Ahad, Januari 31, 2016

Buntu..

Ubud, Bali once upon a time..


Assalamualaikum wbt pembaca yang amat aku sayangi. Alhamdulillah aku masih bersemangat untuk menulis di blog mingguan aku ni. Kadang-kala tergaru juga kepala mencari idea apa yang harus aku tulis. Topik apakah yang relevan dan apakah pengajaran yang dapat dikutip oleh adik-adik aku hasil daripada pembacaan mereka. 

Sedar tak sedar dah 9 tahun aku "merapu" disini bercerita perihal keluarga, rakan-rakan, kareer dan apa saja yang dekat dengan aku. Ini termasuklah mengenai sukan yang aku amat minati yakni rugby. Jadi terkadang aku terfikir balik, "eh apa yang aku nak tulis minggu ni?"

Apa yang telah aku ceritakan disini ialah pengalaman aku sendiri berada ditempat-tempat tersebut. Tujuan aku merekodkan kesemuanya dalam bentuk penulisan sebegini ialah sebagai bacaan kepada anak-anak aku apabila mereka berada diusia aku nanti. Mungkin satu atau dua perkara positif dapat diikuti oleh mereka. Tak perlulah semua....Juga sebagai terapi minda untuk aku. Jika aku tak menulis cerita-cerita ini apa lagi yang aku nak buat? Main rugby, badan dah tak mengizinkan walaupun semangatnya masih meluap-luap seperti berusia 17 tahun! 

Ada satu benda lagi yang aku nak buat tahun ni tapi belum berkesempatan lagi. Aku nak kayuh basikal! Bukan basikal kat gym...itu aku boleh kayuh bila-bila! Ini basikal on the road. Aku ada sorang kawan yang sangat gila mengayuh basikal. Gila yang tak boleh dibendung lagi. Habis satu Malaya dia dah ronda. Paling gila bila dia menghantarkan gambar-gambar kayuhannya di Papua New Guinea tahun lalu! Pergh....tak bergerak aku tengok gambar dia walaupun lampu dah hijau sebanyak 3 kali di traffic light tepi DBKL Kampung Baru!

Dah lama dia mencadangkan kat aku jenis basikal yang sesuai untuk aku. Tapi melihatkan tayar basikal yang "ramping", aku jadi ngeri nak menunggang! Aku rasa kalau aku nak beli pun mungkin aku hanya akan beli basikal yang rodanya kecil sikit. Duduk tegak dan bukan membongkok. Boleh lipat masuk dalam kereta atau boleh lipat masukkan dalam bakul moto!

Aku nak mula dengan kayuhan santai selepas makan malam sekeliling rumah aku dulu. Kata orang untuk mendapatkan "feel"nya. Lepas tu boleh lah kayuh ke pasar Ampang. Kemudian jauh sikit ke KOSAS. Lepas tu ke Hulu Langat, rendam kaki dalam kolam air panas kat tepi Dusun Tua! Then kayuh balik. Mesti berpeluh gila dan bagus untuk jantung..

Aku bukan nak masuk competition. Cuma aku rasa sangat terpanggil apabila melihat rakan-rakan yang nampak sangat terhibur dengan hobi menunggang basikal mereka. Ada saja gambar yang dihantar kepada group kami. Itu yang membuatkan adrenalin aku kencang!

Kesihatan perlu dijaga. Kepada adik-adik yang tidak aktif bersukan, Uncle cadangkan agar mulakan sesuatu dan jadikan ia sebagai hobi. Payah-payah, bercucuk tanamlah disekeliling rumah dulu. Lakukan selama 30 minit. Dari satu pasu mungkin minat mula timbul dan adik-adik akan teruskannya sebagai hobi selain riadah utuk kesihatan. 

Sejak Wiwit tiada dirumah kerana bercuti selama 2 bulan, aku mengambil alih tugas sementara dengan menyiram pokok didepan dan tepi rumah. Tak lah banyak. Di tepi tangga didalam pasu ada pokok limau purut, orkid (nak mati), daun kesum dan tutup bumi. Ditepi pagar pulak seperti yang aku pernah ceritakan dulu, aku ada pokok kari, belimbing, serai, kemangi, mangga, nenas, rambutan, aloe vera, ubi kayu dan beberapa lagi. Nak menyiram kesemua ni mengambil masa jugak sebab aku pakai baldi. Mau 4-5 kali berulang baru siap. Tapi 4-5 kali berulang ni lah yang buatkan aku berpeluh. Itulah aktiviti paling sedikit yang kita boleh buat dirumah selain melipat dan menggosok baju. Pada yang nak cepat berpeluh melebihi sauna, aku cadangkan menggosok baju dan jangan pasang kipas ataupun pendingin hawa. Aku garenti lepas 2 helai baju ataupun seluar, peluh akan mencurah-curah. In fact aku rasa ini lah aktiviti 2 dalam 1 terbaik mengalahkan kopi Nescafe 3 in  1! Selain daripada berpeluh dan sihat, pakaian juga akan siap digosok. .....hahahahahahaha....

