Khamis, Februari 28, 2008

Menjelajah Jepun siri 3 / Le Tour Du Japon

Di Malaysia

Boleh dikatakan kami telah di "brain wash" dengan bahasa dan kehidupan Jepun selama di Wisma Belia. Selain daripada bahasa, kami juga dimestikan mengikuti kelas kebudayaan untuk mempelajari segala jenis rencah kehidupan dan adat resam orang-orang Jepun. Dari tarian tradisional sehinggalah kepada "Noh" dan "Kabuki". Lama-kelamaan aku mula merasakan yang ini adalah satu budaya yang unik dan aku mula meminatinya. Masa yang terluang akan aku gunakan untuk mempelajari kebudayaan, cara hidup dan juga etika kerja orang-orang Jepun. Manakala lagu pula, aku akan merujuk kamus untuk mencari maksud dan perkataan didalam senikata lagu-lagu Jepun. Satu persatu aku terjemahkan. Penyanyi yang masyhur pada waktu itu ialah Itsuwa Mayumi ataupun disini dipanggil Mayumi Itsuwa. Kesemua lagunya aku hafal dari "Ribaibaru" @ Revival sehinggalah ke lagu-lagu yang lain. Didalam fikiran aku pada waktu itu hanyalah Jepun. Aku menjadi begitu obses sekali.
Ada satu sesi yang mengajar kami mengenai alat muzik tradisional Jepun. Ini satu sesi yang sungguh membosankan kerana kami diajar mengenai sejarah bagaimana terciptanya "Shakuhachi" iaitu merupakan sebatang buluh panjang yang apabila ditiup, bunyinya sangat merdu seolah-olah seruling bunyinya. Sesi pada petang itu mengambil masa selama 2 jam dan hampir keseluruhannya aku tertidur. Tidak penting kataku. Aku juga pasti jika ada bengkel ataupun kolokium yang menerangkan berkenaan dengan sejarah, tamadun dan segala hasil kebudayaan, sudah pasti dewan akan kosong kerana tiada sambutan. Kita malu untuk menunjukkan muka kerana takut dilihat oleh orang yang kita kenali yang akan beranggapan yang kita agak kolot dan tidak mengikut arus pembangunan (aku juga kadang-kadang tidak terkecuali)

Di Jepun

Kebanyakkan keluarga mempunyai buku "salasilah keluarga" sendiri (mengikut turutan nama keluarga @ surname)yang didatangkan turun-temurun dari satu generasi ke generasi yang baru. Kadangkala sehingga beratus-ratus tahun panjangnya dan ini merupakan sebuah buku yang sangat penting bagi sesebuah institusi kekeluargaan Jepun kerana ia menceritakan susur-galur keturunan seseorang itu. Membina jati diri. Mereka dapat mempelajari siapakah moyang mereka 5 - 6 generasi sebelum mereka. Cuba anda bayangkan, anak-anak kecil akan diberitahu salasilah keluarga mereka dan sejarah sebelumnya. Mereka akan menjadi bangga dan tradisi ini sentiasa berterusan dari satu generasi ke generasi yang lain. Aku rasa kalau di Malaysia, mungkin kita cuma tahu 2 generasi diatas kita dan selebihnya kita belum pasti. Kadang-kadang aku terfikir entah-entah Wakana datang dari keturunan Ninja ataupun Tokugawa Ieyasu. Siapa tahu?
Walaubagaimanapun semasa di Jepun aku sempat bertemu dengan John Kaizan Neptune di Toko Hotel, Gotanda (tempat penginapan aku selama di Tokyo), iaitu salah seorang pemain shakuhachi terbaik didunia. Berbual dengannya memberikan aku satu inspirasi dan perubahan paradigma yang ketara. Banyak yang kami bincangkan. John adalah seorang yang sangat simple dan amat passionate dengan shakuhachi hingga sanggup berhijrah ke Tokyo semata-mata untuk mempelajari instrument itu dan hingga kini telah menetap di Jepun selama berpuluh-puluh tahun dan anda boleh GOOGLE dan lihat pencapaiannya. Itulah John Kaizan Neptune! Album lagunya banyak dijual di Malaysia dan diseluruh dunia suatu ketika dulu dan bersaing rapat dengan Kitaro. John juga pernah berkolaborasi dengan Lewis Pragasam dan Michael Veerapan (the famous "Asiabeat Percussion" group from Malaysia) didalam sebuah album!
Disana juga aku berpeluang menonton Kabuki ditengah-tengah bandaraya Tokyo iaitu di Ginza (very famous shopping district) bersama-sama Wakana dan Eriko ataupun Yukari kalau tak silap aku. Sambutannya sangat menggalakkan. Bukan sahaja makcik, pakcik yang datang malah anak-anak muda juga beratur panjang di kaunter tiket. Mereka amat bangga dengan kebudayaan mereka. Mereka tahu sejarah dan asal-usul mereka dan mereka amat berbangga!
Kepada kesemua anak-anakku Azumi, Yuya dan Marina, kamu semua harus berbangga dengan kebudayaan kamu yang kini ternyata mempunyai kelebihan lebih daripada orang lain iaitu budaya 2 negara, Malaysia dan Jepun. Pelajari dan peliharalah dengan sebaik mungkin kerana ia melambangkan jati diri kita sebenarnya…..

Rabu, Februari 27, 2008

Baby Marina



Wah Marina dah besar sekarang ya.....tengok muka kamu yang comot tu? Kenapa comot sangat? Kamu makan apa? Papa tiap-tiap hari teringatkan kamu semua. Tiap-tiap hari Papa tengok gambar kamu! Nanti bila Marina dah besar, jangan lupa talipon Papa sama-sama dengan Abang dan Yuya ok? Take care, I love you all....

Menjelajah Jepun siri 2 / Le Tour Du Japon

Di Malaysia

Cikgu aku bernama Owaki Sensei. Baik, peramah dan juga comel! Mengajar kami dengan tidak pernah jemu sehingga kadang-kadang sampai dia menangis kerana kerenah kami. Kami disogokkan dengan lagu-lagu Jepun dan ternyata ia adalah ubat yang paling mujarab untuk lebih cepat memahami bahasa. Setiap minggu juga kami akan dipaksa menonton cerita Jepun lama yang berjudul "Tora San". Ia berkenaan dengan seorang lelaki yang lurus bendul! Untuk kebanyakkan orang ia adalah satu siri (ada banyak siri Tora San) yang membosankan dengan watak Tora San yang bodoh-bodoh alang. Baru-baru ini aku membaca blog tulisan Yasmin Ahmad (pengarah filem yang berani dan tersohor), beliau menyanjung tinggi filem-filem Tora San yang mempunyai nilai-nilai estetika yang sangat tinggi dan disaran untuk menontonnya! Kalau anda ingin menontonnya, sila cari di GOOGLE, JCC ataupun Japanese Cultural Centre of Kuala Lumpur kerana mereka ada menayangkan filem-filem Jepun setiap Sabtu di MATIC, Jalan Ampang.

