pelajar senior diasrama yang sentiasa dipandang oleh adik-adik junior sebagai mentor jika berkelakuan baik dan akan dibenci sekiranya berkelakuan sebaliknya. Tekanan dengan jawatan-jawatan sukan dan persatuan disekolah mulai terasa. Masa berlalu begitu cepat sekali dan kini telahpun masuk ke bulan Februari. Bulan Mac akan ada peperiksaan pertama. Anggaplah semua yang bakal ditempuhi sebagai salah satu daripada hurdles yang terpaksa dilalui. Tidak ada jalan mudah. Tidak ada jalan pintas dan tidak ada red carpet yang akan menyusul untuk memudahkan segala perjalanan hidup. Semuanya harus bermula daripada ketekunan, disiplin dan latihan tubi tanpa mengenal jemu. Tanamkan minat untuk memajukan diri. Harus mampu berdaya saing. Lihat sekeliling, jika ada yang lebih bijak dari kita, "pause and think" dan kaji sebentar bagaimana mereka boleh sedemikian. Apa yang ada pada mereka sama seperti apa yang ada pada kita. Kelebihan mereka hanyalah mereka tahu mempergunakan peluang yang ada. Bijak menggunakan peluang selepas kelas untuk bertemu guru untuk mendapatkan penjelasan lanjut. Bijak mencari rakan-rakan untuk sama-sama mengulangkaji pelajaran. Disiplin juga sangat penting untuk bersaing. Jika kita tidak berdisiplin, in a way, kita akan ketinggalan. Aspek-aspek itu semua juga penting apabila kita melalui alam dewasa dan bekerja. Selain daripada itu, harus ada minat dengan apa yang kita laksanakan. Minat memainkan peranan penting didalam menentukan apakah sesuatu pekerjaan itu dilakukan dengan "terpaksa" ataupun dengan "senang hati".

Aku berharap dan sentiasa berdoa agar anak-anak aku tahu akan kepentingan pelajaran. Biarlah aku bersusah-payah untuk mereka. Biarlah aku tidak mempunyai rumah besar, kereta besar dan duit berkepok didalam bank asalkan aku tidak lalai dalam memberikan pelajaran terbaik untuk anak-anak sehingga mereka berjaya. Aku sering berdoa agar rezeki aku sentiasa ada. Bukan untuk aku tetapi untuk ketiga anak-anak aku menyambung pelajaran. 

Selepas aku bersekolah, aku terus memulakan alam pekerjaan. Pada mulanya hanyalah untuk memenuhi waktu yang terluang. Akhirnya timbul minat untuk mendalami bidang yang mula aku terokai. Sehingga ke tingkatan 6 aku masih lagi "struggle". Struggle bukan kerana arwah bapak dan mama tidak mampu untuk menyekolahkan aku tetapi struggle kerana aku gagal menunjukkan kepada mereka yang aku mampu memperolehi keputusan peperiksaan yang baik. Masa aku banyak dihabiskan dengan bermain "bola lonjong" sehingga sewaktu didalam minggu peperiksaan STPM aku masih mengayuh basikal (setelah habis peperiksaan pada hari itu) dari Brown Garden ke Penang Free School semata-mata untuk menjalani latihan untuk mewakili pasukan PP. Sekali lagi keputusan peperiksaan tidak menyebelahi aku. Aku sedih kerana setelah arwah bapak dan mama bertungkus-lumus serta berjaga ditengah-tengah malam mengejutkan dan membancuh kopi buat menemani aku mengulangkaji pelajaran, aku masih gagal. Bertitik-tolak dari situ aku nekad untuk membuat satu perubahan. Aku mula bekerja untuk mengumpulkan wang. Tidak lagi mahu menyusahkan ibubapa. Pemergian aku ke ITM dibiayai sepenuhnya oleh aku sendiri yang bekerja siang dan malam di kedai aiskrim. Itu termasuklah tambang bas aku dari puduraya ke Dungun. Aku tekad yang aku tak akan meminta satu sen pun daripada kedua ibubapa. Aku berumur 20 tahun waktu itu. Selesai belajar, aku kembali bekerja dan mula menyimpan untuk rancangan aku yang ke dua. 