Baiklah...kepada sesiapa yang berkerja di KL, selamat menyambut hari Kuala Lumpur esok. Duduk rumah diam-diam dengan keluarga ya, jangan nak merayap! Have a pleasant week ahead, people!

Jumaat, Januari 22, 2016

Bersyukurlah

Pavillion, Bukit Bintang

Cuaca sangat panas sekarang. Bahangnya menggigit. Kulit aku sensitif jika terkena cahaya matahari secara direct. Tapi apa boleh aku buat kerana aku setiap hari menunggang moto. Pagi-pagi selepas aku bersiap, akan aku sapukan "sun block" supaya kulit muka tak terbakar. Kadang kala aku telan juga "anti-histamine" untuk mengurangkan kegatalan di bahagian muka akibat terlalu banyak terdedah kepada cahaya matahari. Letih jadinya. Tapi aku masih bernasib baik. Bernasib baik kalau nak dibandingkan dengan orang lain yang mempunyai masalah kulit muka yang lebih teruk. Alhamdulillah. Aku bersyukur dengan apa yang ada! Tapi itu tidak bermakna aku hanya berserah sahaja. Aku masih sapukan sun block dimuka setiap hari sebagai "prevention". My point here is "bersyukurlah".

Setiap pagi Ahad, jika aku berkesempatan, aku sering mengikuti program yang dijalankan oleh kumpulan "Unggas" di Masjed Jamek, Kuala Lumpur. Memberi makan kepada rakan-rakan gelandangan dan sedikit keperluan asas kepada mereka amatlah menginsafkan aku. Kadangkala aku terfikir, aku kesana-kemari hanya dengan menunggang moto. Panas dan hujan terpaksa aku tempuhi. Sering timbul difikiran untuk hanya berkereta setiap hari. Tetapi melihatkan rakan-rakan gelandangan yang tidak mempunyai tempat tinggal, hidup sebatang-kara, tidur dilorong-lorong dan dibawah jambatan, timbul keinsafan dihati kecil aku. Sekali lagi datang perkataan, "bersyukurlah".

Apabila aku bekerja di Geneva dulu, aku sering kekurangan wang. Ini ialah kerana aku terpaksa membelanjakan jumlah yang besar untuk bilik sewa aku dan aku juga harus menyimpan wang untuk sebarang kemungkinan. Duit yang ada hanyalah cukup untuk aku makan "proper meal" sekali sehari. Aku hanya berjalan kaki setiap hari untuk pergi dan balik kerja walaupun sewaktu musim dingin sejauh hampir 2 kilometer. Winter clothing aku hanyalah daripada peninggalan pelajar-pelajar senior yang pulang ke negara masing-masing setelah tamat belajar. Setiap pagi aku makan roti yang dicicah kopi. Setiap tengahari aku makan mee segera yang dibeli di MIGROS. Lepas 3 minggu aku naik muak tengok mee segera. Aku telan jugak sebab aku nak alas perut bukannya nak sedap. Dengan duit lebihan yang ada setelah aku membayar segala keperluan dan sedikit simpanan, aku beli "paste" yang dijual didalam botol seperti sambal oelek (dari holland) dan lain-lain untuk aku buat nasi goreng sebagai santapan malam. Begitulah aku dari sehari ke sehari. Pada hujung minggu aku akan bersiar-siar dengan hanya berjalan kaki sambil membawa bekalan. Hanya berhenti di cafe untuk menikmati secawan dua kopi "orang kaya" sambil membaca buku sebelum kembali menyambung jalan. Aku puas walaupun dengan kekangan kewangan kerana apabila perbelanjaan terbatas, aku menjadi lebih kreatif! Apabila aku pulang dan berehat, aku sering terfikir apa yang berlaku kepada anak-anak dinegara mundur yang tidak berpeluang seperti aku? Sekali lagi aku "bersyukur".

Secara kebetulan dan mungkin juga kerana rezeki Allah swt, aku berkesempatan untuk bertugas di Madinah dan Mekah selama beberapa tahun.  Aku bekerja dan menginap di hotel Al Safwah. Tidak perlu mengeluarkan wang walau satu sen pun untuk berbelanja. Kalau aku malas nak makan di restaurant, aku pesan sahaja makanan dan semuanya akan dihantar ke bilik. Kesemua meal period! Pakaian aku dikutip, dicuci, digosok dan suits aku di dry-clean kan. Setelah siap, semuanya dihantar dan disusun semula didalam almari bilik aku. Peti ais mini dibilik aku sentiasa penuh dengan jus buah-buahan. Bagitahu saja apa yang aku perlu, semuanya akan disediakan oleh Room Service untuk aku. Katil aku dikemas setiap hari. Bilik air juga dicuci setiap hari. Memang satu sen pun aku tak keluar. Menambahkan keindahannya, KSA merupakan sebuah negara "tax-free". 

