Jumaat, Februari 19, 2016

Rakan Jalanan..


Dah lama aku dengar mengenai pertubuhan ini. Dah lama aku diajak oleh pengasasnya untuk sama-sama mereka membantu Rakan Jalanan. Satu perkataan yang sangat indah bila didengar. "Rakan Jalanan". Ramai yang memanggil mereka "gelandangan ataupun homeless". Tapi bagi aku, "Rakan Jalanan" lebih lembut. Lebih sopan. Lebih mesra! Perkataan rakan itu sendiri memberi impak yang besar. Menunjukkan yang mereka tidak terasing. Memberi isyarat "kebersamaan".

Aku tak mahu membincangkan perihal perkara-perkara negatif di ruangan kecil aku ini. Semuanya terpulang kepada interpretasi masing-masing. Bagi aku, apa niat kita untuk sama-sama berganding bahu membantu? Jika niat kita tulus ikhlas untuk membantu, silakan....anyway, apa yang aku nak ceritakan ni hanyalah sebagai panduan dan juga bolehlah aku anggap sebagai "ajakan" kepada rakan-rakan pembaca lain untuk sama-sama membantu bukan sahaja di Masjid Jamik tetapi boleh juga dilaksanakan dikawasan dimana kita tinggal. 

Pengasasnya ialah Vimmy Yasmin Razak dan suami serta beberapa kenalan rapat mereka yang lain. Bermula daripada bawah. Niat mereka suci. Ingin membantu. Aku kenal VYR ni sejak aku di KSA lagi. Beliau membaca blog aku dan aku juga membaca blog beliau. Apabila aku balik bercuti ada aku berjumpa beliau sekeluarga di AMCORP Mall. 

Tahun lalu aku berjumpa beliau sekali lagi disebuah kedai makan di Pandan dan Ampang. Kami bercerita panjang. VYR ada bercerita mengenai projeknya yang telah berjalan. Waktu itu aku tidak tergerak untuk membantu (jika waktu aku terluang). Penghujung tahun 2015 hati aku terbuka untuk melihat sendiri dan lantas mengambil peluang untuk sama-sama turun padang. Masyallah. Aku terkejut melihatkan bahawa para sukarelawan yang bersama-sama beliau adalah anak-anak muda sekitar awal 20-an! Aku fikirkan mereka pastilah sebaya dan semuda aku tetapi ternyata telahan aku meleset. 

Apa yang mereka lakukan? Setiap hari Ahad sewaktu orang lain sedang nyenyak tidur, mereka telah tercegat di MJ, KL. Apabila van datang untuk menghantar nasi lemak dan minuman, mereka akan bergerak secara automatik menyusun meja-meja untuk digunakan sebagai tempat kerja mereka. Pergerakan mereka amat synchronised....tidak perlu bercakap. Muka anak-anak muda ini penuh dengan semangat bantu membantu. Lincah bekerja dan tahu tugas masing-masing. Jam 4.45 pagi, sumbangan daripada dermawan mula sampai. Ada air kotak, ada biskut, ada kuih, pakaian dan bermacam-macam lagi. Masyallah...aku bersyukur..

Sewaktu kali pertama aku disitu, aku lihat berkotak-kotak ubat gigi dan berus gigi dipekkan dengan rapi. Sebuah meja lagi disorong keluar. Dimeja ini disediakan minuman panas dan sejuk. Ada kopi O, ada teh O dan juga sirap. Minuman yang telah siap berisi disusun cantik diatas meja. Tepat jam 5.30 pagi kesemuanya telah pun tersedia. Rakan Jalanan tadi telah mula masuk ke perkarangan MJ. Ada yang terus mengambil wuduk untuk sama-sama bersolat subuh secara berjemaah. Alhamdulillah.

Masuk waktu solat, kami berjalan masuk ke dalam ruang solat. Selesai solat aku lihat Rakan Jalanan tadi telah ramai beratur untuk mengambil makanan dan minuman yang telah disediakan. Berdisiplin dan tidak banyak bercakap. Seorang demi seorang mengambil pek makanan, mengambil minuman dan duduk disudut MJ sambil menjamu selera. Setelah selesai makan dan minum, mereka mengumpulkan kesemua bekas-bekas makanan dan minuman dan dimasukkan ke dalam tong sampah yang telah disediakan oleh pihak masjid. Semuanya berjalan lancar. 

Sebahagian lagi sukarelawan yang berkereta akan mula beredar meninggalkan perkarangan MJ sekitar jam 6.30 pagi untuk menuju ke destinasi Rakan Jalanan bagi mengagihkan makanan yang telah siap dipekkan tadi. Melihatkan mereka bertugas dengan amat berdisiplin, aku menjadi bangga sendiri. Bangga kerana mereka ini amat prihatin. Bangga kerena mereka ini adalah anak-anak muda yang kebiasaannya mempunyai aktiviti mereka sendiri. Bangga kerana anak-anak muda ini sangat bertanggungjawab.

