Selasa, Disember 11, 2007

Gadis Jepun

Aku kembali menaiki bas. Sembab perjalanan……sesembab mood aku pada saat itu. Terbayang kata-kata Wakana yang anak-anak aku sedikit sendu apabila mendapat berita bahawa aku tidak jadi pulang disebabkan oleh tuntutan tugas. Meraung lagi hati ini. Air mata seorang Papa kutahankan juga. Keesokan hari sepatutnya aku berada di KL. Melayani keletah anak-anak, menyaksikan kedua-dua anak lelaki aku, Azumi dan Yuya menjalani latihan bolasepak dikelab mereka. Mengagah sikecil yang kunamakan Marina Ayumi yang belum mengerti apa-apa diusia menghampiri 2 tahun dan berbual-bual mesra dengan Wakana yang telah aku tinggalkan buat seketika.

Bas ekspres membelah malam yang pekat. Sesekali di panahi cahaya rembulan dapat juga aku melihat padang pasir yang saujana mata memandang. Tidak dapat aku bayangkan bagaimana Rasulullah SAW berjalan kaki dari Mekah ke Madinah dengan membawa sedikit bekalan……timbul keinsafan didalam diri ini. Perjalanan dari Jeddah ke Madinah mengambil masa selama 5 jam menaiki bas dan berhenti selama setengah jam untuk berehat. Waktu kini sudahpun melewati jam 12 tengah malam. Masih ada lebih kurang 2 jam lagi perjalanan . Kurang lebih 150 kilometer untuk sampai ke destinasi.

Sedang aku mengelamun, aku teringatkan Wakana yang aku kenali lebih kurang 15 tahun yang lalu. Pertemuan yang tidak dirancang……aku bertemu Wakana Kamimura semasa aku sedang menyaksikan konset Zainal Abidin di Bunkamura,Tokyo pada tahun 1992. Aku berada ditingkat atas concert hall itu sambil menyanyi mengikuti irama ZA. Tidak kusangka-sangka aku terpanding seorang gadis Jepun yang turut sama menyanyikan lagu Hijau. Raut wajahnya yang ayu membuatkan aku teruja untuk menegurnya. Entah kenapa tiba-tiba sikap gentleman aku begitu menguasai diri. Aku bergegas ketingkat bawah sewaktu ZA berhenti rehat. Berlari sepantas mungkin agar dapat aku bertemu dengannya walaupun hanya bertentang mata.

Gadis ayu yang aku cari tidak kelihatan. Aku gugup seketika. Liar anak mata memerhatikan sekeliling. Fikiranku berkecamuk. Entah dia telah pergi ataupun telah hilang ditelan ribuan orang yang pada masa yang sama sedang berehat sebelum masuk semula ke concert hall. Didalam kesibukan mencari, tiba-tiba aku terpandangkan kelibat sigadis manis tadi. Jantung berdegup kencang kerana sepanjang umurku yang menjangkau usia 24 tahun pada waktu itu, tidak pernah sekalipun aku terpanggil untuk menegur seorang gadis. Apatah lagi untuk memikirkan perkara-perkara yang lain.

Kini gadis yang ku cari sedang berada betul-betul didepan ku. Sambil menghela nafas panjang, aku terus meluru kearahnya. Berhenti betul-betul didepannya membuatkan aku tiba-tiba buntu untuk berkata-kata. Aahh…..manisnya, getus hatiku….jantung berdegup bertambah kencang…..dengan perasaan yang bercampur-baur ku gagahi juga mulut untuk berkata-kata. Aku bertanya adakah dia sedang menunggu seseorang didalam bahasa Jepun. Aduh…ayat yang tidak kujangka terpacul keluar dari mulutku dengan tidak semena-mena. Begitu klise. Dia menoleh kearah lain. Kucuba sekali lagi menghamburkan ayat yang serupa, kali ini mungkin kerana aku nampak bersungguh-sungguh, dia menganggukkan kepalanya. Aku beranikan diri untuk bertanya adakah dia ingin meminati penyanyi itu. Dia mengangguk kepalanya lagi. Dalam tempoh 15 minit yang aku ada, aku membuat pengenalan diri seringkas mungkin dan dari riak wajahnya dapat kulihat ada respon. Ku hulurkan tangan bersama-sama meishi (kad nama) yang tertera nama, jawatan dan tempat aku bertugas. Dia tersenyum dan berkata terimakasih. Tidak dapat aku gambarkan betapa gembiranya hati ini. Sebelum bergegas pergi sempat kami bertukar-tukar nombor telefon dan aku cuba berjanji dan mengatakan yang aku akan telefon lagi keesokan harinya.

Seperti yang dijanjikan, keesokan harinya, aku menelefon nombor semalam. Panjangnya deringan telefon membuatkan aku bertambah gusar. Pelbagai persoalan bermain dibenak fikiran. Kalaulah orang tuanya yang menjawap? Kalaulah adik lelakinya yang menjawap dll. Wakana mengangkat telefon dan kami berbual pendek, berjanji yang kami akan bertemu lewat tengahari sambil bercerita tentang world music yang kami sama-sama minati.

Tepat pada waktu yang dijanjikan, Wakana terpacul dilobi hotel penginapan aku di Gotanda. Kami berbual dan aku dengan berani mengajaknya ke kedai burger didepan hotel. Sesampai disana, aku memberinya album ZA.

Satu pertemuan yang tak disangka-sangka……………….

Tepat jam 2.30 pagi aku menerima panggilan daripada AH yang berjanji akan mengambil kami di stesen bas Madinah. Sesampainya aku distesen, terus aku membuat panggilan. 5 kali panggilan dibuat masih tidak berjawap. Tertidur kali…fikirku. Kami mengambil keputusan untuk berjalan kaki sahaja ke apartmen yang lebih kurang 1km jaraknya. Berjalan didalam cuaca yang dingin tidak mendatangkan masalah. Nampak dari kejauhan tiang-tiang tinggi Al-Haram dihiasi dengan lampu yang indah. Aku cuba bandingkan perjalanan aku dengan Rasulullah SAW. Nyata tidak terbanding sekali! Terdetik dihati kecil ini, "Ya Allah Ya Tuhanku, begitu besar sekali kekuasaanMu"

Sesampainya di apartmen, semuanya telah tidur. Sebelum terlupa, aku tunaikan dulu tanggungjawap ku yang terakhir. Mengadap Allah yang satu…….

3 ulasan:

Dila al-Basri berkata...

Salam ziarah, uncle :)
Segar membaca tulisan uncle.
Dapat link dari blog Pak Idrus.
Terus ke sini membaca dari awal mula :)
Terhibur

Uncle berkata...

Waalaikumsalam.
Letih kalau Dila nak baca sebab dah menghampiri 800 entries. But nevertheless, keep on reading...ini semua perjalanan hidup Uncle merantau merata-rata tempat cari rezeki..thanks for reading my entries...

Dila al-Basri berkata...

perjalanan hidup org lama buat pengajaran berguna untuk yang baru bertatih ni uncle.
nice sharing :)

Rancanglah...

Buat-buat busy!         Pada minggu ini aku sempat bertemu dengan seorang anak muda cekal yang dah aku ikuti perkembangannya selama beb...