Khamis, Julai 31, 2014

Meriahnya Hari Raya...

Tak cukup korum lagi ni!

Raya di Le Bouveret, Suisse.

Sewaktu aku disana dulu, Ramadhan jatuh pada musim sejuk. Siangnya jadi pendek dan aku tak lapar mahupun dahaga. Semuanya nyaman. Buka puasa terkial-kial aku makan makanan western. Mulut dan citarasa berat kepada masakan melayu. Nasib baik chef Rio (Asian Chef dari Hilton Jakarta) ada waktu tu. Dialah yg masakkan untuk aku. Siap bikin sambal terasi lagi. Jadi puasa aku berlalu dengan pantas disertai makanan yang mengikut selera aku. Setelah kiraan puasa aku cukup, dengan semangatnya aku bagitahu Farid Jemain senior aku setahun yang esok hari kita dah boleh menyambut Syawal! Farid mula berkira-kira nak talipon balik ke Malaysia. Begitu juga aku. Waktu itu internet masih belum ada. Mobile phone pon belum ada. Jadi kami hanya bergantung kepada surat, poskad dan juga pondok talipon. Esok paginya aku kejutkan Farid. Lepas bersiap, baru kami teringat yang kami tak ada kereta nak ke Geneva bersolat sunat dan tak ada duit nak naik keretapi di Montreaux ke Geneva. Kami pakat yang kami akan hanya celebrate di Le Bouveret sahaja. Tepat pukul 10 pagi, dengan memakai baju sejuk dll, kami mengatur langkah ke sebuah kedai kopi di pinggir pekan kecil LB. Masuk ke dalam, memesan 2 cawan kopi dan 2 croissant. Setelah duduk, kami bersalaman dan memohon maaf serta mengucapkan Selamat Hari Raya. Croissant sorang satu kami cicah kedalam kopi dan sumbat ke mulut. Membayangkan ketupat, lemang dan rendang! Orang sekeliling memandang kami dengan pelbagai persoalan dikepala otak mereka. Oleh kerana LB ialah sebuah pekan kecil, hampir kesemua yang ada didalam kedai kopi, kami kenal. Hahahahahaha.....Selepas makan dan minum ala kadar, kami balik ke bilik. Tak ada lagu raya, tak ada kad raya...yang ada hanyalah bukit-bukau yang memutih dengan salji. Perlahan-lahan aku bangun menuju ke pondok talipon dan talipon ke KL. Sempat bercakap dan memohon maaf dengan arwah mama dan arwah bapak. Aku tanya arwah mama, "Raya Hari ni pi mana?" Mama terkejut....."Huh? Hari ni? Bukan hari ni lah...ada 2 hari lagi puasa baru raya!" Gannnnngggggggg......aku tersandar kat pondok talipon. Aku balik ke bilik dan bagitahu kat Farid......Farid terus terlentang atas katil sambil lengan kiri melintang kat atas dahi dengan mulut terkumat-kamit!

Di Ritz Carlton bersama family, Karin, Doris dan Dagmar.

Raya di Brown Garden, Penang.

Raya aku sangat meriah sewaktu kecil. Tak balik rumah. Pusing satu kawasan kutip duit. Ada yang bagi 20 sen dan 50 sen tetapi rata-ratanya akan bagi 10 sen. Lepas sembahyang raya kepala dah mencongak kemana nak pergi dan cari duit raya. Makan di rumah ialah perkara nombor 2. Makan dirumah orang lagi best! Aku ada best friend nama Anuar. Kakak-kakaknya selalu melayan aku main bunga api. Waktu tu aku 6 tahun dan Anuar 7. Kakak-kakaknya sekitar 10-12 tahun. Comel! Hahahahahaha.....Aku dan Anuar selalu berpakat apa yang akan kami pakai di hari raya nanti. Perbincangan akan berlangsung samada diatas buaian rumah aku atau di tembok rumah Anuar. Kalau kakak-kakaknya lalu dan cuba dengar, kami akan lari ke bawah pokok ketapang depan rumah. Sambil duduk diatas akar-akar besar yang berselirat, kami mula mengatur strategi raya....

Family aku yg kecik ni..

Raya di Henry Gurney Telok Mas, Melaka.

Raya disini jugak meriah sebab kalau main mercun tak ada siapa yang kacau. Kami berada didalam kawasan penjara dan rumah aku pulak mengadap laut. Bermacam-macam jenis mercun kami ada. Dari yang kecik sampailah yang besar dan meletup paling kuat dalam dunia. Bunga api "kucing hitam" jangan cerita. Ada ayam bertelur, ada kereta kebal keluar api, ada lebah yang terbang tinggi dengan bunyi nyaring dan mercun tahun baru cina berpapan-papan. Lepas main kat rumah, aku dan kawan-kawan lain yakni anak-anak warden penjara akan main kejar-kejar dan sembunyi-sembunyi. Hilang rasa takut walaupun Bobok asyik cerita pasal budak yang kena sembunyi dengan bunian. Bobok kalau bercerita memang "REAL". Matanya yang bulat akan terjojol keluar. Dahi berkerut siap berpeluh lagi. Tangan terbang merata-rata. Bobok ni anak pakcik Kasim Bulat. Hero sepaktakraw penjara Telok Mas sekitar 70an dulu. Libasan pakcik Kasim Bulat memang tak boleh ditahan. Tetapi satu skill pakcik Kasim pun tak turun ke Bobok. Hahahahahahaha....

