Sabtu, Mac 15, 2014

Sebatang pokok di tepi kelas...



Aku ke sekolah anak aku pagi tadi untuk menyaksikan perlawanan bolasepak peringkat akhir zon Bangsar. Akibat daripada minum banyak air sejak cuaca berjerebu ni, aku agak kerap pergi ke tandas. It's ok,  aku tahu kenapa lately aku kerap ke tandas....masalahnya jika aku tak tahu sebab! Nah, itu masalah! Aku naik moto untuk ke tandas kerana jarak antara padang dan tandas agak jauh juga. Selepas selesai dan baru start engine moto, aku terpandang sebatang pokok di tepi kelas. Batangnya besar dan tegap manakala daunnya pula rimbun. Aku rasa yang pokok ini mungkin telah agak berusia. Aku terpegun melihat pokok tersebut. Pelbagai kisah menarik kembali menerjah dikotak fikiran. Kisah yang terpalit 39 tahun dulu begitu segar didalam ingatan aku. Melihat pokok sebegini, aku terbayang wajah arwah mama menunggu aku dibawah pokok yang seperti itu pada tahun 1975 sewaktu aku di darjah 1 di Sekolah Rendah Francis Light, Pulau Pinang dulu. Sebatang pokok ditepi kelas...
 
Pokok tersebut berada betul-betul ditepi kelas aku. Akar-akar yang tebal dan gemuk menyelirat diatas rumput. Sewaktu didalam kelas, pokok itulah menjadi tumpuan aku setiap hari, menantikan kelibat arwah mama membawa bekal nasi goreng dan air sirap. Pandangan aku hanya tertumpu disitu sehinggakan cikgu kelas marahkan aku dan menutup cermin. Aku sayu, satu perasaan bimbang tiba-tiba menular. Apa akan jadi kalau mama datang dan aku tak nampak? Apa akan jadi kalau mama datang dan mama tak nampak aku? Apakah mama dah sampai ataupun belum? Apakah mama datang bersama nasi goreng dengan air sirap ataupun tidak? Bagaimana kalau mama tak sampai lagi? Pelbagai persoalan bermain di benak sehingga membuatkan aku hilang tumpuan pada kelas. Mata aku merah dan perlahan-lahan aku keluarkan sapu tangan kecil berwarna merah berbunga ros pemberian mama dari poket kiri seluar biru pendek aku. Aku mengesat air mata yang mula membasahi pipi. Menundukkan kepala ke lantai. Jantung berdegup kencang. Fikiran berkecamuk. Perasaan ingin tahu meronta-ronta meminta penjelasan atau sekurang-kurangnya dibenarkan membuka cermin barang sesaat untuk aku menjeling ke pokok tersebut.
 
Jarum jam bergerak sangat lambat. Peluh membasahi dahi dan belakang baju aku. Duduk menjadi tidak selesa. Tenaga seperti telah dikerah berkawat diawal paginya. Jantung berdegup bertambah kencang. Mata mula berpinar. Dunia terasa kecil. Rakan-rakan sekeliling tidak aku hiraukan. Guru didepan tidak aku endah. Tumpuan aku hanya terarah kepada mama..Masyallah, lambatnya putaran jam. Satu minit aku rasa bagaikan satu jam! Kaki sudah terasa ingin berlari keluar kelas. Mata liar memandang jam ditangan rakan sebelah dan sekali-sekala cuba menerobos tingkap yang tertutup rapat! Aku gundah. Aku gulana!
 
Angin bertiup lembut. Sehelai dua daun-daun kering dari pokok yang sama berterbangan memasuki kelas. Bunyi daun berlaga daun terus membuatkan jiwa aku mula meronta-ronta ingin keluar. Mata aku kembali berkaca...Aku jeling lagi sekali ke lengan kiri teman. Ada 5 minit lagi untuk loceng berbunyi menandakan waktu rehat telah bermula. Tetapi itu masih ada 5 minit berbaki.....aku rasa seperti waktu tidak bergerak langsung. Suara cikgu tidak aku hiraukan. Suara rakan-rakan kelas tidak aku pedulikan. Tumpuan aku hanyalah pada pokok diluar kelas.
 