Apabila aku menyingkap langsir dan melihat kebawah dari bilik aku di tingkat 8, aku dapat melihat dengan jelas ramai peminta sedekah. Tidak kiralah samada mereka genuine ataupun tidak. Apabila ada yang bersedekah, mereka akan dikerumuni hingga berlaku tarik-menarik diantara satu sama lain.

Apabila sebuah restaurant mahu dibuka pada tahun 2008, kebetulan pembesar negara tersebut turut berada di Mekah. Pembesar negara itu telah dipanggil untuk melakukan perasmian tetapi disaat akhir tidak dapat hadir kerana beberapa perkara. Banyak kambing yang ditempah telahpun berada disebelah setiap meja. Tetamu telahpun sampai dan ternyata hanya sebahagian sahaja yang hadir kerana entourage negara yang dijemput tidak dapat serta. Banyak makanan yang telah siap dimasak. Keputusan akhir yang dilakukan ialah dengan menjemput sesiapa sahaja yang lalu lalang untuk datang menjamu selera. Aku menjadi sayu melihat fakir miskin yang dijemput berebut-rebut makan makanan yang tersedia. Sampaikan tulang kambing juga dimasukkan kedalam beg plastik untuk dibawa balik! Masyallah....melihatkan situasi tersebut, hati kecil aku berkata, "bersyukurlah.."

Pesanan kepada adik-adik.
  • lihat sekeliling dan bandingkan diri adik-adik dengan orang lain. Uncle pasti adik-adik ada kelebihan. Makanya bersyukurlah.
  • jika adik-adik hanya ada RM5 untuk makan pada hari itu sarapan dan tengahari, lihatlah sekeliling. Ramai lagi yang tidak makan seharian. Berjimat-cermatlah.
  • Jika adik-adik mahukan IPhone yang berharga ribuan ringgit sedangkan adik-adik masih lagi belajar, pendamkanlah niat tersebut. Teknologi silih berganti. Adik-adik kumpulkanlah duit dan setkan target untuk mendapatkan hp tersebut. Berusaha dengan gigih dan simpanlah wang. Keutamaan jangan dilupakan. Apakah keutamaan hp melebihi makanan dan minuman setiap hari? Fikirkanlah. 
Mobile phone telahpun wujud lebih dari 20 tahun lalu jika tak salah aku. Hanya pada tahun 2006 aku mula menggunakan hp. Hinggalah sekarang, ini hanya merupakan hp aku yang ke 3! Apabila anak-anak aku mencadangkan aku mendapatkan hp Lenovo berharga RM650, aku menjegilkan mata. Terlalu mahal bagi aku hanya untuk menghantar dan menerima mesej. Tetapi dek tekanan daripada anak-anak, aku akur dan beli juga hp tersebut. Maka dengan itu hp tersebut merupakan hp paling mahal pernah aku ada selama ini! 

Apa yang aku nak ceritakan kali ini ialah sikap bersyukur yang perlu kita ada. Jika kita melihat kepada kekurangan kita, lihatlah masyarakat sekeliling. Ramai lagi yang lebih kurang daripada kita. 

Jika kita terpaksa mengikat perut selama beberapa jam, berusahalah untuk keluar daripada masalah tersebut. Ramai lagi  yang tak makan seharian!

Key point here is 'BERSYUKURLAH!". Have a very meaningful long weekend with your loved ones, people!

Sabtu, Januari 16, 2016

Memories

Tokyo 1992, with Mitsuko Owaki sensei

Assalamualaikum anda yang budiman. Telah 2 minggu tahun 2016 berlalu. Apakah yang telah berlaku pada kehidupan aku selama 2 minggu ini? Sewaktu aku mendaftarkan Yuya pulang ke asrama di VI pada tanggal 3hb Januari yang lalu, aku terserempak dengan rakan lama yang sama-sama belajar bahasa Jepun dengan aku di Wisma Belia dulu. Pertemuan yang tak dirancang. Beliau bertudung litup menyebabkan aku bertambah sukar untuk mengenali. Aku melangkah masuk ke dewan makan tempat taklimat kemasukan asrama diadakan. Berdiri ditepi tingkap dan tanpa disedari ada seorang wanita menegur aku. Aku sebenarnya berhenti betul-betul disebelahnya! Aku cuba recall. Dia sebut nama aku dan selang beberapa saat baru lah aku dapat figure out siapakah gerangan wanita tersebut. Masyallah. What a small world!