Sama ka?

Raya di Alor Setar, Kedah

Aku akan merayap ke Lorong Fajar sebab ramai kawan aku ada disana. Munir kawan aku ialah anak Ustad Talib. Ramai peminat budak ni sebab dia hemsem. Selalu dapat jemputan berhari-raya kat rumah marka. Since aku belajar kat Seremban waktu tu, aku tak kenal budak-budak AS kecuali yang main bola dengan aku dulu di Sekolah Iskandar. Semuanya budak-budak jantan! Since aku rapat dengan Munir, bila dia ke rumah marka, aku akan ikut sekali. Hahahahahahaa.....Kayuh basikal dari Penjara ke Lorong Fajar, sambung ke Taman Uda, cilok ke Taman Muhibbah, masuk Aloq Semadom, berpeluh ke Kuala Kedah dan sampai ke rumah, baju raya dah lunyai! Bila Munir bawak aku ke rumah budak Sultanah Asma dan budak Convent St Nicholas, aku heran.....masa keluar dan kayuh basikal nak ke rumah lain, aku cakap kat Munir, "pergh...lawa budak tu.....". Munir jawap, "Haipp...marka aku tu....". Macam tu lah dia dok jawap sampai last sekali rumah ke 8 pun aku dapat jawapan yang sama.......dalam hati aku kata, "Fuyoo...kasanova jugak si Munir anak Ustad Talib nih.....". Masa tu kami baru berumur 13 tahun! Hahahahahaha....

Azumi has a nice smile!

Raya di Al Safwah, Mekah

Meriah sangat-sangat kat sini. Aku rasa dah macam ala-ala bukan raya pon ada sebab terlampau meriah. Hotel memang penuh. Bayangkan hotel yang mempunyai bilik sebanyak 921, penuh dengan occupancy 100%. Tak boleh nak lelap mata aku jadinya. First time aku tengok di Mekah suasana meriah lagu ni....aku dipanggil oleh GM untuk memesan bunga ros beratus-ratus batang. Mainan kanak-kanak lelaki beratus-ratus dan mainan kanak-kanak perempuan juga beratus-ratus! Dessert counter yang besar dan panjang disediakan di lobi hotel. Kaunter kopi arab dan tamar mesti ada lebih dari satu! Beberapa orang pekerja ditugaskan untuk berpakaian ala-ala clown dengan beg besar untuk mengagih-agihkan bunga ros dan mainan kanak-kanak. Dah berupa santa claus pon ada! Sebaik lepas sembahyang sunat raya, aku dipanggil oleh owner hotel dan GM. Aku bergegas ke lobi. Ingatkan apa, rupanya owner hotel nak asapkan aku dengan kemiyan bau-bauan yang menusuk lubang hidung dan GM ingin menyuapkan aku dengan tamar! Tu dia aihh.....sekembalinya para tetamu dari Masjidil Haram, tak sempat aku nak kemana, aku diserang oleh kanak-kanak dan tetamu-tetamu yang berjumlah ribuan orang. Bunga ros habis dalam sekelip mata.....mainan kanak-kanak juga begitu. Lepas ambil, semuanya menghala ke restaurant untuk breakfast. The best part tu, selesai saja breakfast, semua tetamu akan check out dan sebelah petangnya hotel akan kosong terus! Hahahahahahaha.

Tgklah budak kecik tuh!