Ada lagi 2 minit untuk aku menerjah keluar. Aku pejamkan mata. Menyika airmata yang bertambah laju. Berpaling kearah berlawanan dengan harapan agar rakan-rakan tidak melihat. Menundukkan kepala kelantai. Membuka tali kasut. Mengikatnya semula. Membuang batu-batu kecil yang melekat ditapak kasut. Semuanya aku lakukan untuk menyentap waktu agar bergerak lebih laju.
 
2 minit berlalu dan loceng menandakan waktu rehat telahpun dibunyikan. Aku tidak hiraukan guru. Aku tidak hiraukan rakan-rakan. Sepantas kilat aku bangun dan sepantas kilat juga aku berlari menuju pintu untuk keluar daripada kelas. Setelah 10 langkah aku berlari, aku berhenti. Aku nampak kelibat mama duduk bertenggek diatas akar pokok yang menonjol diatas tanah. Baju kurung hijau yang selalu mama pakai. Ditangan kanannya ada nasi goreng manakala tangan kirinya memegang botol air yang berisi air sirap! Aku puas.....
 
Al fatihah!

Sabtu, Mac 08, 2014

Langkawi, revisited!

Timing was perfect....right on the dot!

Sekali lagi aku berkesempatan ke Langkawi tetapi kali ini kerana kerja. Kali pertama aku cuba menggunakan bas dari KL Sentral. Mencari tiket bas satu hal...akhirnya tiket bas dibayar didalam bas! Perjalanan sangat lancar walaupun untuk melepasi KL agak payah. Bas selesa dan barangan semuanya dimasukkan ke perut bas oleh para petugas. Bas sampai tepat pada waktu dan kami terus turun kerana waktu 'pendaftaran masuk' akan tamat bila-bila masa sahaja. Penerbangan dijadualkan berlepas pada jam 12.30pm. Aku agak skeptikal kerana selama ini tak pernahnya flight aku terbang pada waktu yang dinyatakan di tiket. Paling teruk pernah aku lalui bilamana flight delay selama 3 jam! Anyway, tahniah kepada AA kerana telah memberikan pengalaman perjalanan yang sangat baik dan selesa bermula dari KL Sentral lagi!


Oh nooo........

Perkara yang sepatutnya dilakukan telah berjaya dilaksanakan. Pertemuan demi pertemuan berlangsung sejak pukul 1.30 petang sehinggalah berakhirnya pertemuan pada pukul 11.45 malam. Bagi aku, alhamdulillah...semuanya sangat fokus dan tahu perjalanan dan halatuju. InsyAllah jika semuanya menjalankan amanah masing-masing mengikut jangka waktu yang ditetapkan, kita akan berjumpa lagi didalam waktu yang terdekat. Syukur ke hadrat Allah swt!
 

The Loaf

Aku sempat singgah sebentar disini. Menyambung sedikit perbincangan tambahan. Sungguh tenang. Tiada ombak. Hanya angin yang meniup perlahan dan matahari yang mula terbenam membuatkan suasana waktu itu sangat indah sekali. Menghirup iced cappucino menambahkan lagi 'nikmat hidup' aku. Sewaktu menikmati suasana senja aku sempat mengelamun dan teringatkan waktu aku bertugas di Langkawi hampir 4 tahun yang lalu. Disinilah tempat aku membawa tetamu aku dari luar negara untuk duduk bersembang kosong. Sewaktu di Langkawi dulu aku diberikan sebuah kereta Proton Perdana yang kesemuanya ditanggung oleh pihak hotel. Jadi aku mengambil kesempatan senggang di waktu petang untuk membawa tetamu aku jalan sambil menikmati kopi di Marina tersebut. Ramai yang aku bawa terutama sekali dari eropah. Mereka senang bila dilayan begitu. Banyak topik yang kami bualkan dan diwaktu itulah aku akan mendapat segala macam pujian ataupun kecaman mengenai perkhidmatan kami dihotel. Kesempatan sebegitu aku gunakan sebaik mungkin untuk menambahbaikkan segala macam service di hotel! Itu semua merupakan komen-komen ikhlas daripada para tetamu yang aku harus ambil serius!

"Bo" saja....

Kami agak awal untuk pertemuan penting seterusnya. Oleh kerana aku pernah tinggal di Langkawi selama hampir setahun, banyak juga tempat yang masih aku ingat. Salah satunya ialah gerai ini. Jika diamati, top menunya adalah menu yang sama sejak dari tahun 2010 dulu. Memang top sampaikan kuey tiaw mempunyai dua jenis ejaan yang berbeza! Hahahahahaha....Kuey san, anda pilihlah yang mana anda suka!