Pause and think

Mengambil kelas malam sewaktu sedang bekerja sepenuh masa bukanlah sesuatu yang mudah. Memerlukan fokus yang tinggi. Sewaktu bekerja, ramai yang lebih baik dari aku. Aku "pause and think" sebentar dan mencari kelemahan diri. Kenapa mereka boleh dan aku tidak? Dari situ aku berusaha keras. Anak-anak Papa, you see, apa yang Papa nyatakan diatas, telahpun Papa sendiri praktikkan. 

Menggunakan peluang yang ada

Aku menggunakan peluang yang ada. Aku membuat kerja lebih daripada orang lain seperti over time dan sebagainya. Disitu juga aku sering bertanya kepada yang lebih berjaya bagaimana mereka mencapai tahap sedemikian. Bertanya kepada pengurus aku bagaimana mereka boleh mencapai ke tahap pengurus? Aku diberikan tips satu persatu. Yang baik aku ikut manakala yang tidak baik aku ingat supaya apabila aku berada ditahap mereka, aku tidak mengulangi kesalahan yang sama. Apa sahaja training yang diadakan dihotel akan aku hadiri. Tak perlu bayar untuk menghadiri training dan tak perlu bayar tambang yang mahal kerana semua training dijalankan di premis. 

Bijak mencari rakan-rakan

Sewaktu aku belajar diluar negara ada yang rajin belajar dan ada juga yang rajin merayap. Pilihan ditangan aku. Apakah tujuan dan matlamat aku menyambung pelajaran? Nah, disini aku harus bijak mencari rakan-rakan. Ada yang mengulangkaji pelajaran selepas waktu makan malam. Ramai juga yang mengajak untuk ke bar selepas waktu makan malam.

Alhamdulillah aku dikelilingi oleh ramai rakan-rakan sekerja. Rakan yang rajin bekerja dan juga rakan yang kurang rajin bekerja. Semua rakan aku. Pada satu tahap, bila balik ke rumah dan sebelum tidur, aku akan berfikir, apakah pilihan aku esok? Aku seronok bekerja dengan yang rajin. Setiap pergerakan mereka aku perhatikan. Bagaimana mereka melayan tetamu, membuat order ke dapur, membuat paperwork, membuat order dan pick up daripada store dan lain-lain lagi. Menarik. Aku belajar lagi. Sewaktu habis kerja, kami akan berkumpul di kedai kopi berdekatan hotel dan akan bercerita. Rakan-rakan yang rajin akan bercerita mengenai kerja seperti occupancy hotel pada hari ini supaya kami tahu berapa yang akan turun breakfast keesokan harinya dan akan saling berpesan agar datang awal dan tidak mc supaya kerja esok berjalan  lancar. Manakala rakan-rakan yang kurang rajin akan bercerita kemana mereka akan pergi malam nanti. Aku dapat mengagak yang rakan-rakan ini akan "lambat" untuk masuk syif pagi....So, sekarang, apakah kita "bijak mencari rakan-rakan?"

Berdisiplin

Bermula dirumah. Disiplin bangun pada waktunya. Disiplin mengemas bilik sebelum keluar. Disiplin membuat kerja-kerja yang diberikan. Berdisiplin serta mematuhi undang-undang seperti jangan membuang sampah merata-rata. Ini perkara kecil. Tetapi daripada perkara kecil inilah akan lahirnya satu bangsa besar yang kuat serta berdisiplin. Sewaktu aku di Switzerland dulu, aku lebih gemar menggunakan public transport daripada memandu. Timingnya betul seperti yang tertera. Sewaktu aku melepak di Lac Leman di Geneva sambil melihat Jet d'eau dan berangan, aku lihat ramai yang membawa anak-anak anjing bersiar-siar. Ditangan mereka ada plastik yang akan digunakan untuk mengutip najis anak-anak anjing itu nanti. Itu juga disiplin! Sewaktu aku kuliah disana, setiap pelajar masuk kekelas tepat pada waktunya. 15 minit lebih awal daripada waktu yang ditetapkan. Itu juga disiplin. Assignments yang diberikan akan dihantar tepat pada waktu yang ditetapkan. Itu juga disiplin!