Syikin mendaftarkan anak bongsunya ke sekolah yang sama dengan Yuya. Sempat kami berborak kecil sebelum berjanji untuk bertemu dengan rakan-rakan yang lain!

Syikin seorang yang sangat pemurah. Pemurah dengan senyuman dan juga pemurah dengan kudrat. Sering membantu rakan-rakan yang memerlukan. Kini anak-anak Syikin telahpun besar panjang. Ada yang telah menamatkan zaman persekolahan dan yang bongsu telahpun berumur 13 tahun. 

Selang beberapa hari kami kembali berhubung dan cuba untuk kumpulkan lebih ramai lagi rakan-rakan lama. Malangnya semua sibuk dan yang available hanyalah Anwar. Itupun datang dari Bukit Beruntung! Hari dan waktu diatur dengan baik. Bertemu jam 2.30. Cafe tak sibuk sangat. Walaupun hanya kami ber 3. Banyak perkara yang kami bualkan dari sewaktu berada didalam kelas yang sama dulu hinggalah kepada kehidupan kami di Tokyo. Semuanya menimbulkan keriuhan dan gelak ketawa. Nikmat nilai persahabatan yang terjalin tak dapat nak aku rungkaikan.

Sewaktu kami sedang mengambil kursus bahasa Jepun, aku sering keluar malam bersama Anwar. Moto kapchai aku sering rosak. Anwar memakai motor RXZ dan itulah moto yang paling besar dalam group kami pada waktu itu. Habis semua gerai di Brickfields dah kami redah. Anwar masih muda waktu itu. Sekitar awal 20-an kalau tak salah aku. Berfikiran sangat matang dan juga seorang yang rajin belajar. Banyak juga yang aku tak berapa faham akan aku rujuk kepada beliau. Anwar seorang yang "tak tahu malu". Di dalam mempelajari sesuatu bahasa asing, perasaan "tak tahu malu" ini sangat penting. Hentam saja walaupun salah. Daripada situ kita akan timbul keyakinan diri untuk berkomunikasi dengan orang sekeliling. Apabila bertutur dengan sensei pula, mereka akan betulkan kembali struktur ayat, tatabahasa dan pelbagai lagi. Ini membuatkan beliau lebih cepat "menangkap" daripada pelajar-pelajar lain termasuklah aku! Sifat beliau itu juga kemudiannya menular kepada aku. Aku jadi iri apabila keluar dengan Anwar di Tokyo. Beliau kedengaran lebih selesa berbahasa Jepun berbanding aku. Bertitik-tolak daripada situ aku berazam tidak akan menggunakan bahasa inggeris didalam pertuturan aku dengan masyarakat setempat. Sebanyak mungkin. Berlaku juga keadaan terdesak apabila sesuatu perkara yang nak aku ucapkan, aku tak dapat mencari perkataan yang sesuai. Dalam kes seperti itu, aku akan menggunakan bahasa inggeris. Terpaksa.

Berbalik kepada rakan aku, Anwar ni tadi. Dah berpuluh tahun kami tak bertemu. Beliau masih slim seperti dulu. Senyuman dan ketawanya masih sama. Jika aku bertemu dengan beliau di Guatemala sekalipun aku masih boleh mengingatinya. Anak-anaknya dah pun besar. Anak sulung sedang melanjutkan pelajaran di amerika. Mewarisi kebijaksanaan ayahnya, aku pasti.

Bangsar 2016 without Mitsuko Owaki sensei

Bukan senang nak berjumpa dengan rakan-rakan lama ni. Dari satu pertemuan yang tak direncanakan, kini telah 2 kali kami bertemu dalam masa seminggu. Aku pasti selepas ini akan banyak lagi bakal berlangsung didalam kumpulan yang lebih besar. Insyallah.