SDARians are everywhere....(l to r) Joe and me 85 and Ray 81

Setelah aku check out dari hotel dan menunggu waktu untuk penerbangan pulang ke KL, aku mencuri sedikit kesempatan untuk bertemu fellow sdarians lain yang kini terdampar di Pulau Langkawi! Kamal atau lebih mesra di panggil "Joe Labu" merupakan seorang pakar motivasi /ekonomi yang kini berpusat di Langkawi manakala senior aku Raizam pula kini membuka sebuah pusat bahasa dan juga mengajar perkara berkaitan perhotelan bagi hotel-hotel berjenama di Langkawi. Pada masa yang sama beliau yang dikenali sebagai 'DJ' Ray kini sedang mengendalikan program beliau sendiri di Radio Langkawi bagi mempromosikan Langkawi sebagai destinasi pelancongan VMY 2014 yang dikelolakan didalam bahasa Inggeris. Aku mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat maju jaya kepada mereka berdua dan InsyAllah dalam jangka waktu yang terdekat, kita akan berjumpa lagi. Meantime, have a pleasant weekend people!

Jumaat, Februari 21, 2014

Unexpected!

Haji Hazudin Bin Haji Baharudin

Selalunya didalam hidup, pelbagai perkara yang tidak dijangka akan berlaku. Berita yang tak diduga juga akan kita terima dan begitulah seterusnya. Pertemuan dengan rakan-rakan adalah lumrah biasa kehidupan tetapi pertemuan di Jeumpa d'Ramo dengan Imam Besar Masjid Tunku Mizan dari Putrajaya, masyAllah...memang aku tak terfikir langsung. Kebetulan pada hari tersebut ada acara istimewa dan Imam Besar masjid Putrajaya juga turut serta. Aku kebetulan berada disalah sebuah khemah yang mana Tuan Haji Hazudin sedang duduk berbual. Kami berjabat tangan dan aku memperkenalkan diri. Tuan Haji Hazudin juga memperkenalkan diri dan kami mula berbual. Aku terkejut bilamana Tuan Haji bertanya apakah aku SDARian? Soalan tersebut membuatkan aku juga bertanya soalan yang sama kepada Tuan Haji! Beliau senyum. Tiba-tiba topik perbualan kami bertukar kepada pengalaman bekerja di Madinah dan Mekah. Aku terasa kerdil bilamana Tuan Haji yang juga merupakan Imam Besar Masjid Putrajaya memberitahu yang beliau ada membaca tulisan-tulisan aku di blog ini! Masyallah....aku malu sendirian.....malah teman-teman aku di Mekah seperti  'trio manja' yakni Lutfi Lokman, Aznawi dan Rashid yang aku gelarkan 'penyamun' juga beliau kenali! Jangan salah anggap. Panggilan 'penyamun' antara kami adalah seperti kata laluan apabila berhubung. Aku pula 'kepala penyamun'. Nahh....sangat mesra hubungan kami! Banyak yang aku dan Imam Besar bercerita pada hari itu sebelum beliau bergegas untuk mengimamkan sembahyang Maghrib dan Isyak. Kepada Tuan Haji Hazudin Bin Haji Baharudin, saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan jutaan terimakasih yang tidak terhingga kerana sudi membaca cerita-cerita merepek saya di blog yang tak sepertimana ini..

Professor Ariffin Bin Ghazali

Beberapa hari selepas itu, aku mendapat satu panggilan daripada seorang teman lama yang sudah berpuluh tahun aku tak jumpa. Ini merupakan salah seorang rakan aku yang telah lama menghilangkan diri tetapi muncul semula. Selesai sahaja SPM pada tahun 85, masing-masing membawa haluan sendiri walaupun kami masih berhubung.  Professor Ariffin merupakan teman lama dari Kelantan yang sama-sama mendaftarkan diri memasuki tingkatan 1 Putih bersama-sama aku pada tahun 1981 dulu. Seorang rakan yang amat disegani dan dihormati. Kerap berada disurau sejak dari dulu lagi...