Raya di Ampang, Selangor

Meriah bila anak-anak ada disisi. Kegembiraan buat masa ini mungkin akan bertahan beberapa tahun sahaja lagi apabila seorang demi seorang mula meninggalkan rumah mengejar cita-cita masing-masing. Tapi doa aku, biarlah mereka pulang mengunjungi kami di Hari Raya! Tahun ni persiapan lebih kepada anak-anak. Baju raya Marina paling awal dibeli. Seminggu kemudian, Yuya selesai membeli manakala Azumi pula keluar dan beli sendiri. Tapi masih ok lagi apa yang dibeli. Pada umur sebegitu, citarasa sudah mula berubah. Kuih pula aku tempah dari rakan lama aku, Mariam yang bertugas di pastry RKL dulu. Baju melayu aku? Baju kahwin 17 tahun dulu. Baju raya aku? Aku beli sehelai. Duit raya dah disiapkan awal begitu juga untuk aunty. Oleh kerana masing-masing sibuk, anak-anak diasrama, kami cuma dapat mengecat grill rumah 3 hari sebelum raya bila semuanya balik bercuti. Bagi orang lain mungkin tak cantik tapi bagi aku sekeluarga, itu lah yang paling cantik dalam dunia pernah kami tengok! Hahahahahaha.....Raya pertama, kami ke ibupejabat keluarga Ali di Damansara. Melepak sampai ke petang. Tergolek, terlentang, tertungging semuanya ada. On the way back, aku singgah di Taman Greenwood mengunjungi tetamu hotel aku dulu dan anaknya yang juga merupakan senior aku disekolah dulu. Malam pulak ke rumah rakan lama aku di area Kosas. Balik rumah semua terbungkang! Second raya kami ke shah alam melawat abang Wan yang baru keluar dari ijn. Nampaknya Wan bertambah sihat dan makin serasi dengan pacemaker barunya. Malam tu kakak-kakak dan abang aku datang berkunjung ke rumah. Aunty masak mee rebus. Habis...lega... Raya ke 3 kami tak kemana. Rest saja. Lunch di Kuriya Japanese Restaurant dan petangnya kami semua ke gym kerana badan dah terlampau berat. Aunty buat pilates, aku buat weight dan Azumi buat cardio! Makan malam cuma croissant yang aku beli di Tous Les Jours!
Ok people, have a great holiday (kalau masih bercuti), jadilah pemandu berhemah.......


Ahad, Julai 27, 2014

Karin Schmidt

Karin dan aku.
 
Dalam entry yang lepas aku ada bercerita mengenai kawan lama aku sorang ni yang bernama Karin Schmidt yang berasal dari Munich, belajar sama aku di Cesar Ritz dan kini menetap di Florida! Karin seorang wanita yang sangat baik bagi aku. Sangat mengambil berat tentang rakan dan sentiasa susah hati jika aku tak berapa faham pelajaran yang diajarkan. Karin juga selalu bertanya kepada aku perihal subject-subject yang lain berkenaan dengan bidang perhotelan yang kami sama-sama pelajari. Didalam kelas, kami duduk bersebelahan. Karin datang dari golongan berada. Memandu bmw disekolah bagi aku sudah cukup mewah berbanding dengan aku yang terpaksa kemana sahaja dengan menaiki bas ataupun keretapi dan selalu juga bekerja di beberapa hotel di Montreaux pada hujung minggu hanya untuk menampung keperluan perbelanjaan bulanan aku. Bantuan setiap bulan yang aku terima hanyalah SFR200 yang sah-sah tidak mencukupi untuk aku survive walaupun hanya untuk 10 hari!
 
Sewaktu aku bertugas di Geneva, Karin akan selalu menalipon bertanya khabar. Kadang-kadang bersama teman lelakinya Florian akan mengunjungi aku di tempat kerja. Karin bertugas di Gstaad yang merupakan kawasan elit di Switzerland dan juga merupakan tempat berlangsungnya Swiss Open Tennis dan menjadi tempat tinggal bagi Diana Ross pada waktu itu. Gstaad sangat terkenal diseluruh dunia sebagai tempat percutian hebat dunia. Aku tak tahan sejuk kalau ke sana. Salji akan memenuhi segenap pelosok dan cerok yang ada di Gstaad. Spring dan Autumn sudah mencapai suhu 10-12C. Itu belum musim sejuk lagi. Jadi bayangkan saja betapa sejuknya kalau aku tinggal disana. Mungkin aku akan bawa "portable heater' kemana-mana saja aku berjalan!

Karin sebelah kanan aku bersama dengan Dagmar dan Doris!

Beberapa minggu yang lalu aku mendapat pesanan daripada Karin mengatakan yang beliau akan ke Singapura melawat kawannya Doris yang bertugas disana. Oleh kerana cuti musim panasnya masih panjang, Karin ingin melanjutkannya di KL pula bersama seorang lagi rakannya dari Munich bernama Dagmar. Aku jawab ok dan mulalah aku mencongak hari. Karin tinggal di Ritz Carlton sebuah hotel hebat di segitiga emas. Yang dah pasti aku tak mampu nak inap! 23hb Karin sampai dan aku janji yang kami akan bertemu pada 24hb. Dinner di Madam Kwan, Pavillion kerana jaraknya hanya sepelaung dari Ritz. Selesai kerja, aku ambil aunty dan kami naik moto menuju ke kl. Parking moto di lot 10 berharga RM3! Mak aiii...mahal nak mampos! Laju aku jalan. Dibaginya meja untuk aku dibelakang berhampiran dengan dapur. Alamak, tak thrill lah kalau nak entertain kawan dari Germany....aku mintak tolong pada Floor Managernya dan aku diberi meja depan. Alhamdulillah dan aku ucapkan terimakasih kepada beliau. Service mereka cepat. Mungkin kerana staff mereka melimpah ruah! Tepat jam 7 malam, Karin dan rakan-rakannya sampai.
 


Karin disebelah kiri aku bersama Dagmar dan Doris.
 