Selepas menonton kami disuruh bertanyakan soalan mengenai filem tersebut dan kesemuanya dilakukan didalam bahasa Jepun begitu juga dengan kelas seharian kami. Kami dilarang sama sekali untuk berbahasa lain selain daripada bahasa Jepun. Jawap sahaja didalam bahasa Jepun walaupun salah. Jangan malu. Bunyi sebutannya mungkin menggelikan hati para pelajar lain tetapi sensei-sensei yang ada tetap menganggapnya sebagai suatu sesi pembelajaran yang penting. Kalau salah, kami akan dilatih tubi sehingga sebutannya menjadi betul. Mereka tidak pernah jemu mengajar kami.

Di Jepun

Boleh dikatakan kesemua rakyat Jepun tahu berbahasa Inggeris tetapi jarang mereka menggunakannya. Ini membuatkan mereka berasa janggal untuk berbahasa Inggeris. Kesemua signagenya adalah didalam bahasa Jepun. Apabila anda berada di stesen keretapi, anda akan menjadi takut kerana segala-galanya didalam bahasa Jepun! Bagaimana hendak membeli tiket? Bagaimana hendak bertanyakan arah? Bagaimana hendak memesan makanan dan membayar? Maka, itulah gunanya sesi menonton wayang siri Tora San tadi dan begitu juga dengan sesi soal-jawab selepas menonton. Ia membina semangat untuk kita berani untuk bertanya walaupun kita tahu yang ia mungkin salah atau nahunya berterabur. Selalunya mereka (masyarakat Jepun) akan membetulkan cara sebutannya sama seperti sensei-sensei yang membantu kami semasa di KL dahulu. Itulah juga pentingnya yang bahasa Jepun harus digunakan 100% sewaktu belajar. Tidak boleh menggunakan bahasa Inggeris ataupun Bahasa Malaysia untuk bertanyakan soalan walaupun akhirnya aku tahu yang Owaki Sensei mampu menggunakan kedua-dua bahasa itu dengan fasih sekali! Argh…………………..

Selasa, Februari 26, 2008

Menjelajah Jepun siri 1/ Le Tour Du Japon

Di Malaysia

Disiplin adalah satu perkara yang sangat penting didalam hidup kita. Sewaktu aku di temu bual oleh JPA untuk mendapatkan peluang untuk ke Jepun dulu (interview dijalankan di INTAN) ini adalah perkara pokok yang dibangkitkan. Bertubi-tubi aku ditanya mengenai perkara ini. Aku tidak berapa faham maksudnya tetapi aku sentiasa memberikan jawapan yang positif. Aku melalui 2 proses temuduga lisan dan 1 temuduga bertulis. Jumlah calon yang melalui proses yang sama, beratus-ratus mungkin beribu kerana ia terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa. Setelah 2 bulan menanti, aku mendapat surat dari JPA untuk melaporkan diri bagi menjalani kursus intensif bahasa Jepun selama 6 bulan berpusat di Wisma Belia (berhadapan bangunan MCOBA) dan peperiksaan akan diadakan setiap hari Jumaat. Kami dimestikan tinggal disana dan pulang cuma selepas kelas pada hari Jumaat dan kembali semula pada hari Ahad ataupun Isnin pagi sebelum kelas.
Kelas Bahasa Jepun bermula dari jam 8 pagi dan berakhir pada jam 4 petang setiap hari dan cuma berhenti rehat untuk makan tengahari. Kami tak dibenarkan memakai kemeja T dan berseluar jeans. Semuanya mesti kemas dan teratur. Markah akan diberikan penuh 100% dan jika ada kesalahan dilakukan,markah tadi akan dikurangkan dan sehingga ke satu tahap kami akan dibuang. Itu belum dikira peperiksaan lisan dan oral bahasa Jepun setiap minggu yang diwajibkan lulus. Angan-angan untuk pulang kerumah disetiap hujung minggu terkandas kini. Setiap hari selepas kelas aku akan mengulangkaji pelajaran sehinggalah ketengah malam samada berbual didalam bahasa Jepun dengan rakan sebilik (Hafiz dan Dahari), membaca buku ataupun mendengar "raji kase" (radio cassette). Aku bersungguh-sungguh kerana menyedari dari beribu-ribu calon hanya kami yang seramai 200 orang terpilih dan dari situ kami akan disaring lagi kepada setengah ataupun kurang dari itu. Jadi persaingan sangat sengit.
Setiap hari kami akan dikejutkan pada pukul 6.00 pagi untuk menjalani latihan "taiso" ataupun senaman gaya Jepun.Tidak boleh lambat walaupun seminit. Aku masih hairan kenapa pukul 6 setiap hari. Kami juga dimestikan untuk berlari-lari anak sentiasa. Bertambah keliru aku jadinya…pentingkah semua ini fikirku. Disitu juga markah akan dipotong jika lewat ataupun tidak hadir. Setelah disogok dengan rutin yang sama setiap pagi selama berbulan-bulan, aku mula terbiasa. Aku tidak memerlukan jam loceng untuk bangun kerana secara automatic aku akan terjaga setengah jam sebelum itu. Apabila bangun pagi aku akan cuba melakukan senaman regangan sehinggalah kini (jika berkesempatan!) kerana jika tidak, hari aku menjadi tidak sempurna