Lama tak dengar berita dari beliau tetapi beberapa bulan yang lalu kami mula berhubung bilamana aku mengetahui yang beliau akan mengerjakan umrah pada tahun lalu. Banyak kami berbual mengenai umrah, Madinah dan Mekah. Sikit sebanyak yang aku tahu, aku kongsikan bersama. Tapi masih belum berkesempatan bertemu. Aku pernah berjanji yang aku akan menaiki komuter ke Tanjung Malim, jumpa beliau, lunch dan balik semula ke KL. Malangnya semua perancangan terpaksa aku batalkan kerana hujung minggu aku sentiasa penuh dengan acara...Beberapa hari yang lalu, aku menerima sms dari rakan aku ni menyatakan yang beliau akan ke KL kerana ada urusan dan akan mencuri waktu bertemu aku. Alhamdulillah...semuanya berjalan lancar. Kami berpelukan di tepi jalan. Merenung wajah masing-masing yang dah mula menunjukkan garisan-garisan kecil (tak ketara) di dahi! Aku menjemput masuk ke dalam dan menyajikan minuman. Sembang kami bertambah rancak dan diselang-selikan dengan hilai tawa. Cerita kami seperti biasa hanya berkisar kepada kenakalan sewaktu dizaman remaja dulu sewaktu berumur 13 hingga 17 tahun. Banyak juga yang kami bualkan dan tiba-tiba beliau bingkas bangun menelek jam tangan dan memberitahu aku yang beliau harus beransur dan ingin menjemput isterinya yang sedang bermesyuarat disalah sebuah pejabat besar di KL. Aku sedih. Tangan aku digenggamnya erat dan sekali lagi kami berpelukan. Segala kenangan sewaktu remaja kembali berderu-deru datang. Teringat sewaktu kami berjabat-tangan dan berpelukan di stesyen keretapi sewaktu mahu pulang bercuti ke kampung masing-masing. MasyAllah...aku berdoa agar beliau sekeluarga diberikan kesihatan yang baik dan harapan aku agar kami dapat bertemu lagi....buat teman aku, Professor Arifin Ghazali, insyAllah aku akan berkunjung ke TM suatu hari nanti bersama-sama beberapa budak-budak nakal yang lain!

Ahad, Februari 09, 2014

Aliff Satar in da house!

Aliff and me!

Aku mendapat panggilan talipon daripada salah seorang producer salah sebuah syarikat TV yang besar. Aku kenal rapat dengan beliau. Beberapa kali juga kami bekerjasama dan ternyata sangat senang untuk bekerjasama dengan beliau. Masih muda tetapi pertuturan dan adap sopan melangkaui jangka usia. Producer menalipon aku bertanya samada aku senang untuk berjumpa beliau pada tarikh yang diberikan. Aku memohon maaf kerana tidak dapat memenuhi keinginan untuk bertemu pada tarikh pertama lalu kami tundakan pada tarikh yang lain yakni selang 2 hari dari tarikh pertama. Persetujuan dicapai.

Sesampainya beliau dan isteri yang juga seorang producer, kami terus bersalam dan bertanya khabar. Sesudah itu, beliau terus menyatakan hasrat kedatangan beliau adalah untuk memohon kerjasama aku untuk mengadakan satu meeting pendek dengan seorang penyanyi muda bernama Aliff Satar. Aku kenal penyanyi ini melalui lagu-lagu 'catchy' dan 'nakal' beliau. Dalam diam aku dan anak-anak meminati lagu-lagu nyanyiannya dan sesekali terdengar Marina menyanyi beberapa bait.
 

Majalah Harmoni edisi Feb 2014


Kedengaran bunyi moto menderam kuat diluar. Bukan sekelas dengan aku tetapi aku rasa moto ini hanya layak berada di litar sepang! Sleek.....berhelmet vespa, turun seorang penyanyi lelaki yang sangat murah dengan senyuman. Masih muda. Baru 22 tahun dan dengan sopan menghulur tangan kepada aku sebagai tanda hormat. Alhamdulillah...dulu Hazama pon serupa! Moto berenjin 1200cc diletakkan disebelah motor 125cc aku. Sekali imbas tak ada perbezaan pun....aku cakap kat dia "Aliff, moto Aliff ni ada weakness la...". Dia terkejut dan tanya aku balik, "Apa yang tak kena Uncle?". Cepat aku balas, "Moto Aliff tak ada bakul! Susah nak pi marrket". Dia gelak panjang! 
 