Pengajaran kepada adik-adik
  1. Belajarlah lebih daripada satu bahasa. Jangan malu bertutur walaupun salah. Adik-adik akan rugi jika tidak mampu berkomunikasi didalam pelbagai bahasa. Jangan ambil mudah. Semua ini untuk masa depan adik-adik. Apabila adik-adik menghadiri temuduga nanti, penguasaan bahasa melayu dan inggeris amatlah penting. Markah adik-adik akan meningkat secara mendadak jika adik-adik boleh bertutur didalam bahasa mandarin ataupun tamil. Apatah lagi bahasa antarabangsa yang lain. Inilah kekurangan masyarakat kita. Jangan malu. Ini merupakan sedikit investment yang bakal membawa pulangan yang besar kepada adik-adik! Pada umur yang sebegini (masih muda!) Uncle akan kembali masuk ke kelas bahasa tak lama lagi untuk menyambung ke peringkat yang lebih tinggi. Jika Uncle pada umur 48 ini masih mahu belajar dan kembali ke kelas bersama anak-anak belasan tahun ataupun awal 20-an, kenapa adik-adik tidak? Think about it!
  2. Uncle sangat mementingkan nilai persahabatan. Uncle ada ramai kawan dari seluruh dunia. Sekali-sekala Uncle akan mengirimkan berita kepada mereka. Kawan yang hilang tetapi bertemu semula seperti yang Uncle ceritakan diatas akan terus diingati dan dihubungi. Banyak yang kita boleh belajar daripada mereka. Jangan hidup sebatang kara. Selepas membaca entry Uncle ini, cuba stop, pause and think, berapa ramaikah kawan yang telah adik-adik hubungi selama seminggu ini? Jika tidak, mulakan sekarang dengan seorang!
Okay semua, aku doakan hari minggu ini akan lebih memberi makna dengan keluarga dan rakan-rakan tersayang. Have a great weekend people!



Jumaat, Januari 08, 2016

Berusahalah!

Saas Fe - Suisse

Assalamualaikum wbt para pembaca mingguan aku sekelian. Tahun 2015 telahpun berlalu beberapa hari yang lalu. Bagi aku, alhamdulillah. Ia merupakan setahun yang menyeronokkan. Ada beberapa pencapaian dan juga pengiktirafan kecil-kecilan yang diterima. Aku bersyukur. Penutup tahun 2015 aku juga berlangsung dengan baik apabila dapat bersama keluarga bercuti. Tidak terlalu lama, tidak terlalu jauh dan tidak juga terlalu mewah. Cukup ala kadar. Yang penting, semua happy!

Tahun 2016 sedang dilalui sekarang. Apakah azam aku? Aku tak ada azam pada tahun ini. Aku cuma nak jadi lebih baik dari 2015. Dari segi kesihatan, perihal keluarga, kerjaya dan lain-lain lagi. Aku tahu aku berada ditahap mana tahun lalu dan sebelumnya. Maka oleh itu, aku harus strive dan gandakan usaha untuk menuai hasil yang lebih baik pada tahun ini. Insyallah. The "keyword" here is "BERUSAHA".

Beberapa hari yang lalu aku ada bertemu dengan seseorang yang pakar dari segi kewangan. Kami duduk berbual mengenai jumlah simpanan yang aku ada dan membincangkan perancangan seterusnya. Semua orang ada simpanan. Tak kiralah sikit ataupun banyak. Satu sessi yang sangat bermanfaat bagi aku kerana ada beberapa perkara yang aku tidak tahu dan ada juga beberapa perkara yang aku terlepas pandang samada secara sengaja ataupun tidak. Semua ini pelajaran yang berguna kepada aku. Cuma aku terfikir ishhh, kalaulah aku simpan lebih sikit "masa tu..." But then again, semua dah berlalu. Tak guna nak diingatkan lagi. C'est la vie! Obladi-oblada! Makanya sekarang aku terpaksa gandakan usaha!

Aku selalu berpesan kepada anak-anak agar jangan membazir. Bukan senang nak dapat duit. Bukan hanya duduk, berdoa dan duit akan turun dari langit. Tidak sama sekali. Kita harus berusaha. Ramai yang mengeluh akan kenaikan barangan kini. Tetapi tidakkah pernah terdetik difikiran mereka apakah tindakan susulan yang harus dilakukan untuk mengatasi masalah ini? Berusahalah!

Azumi baru saja selesai menduduki peperiksaan SPM pada bulan Disember yang lalu.  Selesai sahaja kertas terakhir, aku mengirimkan satu message di whatsappnya yang berbunyi didalam Bahasa Malaysianya seperti berikut....

"Tahniah kerana telah berjaya menduduki peperiksaan SPM hingga selesai. Jika Abang memandang ke belakang, Abang akan sedar bahawa cepatnya masa berlalu. 6 tahun disekolah rendah dan 5 tahun di sekolah menengah. Cherish persahabatan dengan rakan-rakan selama 11 tahun tersebut. Hubungan  harus dipelihara sepertimana Papa dengan rakan-rakan Papa selama lebih dari 30 tahun dulu dan hingga kini kami masih lagi seperti sebuah keluarga yang besar. Perjalanan Abang ke alam dewasa akan bermula. Beberapa tahun berada di Universiti dan seterusnya Abang akan mengharungi satu perjalanan yang penuh dengan ranjau dan liku. Berusahalah dengan gigih dan pastikan disiplin terpelihara. Set a goal dan time frame untuk mencapai goal-goal tersebut. Papa percaya yang Abang akan berjaya didalam apa juga bidang yang Abang ceburi. Walau sesibuk manapun Abang, ingat bahawa "keluarga" sangatlah penting. Papa dan Mama akan sentiasa menyokong Abang. Jangan hampakan kami! Apa yang Papa dapat berikan hanyalah "pelajaran". Belajarlah setinggi mana pun. Papa akan tetap berusaha mencari wang untuk menyekolahkan kamu bertiga hingga ke peringkat tertinggi. Selain daripada itu, moto, kereta, rumah dll Abang harus mencari sendiri. Itulah yang Papa lakukan sewaktu Papa diumur Abang dulu..Love you very much - Papa"