Minat

Kesemua perkara diatas tidak akan "menjadi" jika kita tiada minat. Apabila kita minat dengan apa yang kita nak dan akan lakukan, perkara susah akan menjadi senang. 

Keimpulannya.

Aku berharap agar anak-anak aku dapat berfikir panjang didalam menentukan halatuju mereka. Aku tak mampu nak menetapkan apa yang perlu dan tak perlu dilakukan. Mereka harus berfikir sendiri. Apa yang mampu aku lakukan hanyalah bertungkus-lumus mencari rezeki untuk mereka terus belajar. Lain daripada itu, terus-terang aku katakan, aku tak mampu. Sekali lagi harapan dan doa aku agar anak-anak aku, Abang, Yuya dan Marina akan dapat mencapai cita-cita mereka. Ingat..."usaha tangga kejayaan!" Have a nice Sunday people!


menunggu anak selesai tuition!



Ahad, Februari 08, 2015

Apa dah jadi nih?

Mungkin sebab aku selalu pergi dan balik menunggang moto dan ditambah pulak dengan cuaca yang sangat panas sekarang, aku rasa seperti hilang tenaga. Tengahari saja aku dah jadi lesu. Berbotol-botol air aku minum tetapi cuma sedikit sangat rasa perubahannya. Nak kata aku demam sampai menggigil, tak pulak. Temperature masih lagi diparas 37C which is still normal. Tapi panas ni memang membuatkan aku lesu. Nak minum 100+ aku takut terlebih gula dibadan...hmmm, satu perasaan yang sungguh-sungguh tak selesa! Rasanya aku terpaksa jugak ke klinik petang nanti untuk memastikan yang semuanya ok. Pagi ni aku tak ke pasar. Berat sungguh...tapi aku gagahkan jugak ke tempat kerja kerana kesemua bilik akan mendaftar keluar pada tengahari dan petangnya pula ada beberapa bilik yang akan masuk. Pembersihan bilik harus dipantau.
 
Lepas kerja aku harus bergegas ke asrama anak-anak pulak sebab nak tinggalkan duit belanja untuk minggu depan. Tadi aku dah text anak-anak bagitahu sebelum pukul 6 petang aku akan ke sekolah. Tak sampai beberapa minit aku dapat reply dari Abang dan Yuya. Ada pesan maxis top-up...ada pesan makanan...ada pesan minuman...pergh...macam nilah setiap minggu. Abang dan Yuya tak balik minggu ni kerana ada aktiviti diasrama kelolaan bekas pelajar VI dan ITM Shah Alam. Kolaborasi ini aku rasa sangat berfaedah kerana mereka menceritakan perihal kehidupan di asrama kepada pelajar-pelajar sekarang, bagaimana nak bersedia untuk menghadapi peperiksaan besar hujung tahun nanti, bagaimana nak menghabiskan masa terluang selepas peperiksaan dengan aktiviti-aktiviti yang positif serta bagaimana mahu membuat permohonan untuk menyambungkan pelajaran. Inisiatif ini semua adalah datangnya daripada bekas-bekas pelajar yang sedang berada di Universiti-universiti tempatan dan juga yang telah berjaya didalam karier mereka. Aku sangat berterima kasih kepada kesemua mereka.
 
Alhamdulillah tetamu semuanya telahpun checked out. Aku sempat berbual dengan 'organiser' sebentar tadi dan beliau menyatakan rasa puashatinya menginap disini. Aku kata, jika tetamu aku pulang dengan perasaan suka aku juga turut suka. Jika tetamu aku pulang dengan muka masam, aku pasti ada sesuatu yang tidak kena dan inilah yang aku perlu tahu dan perbaiki. Setakat ini alhamdulillah kerana semuanya berjalan lancar. In fact petang ini tetamu yang akan menginap nanti adalah merupakan tetamu yang baru menginap disini minggu lalu. Datang dari Singapura. Manakala satu lagi ialah tetamu dari Indonesia yang menalipon aku minggu lalu untuk menginap disini hari ini kerana ada appointment mustahak disekitar Bangsar, esok pagi.
 