Aliff berkarektor periang. Perbincangan tak lama. Hanya lebih kurang 1 jam sahaja. Aku tak masuk campur sebab soal hiburan ni bukan soal aku. Kalau makan-minum dan penginapan baru lah aku akan menyelit. Aku cuma diam mendengar perbincangan yang semakin lama semakin rancak diselang-seli dengan hilai tawa! Aliff berminat mengadakan beberapa sessi lagi di JDR. Aku bersyukur dan berterimakasih kepada beliau dan producer selepas aku menunjukkan semua fasiliti yang ada di JDR.
 
 
Majalah HIJAB keluaran Feb 2014
 
Sebelum berangkat pulang, sekali lagi Aliff menghulur tangan dan kami bersalam lagi sambil sempat aku berbisik yang aku sukakan program Aliff mengembara di Australia tempohari....very professionally done...dan tak dengar pulak ayat "jom" yang selalu aku dengar dalam setiap program travelogue! Have a productive week ahead people! I'm going to enjoy nasi tomato, darrcha sayur and ayam goreng in an hour's time....makan sampai lebam then petang kena workout!
 
 

 

Sabtu, Februari 01, 2014

Sweet 16!

Arman Azumi dah 16!

Tiba-tiba Azumi menghantarkan sms menyatakan yang dia inginkan jam tangan sebagai hadiah di hari lahirnya tanggal 31hb Januari yang juga merupakan cuti umum kerana sambutan Tahun Baru Cina. Kebetulan pula! Ini merupakan minggu terakhir untuk anak-anak semua berkumpul memandangkan pada Selasa minggu depan Yuya juga akan menyusul abangnya untuk tinggal di asrama. Kedua-dua Azumi dan Yuya kini mengikuti latihan bolasepak yang lebih sistematik kerana mereka berdua terpilih untuk menganggotai projek bolasepak sekolah dan harus menetap diasrama. Aku rasa itulah pilihan yang terbaik. Belajar dengan tekun dan pada masa yang sama mengikuti latihan bolasepak secara intensif setiap hari!

Tengah demam..

Marina tiba-tiba demam panas. Kebetulan juga aku sebenarnya sedang bercuti kerana aku perlu menyelesaikan beberapa perkara berkenaan dengan kemasukan Yuya ke sekolah projek bolasepak VI. Setelah selesai dengan kemasukan Yuya ke asrama, aku bergegas pulang untuk melihat Marina. Marina terlantar lesu tak bermaya. Aku bagi dia makan ubat dan tunggu sebentar. Aunty balik dan terus bawak Marina ke klinik. Aku takut Marina diserang demam denggi tetapi TIDAK! Aku lega. Lepas makan malam aku, abang dan Yuya bersiap nak ke KLCC. Tiba-tiba Marina bingkas bangun dan bagitahu yang dia nak ikut. Kelam-kabut dia mandi dan bersiap manakala kami menunggu dengan sabar. Marina kembali bercakap banyak dan ini melegakan kami semua!

Bangga dgn anak-anak!

Selepas mendapatkan kasut sukan Yuya (ada dalam syarat kemasukan keasrama), kami berbondong-bondong menuju ke kedai FOSSIL ditingkat atas KLCC. Abang mencuba beberapa jam dan memilih satu yang digemari. In fact aku sendiri sukakan jam tu. Aku berbisik pada abang yang aku juga teringin nak pakai jam yang sama. Abang kata ok! Hahahahahahaha...

Segalanya untuk anak-anak!

Dah selesai dapatkan kasut untuk Yuya dan jam untuk abang, kami mula melangkah turun menuju ke kereta. Pada hari ini, 31hb Januari 2014, bersempena dengan Tahun Baru Cina, abang genap berumur 16 tahun.....Selamat Hari Jadi abang.....Papa doakan yang abang akan menjadi anak yang soleh dan sentiasa mengutamakan pelajaran dan keluarga. Sayangilah adik-adik kerana itu sahajalah adik-beradik yang abang ada! Once again, Happy Birthday my dearest son.....I love you!

Sabtu, Januari 18, 2014

Buah hati..