Kami memesan makanan tempatan sahaja. Mee kari, satay, fried yee mee, sayur goreng, ayam goreng rempah, wantan noodle dan hokkien mee. Habis kena lahap. Aku sebab berpuasa manakala yang lain-lainnya sebab lapar kerana dari tengahari mereka tak makan sebab city tour! Banyak yang kami cerita. Kembali kezaman persekolahan sehinggalah bercerita mengenai alam pekerjaan. Bergelak ketawa sakan kerana telah 20 tahun kami tak berjumpa....Karin kini bertugas di Ritz Carlton di Florida sebagai salah seorang Pengarah disana manakala Doris bertugas sebagai akauntan di Singapura dan Dagmar pula sebagai Pharmacist di Munich. Cerita kami bertambah hangat. Oleh kerana terlalu hangat, kami beralih tempat naik ke street level dan minum kopi di The Loaf pula. Keadaan sangat menarik dengan orang-ramai lalu lalang disekeliling sibuk membeli-belah saat akhir sebelum berhari raya! Oh my, saat ini memang aku tunggu-tunggu. Sebelum-sebelum ini aku juga dikunjungi oleh rakan-rakan dari luar negara. Ramai yang transit di KL untuk bertemu aku dan ada juga yang datang ke KL semata-mata untuk berjumpa. Nilai persahabatan yang tak mampu aku tuntut dengan wang ringgit. Pernah sekali aku terkejut apabila Johann Runarrson dari Iceland yang aku panggil "Ice" datang berkunjung ke kl secara mendadak. Tinggal di Legend hotel dan talipon mengatakan yang beliau telah berada di KL untuk bertemu aku. Kelam-kabut aku dibuatnya. Ada seorang lagi yang terus datang ke restaurant tempat aku bekerja pada tahun 96 dulu dan buat surprise kepada aku. Dia dari Sweden. Hyun Joo Lee dari Korea sengaja membuat tempahan menginap di hotel tempat aku bekerja dan menyergah aku sewaktu aku sibuk melayan tetamu sewaktu sarapan pagi! Rozana Winarto yang sanggup transit di KL dalam perjalanan ke Jakarta dari tempat kerjanya di US juga mengejutkan aku. Masyallah...aku bersyukur kerana dikelilingi rakan-rakan sebegini.
 
Dalam masa 2 minggu lagi aku akan bertemu lebih ramai lagi apabila kami akan berkumpul di Bangkok pula. Ini pertemuan Asian Chapter. Hazel dari Hong Kong telah bertanya apakah aku akan ke sana. Manakala aku pula sedang memujuk seorang lagi rakan aku dari Bali untuk sama-sama berada disana nanti. Pertemuan akan diiringi dengan mesyuarat luar biasa yang mana topik perbincangan kami akan berkisar kepada bidang perhotelan dan peluang untuk kami berhijrah kenegara lain melalui 'networking' yang kami ada. It's going to be an exciting event and meeting indeed! Tak sabar aku nak kesana. Banyak yang akan dapat aku ceritakan nanti apabilabertemu ramai rakan dari negara-negara lain di Asia! Ok till then, aku nak mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin dari aku sekeluarga!




Isnin, Julai 21, 2014

Untitled

Muka demam!
 
Bulan Ramadhan tahun ni aku jadi sangat malas untuk menulis. Tiba-tiba fikiran jadi buntu. Mungkin kah kerana bulan Ramadhan? Aku rasa tak jugak sebab tahun-tahun yang sebelum ni aku rajin pulak menulis dan bercerita!. Kali ni idea jadi hilang tiba-tiba! Kacau ni...Nak kata aku letih, tak jugak....masih tetap sama. Tapi iyalah, bila lepas zohor, kederat tu kurang lah sikit sebab berpuasa. Berbuka puasa pula harus menunggu sampai ke hujung minggu. Barulah ramai sikit ahli keluarga yang berbuka puasa. Bila Abang dan Yuya balik, barulah terasa berbuka puasa beramai-ramai. Makanan dah semestinya akan penuh dimeja. Dicampur dengan air yang berbeza-beza setiap sorang!
 
Buat masa ini setiap kali dalam perjalanan pulang ke rumah, aku akan melencung masuk ke Kampong Bharu untuk mencari kuih untuk berbuka dan selepas itu aku akan cilok masuk ke IJN pulak untuk melawat abang aku, Wan yang kini masih disana lagi. Duduk bersembang dengan Wan sampai pukul 7. Pelan-pelan aku mintak diri dan celapak naik moto naik elevated hi-way. Dari IJN ke rumah aku cuma mengambil masa lebih kurang 10-15 minit sahaja. Bila sampai rumah, selang beberapa minit, aku dah buka puasa. MasyAllah....senangnya urusan aku.
 
Sebenarnya aku dah lama tak ke Kampong Bharu untuk membeli juadah berbuka sebab dah agak jauh dari rumah aku di Ampang. Sewaktu aku bekerja di RKL, setiap petang aku akan kesana dengan staff aku membonceng moto aku. Beli makanan dan makan beramai-ramai di belakang Vogue Cafe! Sebenarnya bukan hotel tak sediakan makanan untuk pekerja, tapi kami rasa lebih meriah kalau ada juadah dari pasar ramadhan itu sendiri walaupun selalunya tak berapa nak sedap!
 
