Rabu, Ogos 20, 2014

Bangkok Trip

 


Dari kiri, Elaine (Hong Kong), John (Korea), aku (M'sia) dan Yuya Egawa (Japan)
 
Dah lama aku tak naik kapalterbang. Kali ini aku nekad walaupun ada beberapa kejadian yang tak sepatutnya berlaku telah menghiasi dada-dada akhbar kebelakangan ini. Risau, cuak, bimbang, semuanya bersarang difikiran. 2 jam perjalanan insyAllah akan berjaya aku lalui. Kali pertama ke KLIA2 membuatkan aku teruja. Bangun awal dipaginya dan membuat panggilan talipon untuk mendapatkan teksi amatlah mengecewakan. Rancangan aku nak ke KL Sentral dan menaiki ERL ke KLIA2 tetapi semuanya tidak menjadi gara-gara tidak ada teksi yang mahu ke KL Sentral. Tetapi beberapa minit kemudian, apabila aku sekali lagi menalipon ke syarikat yang sama dan memberitahu kali ini aku mahu ke KLIA2, sungguh pantas mereka mengirimkan sms beserta nombor pendaftaran teksi! Hmm........
 
Aku sampai awal di KLIA2 dan selalunya begitulah kerana aku tak mahu terburu-buru mendaftar masuk, tergesa-gesa mencari Pintu dan juga boarding. Aku sampai 2 jam lebih awal. Relaks, mengunjungi salah satu cafe yang ada disitu, memesan secawan kopi dan membaca novel yang aku bawa. Bliss...nikmat dunia! Melangkah masuk ke pesawat, para petugas telah bersedia menyambut dengan senyuman yang amat manis dan genuine....kalau tak genuine selalunya kita akan dapat lihat dari senyuman, ekspresi muka dan mata yang mungkin akan melirik ke lain!
 
 
Penerbangan kali ini tepat pada waktunya. Alhamdulillah. Sampai di Don Mueng Airport juga tepat pada waktunya. DMK tidaklah sebesar mana dan tambah lengang kerana kini hanya menjadi lapangan terbang AA dan lain-lain penerbangan tambang murah sahaja. Mudah untuk aku selesaikan urusan imigrasi. Dalam masa 30 minit aku telahpun berada diluar lapangan terbang. Mencari teksi bukanlah payah. Menuju ke hotel pula hanya mengambil masa perjalanan 25 minit . Sesampainya aku dihotel aku mendapat message yang rakan-rakan aku telahpun berada di Bangkok tetapi menginap di hotel berlainan. Aku tidak berhajat bertemu mereka lagi. Petang dan malamnya aku "free" dan kesempatan ini aku gunakan sebaik mungkin untuk mencari lokasi baik untuk aku tuju. Terutamanya untuk membeli belah buat keluarga. Tidak banyak yang aku beli kerana akupun bukannya seorang yang pandai membeli cenderahati. Kalau tak dipesan, memang sah aku takkan beli! Cuma tee shirts untuk keluarga dirumah dan sabun mandi manggis yang dipesan aunty. Itu sahaja. Selepas pulang ke hotel, baru aku sedar yang aku tak beli tee shirt untuk diri sendiri. Hahahahaha.....
 
Hari Jumaat selepas sarapan, aku menjadi kelam-kabut kerana internet tidak ada di hotel. Bagaimana aku nak access email dan lain-lain? Aku meminta tolong kepada receptionist yang ada dan hanya dibenarkan menggunakan pc kepunyaan pejabat selama beberapa minit sahaja untuk menyemak dan membalas email yang aku terima berkenaan kerja. Fikiran aku pulak yang semak. 20 tahun dulu sewaktu kemudahan internet tidak ada, aku tak pernahnya risau memikirkan hal-hal berkenaan membalas email, membaca serta membalas whatsapp dan lain-lain lagi tapi kini bila internet tidak berfungsi, semuanya menjadi kelam-kabut! Punggahhh....(mengikut kata-kata arwah pelawak Maidin).
 