Kyushuk

Hari Khamis lepas Marina merengek-rengek mengajak aku sekali lagi ke sungai. Katanya nak mandi sungai. Aku lantas mencongak apakah dalam tempoh hujung minggu yang panjang itu jadual aku lapang ataupun tidak. Nampak gayanya ok tetapi in between seperti hari Sabtu, ada majlis ditempat aku manakala hari minggu pula ada mesyuarat yang hanya akan bermula pada pukul 3 petang. Aku mengangguk tanda setuju pada Marina dengan syarat mesti pulang ke rumah sebelum 12 tengahari kerana harus menunaikan sembahyang Jumaat selepas itu. Marina melonjak gembira..Marina tidur awal sebab tak sabar nak ke sungai keesokan harinya...

Buku baru beli..

Aku tanya Marina nak pergi sungai mana. Dia kata Sungai Gabai tak ada pondok ditepi sungai. Oleh itu dia lebih suka pergi ke Sungai Pangsun kerana pondok-pondok disitu hanya terletak ditepi sungai! Aku mengangguk lagi dan Marina mula bercerita tentang sungai Pangsun yang telah kami sekeluarga lawati sebulan-dua yang lalu. Esok pagi pukul 7, Marina dah bangun. Kami bersiap dan bertolak pukul 8 pagi. Dalam perjalanan, Marina bagitahu yang dia lapar. Kami berhenti sebentar di sebuah pekan kecil berhampiran Dusun Tua. Aku suka pergi ke kedai-kedai berlainan sewaktu ke sana. Nampak ramai tetamu sedang menjamu selera. Aku mencari sebuah meja yang sesuai dan terus duduk. Pesan makanan, pesan minuman dan tunggu. Lama jugak nak siap sebab pakcik yang buat roti canai tu sangat sentimental didalam pergerakan menebar roti! Tetapi hasilnya, alhamdulillah tidak menghampakan kami.

Budak-budak nakal..

Selepas makan kami kembali bergerak ke Pangsun. Sampai ditepi pondok tepi sungai, kami parkirkan kereta dan keluar ke sungai. Mencari pondok yang sesuai amat mudah kerana masih belum ada orang lain yang sampai kecuali kami! Menghamparkan tikar didalam pondok dan meletakkan semua barang-barang. Marina tak menunggu lama. Terus meluru keluar dan bermain air digigi sungai. Yuya menyusul. Abang ligat dengan smsnya. Aku biarkan mereka dengan dunia mereka sendiri sambil sekali-sekala menjeling agar tidak terlepas pandang. Cuaca masih redup. Aku mengambil novel yang baru dibeli, membawa secangkir kopi panas dan merendamkan kaki kesungai sambil membaca. Alhamdulillah tenang...

Masih jernih..

Air jernih mengalir laju tetapi tidak sampai ke tahap merbahaya. Keluarga lain mula sampai dan dalam sekelip mata hampir kesemua pondok-pondok yang ada habis disewakan! Dalam hati terdetik, bagus juga business ini. Setiap pondok dikenakan kadar sewaan sebanyak RM20 manakala tempat meletak kereta di tepi jalan utama dikenakan caj sebanyak RM2. Tidak ada had waktu! Riuh-rendah dengan hilai-tawa anak-anak. Aku bertambah ralit!


Alam semulajadi yang menakjubkan!

Pukul 11.30 pagi Marina mengingatkan aku yang waktu untuk pulang telahpun tiba. Kami kembali berkemas dan mengumpulkan sampah-sarap yang bertaburan walaupun pada hakikatnya bukan sampah kami. Itu telah menjadi kebiasaan kemana-mana sahaja kami pergi waima padang bola sekalipun! Perjalanan pulang hanya mengambil masa 30 minit ke rumah. Cuaca masih baik. Marina langsung tidak menunjukkan sebarang rasa keletihan. Dimana datangnya tenaga Marina masih menjadi misteri bagi aku. Petangnya Marina keluar lagi bermain dengan kawan. Dania mengajak Marina swimming dan dia pantas pulang kerumah dan meminta izin aku. Walaupun aku tak mengizinkan, Marina akan terus mendesak. Untuk memendekkan cerita aku angguk setuju. Sepantas kilat Marina bersalin pakaian dan berlari beriringan dengan Dania dan Sarah Nor menuju ke kolam renang! Aku senyum. Puas!

Sabtu, Januari 04, 2014

2014!

