Ahad, Februari 15, 2015

Masa depan


Aku pernah melalui apa yang sedang anak-anak aku lalui sekarang ini. Tahun ini merupakan tahun peperiksaan besar untuk Abang. Cepat sungguh masa berlalu. Abang lahir, aku ingat lagi yang kami kelam-kabut mencari taman asuhan kanak-kanak untuk kami tinggalkan sebentar apabila bekerja. Jauh kami mencari rupanya sewaktu kami makan char kway teow ditepi jalan berhampiran rumah, kami ternampak Taman Asuhan tu cuma didepan gerai char kway teow! Lepas makan, kami bergegas ke rumah tersebut dan bertemu Cikgu Aishah. Baik orangnya. Nah, disitulah Abang, Yuya dan Marina menetap sewaktu kami bekerja. Abang masuk sekolah darjah satu. Kemudian Yuya pulak menyusul. Aku rasa masih baru. Abang kemudiannya masuk darjah 6 dan Yuya pula darjah 3. Marina pulak menyusul. 

Abang mengambil PMR dan Yuya UPSR. Alhamdulillah kedua-dua keputusan peperiksaan memuaskan hati aku. Kini Marina di darjah 3, Yuya di tingkatan 2 dan Abang di tingkatan 5. Tiba-tiba pagi ini terasa seperti tersentap perasaan aku. MasyAllah...Abang dah tingkatan 5? Hujung tahun akan menduduki peperiksaan dan seterusnya meneruskan pelajaran kemana-mana pusat pengajian tinggi jika keputusan memuaskan!

Tekanan pasti ada pada diri Abang, Yuya dan Marina. Tekanan sebagai pelajar disekolah yang rata-rata mempunyai jumlah para pelajar yang sangat baik dengan keputusan yang membanggakan setiap tahun. Tekanan sebagai pelajar senior diasrama yang sentiasa dipandang oleh adik-adik junior sebagai mentor jika berkelakuan baik dan akan dibenci sekiranya berkelakuan sebaliknya. Tekanan dengan jawatan-jawatan sukan dan persatuan disekolah mulai terasa. Masa berlalu begitu cepat sekali dan kini telahpun masuk ke bulan Februari. Bulan Mac akan ada peperiksaan pertama. Anggaplah semua yang bakal ditempuhi sebagai salah satu daripada hurdles yang terpaksa dilalui. Tidak ada jalan mudah. Tidak ada jalan pintas dan tidak ada red carpet yang akan menyusul untuk memudahkan segala perjalanan hidup. Semuanya harus bermula daripada ketekunan, disiplin dan latihan tubi tanpa mengenal jemu. Tanamkan minat untuk memajukan diri. Harus mampu berdaya saing. Lihat sekeliling, jika ada yang lebih bijak dari kita, "pause and think" dan kaji sebentar bagaimana mereka boleh sedemikian. Apa yang ada pada mereka sama seperti apa yang ada pada kita. Kelebihan mereka hanyalah mereka tahu mempergunakan peluang yang ada. Bijak menggunakan peluang selepas kelas untuk bertemu guru untuk mendapatkan penjelasan lanjut. Bijak mencari rakan-rakan untuk sama-sama mengulangkaji pelajaran. Disiplin juga sangat penting untuk bersaing. Jika kita tidak berdisiplin, in a way, kita akan ketinggalan. Aspek-aspek itu semua juga penting apabila kita melalui alam dewasa dan bekerja. Selain daripada itu, harus ada minat dengan apa yang kita laksanakan. Minat memainkan peranan penting didalam menentukan apakah sesuatu pekerjaan itu dilakukan dengan "terpaksa" ataupun dengan "senang hati".

Aku berharap dan sentiasa berdoa agar anak-anak aku tahu akan kepentingan pelajaran. Biarlah aku bersusah-payah untuk mereka. Biarlah aku tidak mempunyai rumah besar, kereta besar dan duit berkepok didalam bank asalkan aku tidak lalai dalam memberikan pelajaran terbaik untuk anak-anak sehingga mereka berjaya. Aku sering berdoa agar rezeki aku sentiasa ada. Bukan untuk aku tetapi untuk ketiga anak-anak aku menyambung pelajaran. 