Sejak dari kali pertama aku berada bersama-sama mereka, kini aku cuba untuk membantu setakat mana yang mampu. Awal pagi Ahad merupakan waktu yang aku tunggu-tunggu. Melaksanakan kewajipan sosial tersebut menginsafkan aku. Membuka mata aku dengan lebih luas. Satu perkara yang paling simple dan tak pernah aku terfikir ialah, itulah kali pertama aku menjejakkan kaki ke MJ dan solat berjemaah walaupun sudah banyak kali lalu-lalang dikawasan berhampiran. 

Banyak nikmat yang aku perolehi disitu. Nikmat bertemu rakan-rakan baru, nikmat melihat dan sama-sama membantu Rakan Jalanan, nikmat bekerjasama dengan adik-adik sukarelawan dan banyak lagi nikmat Allah yang tak pernah aku nikmati selama ini. Banyak yang aku telah dan masih sedang pelajari. Apakah kita tidak merasa syukur dengan apa yang kita ada? Lihatlah sekeliling kita. Tidak semua orang bernasib baik. Kita bernasib baik. Makanya marilah kita sama-sama membantu mereka...


10 ulasan:

Omong Mak Long..... berkata...

Assalamualaikum Uncle,

Entri Uncle yang ini amat mencuit hati Mak Long. Nasib seseorang kita tidak dapat menduga dan memahami melainkan Allah. Kali ini juga Mak Long belajar perkataan baru yang bermakna "homeless". Bagi Mak Long rakan jalanan rasa lebih sesuai senang nak sebut dan lebih mesera rasanya. Besarnya jiwa yang membantu dan Allah jua yang memberi balasan nekmat kepada kembali. Terima kasih Uncle dengan penulisan ini. Kiranya Uncle benarkan ingin Mak Long berkongsi entri ini kepada mereka di luar sana...ya!?

ummi_khalish berkata...

salam alaik uncle...kat fb rakan jalanan ni dikenai sebagai unggas kuala lumpur kan? dil bnyak mengikuti perkembangan dorg dr jauh..duduk di bumi mesir ni..dil cuba terapkan rezeki dikongsi bersama ...kita bantu yg termampu...mesir ramai juga yg mcm ni..dan semoga Allah pelihara..murahkan dan berkati kita semua...hidup sling bantu membantu...dan penuh sifat ihsan di jiwa..ameen...

Uncle berkata...

Waalaikumsalam Mak Long.
Dengan rasa amat bertuahnya, saya izinkan Mak Long "share" entry saya agar terbuka hati mereka diluar sana bersama-sama menggemblengkan tenaga membantu mana-mana rakan jalanan dikawasan masing-masing. Malam tadi saya menonton YouTube berkenaan "tiny homes" yg disediakan seseorang buat rakan jalanan tanpa mengira agama dan warna kulit. Sangat menginsafkan. Beautiful tiny homes Mak Long for those in need especially during winter...

Uncle berkata...

Waalaikumsalam Dil.
Benar. Mereka dikenali sebagai "unggas". Mereka begitu " structured" makanya Uncle terpanggil utk bersama mereka. Golongan RJ" berada dimana-mana. Bersama-sama lah kita membantu mereka!

Ibu n Abah berkata...

Alhamdulillah
Dengan adanya bantuan buat RJ ini yang setakat bukan hanya bantuan makanan tp juga bantuan membawa 'solat berjemaah' ke kediaman mereka... Alhamdulillah.
Semuga usaha begini akan berterusan hingga bila2.

Uncle berkata...

Ibu n Abah.
Ya, alhamdulillah. Semalam yakni Ahad, saya membawa sedikit baseball cap yang disumbangkan oleh rakan saya. Alhamdulillah..tak lah panas sangat kepala mereka. Rakan-rakan saya maklum dengnan apa yang saya perlukan. Amat menyedihkan bilamana sumbangan pakaian dianggap oleh sesetengah pihak sebagai tempat untuk membuang pakaian lama. Ada yang menghantar seluar dalam, baju dalam dsbnya. Ini menunjukkan tahap "pemikiran" mereka! Itulah yang akan menjadi ikutan anak-anak dan cucu-cucu mereka nanti.

Kakzakie Purvit berkata...

Mula-mula dulu memang ramai yg memandang serong bila banyak NGOs yg buat perkara ini uncle. Tetapi kini dah banyak minda yg terbuka. Beruntung kepada yg mampu menghulur kerana setiap apa yg diberi akan tercatat. Yg menerima itu pasti beribu-ribu kali mendoakan..

Uncle berkata...

Kakzakie Purvit.
Saya pada awalnya juga amat sceptical...tetapi selepas beberapa waktu, terbuka hati dan minda saya untuk melihat mereka dari satu sudut yang berbeza..

iryanty ismail berkata...

assalamualaikum uncle...apa khabar....

mereka juga manusia...bezanya mereka cuma kurang bernasib baik

Uncle berkata...

waalaikumsalam Iryanty.

Benar seperti yang dikatakan....cuma mungkin kita lebih bernasib baik..makanya, bersyukurlah.

Pengembaraan Solo Tanpa Tujuan - part 10

(dipetik dari posting di fb saya) Alhamdulillah, dah hampir selesai dan kini sedang berada di lapangan terbang antarabangsa di Vientian...