Di Jepun

Menepati waktu seperti melakukan taiso dan berlari-lari anak setiap pagi pada pukul 6 dan tidak boleh lewat lebih dari waktu itu? Merepek? Adakah ia praktikal di Jepun? Jawapannya ialah "sangat praktikal". Sebagai contoh, jadual keretapi ialah pada pukul 7.05 pagi. Seminit sebelum bertolak, siren akan dibunyikan (lagu). Apabila terdengar sahaja lagu tersebut, semua orang yang berada di stesen akan berlari-lari anak mengejar keretapi sebelum terlewat. Kenapa perlu mengejar sedangkan ada keretapi lain hanya selang beberapa minit? Ini sangat penting bagi orang Jepun kerana bas yang menunggu disana hanyalah selang 2 minit jaraknya dengan ketibaan keretapi tadi ke destinasi begitu juga dengan keretapi sambungan yang lain. Waktu bagi mereka telahpun diatur dengan rapi. Jaringan ataupun rangkaian public transport bergerak mengikut waktu seperti pusingan jam buatan Swiss! Jika terlepas keretapi pada pukul 7.05 pagi tadi, anda akan terlepas bas pada pukul 7.55 pagi dan kemudian akan terlepas untuk mengambil satu bas sambungan lagi pada pukul 8.30 pagi dan seterusnya akan terlepas untuk sampai ke tempat yang perlu anda pergi pada pukul 9.00 pagi dan anda terlepas untuk memenuhi temu janji yang sepatutnya diadakan pada pukul 9.00 pagi dan anda akan terlepas peluang untuk mendapat perniagaan yang jumlahnya mungkin mencecah jutaan ringgit! Nah sekarang, dapatkah anda lihat betapa pentingnya taiso dan berlari-lari anak pada pagi tadi di Wisma Belia setiap pagi pada pukul 6.00?

Bola lagi?




Wakana dah pening kepala...tiap-tiap minggu anak-anak aku sibuk dengan bolasepak. Tak menang tangan dia. Selepas menghantar kedua-duanya main bolasepak, Marina akan mula meragam,nak susulah, nak tidurlah dsbnya. Minggu lepas ada football carnival pulak. Melilau Wakana mencari padang untuk menghantar mereka.

Minggu lepas aku ada menghantar satu e-mail ke FAM menanyakan samada mereka ada hubungan dengan mana-mana kelab dari Jepun. Sehingga kini aku masih menunggu jawapan. Mungkin mereka sibuk dengan election yang akan datang tak lama lagi. Walaubagaimanapun, aku memang serious ingin melihat Azumi dan Yuya berjaya didalam permainan bolasepak ataupun ragbi, selain daripada pelajaran..Yuya jadi goalkeeper Hah3...kelakarlah Yuya ni!

Kepada Wakana, thanks for being a very doting mother! I love you.....

Isnin, Februari 25, 2008

Care for a cup of tea?


Ada seorang pekerja di sini, namanya Nazrul Islam. Seorang yang berbudi pekerti, lemah lembut dan sentiasa ingin membantu, juga mengajar aku bahasa Arab sedikit sebanyak, "Syuwai-syuwai" katanya. Bermaksud sedikit-sedikit. Berasal dari Bangladesh, sudah berkahwin dan mempunyai 2 orang anak, katanya....aku attachkan gambar dia dan teh yang dibuatnya

Setiap kali aku datang kerja, dia akan bertanya samada aku nak minum teh atau tidak. Aku kata tak payah susah-susah nanti aku buat sendiri. Hari tu saja 10 kali dia bertanyakan aku! Keesokan harinya Nazrul bertanya lagi, oleh kerana kesiankan dia yang nampak bersungguh sungguh, aku katakan OK. Nazrul berlalu pergi, sekelip mata dia kembali dengan secawan teh "O". Aku ucapkan terimakasih pada Nazrul. Dia senyum dan pergi.

Aku minum. MasyAllah......manisnya....aku panggil Nazrul dan bertanya berapa sudu gula dia guna? Dengan tersenyum bangga dia menjawap 4!!!!!!!!!

Ahad, Februari 24, 2008

Hilion Part 2




Sudah lebih kurang seminggu aku tidak menulis diblog ini. Aku mempunyai banyak masa tapi entah kenapa malas sungguh untuk memulakannya. Walaubagaimanapun seperti yang aku janji semasa di Jeddah minggu lalu yang aku akan uploadkan gambar2 di apartment Hilion, masa ini lah resultnya. Lihatlah sendiri...bilik tidurnya aku rasa kalau diletakkan "single mattress" mampu memuatkan seramai 20 orang....

Sabtu, Februari 16, 2008

The Hillion not The Hilton

Hari Khamis yang lepas, aku dibawa ke sebuah apartment yang sangat berhampiran dengan office di Jeddah.Cuma 10 minit berjalan kaki. Namanya "Hillion". bersebelahan dengan Sunset Hotel dan cuma sepelaung jaraknya dari masjid. (Oh memang disini banyak masjid!)Apartment itu mempunyai satu master bedroom, satu living room, satu dapur yang luas dan satu tandas. Cukup untuk aku seorang. Oh mungkin juga cukup untuk 4-5 orang kerana living roomnya mempunyai 2 sofa bed yang agak selesa. Melihatkan kepada perabut kayunya mengingatkan aku kepada rumah-rumah Kerajaan yang pernah aku duduki sewaktu Bapak bertugas di Jabatan Penjara dahulu. Katilnya, almari bajunya, meja tulisnya dan begitu juga meja make-upnya. Saiz biliknya juga sangat besar. Tandasnya pula mengingatkan aku kepada tahun 70 an dahulu. Semuanya besar.

Aku sempat mengikuti bapak bertugas di Pulau Jerejak, Sek Henry Gurney Telok Mas Melaka kemudian bertukar ke Penjara Alor Setar sebelum Bapak menghabiskan tugasnya disana, tempat dimana dia memulakan kariernya dahulu (aku diberitahu). Itu yang sekadar sempat aku ikuti. Sebenarnya sebelum itu juga Bapak pernah bertugas di Pengkalan Chepa, Taiping (kalau tak silap aku) dan juga Pulau Bidong iaitu kem pelarian Vietnam yang terkenal dengan kapal Hai Hong nya pada tahun 70-an..rasanya mungkin sebab itulah aku pun terikut Bapak untuk merantau..