Sebelah malamnya sewaktu kami berkumpul disebuah restoran ditengah kota Bangkok, banyak perkara yang kami bincangkan. 20 tahun bukanlah satu jangka waktu yang singkat. Kebanyakkannya telahpun berkahwin dan mempunyai anak-anak yang kini sedang bersekolah. Jon datang dari California, Fon dari Germany, Janssen dari Singapura, Elaine dan Hazel dari Hong Kong, Yuya Egawa dari Jepun manakala John dan Carla dari Korea. Yang lain-lainnya adalah alumni dari Thailand sendiri. Banyak yang kami ceritakan. Seperti kebiasaannya banyak gambar yang kami ambil. Pertemuan selama 3 jam beserta makan malam makanan tradisional Thailand amat menyelerakan. Selesai majlis makan malam dan ucapan Yuya mengusulkan agar kami terus menuju ke salah sebuah bar yang hebat katanya di Bangkok. Aku memohon maaf kepada Yuya dan meminta diri untuk pulang dengan alasan baru sampai walaupun penerbangan hanyalah 2 jam sahaja! Aku letih dan perlukan rehat yang cukup. Sebenarnya aku kurang selesa dengan muzik yang bingit dan suasana bar yang penuh dengan minuman keras. Biarlah mereka berhibur. Hiburan untuk aku ialah membeli-belah untuk keluarga, melawat sahabat yang lama tak aku temui, berkunjung ke cafe dan membaca novel, berehat sebaik-baiknya dan juga sekali-sekala pergi berurut yang ternyata masih murah kalau nak dibandingkan dengan di KL. 2 jam oil massage hanyalah berharga tak sampai RM80. Jika di Thai Odyssey sejam sudah mencapai RM90! Makanya aku lebih senang ke Brickfields sahaja. Sekembalinya aku ke hotel, aku hairan kenapa mata aku terlalu berat rasanya walaupun jam baru menunjukkan pukul 12 malam. Aku terlupa waktu Thailand ialah sejam dibelakang kita. Maksudnya waktu itu sebenarnya pukul 1 pagi. Sama dengan waktu aku masuk tidur di KL. Patutlah ngantuk sangat!
 
Senang nak "cam" kat mana aku! Hahahahaha...
 
Hari Sabtu selepas bersarapan, sekali lagi aku menyusuri Jalan Petchaburi menuju ke tengah kota. Singgah sebentar dibeberapa buah lorong untuk meninjau gerai-gerai kecil serta kereta sorong yang menjual makanan. Sangat menarik...aku teringin mencuba tetapi membatalkan hasrat kerana baru sahaja selesai bersarapan. Malam nanti ada satu lagi majlis makan malam. Kali ini akan dihadiri oleh beberapa orang lagi teman yang baru sampai dari Hong Kong. Memasuki sebuah bangunan disebelah kanan, aku terus naik ke tingkat 5. Menyatakan hasrat aku untuk berurut kepada receptionist yang sedia menunggu, aku dibawa ke sebuah bilik diantara berbelas-belas bilik yang ada. Kali ini aku meminta "oil massage" selama 2 jam. Berbaring dikatil tinggi, menukar kepada pakaian yang disediakan, aku mula dikerjakan. Hasrat untuk melelapkan mata terpaksa aku batalkan kerana setiap kali nak terpejam, setiap kali itulah aku "disesah" oleh tukang urut tadi! Selesai berurut, aku keluar dan rupa-rupanya hujan di kota Bangkok. Susah pulak nak dapat teksi manakala tuk-tuk berharga 2 kali ganda. Hanya berpandukan kepada nama jalan, aku memberanikan diri mengatur tapak berjalan terus hingga aku terlihat beberapa bangunan yang aku rasa familiar setiap kali lalu disitu. Setelah setengah jam dan aku pun berpeluh sakan, aku sampai di hotel penginapan dan bersiap untuk makan malam di Chesa Suisse Restaurant di Sukhumvit Soi 20 malam nanti.
 
Aku keluar awal dari hotel. Jam 5.30 aku dah menaiki teksi menuju ke Sukhumvit yang kalau tidak sesak, cuma mengambil masa 10-15 minit untuk sampai. Tapi masyAllah, orang punyalah ramai...kenderaan punyalah banyak dan jalan pulak punyalah sempit! Tepat pukul 7 malam baru aku sampai di Chesa! Pergh...memang SEKSA! Makan malam berlangsung dengan meriah. Makanan utama sudah pastilah raclette dan fondue yang berasaskan cheese. Itulah makanan kami disekolah dulu apabila ada acara "compulsory lunch/dinner" sebulan sekali dulu. Sangat nostalgia. Bergenang kelopak mata kawan-kawan aku bila mengenangkan 20 tahun dahulu kami pernah belajar disekolah yang sama serta makan makanan yang sama! Berfoto, bergelak ketawa dan ada rakan aku dari China yang membawa anak dan isteri sekali ke majlis berkenaan. Kami menjadi seperti sebuah keluarga besar yang terputus hubungan sebentar. Sedar tak sedar jam dah menunjukkan hampir pukul 12 tengah malam dan restaurant telahpun lengang. Yang tinggal hanyalah kami didalam 'private room'. Yuya mengusulkan agar malam itu disambung disebuah bar Jepun yang sering dikunjunginya hampir saban malam. Sekali lagi aku memberi alasan bahawa keesokkannya aku ada early flight dan harus keluar dari hotel pada pukul 5 pagi! Mereka akur dengan alasan aku. Setelah bersalam dan berfoto untuk entah kali ke berapa, aku menahan teksi untuk pulang ke hotel. Kali ini hanyalah mengambil masa selama 15 minit!
 