Seminggu selepas itu, Abang menalipon aku memberitahu bahawa beliau akan mula bekerja keesokan harinya dan duit itu akan digunakan untuk mengambil lesen memandu. Alhamdulillah. Aku bersyukur.

Pelajaran kepada adik-adik:

  1. Tanamkan azam dan berusahalah sekuat mungkin untuk mencapai azam tersebut. Pada suatu waktu dahulu, Uncle sering berkata, bahawa kita perlu ada plan B supaya jika plan A tidak berhasil, kita sudah ada persediaan. Tidaklah kita terpinga-pinga sewaktu jatuh terduduk. Tetapi pada suatu hari pulak, Uncle membaca sebuah tulisan mengenai motivasi dan perkara-perkara positif. Beliau menulis/berkata, jangan sediakan plan B kerana jika plan B ada didalam minda kita, kita tidak akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat kita kerana kita tahu kita dah ada plan B! Now, it's up to adik-adik untuk memilih yang mana satu lebih baik. There's no right or wrong here!
  2. Pastikan yang adik-adik menabung dari awal. Mulakan dari waktu adik-adik mula bekerja. Siapkan minda dan pahatkan didalam jiwa bahawa didalam masa 5 tahun bekerja tetap, adik-adik akan menyimpan wang dan mampu membayar booking fee ataupun downpayment untuk rumah. Tetapi pastikan yang adik-adik selesa dengan jumlah bulanan yang perlu adik-adik bayar. Jangan ikut orang. Biarlah orang berbelanja besar. Biarlah orang bergaya hebat. Biarlah orang berbelanja mewah. Adik-adik stay focus. Belanja untuk horey-horey hanya setelah kesemua hutang dan segala macam pembayaran  serta sedikit simpanan telah dibuat. Jangan bayar hutang dan simpan hanya selepas horey-horey....itu bahaya! Kereta atau moto boleh adik-adik miliki jika masih ada simpanan berbaki. 
  3. Uncle juga ada rakan yang sewaktu mudanya dulu telah memiliki sebuah rumah pangsa 3 bilik tetapi 2 daripadanya disewakan. Satu bilik yang disewa, duitnya digunakan untuk membayar pinjaman perumahan manakala satu lagi bilik yang disewa, duitnya digunakan untuk membeli/membayar ansuran kereta! That is "smart!"
  4. Adik-adik harus bertanggungjawab terhadap diri sendiri. Berdikari. Jangan mengharapkan ibubapa. Jangan dibebankan hari tua mereka dengan segala macam hutang adik-adik. Hutang kereta lah, hutang moto lah, duit makan la....come on adik-adik....adik-adik lebih baik dari itu. Berusahalah!
Terimakasih kerana masih membaca. Hahahahaha...aku ingatkan semua dah tutup laptop....Btw, have a pleasant weekend. 2-3 hari ni cuaca sangat baik. Pergi lah jogging dan beriadah..jagalah kesihatan! Peringatan ni aku tujukan khas untuk aku yang selalu terlupa dan tak sedar diri! Hahahahaha....

Sabtu, Januari 02, 2016

Universal Studio Singapore


Assalamualaikum wbt pembaca yang aku sayangi sekelian. Kali ini alhamdulillah aku berkesempatan untuk bercuti selama 4 hari dan aku bawak keluarga ke selatan tanahair. Tak pernah aku menetap lama di JB. Ni lah kali pertama. Sebelum tu aku dah berniat nak bawak anak-anak ke Universal Studio Singapore (USS) cuma aku tak zahirkan kepada mereka. Kesian anak-anak lama tak ke theme park yang menepati piawaian "theme park!". Kebetulan Azumi pun dah habis SPM dan diberikan pelepasan cuti dari tempat kerjanya, jadi kami sepakat untuk mengambil 4 hari 3 malam cuti. Marina jadi tak sabar kerana  dia akan ke 2 theme park. USS dan Legoland di Nusajaya.