Katil yang diperbuat daripada kayu tadi bersaiz "King" yang juga muat untuk aku sekeluarga! Setiap kali aku berpusing, katil akan "berkeriut" bunyinya, bunyi kayu yang sudah berpuluh tahun tidak aku dengari tambah mengasyikkan lagi lena aku...teringat sewaktu kecil dahulu. Semasa aku tinggal di Henry Gurney Melaka (quarters!), rumah aku mengadap laut dan dari jendela aku dapat melihat Pulau Besar dan diantaranya ada sebuah pulau kecil yang dipanggil Pulau Binatang oleh penduduk setempat. Mungkin kerana ada banyak binatang disitu, aku tidak pasti dan dibelakang rumah aku pula ada sebuah padang kecil, cukup untuk kawan-kawan aku bermain bolasepak. Banyak kenangan manis aku dirumah itu. Pada hari minggu selalunya aku akan menangkap belangkas dan membakarnya. Ada 2 kedai runcit yang selalu aku lewati sewaktu hendak ke sekolah. Satu Kedai Komeng dan satu lagi Kedai Ah Sai (kalau tak silap aku - that was about 30 years ago!). Aku selalu ke kedai Komeng kerana air Sarsi botolnya, dan harganya 25 sen. Duit sekolah aku 50 sen. Baiklah dilain blog aku akan ceritakan pengalaman aku di Melaka, sewaktu tinggal dan bersekolah disana.

Ada lagi ka Kedai Komeng dan Kedai Ah Sai? Ataupun telah ditelan arus permodenan.....unfortunately I am unable to upload photos here. I'll try to next time..

Rabu, Februari 13, 2008

Membaca


Aku amat gemar membaca. Dari kecil sampailah sekarang. Dulu sewaktu kanak-kanak, sewaktu KA tinggal di Section 14 aku selalu bertandang ke Jaya Supermarket kerana di situ ada sebuah kedai buku yang besar. Aku sanggup duduk disitu dari pagi sampailah ke petang menghabiskan masa dengan membaca buku-buku Enid Blyton, Famous Five hinggalah ke Nancy Drew, semuanya aku baca. Aku rasa ini semua bermula dari arwah Bapak yang selalu membelikan aku Beano, Topper dsbnya.Setiap kali aku menghantar KA atau KL naik keretapi balik ke KL (aku di PP waktu itu), aku akan sentiasa mendesak mama agar membawa aku ke kedai mamak berhampiran kaunter tiket untuk membelikan aku komik. Dari situlah timbulnya minat aku untuk membaca sehingga kini

Aku tidak ada genre kegemaran yang selalu dibaca. Bagi aku apa-apa sahaja yang menarik akan aku baca. Dirumah pun kadang-kadang Wakana akan terkejut kerana pada hari Ahad aku akan membeli kesemua suratkhabar Melayu walaupun isinya sama, Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Harian Metro, Kosmo Ahad, Sunday Star dll. Pelik? Dari situ aku banyak belajar mengenai penggunaan bahasa begitu juga dengan Bahasa Inggeris. Jangan terkejut kalau aku katakan bahawa Mangga, URTV, Hai pun selalunya menjadi mangsa aku (selalunya di kedai gunting rambut mamak!)

Sekarang aku sedang membaca buku mengenai HONDA (aku lampirkan gambarnya), iaitu mengenai 2 orang sahabat yang diperkenalkan oleh orang ketiga dan jatuh-bangun empayar kenderaan yang dicipta bersama-sama oleh mereka. Bagaimana mereka bermula dari sebuah woksyop kecil sehinggalah kini menjadi menjadi salah-satu peneraju kenderaan terbaik dunia. Dulu aku membaca satu lagi buku iaitu "Lee Ioccoca" seorang lagi peneraju kenderaan di Amerika. Aku suka membaca buku-buku sebegini kini kerana ia memberi panduan dan tauladan mengenai sesebuah syarikat dan mengajar cara-cara pengurusan dengan lebih efisyen. Selepas ini mungkin Toyota (aku sudah menghabiskan bacaan mengenai Sony)

Semalam aku ke Jarir (biggest bookshop in KSA)dan ada sebuah buku yang menarik perhatian aku. Sungguh tertarik aku untuk memilikinya dan menjadi Bestseller di Jepun kini selama beberapa minggu yang sudah. Akan aku habiskan dulu buku "Honda" dan buku yang seterusnya sudah tentulah susur-galur kehidupan seorang lelaki kulit hitam yang bercita-cita tinggi bernama "BARACK OBAMA"

Isnin, Februari 11, 2008

Age Group Tournament di UM




Ini gambar Azumi yang baru aku dapat dari Wakana. Thanks dear! Wakana mesti sibuk berlari kesana-kemari melayan kehendak anak-anak kami terutamanya Azumi yang terlalu gilakan bolasepak.....Go Azumi Go. Be the next "Rio Ferdinand". Tengok lah sahaja saiznya berbanding dengan pemain-pemain lain seusianya.....10 years old! Perlawanan ini berlangsung semalam Ahad, 10hb Feb 2008 di padang Universiti Malaya.

InsyAllah.....



Apa aku buat semalam? The night before, AH ada bagitahu aku yang mungkin kami akan ke Jeddah keesokan harinya, insyAllah.. (Ahad pagi). Pada sebelah malamnya aku bertanya lagi, pukul berapa kami akan berangkat? Katanya lepas Subuh, insyAllah...oleh kerana insyAllah disini tak mendatangkan apa-apa makna, maka aku pun mengangguk sahaja. InsyAllah.....nak dijadikan cerita, keesokan paginya AH datang ke bilik aku dan bertanya samada aku dah bersiap untuk ke Jeddah? Hah?

Kami bertolak pada pukul 8.oo pagi. Didalam perjalanan aku beritahu pada AH bahawa aku nak minum teh bersama "Habaq", sejenis daun hijau berperisa mint. InsyAllah katanya. Kami berhenti di tepi jalan dan membeli "Habaq" SR5. Selambak dibaginya aku! Maaf aku tak sempat mengambil gambar "Habaq" Kami meneruskan perjalanan dan aku sempat terlelap 2 kali. Berhenti di R&R di Sasco untuk bersarapan pagi. Aku tak makan banyak. Cuma secawan teh gula dan sepotong sandwich cheese. Cukup rasanya untuk mengalas perut. Seperti biasa, aku perlu ke tandas. Sesampainya disitu, aku ternampak sekumpulan kanak-kanak sekolah sedang membaca signage tandas didalam bahasa Inggeris. Mereka tergagap-gagap cuba membaca "Gent's Toilet". Mereka memandang aku dan meminta bantuan untuk aku pronouncekan perkaaan itu. Aku menuruti. Mereka bersorak riang apabila mengetahui yang salah seorang dari mereka berjaya menyebutnya dengan betul! Very naive and very cute!! Sayangnya aku tak berkesempatan mengambil gambar mereka yang terus bergegas ketandas selepas itu.

Sepanjang perjalanan, tak banyak kereta yang aku lihat. Sekarang ni "low season". Mengeluh towkay kedai di R&R tadi....kesian....