Berbalik kepada Kampong Bharu, setakat ni dah 2 juadah yang aku dah cuba dan kedua-duanya memang sedap. Yang pertama ialah nasi dagang ikan tongkol. Memang dah lama aku mencari nasi dagang ikan tongkol yang sedap tapi tak pernah berjumpa. Ada saja kekurangan bila aku rasa. Tapi kali ni mungkin nasib aku baik bila aku terjumpa gerai ni di Kampong Bharu. Balik, makan, kemudian teringat dibenak, kenapa aku tak beli 2? Hahahahahaha....syaitan dah merasuk! Nasi dagang yang aku beli berharga RM5 dengan telur rebus yang dimasak sekali dengan ikan tongkol tadi. Makanan yang ke dua ialah kerabu mangga. Dah 4-5 kali aku lalu dan lihat gerai yang jual pelbagai kerabu ni. Pertama sekali yang aku buat bila ada makanan seperti ni dijual, aku akan berdiri agak lama di gerai tersebut semata-mata kerana nak dengar dialek apa yang mereka cakap. Kalau bukan dialek atau bunyi-bunyi pantai timur takpun siam, aku akan berjalan terus sebab dah pasti makanannya tak authentic! Kerabu mangga ini juga berharga RM5. Sedikit pedas bagi aunty tetapi 'just about right' untuk aku! Dan sebenarnya aku rasa nak beli lagi makanan yang serupa hari ni. Hahahahahaha....itu 'habit' aku. Kalau aku suka, aku akan ulang setiap hari sampailah aku jemu. Then baru aku stop! Tak pelik kan? Cerita pasal makanan siam ni, ada sekali aku bawak kawan siam aku makan kat gerai siam di kl. Dia tengok nama "Nasi Goreng Pattaya" dia renggah gelak! Sebab katanya tak pernah wujud "NGP" kat siam! Hahahahahahaha......dan bila dia rasa makanan tu, dia kata, "this is not Thai!". Aku naik segan!
 
Pada 23hb nanti kawan lama dan juga merupakan kawan baik aku dari Germany akan datang melawat aku selama seminggu melewati tarikh Aidil Fitri juga. Karin Scmidt pernah aku ceritakan dulu. Dia duduk disebelah aku didalam kelas. Kami duduk dimeja paling belakang didalam kelas. Karin sangat bijak bila sampai ke part kira mengira nih. Jadi Karinlah yang tak jemu mengajar aku Accounting sampai ke pukul 2-3 pagi! Karin tak akan puas hati kalau aku masih tak dapat. Tak boleh tidur katanya! Lama kami berkawan dari tahun 94 lagi. Kami juga pernah accident bersama di Geneva dulu. Nasib baik Karin pakai BMW. Kalau tidak, aku pun masuk hospital sekali! Aku pernah bercerita pasal Karin dan berkali-kali jugak aku mengajak Karin datang ke Malaysia. Sekali ni dia bersetuju dan ini membuatkan aku sangat gumbira! 24hb nanti aku dah buat booking untuk kami keluar dinner "berbuka puasa" supaya Karin dapat melihat suasana berbuka puasa di Malaysia dan jika berkesempatan pada 28hb nanti aku nak bawak Karin ke rumah Kak Anne untuk menyambut 1 Syawal bersama dengan keluarga aku! Yess...
 
Pada 14hb Ogos pulak aku akan berangkat ke Bangkok selama beberapa hari untuk menghadiri mesyuarat bersama-sama dengan bekas pelajar-pelajar di Switzerland dulu. Sewaktu diadakan di Barcelona musim spring lalu, aku tak berkesempatan. Oleh kerana Bangkok dekat, aku terpaksa pergi kali ini. Ramai rasanya yang akan aku jumpa dan mesyuarat kali ini pastilah akan lebih tertumpu kepada topik supply and demand dunia perhotelan dialaf baru. Yessss aku teruja! Ok people....have a pleasant day ahead and selamat berbuka puasa!
 
 

Rabu, Julai 16, 2014

Noor Azam Ali

Ini abang aku. Aku panggil beliau dengan nama Wan. Dari mana nama Wan tu datang, jangan tanya sebab aku tak tahu! Penat aku mencari, tetap tak pernah berjumpa. Merupakan anak ke-4 daripada kesemua 7 orang adik-beradik. Aku anak ke 7. Namun abang diatas aku sorang yang bernama Anuar telah meninggal dunia sebelum aku dilahirkan. Jadi total kami adik-beradik ialah 6 orang!