Kami memulakan perjalanan di awal pagi disebabkan faktor cuaca. Seronok memandu. Semua kecoh bercerita. Aku taklah boring sangat. Melepasi Seremban dan menuju ke Melaka, kesemua penumpang aku dah tertidur! Hahahahaha...

Sebelum sampai ke Nusajaya, rakan aku bagitahu supaya aku singgah dulu di JPO. Cadangan yang sangat baik. Aku cilok masuk JPO dan cilok sepasang kasut buat aku pakai waktu pergi meeting nanti. Anak-anak lapar. Bila tanya nak makan dimana, semua jawab serentak, "Kampachi.....!". Gulp!

Banyak yang depa lihat. Baju, seluar, kasut dan harganya juga berpatutan cuma kadang-kadang model yang kita mahu tak ada...mungkin stok barunya lambat tiba. Rasa aku...orang punyalah ramai..maklumlah cuti sekolah. 

Kami teruskan perjalanan ke Nusajaya. Menggunakan waze untuk mencari hotel. Aku menginap di sebuah hotel kepunyaan junior aku yang bernama "Ariana Hotel". Tempatnya masih baru. Jika ada sesiapa yang nak ke Legoland, bolehlah menginap di hotel ini. Kalau dari Ariana Hotel, senang sangat nak ke Legoland. Ikut jalan belakang yang tak banyak kereta dan voila...10 minit dah sampai. 


Sebelah malamnya aku dijemput oleh rakan batch aku, Aidi Salihin yang berasal dari Sarawak tetapi dah berpuluh tahun tinggal di Johor. Kami makan di "Singgah Selalu" yakni sebuah kawasan makan yang luas dan ada live music. Daging rusa menjadi pilihan. Wahh...meriah sungguh. Hilang penat memandu disiangnya apabila bertemu dengan rakan lama dan isterinya. Banyak perkara yang kami bualkan. Kesemuanya berkisar kepada zaman kami di sekolah dan cerita mengenai keluarga masing-masing! Marina menguap sakan! Hahahahahaha..Terimakasih banyak-banyak Aidi Salihin dan isteri!

Balik ke hotel kami tergolek terus. Walaupun masih awal yakni sekitar 10 malam, mata aku dah juling itik. Tengok lantai nampak ceiling...tengok ceiling nampak lantai...sebelum aku nampak benda-benda yang lagi pelik, baik aku tidur dulu!


Esoknya, aku seperti biasa dah bangun awal. Memang rutin aku kena kejutkan sorang-sorang. Masyallah punyalah payah anak-anak nak bangun. Pukul 8 kami bersarapan di kedai sebelah hotel. Ariana tidak menyediakan sebarang jenis makanan. Tapi jangan bimbang kerana ada convenient store disebelahnya dan ada 2 restaurant sederet dengannya. Oh ya, Ahmad Idham Film Academy hanya di depan hotel. Jadi setiap waktu kami akan terserempak dengan beliau dan para pelakonnya yang juga menginap di hotel yang sama selama kami disitu.....

Kami akan bertolak ke Singapore pada pukul 9 pagi. Jadi 8.30 pagi kenderaan yang aku tempah beserta pemandu telah tiba untuk mengambil kami. Pemandu memberikan borang immigresen untuk diisi. Tepat jam 9 pagi kami mula bergerak melalui Tuas. Sengaja aku memilih weekday dan jauh sikit dari cuti x'mas kerana tak mahu tersangkut di check point. Memang tak busy kata pemandu. Tapi dalam tak busy tu pun kami mengambil masa selama 2 jam untuk lepas. Bayangkan kalau busy!


Kami memang dah ada tiket yang dibeli online. Setiap tiket berharga SGD70 dan kami juga membeli express ticket yang berharga SGD50. Jadi setiap orang aku belanjakan SGD120 hanya untuk tiket! Ditukar ke matawang kita, masyallah dah RM370 setiap tiket! Apa salahnya sekali-sekala. Jika aku ke Tokyo Disney, harga tiketnya juga begitu. 

Kesian aku lihat pada mereka yang tidak mempunyai "express pass". Terpaksa menunggu sekurang-kurangnya sejam untuk menaiki setiap ride. Alhamdulillah by 5pm boleh dikatakan semua rides dah pun habis dinaiki. Aku rekomen untuk beli express pass tu walaupun harganya sedikit mahal. Segala-galanya bagus kecuali aku terkilan dengan seorang petugas disitu. Aku tanya pukul berapa show di kolam air tu akan bermula dan dia dengan nada keras memberitahu aku, "why didn't you look at the notice board before asking?" Aku tersentak...Wow......