Sesampainya aku di Jeddah, terus kami ke Restoran Indonesia yang bernama "Dendeng" sempena nama sejenis makanan@daging kering. Selesai makan, kami terus ke apartment. Ahh lega rasaya balik ke apartment sini sebab aku tinggal seorang. Jadi tak ada gangguan untuk aku melakukan kerja-kerja updating barang-barang keperluan hotel dan lain-lain lagi.

Hari ini (Isnin) aku masih menunggu AS untuk mengambil aku ke showroom yang sepatutnya kami pergi awal pagi tadi...apabila aku bertanya pukul berapa dia akan datang, katanya insyAllah........and that was 3 hours ago!!!!!

Sabtu, Februari 09, 2008

Happy 40th Birthday!




Hari ini genap umur aku yang ke 40 tahun. Hah 40 tahun? Tidak terasa yang masa berlalu begitu pantas. Walaubagaimanapun aku tidak terasa langsung yang aku semakin meningkat umur. Rasanya baru semalam aku bermain ragbi mati-matian menentang Malaysian Selection (aku mewakili Selangor senior team utk Piala Agong peringkat Kebangsaan pada waktu itu), rasanya juga baru semalam aku habis kertas terakhir peperiksaan SPM pada tahun 1985 dan terasa seperti semalam juga aku bertemu Wakana di Tokyo! Semuanya begitu pantas. Dari alam kanak-kanak, ke alam remaja, kemudian ke alam dewasa dan kini aku mempunyai 3 orang cahaya mata!

Life begins at 40.......really? Semalam Wakana dan anak-anak aku menelefon dari KL mengucapkan "Otanjyobi Omedetou..Papa!". Aku gembira sangat. Aku tak perlukan hadiah, tak perlukan jam Rolex yang harganya beribu-ribu ringgit dan juga tak perlukan kek dari Secret Recipe. Yang aku mahu hanyalah keluarga aku....Wakana, Azumi, Yuya dan Marina. Itu adalah segala-galanya bagi aku kini. Selepas menelefon aku, Wakana memberitahu yang Azumi nak chatting dengan aku. Kami berhubung selama sejam sebelum Azumi dan Yuya pergi menonton DVD cerita "CARS". Wakana menyambung chatting dan banyak yang kami ceritakan. Wakana tentang keluarga di KL dan aku tentang kehidupan di Madinah. Wakana memberitahu aku yang Azumi sedang menidurkan adiknya Marina. Azumi menyanyi dan menepuk sambil menggosok belakang Marina. Marina leka lalu tertidur. Aku tersenyum sendirian. "Very sweet" fikirku. Chatting kami berakhir apabila Yuya mula berasa mengantuk dan mengajak Wakana masuk kebilik.

Gambar yang aku attachkan diatas ialah gambar sewaktu menyambut ulangtahun Azumi yang ke 10 dan Yuya yang ke 7 serta aku yang ke 40. Kami buat awal memandangkan 2 hari lepas itu, aku akan kembali ke KSA. Kami menyambutnya di rumah KL di SJ (now under construction)

Dah 40!!!!!!!!!!!!!

Jumaat, Februari 08, 2008

Hijau..



Aku tak tahu kenapa, tetapi sejak kebelakangan ini warna hijau muda ataupun hijau pucuk sangat aku gemari. Kereta aku hijau (alah...Avanza yang boleh round satu Malaysia tu..), cushion cover aku hijau, baju Melayu anak-anak aku hijau dan aku jumpa Wakana di Tokyo dulu pun disebabkan oleh lagu Hijau! Take a look at the picture.

Hijau bagi aku melambangkan kesegaran, ketegasan, ketabahan, disiplin dan positif didalam melalui liku-liku kehidupan yang mencabar. Mungkin hijau juga adalah warna aku pada tahun ini.....lupakan Lilian Too dan warna-warna feng shuinya. Aku ada warna sendiri dan aku ada pendirian sendiri. Tidak perlukan feng shui itu semua!

Gambar ini dirakamkan sewaktu Hari Raya Aidilfitri yang lepas iaitu selepas kami bersembahyang sunat dan bersalam-salaman memohon kemaafan dan juga sebelum kami ke rumah kakakku yang sulung iaitu KA untuk sambung menjamu selera. Semua berkumpul disana kerana disitulah HQ kami. Mama, KL dan keluarga, AW dan keluarga, AJ dan keluarga dan begitu juga tuan rumah, KA dan keluarga. KA yang memang pandai memasak telah bersengkang mata menyediakan juadah special pada hari itu. Mama sangat seronok kerana hampir kesemua anak-anaknya dapat berkumpul disamping cucu-cucu dan cicit-cicitnya! AE tidak dapat bersama-sama kami kerana sibuk di PP.

Seperti kebiasaannya, keseronokan berhari raya bagi aku cumalah pada hari sebelumnya dan juga pada hari raya pertama. Anak-anak aku seperti aku dahulu, sibuk mengumpul wang dan Hari Raya mereka tak pernah habis dan selalunya aku akan memberikan kebebasan kepada mereka untuk melakukan apa sahaja dan ini termasuklah untuk tidur lambat selama beberapa hari. Mereka menjerit riang....bagi aku, seronok ke tidur lambat?

Khamis, Februari 07, 2008

Makan time


Pagi ini aku ketempat kerja dengan berjalan kaki sahaja bersama-sama dengan ES. Jarak dari apartment aku ke Al Rashied Grande Orchid Hotel taklah jauh. Cuma 30 minit berjalan santai. Dengan cuaca yang dingin, tidak terasa sebenarnya menapak ke hotel. Didalam perjalanan aku berkesempatan mengambil beberapa keping gambar buat kenangan.

Walaubagaimanapun yang aku nak ceritakan disini bukan pasal itu semua tetapi tentang makan tengahari aku di Jakarta Restaurant. Kami sampai disana selepas solat Zohor. Jalan tidak sesak. Sesampainya kami disana kami terus meluru ke kaunter untuk memesan makanan. Tidak ramai orang disitu dan restaurant pulak hanya ada 8 buah meja.Aku nampak orang dimeja sebelah sedang makan ikan bilis goreng dengan kacang. Sedap pulak,tetapi ketika aku bertanya, sudah habis katanya. Hampa!Aku cuma mengambil ikan kembong masak cili, sekeping tempe goreng dan opor ayam yang sekali lihat menyerupai korma ayam kita cuma kuahnya agak cair..untuk membasah tekak, aku mengambil air bergas berperisa limau. Harganya selalu aku tak tahu sebab dibayar oleh orang lain. Ha3!Rasanya ok,ala-ala makan dirumah. Tetapi bagiku yang penting ialah makan. Sedap atau tidak akan aku fikirkan kemudian. Keadaan kurang menyelesakan kerana banyak lalat, sehinggalah aku terpaksa bertukar tempat duduk dan pengunjung-pengunjung lain (semuanya rakyat Indonesia yang bekerja disini)memandang kami dengan kehairanan.