Jarak umur kami agak jauh. Wan kini berumur 53 tahun manakala aku baru berumur 46. Ligat bermain bolasepak dan memasuki apa juga bidang sukan disekolah dulu. Sangat terkenal disekolahnya sebagai seorang athlete serba boleh dan juga pengawas yang sangat berdisiplin. Seringkali aku mengikuti Wan menjalani latihan bolasepak dan juga olahraga. Sebagai atlet olahraga, Wan sangat hebat didalam acara pecut. Itu aku memang tak dapat nafikan. Disebabkan kami tinggal di Henry Gurney Telok Mas waktu itu dan Sekolah Henry Gurney merupakan satu-satunya sekolah di Malaysia yang sudah mempunyai track bitumen, maka kesempatan itu dipergunakan oleh Wan untuk betul-betul berlatih acara balapan. Wan diberikan seorang personal coach untuk mengawasi cara larian, memberikan nasihat mengenai nutrisi dan membuat jadual latihan padat untuk beliau. Ini sangat hebat bagi aku kerana Wan waktu itu tidak dikenali dan berusia hanya didalam lingkungan 17 tahun. Walaubagaimanapun, bagi pelari-pelari pecut di Melaka di tahun 77-79 waktu itu, nama Noor Azam Ali dari SFI telahpun bermain dibibir mereka.
 
Wan hampir-hampir ke peringkat kebangsaan tetapi pada masa yang sama telah dipanggil oleh PULAPOL untuk menjalani latihan kepolisian di Kedah. Ini juga merupakan salah satu minat Wan yang aku tahu. Apabila Wan berada di Kedah menjalani latihan, ada satu insiden yang tak mungkin aku lupa sampai bila-bila. Setiap kali seorang pegawai atasan berbangsa cina ini lalu, setiap orang akan bangun, menghentak kaki, melentikkan badan, memberi tabik hormat sambil menjerit, "Selamat pagi Tuanku!". Aku kebingungan kerana mana mungkin seorang berbangsa cina dipanggil Tuanku? Selang tak berapa lama, aku tersedar 'nametag' beliau tertulis KHOO dan Tuan pula adalah panggilan kesemua prebet kepada pegawai atasan mereka. Jadi sepatutnya didalam penulisan, ia harus ditulis sebagai "Tuan Khoo" dan bukannya "Tuanku" seperti yang aku dengar dan sangka!
 
Bertahun Wan bertugas di Sarawak dan akhirnya mendapat posting untuk kembali ke Semenanjung. Beroperasi dari Shah Alam, Wan dan isteri sentiasa sibuk membesarkan anak-anak. Alhamdulillah, seorang demi seorang kini sedang menempa kejayaan dibidang masing-masing. Yang sulung telahpun bergelar doktor. Yang kedua bakal bergelar peguam. Yang ketiga bakal menjadi chef manakala yang terakhir pula begitu fasih berbahasa Mandarin! Wan mempunyai misi dan visi yang sangat hebat. Pendekatan yang diambil Wan didalam membentuk akhlak anak-anak, mendisiplinkan mereka, menanamkan sikap rajin belajar, membuatkan aku kagum. Tak terfikir dan tak mampu nak aku laksanakan apa yang Wan telah lakukan. Aku tumpang bangga. Kepayahan Wan aku rasai. Kesusahan Wan juga aku rasai. Hebat....itulah  satu-satu perkataan yang mampu aku nyatakan. Wan dan Kak Sutinah telah bersengkang mata membesarkan anak-anak. Bukan senang..
 
Diawal bulan Ramadhan tempohari, Wan dikehendaki masuk ke IJN kerana degupan jantungnya tidak stabil. Oleh kerana IJN berada diantara jalan aku untuk pulang ke rumah maka kesempatan itu aku ambil untuk melawat Wan sebelum pulang berbuka puasa. Banyak kami bersembang. Darihal keluarga sehinggalah kepada penjagaan dan pembelajaran anak-anak. Banyak yang Wan ceritakan kepada aku. Satu persatu nasihat Wan cuba aku ingati.
 
Pagi tadi aku mendapat pesanan ringkas daripada Wan yang mengatakan bahawa esok beliau akan menjalani pembedahan. Aku rasa itu merupakan jalan yang terbaik untuk Wan. Aku pasti anak-anak dan isteri Wan juga berfikiran begitu. Maka dengan itu, di bulan yang mulia, bulan Ramadhan, aku ingin mengucapkan "selamat menjalani pembedahan" esok dan insyAllah aku akan singgah sebelum pulang kerumah untuk bebuka puasa. You take care, be strong and I love you!

Selasa, Julai 08, 2014

Piala Dunia

Bolasepak Piala Dunia telahpun hampir sampai ke penghujungnya. Cuma tinggal 2 perlawanan separuh akhir dan satu perlawanan akhir sahaja lagi. Selesailah penantian selama 4 tahun. Seterusnya, semua negara gabungan FIFA akan kembali sibuk dengan pertandingan ini sekali lagi 4 tahun akan datang! Aku tidak menyokong mana-mana pasukan. Asalkan pasukan itu mempunyai corak permainan yang baik, aku akan sokong. Pada tahun 1970-an dulu aku suka membaca mengenai pasukan Belanda. Mereka mempunyai ramai pemain berbakat dan antara yang aku masih ingat ialah Johan Nieskens dan Johan Cruyff. Cara permainan mereka sangat hebat dan aku pernah berangan-angan untuk menjadi seperti mereka!
 
