Ahad, April 06, 2014

Weekend!

 
Sekembalinya aku dari Cameron Highland tempohari, Marina ada membisikkan ditelinga yang dia dah lama tak ke Zoo. Aku mencongak waktu lagi. Nasib baik aku masih lagi bercuti pada waktu itu. Pagi tu selepas ke pasar dan sebelum kami ke zoo, aku sempat singgah minum pagi dulu di salah sebuah kedai kopi tepi jalan. Wajah riang kelihatan di wajah Yuya dan Marina sewaktu sedang berbual sambil menunggu roti canai! Abang ada dirumah. Pada umur remaja sebegitu, tidak mungkin abang akan mengikut aku ke zoo!

 
Sejajar dengan kenaikan harga tiket, kebersihan zoo dan prasarana telah diberikan perhatian serius. Kali ini aku benar-benar kaget kerana harimau dan singa semuanya berjalan mundar-mandir didalam kandang dan sekali-sekala menuju ke kawasan berair disekeliling kandang untuk minum ataupun berenang. Selalunya harimau dan singa akan hanya terbaring lesu menunggu makanan! Cuaca sangat baik untuk aku melawat dari satu ke satu kandang. Redup dan sesekali angin bertiup nyaman! Aku berhenti sebentar di kedai minum. Walaupun peralatannya agak 'dated' tetapi aku lihat susun atur kerusi dan meja serta kaunter makanan semuanya rapi. Persepsi aku berubah 360 darjah serta-merta. Tahniah kepada pengurusan zoo yang telah bertungkus-lumus cuba mengindahkan kawasan persekitaran dibantu oleh ramai pekerja sukarela! Sedang leka melayan keletah anak-anak, aku terpandang satu papan tanda jalan yang tertulis Ismail Hutson. Perlahan aku sedekahkan al fatihah kepada arwah. Datuk Ismail Hutson yang aku kenali adalah seorang pelakon serba boleh yang hebat. Banyak drama-drama beliau aku tonton sewaktu ditahun 70-an lagi. Pada masa yang sama beliau juga merupakan pencinta haiwan dan menjadi orang kuat Zoo Negara. Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar!

sdar U15

Seperti biasa jika aku berkesempatan, aku akan menyusur masuk ke VI selepas waktu kerja. Dari tempat kerja aku di Bangsar untuk ke VI hanya mengambil masa 15 minit dengan motor. Aku sukakan laluan ke VI kerana aku harus masuk ke Brickfields yang mengingatkan aku tentang gerai-gerai makan di sekeliling YMCA. Gerai-gerai makan itu sering aku kunjungi sewaktu aku mengambil kursus bahasa Jepun dan tinggal di Wisma Belia sekitar tahun 92 dulu. Disebelahnya pula merupakan pusat urut yang dikendalikan oleh pakar-pakar urut yang buta penglihatan. Dari situ aku terus melalui jalan susur disebelah KTM dikirinya dan Klang Bus Stand di depannya. KTM memang mengembalikan nostalgia aku berkeretapi dari KL ke Butterworth manakala Bus Stand Klang pula merupakan tempat aku menaiki bas untuk ke rumah Kak Anne di DJ pada waktu dulu sekitar tahun 1981! Belok ke kanan dan menaiki bukit ke Stadium Merdeka kembali mengimbau kenangan aku bersama arwah bapak menonton perlawanan bolasepak diantara pasukan Malaysia menentang pilihan professional dari India, Mohan Bagan juga awal-awal tahun 80-an dulu. Melewati stadium merdeka disebelah kanan, ialah Stadium Negara. Aku pernah menyaksikan konsert Zainal Hijau di Stadium Negara....motor dilencongkan ke kanan dan aku masuk ke VI. Ada pertandingan rugby 10 sebelah sebenarnya pada sabtu dan ahad. Dan yang paling penting, SDAR juga menyertai pada kali ini. Aku meletakkan motor di pavilion dan berjalan turun ke padang untuk melihat score board. Nama SDAR terpampang didalam kelompok pasukan 'maut'. Dalam hati aku mendoakan kejayaan adik-adik aku!

Wan Bon yg gila rugby!

Mata aku liar mencari orang yang aku kenali. Di bawah khemah pengadil, aku terserempak dengan cikgu rugby SDAR yang juga merupakan salah seorang pengadil pada kejohanan pada kali ini. Aku bersalam dan bertanyakan tentang perkembangan adik-adik. Kali ini prestasi mereka kurang memberangsangkan. Sedikit kecewa tetapi aku yakin bahawa untuk menempa kejayaan, banyak cabaran dan kegagalan yang harus dilalui. Maka dengan itu, berusahalah adik-adik....aku masih ligat mencari kelibat yang pasti aku kenal. Langkah diatur mencari jersi yang tertera nama SDAR. Dihujung padang kelihatan sekumpulan pemain yang sedang mendengar arahan daripada jurulatih. Aku senyum dan merapati kumpulan tersebut. Aku terpandangkan Wan Bon. Junior aku disekolah dulu. Wan Bon bagi aku merupakan seorang bekas pelajar yang 'gila'. Gila dalam pelbagai segi. Walaupun sibuk dengan pekerjaan, kesempatan terluang pasti dicuri beliau untuk turun ke padang di sungai gadut memberi tunjuk ajar kepada adik-adik didalam permainan rugby. Komitmen yang ditunjukkan beliau amatlah hebat. Aku tak termampu melaksanakannya. Ada adik yang tercedera dikening dan terpaksa diberikan 5 jahitan. Wan Bon dengan penuh rasa tanggungjawab memastikan yang jahitan dan balutannya rapi sebelum beliau bergegas ke gerai ditepi padang yang menjual 'head gear' untuk dipakaikan kepada adik tadi supaya tidak tercedera lebih lagi! Timbul perasaan bangga....that is what i call 'responsibility'. Pancaran matahari mula terik. Aku berjalan membelah padang dan menuju ke motor aku yang diletakkan di pavilion. Menepuk seat motor beberapa kali, memakai topi keledar, menghidupkan enjin, perlahan-lahan meninggalkan padang menuju ke Jalan Imbi, Kampung Pandan dan pulang ke rumah di Ampang. Sepanjang perjalanan, aku mendoakan agar adik-adik aku kembali bersemangat merampas kejuaraan!

4 ulasan:

Kakcik Seroja berkata...

Bila anak2 seronok, ibubapa pun tumpang seronok. :)

Uncle berkata...

Salam Kakcik.
Sudah pasti! Dan beberapa tahun lagi semua ini akan menjadi kenangan paling indah bagi saya! Sama seperti sewaktu abang kecil dulu....sering memegang tangan dan meminta untuk didukung....I missed all those moments..

Mulan berkata...

suami juga hantu rugby dulu ketika tetapi masa & keadaan tak mengizinkan kini..

Uncle berkata...

Salam MULAN.
Lega saya dengar sebab ada jugak yang 'gila' macam saya....hahahahaha...

Tewas

Harap maaf betul kerana saya tak termampu nak ipdate cerita-cerita saya disini. Banyak sebenarnya nak dikisahkan. 2. Walaubagaimanapun say...