Sewaktu makan, aku terkenangkan pengalaman aku semasa berada di Shanghai, China pada tahun 2003 (kalau tak silap aku). Aku kesana bersama seorang rakan setugas aku iaitu MH. Selama berada disana kami ditempatkan disebuah hotel mewah iaitu Marriott Hongchiou yang berhampiran dengan zoo Shanghai. Kalau nak diikutkan tekak memanglah agak payah nak mendapatkan makanan halal disini. Tetapi itu semua tidak menjadi masalah kepada aku. Roti cicah kopi pun dah memadai sepanjang hari apabila berada diperantauan. Pada hari minggu kami bercadang untuk menjelajah sehari suntuk dibandaraya yang pesat membangun ini. Tiba waktu tengahari, perut terasa lapar. Kami bercadang untuk makan tengahari di.... (aku terlupa namanya tetapi merupakan satu tourist spot) hah! dah ingat...."Yuyuan Garden", penat mencari tidak jugak kami bertemu tempatnya. Didalam keadaan keletihan, kami memasuki satu lorong dicelah-celah bangunan rumah lama. Liar mata kami mencari kalau-kalau ada orang yang faham bahasa Inggeris untuk kami bertanya. Tiba-tiba kami ditegur dari belakang oleh seorang perempuan tua yang berpakaian Cina lama. Dia bertanya, kami berasal dari mana. Setelah mengetahui yang kami datang dari Malaysia dan telah tersesat jalan, tiba-tiba beliau memberi salam kepada kami. Terkejut dan terlopong mulut kami. Perempuan tua tadi memanggil anak lelakinya dari dalam rumah. Anak lelakinya boleh berbahasa Inggeris walaupun tidaklah fasih. Katanya kami sedang berada di perkampungan Islam di Shanghai. Ditunjuknya tokong Cina lama yang telah dijadikan masjid berada betul-betul didepan kami. Kenapa kami tak perasan langsung tadi?MasyAllah.....dipermudahkan perjalanan aku.....kami dijemput makan tetapi dengan sopan kami menolaknya memandangkan ahli keluarga perempuan tua tadi agak ramai. Kesemuanya mengerumuni kami. Yang kami mahu hanyalah bantuan untuk ketempat yang dicari. Anak lelakinya beria-ia ingin menghantar kami tetapi sekali lagi kami menolak dengan berat hati.

Pada malamnya sebelum tidur aku bertanya kepada MH bagaimana kami boleh tersesat dan tersadai di perkampungan Islam ditengah-tengah bandaraya Shanghai?

Bolasepak



Sewaktu kecil dahulu aku sungguh berminat dengan permainan bolasepak. Sebut saja negara mana dan siapakah pemain ternama daripada negara-negara tersebut. Semuanya aku tahu. Daripada Johan Cryuff, Johan Neeskens, Sepp Maier sehinggalah ke Franz Beckenbauer.Semuanya ada didalam otak aku. Pemain tempatan yang aku tahu adalah seperti Abdullah Ali, Mokhtar, Santokh, Chin Aun dll. Tetapi ada seorang yang sangat aku suka cara permainannya, iaitu Wong Hung Nung (sekarang pemain golf terkenal di sirkit kebangsaan). Cara dia menggelecek, tackle dan menendang menjadi turutan aku sewaktu dibangku sekolah. Mewakili sekolah dari sekolah rendah hingga keperingkat negeri bersama-sama SB dahulu menjadi kenangan manis aku. Begitulah seterusnya sehingga aku ke sekolah menengah di Seremban. Setiap tahun aku akan mengumpul duit Raya dengan harapan dapat membeli but terbaru. Yang terbaik dan termahal pernah aku pakai ialah "Adidas La Plata" yang berharga RM110(tahun 1985!). Bangga tidak terkira dapat membeli dan memakainya disekolah kerana diwaktu itu masih ramai yang memakai "Fung Keong" ataupun "Warrior".

Tetapi lebih kurang pada tahun 1983 sewaktu aku berumur 15 tahun, minat aku lebih terarah kepada permainan Rugby yang ternyata lebih lasak dan banyak body contact itu. Pencapaian aku didalam permainan rugby bolehlah dibanggakan kerana terpilih untuk mewakili NS pada tahun 1985. Setelah aku pulang ke Pulau Pinang, aku semakin ligat bermain dan mula mewakili Pulau Pinang pada 2 tahun berikutnya. Latihan kebanyakkannya dilakukan samada di Penang Free School, USM ataupun di Maktab Perguruan Recsam. Coach aku pada waktu itu ialah Mr Saber. Kenapa namanya Saber jangan ditanya! Kemudiannya aku berhijrah ke KL dan bermain untuk Royal Selangor Club didalam Liga Divisyen 1 KL sehinggalah dipanggil untuk menyarung jersi Selangor U-21 dan seterusnya ke senior team Piala Agong. Aku pernah tercedera digasak Lee Nyuk Fah, Sunsubahar dan juga Tan Thye Fatt. Sewatu disekolah dahulu, oleh kerana terlalu minatkan permainan rugby aku sampai sanggup memeluk bola rugby menggantikan bantal ketika tidur. Sehinggalah sekarang aku masih tergilakan "The gentleman's Game" itu. World Cup yang lepas, tidak satupun permainan yang aku tidak tonton. Sekarang pun sekali-sekala aku akan ke "Youtube - Rugby WC 07" untuk menonton. Memoribalia RWC jangan ceritalah. Tahun lepas aku membeli satu t-shirt RWC secara online dan sampai ke tangan aku tepat seperti yang dijanjikan iaitu 2 minggu selepas dipesan. Begitulah gilanya aku terhadap permainan rugby!