1981. Bukan pasukan Piala Dunia!

Aku mula bermain bolasepak sewaktu di Tingkatan 1 pada tahun 1981. Oleh kerana aku bermain bolasepak, maka hubungan aku dengan para warden agak lebih rapat diperingkat awalnya....hahahahaha....pada tahun 1982, apabila Piala Dunia bermula, aku dan beberapa rakan yang lain telah diberikan "kebenaran tidak bertulis" untuk menonton di bilik warden dengan syarat, kami tidak membuat bising dan tidak melakukan kesalahan-kesalahan disiplin yang lain. Bilik cikgu merangkap warden yang berdiri tegak baju putih seperti dalam gambar tu lah tempat kami melepak selalu! Cikgu Azizi akan celik mata menyiapkan kerja-kerja beliau manakala kami pulak sibuk menonton bolasepak. Kadang-kadang kami tertidur diatas katil cikgu dan kadang-kadang juga kami termakan makanan dan minuman dibilik cikgu Azizi! Cikgu Azizi tak jadi nak marah bila melihat muka "welfare" kami!
 
Pada tahun 86 dan 90 aku masih lagi mengikuti perkembangan Piala Dunia melalui tv dan pembacaan daripada suratkhabar. Memang hebat! Pada Piala Dunia tahun 1994, aku berada di Switzerland dan bekerja di Geneva. Pada tahun itu juga Switzerland telah melayakkan diri ke Piala Dunia. Diwaktu itu baru lah aku merasai pengalaman bersama-sama penyokong bolasepak eropah meraikan kejayaan! Selepas waktu itu, semangat Bolasepak  Piala Dunia aku telah mula beralih ke RWC yakni Rugby World Cup pulak. Rugby Piala Dunia selalunya diadakan setahun selepas Bolasepak Piala Dunia. Makanya ia akan dijalankan tahun depan di UK! Simpan duit untuk ke sana? Sudah pasti lah....
 
Bolasepak memberi banyak impak kepada aku. Abang sulung aku bermain bola untuk pasukan Piala Rahman dan Piala Razak Melaka dipenghujung tahun 70-an bersama-sama dengan Akob Itam, Isa Jantan, Teong Kim dll pada zaman itu. Setiap kali abang pergi latihan, aku selalunya akan menyusur dibelakang. Melihat beliau mencuci dan mengilatkan but bola dengan "kiwi" hitam tambah menyemarakkan semangat aku untuk berjaya seperti beliau. Posisi kami sama. Cuma dia lebih tinggi dari aku pada ketinggian hampir 6 kaki dan bermain sebagai pemain pertahanan. Banyak perlawanan beliau yang aku tengok dan ini termasuklah perlawanan di Stadium Kubu dan duduk bertenggek di "tangga ayam". Melihat kejayaan beliau satu per satu, tambah menyemarakkan lagi keinginan aku untuk bermain dengan baik. Dari situ lah timbul minat aku didalam permainan bolasepak.

Piala Dunia kali ini bagi aku merupakan antara yang terbaik. Ramai bintang-bintang baru dilahirkan. Yang paling dekat dengan hati aku ialah Neymar kerana aku pernah bertemu dengan beliau secara live sewaktu beliau dan pasukan Barcelona datang melawat pasukan bolasepak VI dulu. Bersusuk tubuh kecil tetapi skill dan kelicikan beliau dipadang memang tak boleh ditandingi. Sayang sungguh Neymar tidak dapat beraksi diperingkat separuh akhir kerana kecederaan. Jika tidak, kehadiran beliau pasti sekali lagi mencuri tumpuan para peminat seluruh dunia!


Bilalah Malaysia akan mempunyai pasukan bolasepak yang mantap dan mampu melayakkan diri ke Piala Dunia? Sesuatu harus dilakukan dengan segera agar tidak tercicir ke belakang. Pemain berbakat ramai dan ada dimerata-rata di Malaysia ni. Masih ada sesuatu yang tak berapa nak kena....Ok people....enjoy the last few remaining matches ya.....watch football and watch your puasa too! Have a pleasant day ahead people!

 
 



Rabu, Julai 02, 2014

Buka puasa di Cheras

Semalam bertempat di salah sebuah hotel di Cheras, aku berjaya mengumpulkan beberapa orang rakan 'sekawah' aku sejak tahun 1981 untuk sama-sama berbuka puasa dan merangka beberapa projek untuk tahun baru nanti. Tak lah ramai memandangkan semuanya sibuk berbuka dengan keluarga. Tapi 8 orang termasuk aku sudah memadai untuk merencanakan projek-projek lain dihujung tahun dan juga tahun depan. Sungguh payah nak mengumpulkan rakan-rakan walaupun hanya 8 orang memandangkan jawatan dan tugas yang mereka sandang. Ada yang dah membayar tetapi disaat akhir tidak dapat pula menghadirkan diri. Namun semua itu tidak menjadi masalah kepada 8 orang "teruna" yang dah lama tak bertemu. Paling awal sampai ialah Kudo. Sewaktu Kudo menalipon, aku masih diatas moto. Terpaksa berhenti ditepi jalan untuk menjawab kerana aku risau kalau-kalau itu adalah panggilan penting. Aku jawab yang aku berada diatas moto.
dari kiri: kudo, aku, POP, demang, payau, buji dan chelayer. Tak kelihatan, iq.
 