 
Hmmm, aku tak ambil pesawat ini..."berdiri bulu roma ku"
 
Aku memanggil teksi pada pukul 5.45 pagi. Berat nak pulang ke KL meninggalkan rakan-rakan yang aku kenal, makan serta belajar bersama selama beberapa tahun dulu....tetapi sebelum pulang dari makan malam malam sebelumnya, kami sudahpun berjanji yang ini akan menjadi acara tahunan kami dan 2015 bakal berlangsung sekali lagi di Bangkok sebelum ianya berubah kebeberapa negara Asia yang lain. Aku cadangkan 2016 nanti diadakan di Bali. Jika di Bali aku pasti ramai yang akan kesana dan ini juga boleh dijadikan acara keluarga. Waktunya masih tetap di bulan Ogos setiap tahun....kepada rakan-rakan aku yang sempat aku temui di Bangkok dan kepada rakan-rakan lain yang bercadang untuk sama-sama berada di Bangkok pada tahun 2015 nanti, aku nak mengucapkan agar semuanya berjaya didalam kerjaya masing-masing, "Till We Meet Again......." dan sama-samalah kita hayati kata-kata hikmat Cesar Ritz yakni, "Spirits of Excellence". Ok people...jumpa lagi nanti....enjoy the last few days of Syawal...jangan makan banyak sangat...jaga kesihatan dan ceria selalu!
 
 
 
 

6 ulasan:

Kakcik Seroja berkata...

Alangkah meriahnya!.., :)

Ibu n Abah berkata...

Wah! Hebat uncle
Reunion jauh begitu..
Sangat seronok kan bila bertemu kawan/sahabat2 lama?

Uncle berkata...

Salam Kakcik.

Memang meriah. Perancangan yang hanya dilakukan didalam tempoh 3 bulan alhamdulillah berjalan lancar. Kesemua yang datang membelanjakan duit sendiri. Dari penerbangan, penginapan, kenderaan di Bangkok serta makan malam. Itu semua tak menjadi masalah. Yang penting bagi kami ialah pertemuan rakan-rakan lama...

Uncle berkata...

Salam Ibu N Abah.
Mengadakan reunion di Bangkok sangat bertepatan. Kami keluar bertemu rakan manakala keluarga yang turut serta pergi membeli belah....anak-anak masing-masing juga ada aktiviti sendiri. Hubungan kami masih akrab. Hampir saban hari kalau tidak pun minggu, kami akan berhubung diantara satu sama lain. Jika kami mahu ke luar negara, akan ada yang akan menawarkan penginapan yang lebih murah walaupun di hotel bertaraf 5 bintang kerana mereka kini adalah samada pemilik hotel ataupun GM di negara masing-masing. Saya juga mendapat jemputan ke Korea dan menginap di hotel mereka! Alhamdulillah....

Kakzakie Purvit berkata...

Kiranya macam reunion hebat ni uncle. Kakak memang boleh nampak mana satu uncle sebab yg lain kepala hitam hihi..

Hiburan mereka memanglah tak sama dgn kita. Tapi sebagai teman mereka tetap teman yg baik.. mesti happy bertemu dan berbual panjang.

ps: org kata urutan sana hebat amacam uncle tak ketagih ke hihi..

Uncle berkata...

Salam Kakzakie.

Memang hebat. Tahun depan dijangkakan lebih ramai yang akan hadir termasuklah dari Greece, Cyprus, Spain, Portugal dan lain-lain lagi.

Urutan mereka memang bagus. Saya selesa dengan cara urutan mereka walaupun bagi sesetengah orang agak keras. Mereka ke sekolah untuk belajar. In fact kalau kita nak belajar pon boleh ke Wat Po ditengah2 kota Bangkok untuk belajar...Jika Kakzakie tanya samada saya ketagih atau tidak, jawapan saya sudah pasti...tapi mungkin di Brickfields saja kot buat masa ini!

Tewas

Harap maaf betul kerana saya tak termampu nak ipdate cerita-cerita saya disini. Banyak sebenarnya nak dikisahkan. 2. Walaubagaimanapun say...