Kini anak-anak aku pula sedang mengikut jejak langkah aku. Azumi berminat dengan permainan bolasepak dan mewakili kelabnya iaitu Kelab Bintang Muda keperingkat Antarabangsa didalam kategori 10 tahun di Singapura baru-baru ini. Yuya pula dalam diam membisikkan ditelinga aku yang dia sebenarnya berminat untuk bermain rugby. Sekurang-kurangnya dapat menggantikan King Tana (NZ legend!).....Viva King Yuya! Aku sekarang sedang cuba mendapatkan "placement" untuk Azumi dimana-mana kelab antarabangsa di Eropah ataupun di Jepun. Angan-angan? Aku rasa tidak....

Gambar yang diselitkan diatas adalah gambar Azumi sebelum bertolak ke Singapura untuk Liga Kelab Bawah 10 dan 12 Tahun Peringkat Antarabangsa. Lihatlah saiznya walaupun pada waktu itu dia cuma berumur 9 tahun berbanding dengan rakan-rakannya yang lain. Posisinya, sama seperti aku dahulu, Centre Back......

Kambing oh kambing



Pagi ini seperti kebiasaan pada pagi-pagi yang lain aku terbangun pada pukul 6.oo. Selepas bersolat Subuh, aku terus mengadap komputer (pukul 11 pagi waktu Malaysia) dan cuba berhubung dengan rakan-rakan setugas yang kini sedang berada di KL seperti ZK, RS dan tidak ketinggalan juga adik bongsu kami iaitu MK. Sekali-sekala ada juga message yang aku dapat dari KA. Berhubung dengan mereka selama sejam selalunya akan mempersiapkan aku dengan tugas dan cabaran yang sedia menunggu. Terimasih kepada teknologi masa kini yang membuatkan kita seperti berada di satu pejabat!

Setelah agak terlewat sedikit ke pejabat (seperti yang aku ceritakan diblog sebelum ini), kami lantas memandu terus ke destinasi. Aku ada 2 appointment yang harus dipenuhi memandangkan EA memerlukan aku mendapatkan segera quotation-quotation yang berkenaan. Setelah menghantar ES ketempat kerja, aku dibawa terus ke lokasi yang dijanjikan. Agak jauh perjalanan dan akhirnya kami sampai disuatu tempat di kaki Jabal Uhud. Tempatnya agak lengang. Mungkin masih awal pagi walaupun jam telah menunjukkan pukul 10.30 pagi pada waktu itu. Kedua-dua temujanji dapat dihabiskan didalam tempoh sejam setengah.

Kami berlegar-legar dikawasan tersebut kerana waktu Zohor sudah hampir tiba dan semua kedai akan ditutup. Tiba-tiba aku terpandangkan sesuatu. Banyak kambing berada ditepi jalan lalu aku bertanya kenapa banyak sangat kambing disini.Oh katanya inilah pasar kambing. Aku tertarik untuk melihat dengan lebih dekat dan ingin sekali aku mengambil gambar dengan kamera baru aku (shhh...sebenarnya kepunyaan Wakana!). Kami berhenti berhampiran dengan tempat orang menjual kambing lalu tingkap diturunkan. Tuan punya kambing meluru kearah kami lalu berlakulah tawar-menawar harga. Eh, ini bukan tujuan aku. Aku cuma ingin mengambil gambar sebagai kenangan, kataku kepada rakan setugas. Rakan aku yang seorang ni memang suka bercakap, tak kiralah dengan siapa waima si towkay kambing sekalipun! Harga yang ditawarkan ialah SR750, seekor yang bagiku amat mahal. Setelah hampir 10 minit berlalu mereka masih lagi bertegang leher. Didalam benak aku berfikir, apa yang aku nak buat dengan kambing seekor ni nanti? Harga diturunkan menjadi SR500! Rakan setugas memandang aku dan aku memandang rakan setugas.....kami panik. Rakan setugas memberitahu aku supaya menaikkan cermin kereta. Aku menurut perintah. Rakan setugas dengan pantas menekan minyak dan memecut laju pergi dari situ. Si towkay kambing berang lalu memaki hamun kami. Aku bernasib baik kerana tidak memahami bahasa yang digunakan manakala rakan setugas berkata lebih baik aku tidak mengetahui...walaubagaimanapun didalam waktu yang terdesak itu dapat juga aku menekan punat kamera dan merakamkan gambar towkay tadi bersama dengan kambing-kambingnya!!!

Finally!



Akhirnya aku berjaya juga menguploadkan gambar aku dan ini adalah cubaan aku yang ketiga!Teman-teman aku yang lain pasti ketawa apabila mengetahui akan kejayaan aku yang tak seberapa ini....anyway, yang paling tinggi ialah isteri aku yang tercinta Wakana Kamimura, berbaju putih Arman Azumi, berbaju kuning sambil menyedut minuman itu anak kedua aku iaitu Kamal Ariffin Yuya dan terakhir sekali yang paling kecil ialah Marina Ayumi. Gambar diambil di Pavillion sewaktu aku bercuti di KL tempohari.

Selepas ini aku rasa akan ada banyak lagi gambar ang akan aku masukkan.....

Jumaat, Februari 01, 2008

Champs Elysee, Paris

Aku ada berjanji pada blog-blog yang lepas bahawa aku akan menceritakan pengalaman aku bercuti di Paris. Semuanya berlaku pada tahun 1994 sewaktu cuti musim Easter selama seminggu. Sebenarnya percutian itu adalah tidak dirancang kerana seperti biasa aku tidak mempunyai simpanan yang banyak apalagi untuk bercuti di Paris. Walaubagaimanapun memandangkan aku pernah berjanji kepada diri sendiri yang suatu hari nanti aku akan menjejakkan kaki aku disana, aku berusaha juga untuk bekerja diwaktu terluang semata-mata untuk mengumpul wang supaya impian aku terlaksana. Di setiap hujung minggu aku akan bekerja di sebuah hotel mewah di Montreaux hanya semata-mata untuk merealisasikan impian aku. Yang seronoknya bekerja disitu ialah, kami akan dibayar terus selepas menghabiskan kerja. Setiap jam dibayar Sfr20 jadi kalau didarab 3 (nilai pada waktu itu), maka aku akan dibayar RM60 sejam. Satu pendapatan yang agak lumayan untuk aku pada waktu itu. Seterusnya aku berkerja selama 8 jam sehari, 2 kali seminggu. Setelah dicongak, aku akhirnya mampu untuk menjemput Wakana untuk datang dari Tokyo untuk bercuti kesana. Malangnya Wakana tidak mempunyai cuti lagi memandangkan semuanya telah dihabiskan dan yang sebetulnya, Wakana telahpun kehabisan wang setelah membelanjakan kesemua simpanannya untuk melawat aku di Switzerland sebanyak 2 kali pada tahun sebelumnya, (thanks dear, I love you!)