Selepas aku bersekolah, aku terus memulakan alam pekerjaan. Pada mulanya hanyalah untuk memenuhi waktu yang terluang. Akhirnya timbul minat untuk mendalami bidang yang mula aku terokai. Sehingga ke tingkatan 6 aku masih lagi "struggle". Struggle bukan kerana arwah bapak dan mama tidak mampu untuk menyekolahkan aku tetapi struggle kerana aku gagal menunjukkan kepada mereka yang aku mampu memperolehi keputusan peperiksaan yang baik. Masa aku banyak dihabiskan dengan bermain "bola lonjong" sehingga sewaktu didalam minggu peperiksaan STPM aku masih mengayuh basikal (setelah habis peperiksaan pada hari itu) dari Brown Garden ke Penang Free School semata-mata untuk menjalani latihan untuk mewakili pasukan PP. Sekali lagi keputusan peperiksaan tidak menyebelahi aku. Aku sedih kerana setelah arwah bapak dan mama bertungkus-lumus serta berjaga ditengah-tengah malam mengejutkan dan membancuh kopi buat menemani aku mengulangkaji pelajaran, aku masih gagal. Bertitik-tolak dari situ aku nekad untuk membuat satu perubahan. Aku mula bekerja untuk mengumpulkan wang. Tidak lagi mahu menyusahkan ibubapa. Pemergian aku ke ITM dibiayai sepenuhnya oleh aku sendiri yang bekerja siang dan malam di kedai aiskrim. Itu termasuklah tambang bas aku dari puduraya ke Dungun. Aku tekad yang aku tak akan meminta satu sen pun daripada kedua ibubapa. Aku berumur 20 tahun waktu itu. Selesai belajar, aku kembali bekerja dan mula menyimpan untuk rancangan aku yang ke dua. 

Pause and think

Mengambil kelas malam sewaktu sedang bekerja sepenuh masa bukanlah sesuatu yang mudah. Memerlukan fokus yang tinggi. Sewaktu bekerja, ramai yang lebih baik dari aku. Aku "pause and think" sebentar dan mencari kelemahan diri. Kenapa mereka boleh dan aku tidak? Dari situ aku berusaha keras. Anak-anak Papa, you see, apa yang Papa nyatakan diatas, telahpun Papa sendiri praktikkan. 

Menggunakan peluang yang ada

Aku menggunakan peluang yang ada. Aku membuat kerja lebih daripada orang lain seperti over time dan sebagainya. Disitu juga aku sering bertanya kepada yang lebih berjaya bagaimana mereka mencapai tahap sedemikian. Bertanya kepada pengurus aku bagaimana mereka boleh mencapai ke tahap pengurus? Aku diberikan tips satu persatu. Yang baik aku ikut manakala yang tidak baik aku ingat supaya apabila aku berada ditahap mereka, aku tidak mengulangi kesalahan yang sama. Apa sahaja training yang diadakan dihotel akan aku hadiri. Tak perlu bayar untuk menghadiri training dan tak perlu bayar tambang yang mahal kerana semua training dijalankan di premis. 

Bijak mencari rakan-rakan

Sewaktu aku belajar diluar negara ada yang rajin belajar dan ada juga yang rajin merayap. Pilihan ditangan aku. Apakah tujuan dan matlamat aku menyambung pelajaran? Nah, disini aku harus bijak mencari rakan-rakan. Ada yang mengulangkaji pelajaran selepas waktu makan malam. Ramai juga yang mengajak untuk ke bar selepas waktu makan malam.