Aku jadi hairan apabila anak-anak lelaki aku semuanya tak sanggup untuk menaiki "Battlestar Galactica" roller coaster tetapi Marina beriya-iya mengajak dan naik dengan aunty. Wah...hebat budak ni. Azumi tak berani dan Yuya serta aku takut pening! Hahahahahaha....Flower Power!

Kami berjanji untuk bertemu semula dengan pemandu pada pukul 5.30 petang di entrance tempat kami diturunkan. Dan tepat pada waktunya, beliau muncul! Dari situ kami mula bergerak ke beberapa tempat yang biasa dikunjungi oleh pelancong ke singapura. Jalan agak lengang dan pemanduannya selesa. Tidak rushing. Sekitar 7-7.30pm kami mula menuju ke immigresen sekali lagi. Cuaca dah mula gelap. Untuk keluar ke JB kami terpaksa mengharungi 2 jam lagi kesesakan lalulintas. Marina setengah pengsan kerana nak ke toilet. 

Sampai di JB kami terus makan malam dan kemudian pulang ke hotel. Trip kali ni rasanya menggembirakan anak-anak. Alhamdulillah....

Esoknya pulak ada kawan lama aku sorang lagi, Fuad Mustadak mengajak kami makan tengahari. Alhamdulillah, rezeki. Beginilah bila kawan ramai! Hampir 2-3 jam kami berborak mainly perihal pasukan bolasepak JDT yang hebat! Kalaulah Azumi dapat bermain dengan pasukan senior JDT! Hahahahahaha....aku pencen dan jadi manager saja! Usai makan tengahari, Fuad menghantar kami balik ke hotel dan aku terlelap menanti panggilan dari aunty untuk mengambilnya dan Marina dari Legoland. Malamnya aku tak boleh nak kemana sebab badan dah mula rasa tak sihat. Aunty dan anak-anak keluar makan. Tinggallah aku sorang kat bilik. Sungguh tak bermaya. Mungkin terlalu letih dan badan kekurangan air. Aku rasa...Ajakan sorang lagi kawan lama aku untuk dinner pun terpaksa aku tolak. Rasheed Hassan atau lebih dikenali dengan panggilan Chico sorang lagi budak jb yang agak sering aku cerita kat sini. Malam tu saja 4 kali aku ke tandas. Pulang ke KL keesokan harinya, aunty yang memandu dari JB ke KL! Thank you...thank you...

Alhamdulillah. Walaupun percutian ni singkat tetapi waktu bersama keluarga amatlah berharga bagi aku. Lepas ni sorang demi sorang akan meninggalkan rumah. Walaupun waktunya masih jauh lagi tetapi aku dah dapat rasakan kesunyian nanti tanpa anak-anak. Hahahahaha...being emotional sikit! Hiishhhh merepeklah!

Pengajaran untuk adik-adik!

Ada jugak ni...bukannya tak ada...walaupun bercuti tetapi pengajaran mesti ada ya adik-adik semua! 
  1. hubungan silatulrahim bersama rakan-rakan haruslah dijaga. Berbuat baik kepada masyarakat sekeliling dan insyallah masyarakat sekeliling akan berbuat baik kepada adik-adik. Didalam entry ni Uncle menjuruskan kepada nilai persahabatan Uncle bersama rakan-rakan sekolah dulu. Walaupun Uncle tahu mereka sangat sibuk tetapi mereka masih lagi mencari waktu agar kami dapat bertemu. Tidakkah ini rezeki dari Allah?
  2. sesuatu yang adik-adik mahu lakukan, haruslah ada perancangan yang teliti. Didalam entry ini Uncle maksudkan percutian Uncle. Uncle telah merancang setiap detik itu dengan teliti. Kenderaannya, kewangannya, makan-minumnya dll. Maka, setiap apa yang adik-adik ingin lakukan haruslah dirancang terlebih dulu. Begitu juga dengan "career" adik-adik. Jika tiada perancangan yang teliti, cita-cita adik akan tercapai lebih lewat. 
  3. hati-hati apabila makan...pastikan daripada sumber yang bersih. Bukannya apa, lepas bersarapan bagai nak gila, Uncle dapat "cherry-berry" (istilah dari kak lit - my sister) dan 3 hari berulang ke tandas!
Ok semua, dikesempatan awal tahun baru ni aku nak memohon ampun dan maaf jika terdapat mana-mana entry yang menyentuh perasaan pembaca secara sengaja mahupun tidak sengaja. Aku juga manusia yang tak terlepas dari melakukan kesalahan. Dengan itu, aku akhiri entry kali ini dengan, "Akemashite Omedetou Gozaimasu!" yang membawa maksud, "Selamat Tahun Baru!"


Nak pesan sikit...

it's a long road... Assalamualaikum aku ucapkan kepada adik-adik yang membaca tulisan-tulisan aku dan juga kepada kakak-kakak dan a...