Aku kesana bersama beberapa orang teman lagi yang masing-masing berasal dari Iceland (Johann - kini di Hyatt Hotel London), Greece (Andropoulus) dan Indonesia (Ocha, yang sekarang sedang bertugas di Amerika) . Soal penginapan tidak perlu dirisaukan kerana Ley Puspa dari Indonesia mempunyai apartment mewah disana untuk kami bermalam. Ley Puspa adalah anak perempuan tunggal pengusaha jeans terkenal dengan labelnya Lea Jeans yang pada satu ketika amat digemari di Eropah. Selain itu Ley Puspa juga memiliki sebuah BMW model terbaru berwarna merah sebagai hadiah ulangtahun dari ayahnya. Memang mewah kehidupannya. Walaubagaimanapun teman sekelas aku ni tidaklah sombong orangnya. Sentiasa mahu membantu.

Kami bertolak dari Montreaux dengan TGV iaitu keretapi laju terus ke Paris. Sesampainya kami disana, kami dikejutkan dengan berita bahawa pengendali kenderaan awam akan mengadakan mogok selama beberapa hari. Yang bagusnya disana, jika akan berlaku mogok pekerja, ia akan dihebahkan supaya pelancong dapat membuat perancangan rapi dan untuk kami, merancang untuk membeli tiket pulang. Sesampainya disana, Ley sudah menunggu kami dengan BMWnya. Seterusnya kami terus dibawa ke apartmen 2 bilik milik Ley. Johann dan Andro disatu bilik manakala Ley dan Ocha dibilik sebelah. Aku pulak, lebih selesa tidur didapur yang luas menggunakan "Murphy's Bed" yang sebenarnya adalah sebuah katil bujang yang boleh dilipat keatas dan disimpan didalam dinding. Lebih selesa disitu kerana berhampiran dengan makanan......Disebelah malamnya kami beramai-ramai pergi makan malam di Hard Rock Cafe sambil mendengar muzik. Selama disana aku mengambil kesempatan untuk membeli t-shirt dan topi HRC Paris sebagai kenangan. Setelah beberapa jam disana, kami mula bergerak ketempat lain. Hajat hati nak ke Planet Hollywood tetapi malangnya ia masih didalam pembinaan. Kami memandu terus kearah "Arch de Triumphe" iaitu pintu gerbang masyhur yang berada betul-betul ditengah jalan Champs Elysee. Kenderaan bersimpang-siur, agak tidak tentu hala trafik disitu. Nak dibandingkan dengan trafik di Malaysia? Rasanya Malaysia lebih baik....

Malam itu kami sudahi dengan berjalan melewati Moulin Rouge. Oh yes, the famous Moulin Rouge! Ia sebenarnya kecil dan terletak dikawasan panas!!!!! (kalau anda tahu apa yang saya maksudkan) Penat kami bergambar. Berposing sakan an bukannya kami sahaj yang beraksi begitu malah para pelancong dari segenok pelosok dunia juga sedemikian!

Keesokan hari selepas bersarapan dirumah, kami terus ke Champs Elysee lagi. Tak puas rasanya kalau tak bergambar ditengah2 jalan disitu. Ketika kereta disana agak perlahan, kami terus berlari ketengah jalan sambil cuba mengambil sebanyak gambar yang mungkin sebagai bukti yang kami pernah kesana! Menyusuri "The Louvre" iaitu muzium ternama yang menyimpan potret terkenal didunia iaitu "Monalisa" menambahkan lagi kenangan indah aku disana. Remember the movie "Da Vinci Code", yes, that's the place. Begitu juga dengan tempat-tempat bersejarah yang lain. Kami mengambil makan tengahari dijalanan sahaja kerana ingin mengejar masa ke "Eiffel Tower" pula. Dari jauh dapat kulihat berpuluh-puluh bas sedang masuk kearah parkir. ET penuh sesak dengan manusia. Tidak sah kalau tidak naik sampai keatas jika ke Paris. Kami bergambar sakan.......minum petang kami ialah disalah sebuah cafe yang paling terkenal didunia iaitu "Cafe de Paris" yang berdekatan dengan kompleks membeli belah yang ternama iaitu........(maaf aku terlupa...). Oh ya, it's called Lafayette. Aku bangga dapat minum disitu walaupun hanya secawan kopi dan sekeping croissant yang dikongsi bersama dengan Ice (nickname Johann kerana dia berasal dari Iceland!).

Dihari-hari berikutnya kami melawat "Notre Dame" yang mana tempat ini membuatkan aku terkenangkan novel yang aku pernah baca semasa kecil dahulu iaitu "Hunchback of Notre Dame". Menyusuri sungai Rhine sambil melihat pelukis jalanan menjaja hasil kerja tangan mereka dengan begitu kreatif sekali membuatkan aku sungguh teruja. Teringatkan Wakana....

Tiba-tiba Ley teringatkan sesuatu. Ley nak membeli baju untuk menyambut kedatangan ayahnya dari Hong Kong di hujung minggu nanti. Apa lagi, kami berlima terus ke Chanel. Dilayan bagai hartawan disitu. Apa tidaknya, Ley berbelanja sakan dari hujung kepala sampailah ke hujung kaki. Kesemuanya Chanel! Beruntung sungguh Ley Puspa..aku pun tumpang beruntung, kerana Ley lah aku sempat ke Paris, berjalan-jalan dikotaraya romantis itu dan dilayan bagai selebriti di butik Chanel.

Pengalaman selama beberapa hari aku di sana sungguh mengasyikkan disertai oleh teman-teman rapat aku. Kini Ice sedang bertugas di London, Ocha yang baru tahun lepas melangsungkan perkahwinan dengan pemuda Amerika sedang bertugas di sana manakala Andro dan Ley malangnya, aku telah terputus hubungan dan sedang mencari mereka melalui Alumni. Anyway wherever you guys are, cherish the moment that we've shared! Walaubagaimanapun, aku masih lagi berhubung dengan Ice dan Ocha melalui e-mail ataupun facebook sehingga kini!

Reunion

Awal 20an Tak putus-putus 'reunion' datang dan pergi. Seperti yang selalu berlaku, sewaktu aku lepas sekolah/universiti dulu, top...