Alhamdulillah aku dikelilingi oleh ramai rakan-rakan sekerja. Rakan yang rajin bekerja dan juga rakan yang kurang rajin bekerja. Semua rakan aku. Pada satu tahap, bila balik ke rumah dan sebelum tidur, aku akan berfikir, apakah pilihan aku esok? Aku seronok bekerja dengan yang rajin. Setiap pergerakan mereka aku perhatikan. Bagaimana mereka melayan tetamu, membuat order ke dapur, membuat paperwork, membuat order dan pick up daripada store dan lain-lain lagi. Menarik. Aku belajar lagi. Sewaktu habis kerja, kami akan berkumpul di kedai kopi berdekatan hotel dan akan bercerita. Rakan-rakan yang rajin akan bercerita mengenai kerja seperti occupancy hotel pada hari ini supaya kami tahu berapa yang akan turun breakfast keesokan harinya dan akan saling berpesan agar datang awal dan tidak mc supaya kerja esok berjalan  lancar. Manakala rakan-rakan yang kurang rajin akan bercerita kemana mereka akan pergi malam nanti. Aku dapat mengagak yang rakan-rakan ini akan "lambat" untuk masuk syif pagi....So, sekarang, apakah kita "bijak mencari rakan-rakan?"

Berdisiplin

Bermula dirumah. Disiplin bangun pada waktunya. Disiplin mengemas bilik sebelum keluar. Disiplin membuat kerja-kerja yang diberikan. Berdisiplin serta mematuhi undang-undang seperti jangan membuang sampah merata-rata. Ini perkara kecil. Tetapi daripada perkara kecil inilah akan lahirnya satu bangsa besar yang kuat serta berdisiplin. Sewaktu aku di Switzerland dulu, aku lebih gemar menggunakan public transport daripada memandu. Timingnya betul seperti yang tertera. Sewaktu aku melepak di Lac Leman di Geneva sambil melihat Jet d'eau dan berangan, aku lihat ramai yang membawa anak-anak anjing bersiar-siar. Ditangan mereka ada plastik yang akan digunakan untuk mengutip najis anak-anak anjing itu nanti. Itu juga disiplin! Sewaktu aku kuliah disana, setiap pelajar masuk kekelas tepat pada waktunya. 15 minit lebih awal daripada waktu yang ditetapkan. Itu juga disiplin. Assignments yang diberikan akan dihantar tepat pada waktu yang ditetapkan. Itu juga disiplin!

Minat

Kesemua perkara diatas tidak akan "menjadi" jika kita tiada minat. Apabila kita minat dengan apa yang kita nak dan akan lakukan, perkara susah akan menjadi senang. 

Keimpulannya.

Aku berharap agar anak-anak aku dapat berfikir panjang didalam menentukan halatuju mereka. Aku tak mampu nak menetapkan apa yang perlu dan tak perlu dilakukan. Mereka harus berfikir sendiri. Apa yang mampu aku lakukan hanyalah bertungkus-lumus mencari rezeki untuk mereka terus belajar. Lain daripada itu, terus-terang aku katakan, aku tak mampu. Sekali lagi harapan dan doa aku agar anak-anak aku, Abang, Yuya dan Marina akan dapat mencapai cita-cita mereka. Ingat..."usaha tangga kejayaan!" Have a nice Sunday people!


menunggu anak selesai tuition!



10 ulasan:

iryantyismail berkata...

jiwa kena kental nie..kalau tak..tak mampu yan nak buat macam uncle...

:-)) semoga anak2 uncle terus berjaya dalam hidup..insyallah..amin..

Uncle berkata...

Salam Iryanty.
jiwa kental harus ada pada kesemua orang. Jika tidak kita akan kecundang separuh jalan dan segala cita-cita kita akan musnah. Ada yang bermula awal dengan baik dan berakhir juga baik. Ada yang mula awalnya baik tapi kesudahannya tidak. Ada yang bermula lambat dan pengakhirannya berjaya dan ada juga yang bermula lambat dan pengakhirannya gagal. Semua ini adalah pilihan individu. Tiada siapa dapat membantu. Kesedaran untuk berubah harus datang dari dalam diri sendiri...seperti kata orang perancis, "c'est la vie!" yang membawa maksud "that's life!"

ummi_khalish berkata...