Hujan sangat lebat. Aku terpaksa berhenti diatas MRR2 hanya untuk memakai baju hujan. Mulanya fikir, aku mahu lajak terus ke hotel tetapi memandangkan cuaca yang sangat tidak menentu, aku terpaksa balik ke rumah dulu untuk bertukar pakaian! Basah lencun aku dibuatnya. Hujan tak juga reda. Apabila dah agak kurang, aku bergegas menunggang moto ke hotel di Cheras. Kudo dah sedia menunggu. Begitu juga POP. Lepas setengah jam, sorang demi sorang mula sampai. Yang paling aku tak jangka ialah PAYAU sebab daripada mula lagi tak pernahnya beliau mengirimkan sms atau apa-apa saja indication yang beliau akan ikut serta tapi tiba-tiba saja ada!
 
Pilihan makanan agak menarik jika nak dibandingkan dengan diskaun yang kami bayar. Makanan kampung biasalah, penuh kaunter buffet.  di buffet ke dua pula diletakkan salad beserta beberapa jenis air termasuk air tebu. Action stall pulak ada satay dan lamb station, pasta station, soup station dan lain-lain lagi. Aku seperti kebiasaan apabila makan buffet, nasi tak akan aku jamah. Kalau nak makan nasi dan rendang, baik aku balik rumah! Makanya aku dok ronda-ronda kat pasta station. Ngap satu spaghetti carbonara. Ronda kat noodle station, ngap satu mee rebus. Ronda-ronda kat meat station, ngap aku rembat lamb dan satay. Lepas makan aku tersadai. Seluar rasa ketat. Baju rasa sendat. Semuanya berlaku secara tiba-tiba...hahahahahahaha.....
 
Perbualan rakan-rakan nasi sekawah banyak berkisar kepada projek dihujung tahun nanti dan juga projek besar tahun depan apabila kami berusia 47 tahun. Diwaktu itu genaplah 30 tahun kami meninggalkan bangku persekolahan menengah. Walaupun umur sudah menghampiri setengah abad, apabila bertemu, kami kembali menjadi 17 tahun seperti tahun 1985. Cerita berkisar dengan bagaimana kami meniru didalam peperiksaan add maths (yang tu aku) dan bagaimana Payau meniru sewaktu peperiksaan English dan lulus lebih baik daripada orang yang ditirunya! Kami ketawa berdekah-dekah. Bukan calang-calang orang yang hadir semalam. Demang baru saja mendapat anugerah cemerlang daripada Perdana Menteri beberapa hari lalu manakala Payau pula merupakan kepala HR disalah sebuah syarikat besar antarabangsa.
 
 
IQ pula orang kuat di Sime Darby dan sampai paling lewat malam tadi. Kesian kat dia kerana katanya payah nak cari hotel. Orang dah buka puasa baru lah dia sampai. Tapi nasib baik dia sampai.....bila IQ dan Payau (dua-dua kelantan) ada, lagilah kecoh jadinya....IQ aku selalu jumpa. Tapi yang lainnya masyAllah punyalah payah. Terutama sekali POP. Rasa aku dah hampir 30 tahun keluar sekolah, ini baru merupakan kali ke 2 aku jumpa POP. POP ni terlepas ke US lepas sekolah dan lepas dia menghabiskan A Level kalau tak salah aku. Sama lah si Demang dan Payau.   Buji dan Chelayer juga bekas graduan universiti besar di Malaysia dan terserlah dengan syarikat dan jawatan yang mereka sandang sekarang. Kudo di negara kangaroo manakala IQ di NZ. Negara yang aku teringin sangat nak pergi. Kalau dapat tengok pasukan all blacks berlatih rugby pon jadi lah...tempat lain aku tak payah pergi!
 
Aku ada bercerita semalam yang aku ada bagitahu staf-staf aku di Mekah dulu yakni kalau di Malaysia, buka puasa ada kugiran....siap ada penyanyi pompuan lagi....Semua staf aku kata, "MasyAllah....haraaammmmm....haraammmmmm". Semuanya terkejut! Hahahahahahaha....Tapi itulah kita.....apa saja yang tak boleh, itulah yang menyeronokkan! Selamat berpuasa people!

Tewas

Harap maaf betul kerana saya tak termampu nak ipdate cerita-cerita saya disini. Banyak sebenarnya nak dikisahkan. 2. Walaubagaimanapun say...