 
Dah lama aku tak tengok talipon dan pondoknya yang masih didalam keadaan yang baik seperti yang tertera diatas. Bahkan warnanya juga sangat ceria. Pondok talipon sebegini sudah mula digunakan dan gambar ini aku ambil di PD tempohari. Aku harap agar ianya berfungsi. Talipon awam sebegini sangat banyak kegunaannya. Aku ingat lagi di sekitar tahun 70-an. Talipon berwarna hitam digunakan dipejabat-pejabat. Dan jika ada talipon tersebut dirumah bermakna beliau merupakan seorang yang sangat kaya! Pada tahun 1980, sewaktu abang sulung aku mula bertugas di Pulau Pinang, setiap minggu arwah mama akan menalipon abang. Aku dan mama akan berjalan kaki ke pondok talipon yang terletak di pintu masuk ke sekolah henry gurney di telok mas, melaka. Talipon tersebut sebenarnya terletak didalam pondok pengawal di pintu masuk. Aku berjalan mengiringi arwah mama. Mama sediakan tisu ditangan kanan. Kami berjalan pantas. Mama akan mendial nombor talipon bilik pengawal penjara di pulau pinang yakni tempat abang bertugas. Bercakap sebentar, kesat air mata....bercakap sebentar dan kesat air mata. Itulah kali pertama arwah mama berenggang dengan abang yang waktu itu berumur sekitar 19 atau 20 tahun!

Kelas Marina di sekolah Ar Rahmaniah

2 hari lepas aku mengambil cuti gantian. Rancangannya mahu ke sekolah anak-anak untuk melangsaikan beberapa perkara. Sewaktu bangun pagi aku teringat bahawa pada malam tahun baru, aku ada tugas penting. Setelah selesai tugas, aku menghala ke motor aku dan memecut laju kerana didalam fikiran aku, keluarga sedang menunggu untuk makan tahun baru (mengikut tradisi Jepun, dimalam tahun baru diadakan majlis makan bersama keluarga). Jam menunjukkan pukul 10.30 malam. Sesampainya aku di Jalan Bangsar, kenderaan bergerak perlahan. Ramai polis sedang bertugas dan aku diarahkan untuk ketepi. Polis meminta lesen dan road tax. Aku serahkan semuanya. Polis kata terimakasih dan menyerahkan semula lesen beserta road tax kepada aku. Aku juga ucapkan terimakasih. Aku terus pulang tetapi mendapati yang kesemua anak-anak aku sudah tidur! Aku makan sorang-sorang! Hahahahahaha...tetapi 2 hari sudah selepas aku bangun pagi, sekali lagi aku mengambil dompet untuk melihat semula lesen dan road tax/insurance aku. Aku terkejut bila menyedari yang road tax dan insurance aku dah tamat tempoh! Jadi sebelum ke sekolah anak-anak, aku kelam kabut perbaharui!

 
Kelas 2A dimana Marina belajar, tak ramai para pelajarnya. Dari luar aku dengar suara pengawas terjerit-jerit mintak semua budak-budak lain diam dan letakkan kepala diatas meja. Tidur. Aku senyum sendirian. Aku dulu pun serupa jugak kena tengking dengan kawan sekelas. Aku dongak kepala sebab nak mintak kebenaran kerana tak tahan nak terkencing tapi disergah oleh ketua kelas suruh diam dan tidur untuk menghabiskan waktu. Aku dongak lagi dan kena marah lagi...aku dongak lagi dan terus kena marah sekali lagi.....aku terkencing kat dalam seluar dan meleleh-leleh ke lantai....ketua kelas jerit marahkan aku kenapa tak mintak kebenaran nak pergi ke tandas? Aku bingung!

Malam sebelum pulang ke Mekah 6 tahun dulu!
Apabila aku berkesempatan, aku akan melihat dan membaca kembali 'entry-entry' lama didalam blog aku sewaktu aku mula-mula menulis berkenaan kisah aku dulu. Pelbagai perasaan bercampur-baur. Seronok, sedih dan sayu semuanya ada. Seronok sebab banyak kisah-kisah lucu yang berlaku. Sedih sebab cuti aku di Malaysia pada waktu itu dah nak tamat dan terpaksa pulang semula ke luar negara manakala sayu pula apabila melihat lambaian tangan anak-anak di lapangan terbang menghantar aku untuk pulang semula bertugas....masyAllah....berilah kekuatan pada hambamu ini untuk menempuh banyak lagi dugaan yang bakal menjelma!

Tewas

Harap maaf betul kerana saya tak termampu nak ipdate cerita-cerita saya disini. Banyak sebenarnya nak dikisahkan. 2. Walaubagaimanapun say...