Ini kerja aku yang dah aku lakukan selama 28 tahun. Bermula dari aku bekerja sebagai 'cleaner' di Shangri-La Hotel sehinggalah aku 'khatam' semua posisi di hotel pada umur aku 42 dan merupakan salah seorang yang paling muda di sebuah pulau beberapa tahun lalu. Sewaktu aku memulakan karier aku dulu, aku pernah katakan pada diri sendiri bahawa setelah aku mendapat posisi yang tertinggi, aku akan resign dalam tempoh setahun. Benar. Itulah yang aku lakukan. Tapi apa yang aku nak buat selepas itu? Umur masih 40-an. Tenaga masih ada. Alhamdulillah aku kini melakukan perkara yang dekat dihati aku. Melaksanakan amanah dan tanggungjawab sepertimana yang pernah aku lakukan dulu. Jika aku ditugaskan untuk melakukan sesuatu yang tidak berkaitan dengan hotel ataupun restaurant, aku rasa aku boleh pengsan! Insyallah aku boleh buat untuk tempoh 15-20 tahun lagi....provided, kesihatan aku baik. Oleh kerana aku nak bekerja hingga aku berumur 60-65, makanya kesihatan harus aku titik beratkan dari sekarang. Makanan dan minuman harus aku jaga walaupun hujung minggu aku selalu terbabas. Hahahahahaha.....
 
Aku percaya, setiap tugas haruslah dilakukan dengan tekun dan amanah. Begitu juga dengan belajar. Aku sering berpesan kepada anak-anak agar sentiasa mematuhi arahan. Apatah lagi abang dan Yuya kini tinggal diasrama. Warden-warden garang sekarang ini akan menjadikan kita lebih berdisiplin dan suatu hari nanti kita akan berterimakasih kepada mereka. Marah mereka pada kita adalah kerana mereka sayangkan masa depan kita. Abang dan Yuya masih tak faham. Aku sering relatekan cerita aku dengan Ustad Dollah sewaktu disekolah dulu. Apa saja yang aku lakukan mesti salah dimata Ustad Dollah. Rambut panjang salah....pakai seluar senteng salah...pakai stokin putih salah...lambat sembahyang maghrib berjemaah salah...tak pergi prep petang dan prep malam salah...pakai jeans dihujung minggu pun salah...hissh...pokoknya, aku memang 'bencikan' Ustad Dollah. Nama Ustad Dollah penuh didinding-dinding asrama dan belakang kelas. Kalau tak ditulis dengan huruf besar, cukuplah dengan huruf kecil. Menunjukkan hati dan perasaan anak remaja yang tak puas hati dengan Ustad Dollah. Selang beberapa tahun lepas, aku menghadiri jamuan makan malam bekas pelajar-pelajar yang diadakan di Putrajaya. Aku tak sangka yang aku akan bertemu dengan Ustad Dollah. Terlihat kelibat Ustad Dollah menghampiri meja aku, aku bingkas bangun, memperkenalkan diri, mencapai tangan Ustad Dollah lantas memohon maaf diatas segala kesalahan aku kepada beliau selama beberapa tahun beliau mengajar disana dan bertugas sebagai warden. Perbualan akhir kami sangat ringkas....
 
Ustad Dollah : "Kamu dimana sekarang Uncle?'
Aku : "Saya sekarang bertugas di Mekah, Ustad..."
Ustad Dollah : "MasyAllah......saya bangga dengan kamu Uncle, rupa-rupanya jadi orang jugak kamu ni..."
 
Kami bergelak sakan......beberapa tahun selepas itu Ustad Dollah telah dinaikkan pangkat sebagai Pengetua sebuah sekolah berasrama penuh agama di Kelang dan kini mungkin telahpun pencen.....
 

Reunion

Awal 20an Tak putus-putus 'reunion' datang dan pergi. Seperti yang selalu berlaku, sewaktu aku lepas sekolah/universiti dulu, top...