As salam uncle..dil suka baca coretan uncle..jadi penguat semangat dil di bumi mesir ini..suami dil masih lagi belajar dan dil pula berhenti kerja dan mengikut dia..dengan 2 orang anak yang lahir di bumi asing ini..semuanya ditempuh sendiri..tanpa biaya dari mana2 kerana suami mengambil pengajian agama..buat kami jadi sangat kuat.memang kadang2 kala lelah..kerana berusaha sendiri..tambahan bumi mesir ini kami tidak dibenarkan bekerja..tapi....demi anak..membuat kita jadi sangat tabah demi memberi mereka yg terbaik..tapi alhamdulillah..anak2 dil walau masih kecil..memahami kesusahan abiumminyer..semoga anak-anak2 kita menjadi anak yang menyejuk hati sentiasa..:-)

Ibu n Abah berkata...

Jauh juga tu dari brown garden ke padang free school...
In syaa ALLAH Uncle... Akak jamin anak2 uncle akan berjaya dengan cemerlang atas hasil didik dan tunjuk ajar dari uncle...
Rasanya dah 5 tahun akak ikuti kisah uncle... Uncle mmg superb....
Diam tak diam Abg dah SPM. Rasa baru sangat abg ambil UPSR.
Bagus entry uncle pagi ni...
Sesuai utk kami jdkan panduan mendidik anak. Bagai manual yg sgt berguna.

Uncle berkata...

Waalaikumsalam ummi Khalish.
Terimakasih kerana membaca dan terimakasih jika tulisan Uncle memberi sedikit panduan kepada Ummi Khalish. Alhamdulillah. Memang tough hidup dinegara orang. Kesusahan itu mengajar kita menjadi lebih cekal dan creative. Ummi Khalish boleh memasak kepada pelajar2 kita untuk menjana sedikit pendapatan ataupun suami boleh menjadi part time tourist guide jika lapang. Banyak pintu rezeki. Yang penting kita sentiasa berusaha dan bersyukur. Kirim salam pada "abang" dan peluk cium untuk anak-anda!

Uncle berkata...

Alhamdulillah Ibu N Abah jika ia boleh menjadi panduan. Saya menulis untuk bacaan saya dan anak-anak bila saya tua/tiada dan mereka dewasa nanti. Sebagai peringatan yang saya sangatkan sayangkan mereka...jika ia juga membantu para pembaca, alhamdulillah sekali lagi! Syukur!

Dan ya, 5 tahun berlalu dengan begitu pantas lebih-lebih lagi apabila anak-anak berada didepan mata. Arwah bapak sentiasa tiada dirumah kerana bertugas dulu. Makanya saya tidak mahu anak-anak membesar tanpa perhatian saya...Precious time yang akan saya ingati sampai bila-bila...what's going to happen in the next 5 years time?

Unknown berkata...

Kita sebaya..sy mengikuti blog ni smjak bpindah dr kl ke jb. Bkongsi rasa n smangat utk meneruskn khidupn ni..dlm mbesarkn ank2 lelaki 21 & 17thn.

Uncle berkata...

Puan Rita Yatim.

Terimakasih kerana mengikuti penceritaan perjalanan hidup saya yang tak seberapa jika nak dibandingkan dengan orang lain. Saya bersyukur dengan apa yang dikurniakan Allah kepada saya. Sama-sama kita berkongsi semangat untuk maju kehadapan...bukannya senang nak mendidik anak-anak apatah lagi bila mereka meningkat remaja. Cabarannya banyak. Come to think of it, arwah bapak dan mama saya dulu juga pening kepala...

rezeki berkata...

Salam uncle

Insyallah, moga perjalanan hidup anak2 kita sentiasa dipermudahkan

Saya kat THCC Alor Star ni, baru tadi berborak dgn en hazlan hehehe

Uncle berkata...

Waalaikumsalam.

Semoga pengalaman di THCC memuaskan dan perjalanan pulang dipermudahkan. InsyAllah..

Tewas

Harap maaf betul kerana saya tak termampu nak ipdate cerita-cerita saya disini. Banyak sebenarnya nak dikisahkan. 2. Walaubagaimanapun say...